INFORMASI TERKINI

Pengundi hantu: BN terbabit?

Kuala Lumpur- Sebuah badan bebas pemerhati pilihan raya luar negara mendapati wujudnya pengundi hantu dalam pilihan raya umum Malaysia dan menyimpulkan pilihan raya kali ini tidaklah 'bebas dan adil'. Asian Network For Free Elections, sebuah pemantau pilihan raya berpusat di Bangkok mempunyai pemerhati di beberapa pusat pengundian 13 negeri.

"Apa yang jelas ialah terdapat usaha secara sistematik untuk menyusun pendaftaran pengundi yang akan memberi kemenangan bagi parti tertentu," kata Sunai Phasuk seorang daripada ahli pemantau tersebut.

Beliau memberitahu tindakan ini dilakukan oleh parti pemerintah, Barisan Nasional. Sunai juga berkata bahawa pendatang Filipina telah diberi kad pengenalan dengan syarat mereka mengundi Barisan Nasional. Beliau mengedar salinan kad-kad tersebut dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh badan itu. Kad-kad tersebut mempunyai gambar yang sama tetapi nama-nama dan nombor yang lain.

'Saya mendapatkannya daripada pendatang Filipina sendiri. Saya bercakap dengan mereka'.

Pemerhati-pemerhati dari Bangladesh, Kanada, Finland, Indonesia, Jepun, Negeri Thai, Nepal dan Filipina telah mengikuti pilihan raya kali ini.

Pengerusi pasukan pemantau, Jeneral Sayud Kerdphol berkata bahawa terdapat penindihan pendaftaran di banyak kawasan di seluruh negara. Sunai pula berkata di satu pusat pengundian di Sabah 'pengundi' dibawa ke tempat mengundi dengan bas BN. Bas-bas tersebut yang sarat dengan 'pengundi' dibenarkan masuk ke kawasan yang dilarang kepada kenderaan lain.

Beliau menambah, ' kredibiliti cara undi pos dikendalikan menimbulkan banyak persoalan'.

Sayud menegaskan bahawa Malaysia perlu berusaha untuk mencapai demokrasi tulen dan sistem politik yang lebih telus.

HARAKAH