MINDA MINGGUAN |
PILIHANRAYA 'KALAH TETAPI MENANG, MENANG TAPI KALAH'!!!Tamatlah sudah pilihanraya umum ke 10 pada 29 November lalu. Hasil dari perancangan yang licik, Mahathir Mohamad PM Malaysia, sekali lagi menggunakan konsfirasi peringkat tertinggi dan terancang, agar dapat mengatasi sebarang kemungkinan kekalahan dalam pilihanraya umum tersebut. Amat malang bagi Pakatan Alternatif kerana kelurusan mereka dalam soal pilihanraya menyebabkan mereka diperdayakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang lebih merupakan 'budah suruhan' Mahathir. Jika kita mengimbau kembali bagaimana DSAI, TPM merangkap Menteri Kewangan boleh dijatuhkan serta disingkir, diaib, dihina dan dimalukan, maka tidak mustahil sekali teori konsfirasi tersebut menjadi inspirasi kepada beliau untuk memperdayakan seluruh rakyat Malaysia melalui pilihanraya kali ini. Semboyan pilihanraya telah dimulakan dengan isyarat bahawa 'pilihanraya umum ke 10 adalah terkotor dalam sejarah'. Kemudian segera tudingan dibuat ke atas parti bukan kerajaan atas momokan huru hara dan tuduhan fitnah dengan harapan parti alernatif akan menangani kedua isu ini dan melupakan tumpuan mereka menyemak kelurusan, kejujuran SPR sebagai badan yang memantau siri pilihanraya ini. Media kerajaan memainkan peranan utama dalam menjayakan konsfirasi terancang ini. Sebagaimana lakonan yang dijalankan dalam kes pemecatan DSAI tahun lalu, konsfirasi kali ini lebih kotor, tetapi lebih licin dan amat berhati-hati sekali. Berbagai isu digunakan untuk melindungi konsfirasi terancang dengan SPR ini termasuklah pengakuan dan sumpah yang didengari begitu banyak dan akhirnya lenyap begitu sahaja. Jentera yang banyak terlibat dalam menjayakan konsfirasi kali ini selain SPR, sudah pasti Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Pak Lah Badawi. Perancangan yang licik ini dan dengan bantuan media segera dapat menyembunyikan segala kekotoran yang terkandung dalam pilihanraya lalu. Biar apa pun, sebagai warganegara yang jelas cintakan keamanan dan perpaduan, walaupun kalah parti alternatif menyambutnya dengan penuh keringan dan keceriaan seolah-olah merekalah yang menang. Bilangan lembu dan kerbau yang terlibat dalam 'kenduri kesyukuran' itu bukan sedikit jumlahnya. Pimpinan alternatif terutama dari PAS dan KeADILan dijangkakan 'gantung periuk' sepanjang sekurang-kurangnya sebulan ini bagi memenuhi undangan dan program yang diatur. Sebaliknya di pihak yang menang lagak mereka seperti si peramah yang terkena sindrom 'bisu'. Mahathir sendiri melarikan diri dari menjawab kemerosotan undian BN dan apabila ditanya apakah komen beliau di atas kekalahan Mustapha Mohamad beliau hanya menjawab, saya di sini (LIMA Langkawi) tak sempat untuk menyelidiki kedudukan kekalahan tersebut. Begitulah berakhirnya sandiwara pilihanraya umum ke 10 Malaysia. Dengan berakhirnya pilihanraya itu maka hilanglah segala komen dan percakapan dan perbahasan mengenai pilihanraya. Berlainan dengan siri pilihanraya umum yang sebelumnya, cakap-cakap pilihanraya akan terus panas hingga terasa muak rakyat dihidangkan berita tersebut samada melalui akhbar atau media elektronik kerajaan. Berbeza di pihak yang kalah, sekali pun mereka ketahui telah 'dipermainkan' dalam pilihanraya umum kali ini, mereka tetap menerima dengan penuh keceriaan dan ketenangan. Saya sendiri merasakan bahawa seolah-olah satu suntikan semangat telah meresapi ke dalam diri hingga berita kekalahan kerusi penting samada diperingkat Parlimen atau DUN seolah-olah tetap menang. Ini berkemungkinan dari dua faktor iaitu; kita telah mengetahui kita dipermainkan dalam konsfirasi terancang SPR dan keduanya, undian rakyat terhadap PAS dan BA begitu mendadak dan mencemaskan seluruh warga BN dan pimpinan mereka. Begitulah Allah mencampakkan ke dalam hati anggota BA, meskipun menerima kekalahan tetapi keceriaan mereka jelas seperti mereka yang menang. Malahan di setengah tempat ada penyokong BA yang bersifat 'terlalu seronok' hinggakan percakapan mereka lebih kuat dan lebih tinggi dari ahli UMNO/BN yang menang, tetapi kalah. Pilihanraya Umum Negara ke 10 menjadi satu bukti bahawa rakyat tidak mampu diperdaya dengan begitu mudah serta disogok dengan pelbagai andaian dan propaganda. Pilihanraya semakin kotor, tetapi rakyat semakin matang. Malahan disetengah tempat Bilik Gerakan (Markas) terus dibuka seolah-olah pilihanraya belum berlaku, walau pun kehadiran pilihanraya umum negara akan datang ialah seawal 2004 nanti. Polong Cyber |