BETAPA AIR LIUR MAHATHIR ITU MELELEH APABILA ..
Terengganu, sebuah negeri yang dikenali sebagai Kuwait Malaysia, pesat membangun melalui hasil royalti minyaknya sebanyak lima peratus setahun atau RM400 juta.
Kerana hasil royalti minyak itu juga pelbagai projek berasaskan minyak dan gas berkembang pesat sejak ia ditemui pada 1978 terutama di kawasan Kertih dan
Paka.
Antara bidang perusahaan itu ialah industri petrokimia, derivasif ethylene propylene, penghasilan barangan berasaskan plastik konsumer dan industri
oleokimia yang nyata memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduknya.
Dengan kemajuan pesat itu, timbul beberapa syarikat gergasi berasaskan
petroleum dan gas seperti Petronas, Esso, Polyethele dan sebagainya.
Terengganu yang suatu ketika dahulu merupakan antara negeri mundur daripada segi
perhubungan dengan 70 peratus penduduknya tinggal di kawasan pedalaman pada tahun 70-an kini menikmati kemajuan daripada segi infrastrukturnya dan jaluran jalan
rayanya antara yang terbaik di negara ini.
Selain itu, Terengganu juga mempunyai kemudahan lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Mahmud di
Seberang Takir yang upacara pecah tanah pembesarannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 26 Nov lalu manakala upacara pecah
tanah projek lebuh raya pantai timur disempurnakan oleh Wan Mokhtar tiga hari sebelumnya.
Kedua-dua projek itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun dan
mampu menjadikan Terengganu sebagai pintu masuk utama ke kawasan pantai timur selain mendekatkan perhubungan kira-kira empat jam berbanding lapan jam sebelum
ini melalui lebuh raya berkenaan.
Kesemua tujuh daerah di Terengganu juga sedang berkembang dan tahun hadapan satu lagi majlis daerahnya iaitu Kemaman
akan dinaiktaraf sebagai majlis perbandaran selepas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.
Sektor pertanian, ternakan, perikanan dan perhutanan juga
merupakan sumber ekonomi yang penting selain industri di negeri ini. Dengan keluasan negeri iaitu 1,295,512.1 hektar, separuh daripada guna tenaganya terlibat
dalam sektor berkenaan dengan menyumbang sebanyak 44.4 peratus daripada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun.
Untuk memajukan sektor
berkenaan, kerajaan melalui agensi-agensinya seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara)
membantu golongan petani, penternak dan nelayan daripada segi ekonomi mereka.
Selain itu, kerajaan negeri juga berusaha untuk mewujudkan institusi
pengajian tinggi dan kemahiran di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai lagi tenaga mahir dalam pelbagai bidang.
Dengan usaha itu, wujudlah Pusat
Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec), Institut Teknikal Tinggi Terengganu (Tati), Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC), Pusat Latihan Teknologi
Plastik Terengganu (TPTTC) dan Pusat Industri Perkayuan Terengganu (TTIC).
Kesemua pusat latihan berkenaan yang menjalankan pelbagai kursus termasuk
usahasama dengan pusat kemahiran dari luar negara mampu mengeluarkan seramai 3,000 tenaga mahir setahun.
Secara tidak langsung, ia akan mempertingkatkan
lagi tenaga mahir di kalangan penduduk dengan membantu ekonomi sesebuah keluarga yang menunjukkan peningkatan per kapita setiap isi rumah daripada RM905 pada
1990 kepada RM1,113 pada 1995.
Perkhidmatan kesihatan yang sempurna diberikan kepada rakyat membolehkan lebih ramai penduduk mendapat khidmat yang baik
selain mengurangkan kadar kematian bayi setiap tahun.
Dengan itu, jumlah penduduk Terengganu meningkat dari setahun ke setahun iaitu 404,924 penduduk
pada 1970 kepada 909,965 orang pada 1996.
Sejajar dengan gelarannya sebuah negeri Darul Iman, kerajaan juga menitikberatkan kepada perkembangan dan
kemajuan agama Islam di negeri ini dengan lebih 95 penduduknya adalah orang Melayu beragama Islam.
Pelbagai institusi pendidikan berasaskan Islam
didirikan antaranya Yayasan Islam, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Maahad Tahfiz Terengganu selain memperbanyakkan dan memperbaiki sekolah-sekolah
agama di seluruh negeri.
|