INFORMASI TERKINI

KOMEN PEMIMPIN BN BERHUBUNG KEMEROSOTAN UNDI YANG DITERIMA MEREKA DALAM PILIHANRAYA LALU

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan kekalahan Umno di Pahang kepada parti pembangkang pada pilihan raya kali ini bukan disebabkan kekuatan parti pembangkang tetapi kelemahan Umno sendiri.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Barisan Nasional sudah banyak kali mengingatkan supaya anggota Umno melupakan perselisihan dalaman dan menumpukan pada pilihan raya dan memenanginya.

Mengenai fenomena baru iaitu pembangkang mula bertapak di Pahang, Adnan percaya ia tidak kekal dan cuma bersifat sementara dan gelombang seperti itu terdapat di seluruh negara.

"Tiada benda yang kekal. Ia berubah-ubah dan saya tak percaya ini satu fenomena yang kekal," katanya.

"Kita dapat pertahankan Pahang inipun syukur Alhamdulillah. Jadi ia merupakan satu rahmat kerana ia boleh mencermin diri sendiri dan cari jalan mengatasi kelemahan yang ada," kata Adnan.


Sementara itu Pemangku Ketuanya Datuk Hishammuddin Tun Hussein meminta agar ahli Pergerakan Pemuda UMNO menghormati keputusan pilihan raya yang lepas kerana ia merupakan suara rakyat.

"Tidak perlulah kita membuang masa untuk mencari siapakah yang bersalah menyebabkan undi BN merosot," katanya.


Syed Hamid Albar berkata, perubahan selera pengundi Melayu pada pilihan raya umum ke-10 berpunca daripada kegagalan taktik menarik dan mempengaruhi mereka berbanding pihak pembangkang.

Menurutnya, matlamat parti mesti dikembalikan kepada semangat perjuangan asal UMNO dan tidak terus hanyut dalam arus perubahan.

Beliau yang juga Menteri Luar memberitahu, dalam pencerminan diri, UMNO perlu melihat sistem, profil, pendekatan dan nilai yang dibawa dalam situasi semasa kini.

''Kita juga melihat Pas misalnya mendekati rakyat sepanjang masa dengan mencerminkan dirinya sebagai Islam dan bukan parti politik sedangkan UMNO hanya semasa hampir pilihan raya,'' jelasnya.

Syed Hamid berkata, usaha mendekati rakyat perlu dilakukan sejak dari awal kerana tuntutan rakyat terhadap wakil yang dipilih semasa pilihan raya telah berubah berbanding dulu.


Dr Ibrahim Saad pula berkata, kekalahannya sebagai calon BN dalam Parlimen Permatang Pauh tidak melunturkan semangat perjuangan jawatankuasa bahagian itu.

"Walaupun kita kalah kali ini, tetapi kita bertekad untuk melawan habis-habisan dalam pilihan raya akan datang dan semua jentera pilihan raya bahagian perlu digerakkan mulai sekarang," katanya.


Khalil berkata bahawa kekalahan luar dugaan beberapa calon BN disebabkan pengundi bosan dengan mereka yang terlalu lama menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan.

Beliau juga dilaporkan berkata faktor itu antara yang dikenal pasti menyebabkan Terengganu jatuh ke tangan Pas dan Pahang kehilangan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri kepada parti pembangkang.

Menteri Penerangan itu juga dilaporkan berkata antara calon yang secara jelas ditolak rakyat kerana terlalu lama memimpin kawasan ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak (Parlimen Pekan) yang menang tipis dengan majoriti 241 undi dan sebahagian besar calon BN di Terengganu.


Menteri Besar Melaka yang baru Datuk Mohd Ali Rustam berkata, siasatan rapi akan dilakukan mengenai kemerosotan undi yang diterima BN.

"Semua wakil rakyat bekerja kuat dan menemui pengundi di peringkat akar umbi supaya perasaan tidak puas hati, dapat diselesaikan segera.

"Walaupun agak sukar menerangkan mengenai isu semasa, terutama kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yakin lama kelamaan orang ramai akan kembali semula menyokong Umno," katanya.


