ANTARA SUMPAH-SUMPAH DAN SUMPAHSumpah-sumpah ataupun sesumpah adalah sejenis cicak yang berupaya menukar warna kulitnya mengikut keadaan persekitaran bagi tujuan menipu mangsa ataupun musuh. Perkataan 'sumpah' membawa erti pengakuan yang dibuat (bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci) untuk menguatkan apa yang dikatakan. Di negara maju, seseorang ahli politik yang diberikan gelaran 'sesumpah politik' merupakan seorang yang telah melanggar sumpahan ataupun ikrar yang dibuatnya ketika dilantik menjadi seorang wakil rakyat. Selalunya apabila seorang politikus diberikan gelaran demikian akibatnya politikus itu sudah hampir di ambang keaibannya. Pada lazimnya apabila seseorang ahli politik diberikan gelaran 'sesumpah' itu, dia pun akan meletakkan jawatan untuk menyelamatkan kedudukan martabat teman-teman politiknya. Di Jepun, orang yang dilabel sesumpah bukan sahaja meletakkan jawatan, malahan ada yang pernah membunuh diri secara 'hara kiri'. Malaysia di bawah pimpinan MAHAFIRAUN telah menonjolkan ramai ahli politik yang telah mengambil perangai sesumpah sehinggakan mereka layak diberikan gelaran itu. Ini bukannya satu fitnah tetapi satu paparan yang jelas untuk menarik minat para pembaca agar berfikir sejenak akan apa yang dilalui oleh sejarah politik bangsanya. Ikrar perkhidmatan cemerlang Setiap wakil rakyat membuat ikrar ataupun sumpah taat setia kepada perlembagaan negara dan menyatakan betapa mereka sanggup menjalankan tugas tanpa berbelah bagi untuk kesejahteraan negara ini. Kerana itu, mereka diberikan gelaran YB ataupun Yang Berhormat semasa menjawat jawatan yang berprestij itu. Ada pula yang diberikan gelaran yang lebih besar dari itu seperti YAB dan dianugerahkan pula pelbagai bintang gelaran oleh raja-raja dari satu masa ke satu masa dari dari satu istana ke satu istana. Sepanjang tempoh perkhidmatan sesorang YB kita akan nampak perubahan yang berlaku kepada insan yang diberikan amanah itu. Kalau dulu rumahnya kecil ia berubah secara beransur-ansur menjadi sebuah istana. Ada pula yang terus mahu bikin mahligai kerana memikirkan istana yang ada tidak setanding dengan perkhidmatan yang telah diberikannya. Selalunya rakyat tidak pernah cemburu ataupun mencemuh pemibikinan rumah kediaman baru seseorang YB kerana memikirkan ia perlu untuk menyesuaikan keadaan diri seseorang YB itu dengan keadaan status yang diperolehinya. Sikap ini adalah semacam satu budaya di negara ini sedangkan di negara yang sudah maju, seseorang wakil rakyat tidak pun kisah sangat dengan pembinaan rumah kediaman yang baru kerana mereka sudah pun mempunyai rumah yang besar sebelum menjadi ahli politik lagi. Namun, rakyat berhak mempersoalkan bagaimanakah seorang YB mampu membuat rumah yang besar-besar sehinggakan kalau dicongak pendapatan YB itu, ia sebenarnya tidak mampu berbuat demikian? Bukan sahaja rumah yang kecil menjadi besar, kereta yang kecil pun sudah ditukar dengan yang besar dan berganda pula banyakanya. Di manakah datangnya semua itu? Kadangkala kita ketawa juga memikirkan betapa cekapnya seorang insan apabila bergelar YB? Kalau satu ketika dulu, dia amat susah berbelanja kekawannya kerana kesempitan hidup untuk melunaskan hutang kereta, rumah dan juga pinjaman bank. Tetapi, apabila menjadi seorang YB ia berupaya berbelanja sakan setiap hari seolah-olah sudah mempunyai kudrat untuk memetik wang dari siling dan berbelanja besar pusing keliling? Kalau dulu, untuk membeli sehelai akhbar harian pun tidak mampu, kini kita lihat dia mampu berhujah buah fikiran yang kita tahu tidak pun ada di dalam buku. Kerana itu kita lihat ada YB yang mampu membeli banyak buku menaja penanaman padi di atas bumbung