INFORMASI TERKINI |
PAS TERENGGANU CUBA REALISASIKAN AJARAN ISLAM SEBENARLangkah Kerajaan Pas Terengganu yang akan mengenakan cukai atau kharaj ke atas hasil pertanian yang diperoleh individu bukan Islam di negeri ini dilihat sebagai satu percubaan merealisasikan ajaran Islam sebenar, kata pemerhati politik tempatan. Menteri Besar, Abdul Hadi Awang juga disifatkan berkata, bahawa kerajaan negeri Terengganu juga akan mewajibkan kutipan zakat terhadap semua individu beragama Islam. Haji Hadi berkata zakat pertanian hanya boleh dikenakan terhadap orang Islam mengikut kadar antara lima dan 10 peratus, manakala kadar kharaj yang boleh dikenakan lebih sesuai. Beliau berkata, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan kadar itu sama ada lebih daripada kadar zakat atau bergantung kepada kesuburan tanah. "Undang-undang mengenai perkara itu akan dirangka secepat mungkin dan akan dibentang untuk kelulusan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi. "Jawatankuasa khas mengenai perkara itu sudah dibentuk dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib yang dipertanggungjawabkan membuat kajian terperinci mengenai perkara itu," katanya. Hj. Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pas Kelantan tidak lama lagi untuk membolehkan dasar itu dilaksanakan di kedua-dua negeri berkenaan. Beliau berkata, selain pertanian, kutipan zakat dan kharaj juga akan membabitkan kegiatan ekonomi lain, termasuk perlombongan, industri, hartanah, dan perniagaan. Katanya, selain zakat dan kharaj, kerajaan negeri mempunyai sumber hasil royalti minyak, balak dan punca hasil lain untuk menampung kekurangan hasil terbabit. |