Penasihat Umno Bahagian Jelebu, Datuk Dr Rais Yatim menyarankan Umno melatih pemimpin pelapisnya secara formal sebagai salah satu agenda perubahan parti itu ekoran merosotnya undi yang diterima dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, latihan kepemimpinan itu bertujuan memperteguhkan keupayaan dan kewibawaan pemimpin bagi menghadapi cabaran lebih getir berikutan keadaan politik semasa.

Dengan membuat perbandingan kepada kerjaya perguruan, beliau berkata seorang guru yang baik perlu dilatih secara formal, tetapi ahli politik tidak pernah dilatih secara formal menjadi pemimpin yang baik.

"Sebab itu, Umno memerlukan perubahan dari segi kepemimpinan dengan pemimpin dilatih bagi menghadapi cabaran itu," katanya .

Dr Rais berkata, cadangan itu secara am dan tidak merujuk secara khusus kepada pemimpin lama atau muda. Menurutnya, terserah kepada pucuk pimpinan parti sama ada mahu menubuhkan biro baru atau menggunakan saluran yang ada untuk melatih pemimpin parti secara formal.

Beliau juga berkata, perubahan juga perlu dilakukan dari segi sistem pemilihan pemimpin dan cara menerima teguran.

"Kita tidak mahu sesuatu cadangan atau teguran diketepikan begitu saja," katanya.

Sementara itu, beliau bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, bahawa kebosanan pengundi terhadap mereka yang terlalu lama menjadi wakil rakyat adalah antara punca kekalahan luar dugaan calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, pandangan Khalil jika dilihat secara umum adalah benar, tetapi tidak begitu sesuai di semua kawasan.

"Saya mendapati masih ada calon yang telah lama mewakili kawasannya, tetapi tetap dipilih semula kerana berkhidmat secara profesional dan mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.


Prestasi merosot Umno dalam pilihan raya kali ini hanya bersifat sementara, kata Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik.

Menurutnya, beliau yakin Umno akan dapat mengembalikan sokongan rakyat terutama masyarakat Melayu di luar bandar pada masa akan datang sekiranya jentera parti berkenaan digunakan sepenuhnya.

Katanya, sokongan lemah masyarakat Melayu dalam pilihan raya kali ini disebabkan beberapa faktor seperti pembangkang menggunakan unsur penipuan, tohmahan dan semangat bencikan kerajaan.

"Saya percaya Umno akan dapat menerangkan kepada penduduk luar bandar bahawa apa yang diperjuangkan Pas bukannya semangat dan kerajaan yang ingin kita wujudkan di negara ini," katanya .

Menurutnya, orang Melayu disogok dengan pelbagai dakyah sehingga mereka marah dan bencikan kerajaan. Bagaimanapun, beliau percaya masalah berkenaan akan dapat diatasi dengan bantuan jentera BN dan parti di dalamnya.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib kesal tindakan sebahagian pengundi di negeri ini yang lebih terpengaruh dengan emosi dimainkan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu sehingga memberi laluan kepada Pas bertapak di Perak.

Menurutnya, walaupun kemasukan pengaruh pembangkang, terutama Pas tidak terlalu serius di negeri ini, berdasarkan kemampuan mereka menawan beberapa kerusi, termasuk Parlimen Parit dan Parit Buntar serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong, Gunung Semanggol dan Belanja, ia menunjukkan ada pengundi lebih tertarik kepada unsur politik yang dimainkan pembangkang.

Beliau juga menafikan dakwaan kekalahan calon BN, terutama di kawasan majoriti Melayu disebabkan berlaku perpecahan dalam Umno.

Sehubungan itu, Ramli berkata, beliau yakin BN mampu menawan semula kerusi terbabit dalam pilihan raya akan datang.

Beliau turut menafikan faktor calon BN dari luar menyumbang kepada kekalahan parti itu di beberapa kerusi dalam pilihan raya berkenaan.


Abdullah yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, "Saya berpendapat personaliti calon menjadi isu utama. Orang ramai semakin memandang berat imej orang yang bertanding,".

Ditanya sama ada pola pengundian menandakan perpecahan yang serius di kalangan masyarakat Melayu, Abdullah berkata: "Saya berpendapat tiada perpecahan yang serius. Orang Melayu juga mengundi kami (Umno).