dan penanaman orkid di tiang lampu. Kemudian ditaja peraduan membelek lembu dan digalakkannya pertandingan mencabut uban di kepala. Mujur tidak diadakan pertandingan mencari kutu ataupun mencabut bulu ketiak ataupun hidung. Baru mencelaru rakyat dan terpekik yang ada penyakit resdong. Adakah ini mencerminkan bahawa YB yang ganjil itu amat terdahulu dalam pencapaian ilmu? Ada YB yang memang pintar sehinggakan tidak dapat ditandingi oleh orang yang lama dalam dunia perbankan. Bayangkan seorang YB yang mampu membawa keluar berjuta ringgit sehinggakan orang luar terkejut dengan keberaniannya. Kalau dihitung wang yang dibawa keluar negara yang berjuta-juta harganya, kita tentu terpegun memikirkan banyaknya. Betapa pula cara memperolehinya? Apakah dipetik dari siling juga ataupun wang sebanyak itu tiba-tiba jatuh dari angakasa? Begitu juga dengan seorang YB yang dituduh memperkosa seorang bohsia. Dia lepas bebas tanpa banyak cerita sedangkan gadis bohsia merengkok buat seketika di rumah serenti untuk memperpaikki akhlaknya. Nenek si bohsia yang tak puas hati, segera menyaman menteri yang miang keladi. Puas ditageh bantuan dari pemimpin parti peribumi, tetapi tidak ada yang mahu bersimpati. Lantas bangun seorang wakil rakyat berbangsa China, Lim Guan Eng namanya. Beliau bertegas membantu si nenek yang bernama Puan Pendek dan menjaja perhatian rakyat jalanan agar Pendek diberikan bantuan. Mahkamah tidak memihak kepada mereka malahan masukkan Guan Eng dalam penjara. Kini, si bohsia besar sudah. Umur yang mentah terus bertambah. Ia sudah berupaya mendedahkan berita betapa ia sudah mengangkat sumpah dengan tujuan membersihkan namanya. "Sebenarnya saya tidak pernah kenal menteri itu," katanya. "Segala fakta yang diterangkan dulu sebenarnya berita palsu yang disogokkan tanpa kerelaan hati saya." Alangkah peningnya dunia ini apabila seorang yang pernah mengaku diperkosa pada satu ketika dulu kini mengangkat sumpah berkanun untuk menidakkannya? Inilah mainan politik seorang perempuan yang mungkin dimainkan oleh seorang ahli politik yang bukan mainan statusnya. Demikian juga halnya dengan kemajuan politik Melayu yang kini mudah membabitkan kaum Hawa yang sanggup menjaja diri dan menjaja nama dengan alasan menegakkan kebenaran. Yang melucukan, fakta yang dikemukannya itu adalah berdasarkan tohmahan yang dibawa oleh seorang insan yang sudah berumah tangga dan mempunyai isteri dan zuriat pula. Insan yang mengaku dirinya diliwat telah dibiarkan bebas tanpa diperiksa tempat yang dikatakan sudah diliwat itu. Sedangkan orang yang dituduh meliwat dimasukkan dalam penjara dengan tuduhan lain yang sememangnya palsu. Inilah gambaran politik bangsa Melayu yang dimainkan oleh orang-orang yang pernah bersumpah berkali-kali di depan ketua negara dan ketua negeri. Ramai yang sanggup melanggar sumpahan mereka mempertahankan kerusi politik yang empuk dan yang memberikan kuasa menjadi perampuk. Apa yang ada kepada 'sumpah' dan ikrar saorang ahli politik kalau ramai di kalangan mereka yang sudah pun bertukar perangai menjadi sesumpah? Bayangkan apakah ikrar seorang YB sebaik sahaja memegang jawatannya? Dia sanggup banyakkan projek rumah murah, tetapi berapakah harganya? Bila projek rumah siap, para pembeli dipanggil untuk mencabut undi. Tetapi, siapakah yang mendapat tiket rumah tepi? Tidakkah pelik, setiap kali undian pembeli rumah diadakan, rumah tepi jarang sekali terlepas kepada tangan pembeli pribumi? Bagaimanakah seseorang YB selalu sangat mempunyai rumah di setiap taman perumahan? Bagaimanakah dia mampu membelinya. Kalau dalam kawasan pilihanrayanya ada lima puluh taman perumahan, dia sudah mampu memilikki 50 pintu rumah? Mungkinkah