SURAT PENGUNJUNG

MAHATHIR TAK ERTI UNDANG-UNDANG!

Adalah  amat memalukan  negara sekiranya persidangan Parlimen pada 20hb.Disember 1999 diisytiharkan  tidak sah dari segi undang-undang. Mahathir dengan angkuh mengatakan bahawa oleh kerana  statusnya   sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan sementara maka dia berhak menasihati DYMM Yang  DiPertuan Agong untuk memanggil persidangan Parlimen pada 20 Disember 1999.

Lazimnya apabila Parliamen dibubarkan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,sebuah kerajaan sementara akan mengambil alih pentadbiran negara. Tugas kerajaan sementara ini adalah untuk menjaga keamanan negara dan memastikan bahawa tugas pentadbiran harian berjalan dengan sempurna.

Kerajaan sementara ini tidak berhak untuk melaksanakan apa-apa projek atau membuat apa-apa polisi sehingga satu kerajaan tetap dibentuk. Oleh itu kerajaan sementara ini adalah sebuah kerajaan  peralihan daripada kerajaan yang sudah tamat tempoh pemerintahannya kepada kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Kuasa dan fungsi Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan sementara tidak sama kuasa dan fungsi  Perdana Menteri dalam kerajaan biasa. Perdana Menteri kerajaan  sementara tidak berhak untuk mengadakan mesyuarat kabinet. Semua ahli kabinet dalam kerajaan lama secara otomatik meletakkan jawatan sebaik saja Parlimen dibubarkan. Oleh itu bekas menteri kabinet tidak mempunyai kuasa atau hak-hak istemewa seperti mana mereka menikmati semasa dalam kabinet dahulu walaupun mereka berada dalam kabinet sementara.

Mahathir menjelaskan bahawa beliau telah menasihati DYMM Yang DiPertuan Agong dalam memanggil persidangan Parlimen 20 Disember 1999 itu.  Apakah Mahathir  berhak berbuat demikian sedangkan kerajaan sementara tidak boleh mengadakan mesyuarat kabinet?, kecuali ianya kabinet baru. Tetapi kabinet baru dibentuk pada 14 Disember 1999 dan mesyuarat pertamanya pada 15 Disember 1999.

Nasihat kabinet  yang diberi sebelum 9 Disember 1999 itu nyata adalah  nasihat kabinet kerjaaan sementara. Jika inilah halnya maka ia adalah salah dari segi undang-undang,kerana kerajaan sementara  tidak berhak mengadakan mesyuarat kabinet.

Seperkara lagi ialah pada 29 Disember 1999, 4 orang menteri,5 orang timbalan menteri dan seorang setiausaha parlimen tewas dalam pilihanraya. Jika Mahathir masih pertahankan penjelasannya bererti Megat Junid,Hamid Othman,Mustapha Mohd dan Yusof Noor berhak menghadiri dalam mesyuarat kabinet kerajaan sementara itu walaupun mereka telah kalah dalam pilihanraya. Adakah ini logik?

Jelas proklamasi diraja pada 9 Disember 1999  adalah bercanggah dengan perlembagaan negara kerana ia dibuat oleh samada Mahathir sendiri atau kabinet sementaranya. Hanya  kabinet baru  dibentuk pada 14 Disember 1999 berkuasa memberi nasihat itu.

Apakah Mahathir tidak erti undang-undang atau sengaja buat tidak tahu. Untuk menutup kebodohannya Mahathir telah menuduh Lim Kit Siang sebagai dalang peristewa memboikot  persidangan Parlimen dan menuduh ahli berhormat  Barisan Alternatif cuba membuat kacau bilau. Sebenarnya angkara kacau bilau ini berpunca daripada Mahathir sendiri kerana belum apalagi Mahathir sudah mencabuli perlembagaan negara!

ALI ALLAH DITTA