Mengenai pendapat beliau terhadap cabaran pembangkang, Abdullah berkata, Pas kekal menjadi parti pembangkang paling kuat.

"Pas pada hari ini adalah berbeza daripada yang dahulu.

"Imej pondok kini sudah berubah. Mereka mempunyai profesional dan kelas pertengahan dalam kelompok mereka. Kami berharap menerusi orang ini, akan terdapat perubahan dalam dasar Pas terhadap Islam yang tidak lagi radikal," katanya.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata nasihat perlu diberi kepada generasi muda supaya mereka berfikiran jauh serta tidak bertindak mengikut emosi dalam berpolitik.

"Usaha itu perlu kerana pendirian politik seperti itu yang dianuti generasi muda sekarang akan memberi kesan negatif sedangkan merekalah akan mewarisi dasar dan kerajaan pada masa depan,".

Beliau mengulas faktor kecenderungan politik generasi muda sekarang yang dipengaruhi dakyah pembangkang yang bukannya membawa mesej pembangunan tetapi lebih kepada emosi, rohani dan ketaksuban.

Selain itu, parti pembangkang juga menggunakan agama sebagai senjata perjuangan dan tuntutan kononnya perlunya negara adil selepas isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Perak, Datuk Mazidah Zakaria yang menang di DUN Hulu Kinta berkata kerajaan perlu segera mencari pendekatan terbaik memastikan minda dan perspektif generasi muda tidak diseleweng dalam keghairahan mereka berpolitik.

"Generasi muda ini mudah terpengaruh kerana mereka lahir pada zaman mewah apabila semua kemudahan sudah tersedia.

"Sudah tentu mereka tidak dapat menghayati bagaimana sukarnya pemimpin masa lalu berjuang dan apakah erti keharmonian serta keamanan," katanya.


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, aliran pengundi Melayu yang memihak kepada calon parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-10, adalah satu amaran kepada Umno.

Sehubungan itu, katanya, mulai sekarang Umno perlu memperbetulkan kesilapan dan mencermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain mengenai kekalahannya, selain bekerja lebih keras dalam menentukan kejayaan parti itu dan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

"Setiap orang sepatutnya melaporkan keadaan sebenar tanpa menyorokkan maklumat kepada peringkat yang lebih tinggi. Jangan kata Datuk OK, Datuk OK. Tengok semalam, saya pun cemas dibuatnya," kata beliau.

Sambil menyifatkan kekalahan itu agak mengejutkan, Najib berkata, antara punca kekalahan itu ialah maklumat sebenar tidak sampai kepadanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kelemahan jentera pilihan raya BN berbanding parti pembangkang yang begitu agresif, sehingga kadang kala kehadiran mereka kelihatan ramai.

"Jentera pilihan raya parti pembangkang itu juga kuat jika dilihat dari segi poster manakala kenderaan juga banyak malah mereka menggunakan taktik berkempen dari rumah ke rumah yang tidak pernah digunakan sebelum ini," katanya.


Majlis Tertinggi (MT) Umno akan membuat bedah siasat terperinci mengenai kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan dan Terengganu, serta kekurangan majoriti pengundi yang begitu ketara.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, menolak dakwaan bahawa antara punca utama kekalahan dan kekurangan majoriti yang dialami BN ialah kempen keterlaluannya sepanjang pilihan raya kali ini.

"Saya tidak fikir begitu (kempen keterlaluan), ia adalah biasa bagi mana-mana pilihan raya umum.

"Kita tidak boleh mengatakan hanya BN berkempen cara beria-ia. Kalau kita tengok Pas mahupun parti lawan di bawah barisan alternatif, mereka berkempen lebih hebat.

"Kita tidak boleh kata mereka tidak mempunyai kelebihan kerana mereka hebat dengan tenaga dan orang yang baik... kalau kita tengok sepanduk mereka lebih banyak daripada BN," katanya.

Bagaimanapun, beliau setuju pembangkang terutama Pas berjaya menarik perhatian rakyat, terutama Melayu dengan mengenengahkan pelbagai isu membabitkan agama.