modal pembelian turun dari langit juga? Amalan yang bercanggah dengan sumpahan. Bagaimanakah seorang menteri yang sepatutnya memajukan industri negara boleh mengeluarkan AP kemasukan kereta buatan luar, lantas membantutkan selera pembeli kepada kereta pembuatan sendiri? Bagaimana pula cerita beberapa menteri yang bersikap muka-selamba sedangkan wabak JE menyerang negara. Apakah tidak pening kepala memikirkan bila menteri yang sepatutnya menjaga kewangan negara mempunyai bank sendiri dan pelbagai syarikat niaga? Sumpahan seorang YB adalah ikrar yang dibuat kepada Allah melambangkan amanah yang diserahkan oleh rakyatnya. Ia menjadikan 'halalnya' wang gaji yang dikeluarkan setiap bulan. Namun rakyat sedar bahawa gaji bulanan bukannya imbohan untuk berpolitik semata-mata. Kuasa dan glamor adalah penentu segalanya. Begitu juga kemungkinan untuk mencubit beberapa peluang untuk hari tua. Baik untuk diri sendiri, untuk para kroni ataupun untuk rencana kollusi. Kalau semua peluang itu diambil kira, apa perlunya gaji bulanan? Apakah hukumnya apabila seorang dua YB yang layak digelar pewaris nabi menjadi cuai dalam kerjaya politiknya? Tidakkah mereka nampak betapa ada manusia berhati syaitan yang sanggup mempersendakan seorang Rasul Allah? Rabunkah mata mereka sehingga tidak mampu melihat dengan jelas betapa kutipan zakat diselewengkan? Hampir tulikah pendengaran mereka apabila tercetusnya rintihan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa di Tabung Haji? Apa tidaknya kalau tambang ke Mekah sentiasa naik meninggi, gara menutup pembaziran yang dibuat untuk menaja kempen sebuah parti, tanpa mendapat keizinan para ahli? Adalah amat sedih sekali kalau kita fikirkan betapa amanah yang diberikan oleh rakyat kepada para YB dan YAB disalahgunakan. Ini mencerminkan betapa semangat perjuangan kemerdekaan itu semakin pudar di kalangan ahli politik yang besar-besar. Kelunturan ini sebenarnya tidak dikesan oleh rakyat marhain kerana mereka sibuk kais pagi makan pagi, kais petang makan hati. Kenapa rakyat tidak digalakkan berfikir? Kita telah diajar agar tahu berterima kasih kepada pemimpin. Tetapi, kita tidak diajar untuk menuntut agar pemimpin tahu berterima kasih kepada kita. Apa tidaknya, dalam masa yang singkat setelah meraih kerusi kemenangan, kereta lama bertukar baru. Langsir les bertukar sutera. Sofa plastik bertukar dengan kulit yang asli. Kita diajar mengisytiharkan harta kepada kerajaan setiap tahun, tetapi siapakah yang mengawal para YB mengistiharkan hartanya kepada para pengundi? Tenaga rakyat dikerah agar berbaris menantikan YB mengisytiharkan majlis keramaian. Tetapi, tidak ada yang mahu berbaris kalau keluarga kita dihimpit kemiskinan ataupun ditimpa kemalangan. Ketika negara dilanda kegawatan ekonomi, berapa ramaikah para YB yang sanggup berdialog dengan pengundinya untuk mendapatkan buah fikiran bagaimana mengatasi masalah yang ada? Setiap kali berlaku sesuatu malapetaka pernahkah kita dengar para menteri turun ke padang mencari pengundinya untuk mendapatkan pandangan mereka? Tidak. Kenapa? Kerana para YB dan menteri memikirkan rakyat tidak perlu berfikir untuk menyelesaikan masalah negara kerana fikiran rakyat tidak sama tahap dan kelasnya dengan fikiran para YB yang ada. Rakyat mungkin berilmu tetapi tidak perlu berfikir kerana kalau rakyat dibiarkan berfikir, alamat tidak lamalah khidmat YB itu. Kerana itu kita lihat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru, jumlah EXCO ditambah lagi kerana tugas yang lebih berat yang perlu ditanggungi. Yang nyata, kos pentadbiran kerajaan akan mendadak tinggi lagi. Bukankah pelik putaran politk ini sedangkan negara terus bermegah dengan