AWAS ! SAYA TERCIUM BAU MUSUH....

Jam 1.20 pagi 27 Januari 2000, saya masih belum tidur dan melayari Laman Reformasi untuk melihat berita-berita terkini. Memang ada pun beberapa beita terkini yang baru diup-datekan oleh webmasternya. Saya membaca dua tulisan yang bertajuk, “Chandra Khianat Arahan Sdr Anwar ? dengan memetik kununnya ucapan Dr Chandra, “Anwar dalam penjara, apa dia tahu ?”. Satu lagi tulisan bertajuk, “Dari Laman Komentar: Kata-Kata Hikmat” dengan tulisan yang berbunyi,  “Reformasi bergema, laungan tidak sehebat dahulu tapi pasti ia akan bangkit dengan lebih hebat. Jangan turuti mereka yang lain berpolitik demi agenda tersendiri, mereka harus diketepikan”.

Saya ingin mengingatkan webmaster Laman Reformasi yang ketiga ini (selepas Mahazalimtwo melanjutkan pelajarannya) supaya lebih berhati-hati dengan tulisan-tulisan yang dihantar dan menelitinya penuh cermat sebelum menyiarkannya untuk tatapan umum. Ini kerana tulisan-tulisan sedemikian dipercayai ditulis dan dikirim oleh “musuh” dan saya sudah tercium bau yang tidak menyenangkan kesan tulisan beracun sebegini. Tujuan mereka ialah untuk memasukkan jarum-jarum halus untuk menanamkan bibit keraguan dan sentimen kebencian di kalangan pimpinan BA dan para penyokong Reformasi melalui tulisan-tulisan di Internet. Ini kerana mereka menyedari laman-laman reformasi di internet amat berpengaruh dan satu-satunya saluran media untuk kelangsungan perjuangan ini di kalangan pendokong-pendokong Reformasi.

Saya khuatir jika tulisan-tulisan beracun yang berbisa sebegini terlepas ke tatapan umum sebegini, kesannya amat buruk kepada kelangsungan perjuangan kita. Saya harap para webmaster laman-laman Reformasi meneliti dengan cermat dan mohon petunjuk Allah s.w.t. sebelum menyiarkan sebarang tulisan yang boleh menggugat perjuangan suci ini dan diselamatkan kita dari tangan-tangan manusia munafik yang cuba untuk memasukkan jarum keraguannya ke dalam fikiran dan hati-hati kita dengan tujuan untuk melihat kita berpecah belah, bergaduh sesama sendiri dan melunturkan semangat untuk terus berjuang. AWAS !! JANGAN TERLENA DENGAN ULITAN TANGAN-TANGAN GHAIB YANG BISANYA BOLEH MEMBUNUH PERJUANGAN INI ! Kepada Allah jualah dipohon perlindungan.

Cucu Datuk Bahaman,
27 Januari 2000