kecanggihan IT? Mengenepikan para pengundi seolah-olah menjadi amalan setiap YB. Ketika berkempen ungkapan yang lazim dilafazkan ialah 'Masalah anda adalah masalah saya! Datanglah ke rumah bila-bila masa, pintu rumah memang sentiasa terbuka." Apabila sudah menang undi dan sumpah dan ikrar sudah dimetrai, janji yang lama terus dilupa. Kalau ada para pengundi yang menunjukan muka di rumahnya, arahan akan diberi kepada pembantu rumah untuk memberikan alamat pejabat si YB dengan pesanan " YB letih sangat kerana baru balik dari tugasnya. Eloklah pergi ke pejabatnya esok ataupun lusa untuk menyelesaikan masalah yang ada". Bayangkan apakah perasaan si pengundi yang cuba menagih simpati? Reaksi seperti ini membuatkan suasana hormat menghormati yang diberikan oleh rakyat kepada golongan YB menjadi luntur. Hari demi hari penghormatan itu bertukar kepada benci, meluat dan marah. Jurang perbezaan pendapat tercetus pula kerana setiap pihak cuba mempertahankan pendiriannya yang tersendiri. Seorang YB itu tidaklah dianggap menjadi wakil rakyat lagi. Ketahanannya hanya bergantung kepada kemampuannya mengumpul satu kumpulan para ampu dan para juak yang termasuk para samseng dan kaki pukul untuk menentukan kehormatannya sentiasa terjamin sehinggalah muncul musim pilihanraya yang baru pula. Justru itu, apabila budaya berpolitik yang beretika disisihkan, maka menjelmalah budaya samsing dan mafia yang menentukan keutuhan kedudukan seseorang YB itu. Seorang wakil rakyat yang sepatutnya menjadi wakil para pengundinya lantas bertukar menjadi seorang 'godfather' kumpulan mafianya. Kita kerap mendengar saranan agar rakyat harus tahu bersyukur. Ini bererti rakyat sekarang ini sudah tidak tahu menilai yang terbaik yang dipertontonkan oleh para YB. Inilah yang dikatakan kempen yang tersasul matlamatnya. Bagaimanakah kita boleh berpuashati dengan pihak kerajaan jika kebebasan kita semakin terkongkong? Pihak kerajaan mahukan kita sentiasa ceria dan mengamalkan sebuah negara yang harmonis agar kesatbilan politiknya nampak terjamin. Tetapi, kalau kestabilan politik terjamin apakah ini bermakna rakyat yang miskin sudah menjadi kaya? Mana mungkin? Apakah ertinya kestabilan politik kalau kerajaan mudah mengawal kebebasan rakyat melalui pelbagai akta dan undang-undang yang menindas rakyatnya? Kenapakah ISA tidak dimansuhkan seperti yang sering diminta oleh rakyat? Bagaimana dengan akta lain yang sememangnya berbentuk drakonian itu? Akta yang menindas kebebasan rakyat Walaupun apa alasan yang akan diberikan oleh Kerajaan tentang kestabilan politik dan keamanan negara ini, ia tidak akan memberi sebarang makna kepada yang tahu. Rakyat tahu mereka tidak akan dapat bebas bersuara selagi akta yang mencengkam kebebasan itu masih menjadi perisai institusi kerajaan dan manusia yang memerintah. Keengganan MAHAFIRAUN membasmikan akta-akta yang mengaibkan hak rakyat adalah lambang yang besar betapa kerajaan pemerintahannya tidak akan berlaku adil dalam menjalankan tugas mereka. Kerana itu dia bebas melantik seorang yang bukan ahli politik menjadi menteri pelajaran sedangkan beribu orang politik yang lebih layak dan lebih teruji kebolehan mereka untuk memegang jawatan itu. Inilah juga sebab yang besar kenapa rakyat di Pantai Timur tidak berani bersuara lantang untuk mendapatkan hak seorang wakil menjadi menteri dalam kabinet yang baru. Oleh kerana kuatnya kuasa yang ada pada MAHAFIRAUN dia boleh berbuat apa sahaja dalam pentadbiran negara. Dia tahu rakyat tidak punyai apa-apa kuasa untuk menegahnya. Pengaruh yang diberikan kepadanya sekian lama membenarkannya mengambil sesiapa sahaja untuk menganggotai kabinetnya walaupun ramai di antara mereka sudah bosan berpolitik. MAHAFIRAUN tidak pernah memikirkan kesengsaraan rakyatnya. Kerana itu dia boleh meletakkan seorang menteri besar yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi bertukar ke pusat untuk menjadi timbalan menteri, sedangkan seorang menteri besar yang sunnguh lama menunjukkan kesetiannya diberikan pula jawatan sebagai seorang setiausaha parlimen pula. Memanglah kuasa penuh ada di tangan seorang perdana menteri. Tetapi, apakah beliau tidak mengambil kira etika penggunaan sumber manusia? Bukankah hukum utama etika itu memestikan seseorang mengambil kira maruah invidu? Di manakah letaknya maruah bangsa Melayu kalau seseorang itu boleh ditukarkan ke mana sahaja tanpa mengambil kira jasanya yang lalu? Jelas sekali MAHAFIRAUN telah mengamalkan hukum rimba yang selalu diamalkan oleh sumpah-sumpah. Inilah hukum yang membolehkan sumpah-sumpah bertukar wajah mengikut keadaan persekitarannya. Pembebasan banduan sempena harijadi Raja Kekuasaan yang ada pada MAHAFIRAUAN dan ketaksuban yang tebal terhadapnya oleh para pemimpin dan juaknya membolehkan MAHAFIRAUN berbuat apa sahaja yang dia suka dalam mentadbirkan negara. Tidak ada sesiapa yang berani mendahuluinya dalam mencetuskan ide yang baik untuk rakyat. Kerana itu mengambil sempena kemenangan besar BN dalam pemilu ke-10, tidak ada seorang pemimpin BN yang sanggup mencadangkan agar MAHAFIRAUN mengemukakan senarai banduan yang perlu diberikan keampunan dan dibebaskan menjelang bulan Ramadan. Kalau MAHAFIRAUN bersedia membebaskan banduan daripada Thailand sempena harijadi raja mereka, kenapakah MAHAFIRAUN tidak bersedia membebaskan rakyat Malaysia dari penjara bersempena kemunculan bulan Ramadhan? Ketakutan yang ada terhadap seorang diktator tua menyebabkan para pemimpin UMNO sanggup membisukan suara daripada menentang segala suara sumbang yang keluar daripada mulut celupar pemimpin bukan Islam terhadap agama itu. Kelemahan itulah yang membuatkan MAHAFIRAUN ikut sama mencemuhkan agama dan rasulnya. Sejarah peradaban Melayu telah jelas menunjukkan betapa kuasa yang berlebihan kepada MAHAFIRAUN telah membuatkannya lupa daratan dan lupa akan kehormatan yang disaluti dengan semangat amanah yang diberikan oleh bangsanya Tujuan sebenar sumpah setia yang dilakukan oleh setiap ahli politik dalam kabinet MAHAFIRAUN ialah untuk menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin bagi kesejahteraan negara. Kesejahteraan negara merangkul semua aspek kehidupan yang bertunjangkan keharmonian rakyat dan keselesaan hidup mereka. Dalam sejarah pemerintahan MAHAFIRAUN sumpah setia ahli-ahli pilihannya adalah satu sandiwara semata-mata, kerana kesejahteraan rakyat tidak pernah menjadi matlamat mereka baik sebagai individu terhormat Malaysia mahupun sebagai penegak institusi pimpinan MAHAFIRAUN itu. Tidak kiralah samada sumpah itu dilakukan di perengkat pusat ataupun di peringkat negeri, tidak ramai individu yang pernah bersumpah itu sebenarnya berjaya memegang amanah yang disumpahkannya. Tapak tangan yang dibuka lebar ketika mengangkat sumpah seolah-olah membawa gambaran amaran kepada rakyat negara ini bahawa 'aku bersumpah ta'at setia kepada MAHAFIRAUN untuk membalun khazanah negara bagi kepentingan keluargaku dan kroniku dan akan terus berusaha untuk mengekalkan dinasti penghulu agungku bagi tujuan menegakkan dinasti patriach yang bertunjangkan namanya di bumi Malaysia ini.' Apakah pilihan rakyat Malaysia kalau sikap begini yang diambil oleh wakil rakyat yang telah mengangkat sumpah di hadapan raja-raja dan wakilnya sedangkan penonjolan sekumpulan besar mereka itu pada segi hukumnya telah dipermudahkan oleh undi hantu dan undi tipu?
-Marhain tua- |