KEGAGALAN DASAR KERAJAAN BN MEMBIMBING EKONOMI NEGARA

JURANG PERBEDAAN TAK MUNGKIN DIHAPUSKAN

Tidak perlu Master dalam ekonomi atau bidang yang setaraf dengannya bagi membincangkan kegagalan dasar kerajaan BN sehingga mewujudkan satu jurang yang amat besar di antara kaum di negara ini terutamanya kepada bangsa Melayu selaku peribumi.

Namun sebelum saya meneruskan penulisan ini saya minta kepada anda supaya membebaskan fikiran anda dari belenggu politik sempit dan bukakan minda anda untuk berhujah balas dengan saya seandainya anda tidak bersetuju dengan fakta dan hujah yang akan saya bentangkan nanti.

Mari kita lihat beberapa kenyataan Menteri Kabinet Mahazalim itu antara lain memberikan amaran kepada kakitangan kerajaan (terutamanya yang akan diberikan tumpuan dalam perbahasan ini) yang didapati menyokong parti bukan kerajaan dan berkemungkinan akan  menghadapi tindakan yang lebih serius dari pihak kerajaan.

Walaupun kerajaan melaung-laungkan pendapatan per kapita penduduk negara ini sudah mengalami peningkatan lebih baik dari 15 tahun lalu, ketika negara sedang dalam kemelut ekonomi dan baru memulakan aktiviti perindustrian secara agresif dan 'gila-gila', namun saya katakan tahap ekonomi sara hidup dan kemampuan orang Melayu masih di tahap 'lama'.

Umpamanya bagi sebuah keluarga bangsa Melayu di mana ketua keluarganya diistilah dalam golongan sederhana masyarakat Malaysia berjawatan Ketua Kerani, berusia 50 tahun mempunyai pendapatan tetap sekitar RM1,500 sebulan masih tidak mampu memiliki sebuah kenderaan melainkan dengan pinjaman yang dikenakan faedah 4 peratus dari pihak Kerajaan. (Kezaliman pertama yang berlaku iaitu faedah 4 peratus kepada kakitangan awam).

Keluarga A, terdiri dari bapa, ibu serta 4 orang anak yang berumur 17 tahun (sedang menghadapi SPM), 15 tahun (sedang menghadapi PMR), 11 tahun (sedang menghadapi UPSR) dan berusia 6 tahun (masih di TADIKA). Ibu seorang suri rumah yang sepenuh masa menjalankan tugas sebagai suri rumahtangga dan membebaskan keluarga A dari gangguan sosial pembantu rumah serta kesempurnaan layanan ibu kepada anak dan isteri kepada suami.

Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan majoriti pendidikan yang diterima oleh kaum Melayu marilah kita mengandaikan keluarga A sebagai keluarga yang tidak menerima pusaka nenek moyang berjuta ringgit atau khazanah lain-lain yang luar biasa, melainkan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Saya tidak akan menghitung bebanan bulanan yang akan ditanggung oleh keluarga A yang kita andaikan menetap disebuah bandaraya yang bukan utama seperti Kuala Lumpur atau Johor Baharu , tetapi kita andaikan beliau tinggal di rumah yang dibeli dengan pinjaman kerajaan yang juga dikenakan faedah 4 peratus selama tempoh bayaran balik 25 tahun lamanya (Kezaliman kedua kerana masih mengenakan faedah 4 peratus atas pinjaman perumahan).

Oleh kerana tinggal di dalam satu sekim perumahan rumah teres untuk sampai cepat ke tempat kerja dan mengurangkan kos minyak kereta (kita andaikan Perodua kancil kerana nilai pinjaman kepada A hanya RM24,000 sahaja - kezaliman ketiga dasar kerajaan BN) maka A tidak terlepas dari membayar cukai tanah bernilai RM60 setahun (kezaliman keempat) dan cukai pintu sekitar RM250 setahun (kezaliman kelima). Mujurlah di pinggir bandaraya Ipoh tidak ada lebuhraya yang besar dan kutipan tol berganda (kezaliman keenam bagi penduduk bandar utama negara ini).

Bayaran wajib yang lain mesti ditanggung oleh keluarga A ialah bil IWK (kezaliman ke 7) yang merupakan ikatan yang diwajibkan akibat dasar penswastaan Mahathir, selain bil air, telefon dan elektrik yang sentiasa mengancam akan menaikkan taraf 'cas' penggunaan (kezaliman ke 8) sebaik sahaja pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam April depan atau setiap kali pengumumannya oleh kerajaan.

Isteri A, Puan A juga berhadapan dengan kezaliman akibat harga barangan dipasaran yang tidak dapat dikawal langung. Ini nyata kegagalan dasar kerajaan (kezaliman ke 9) walaupun jawatan Menteri Ayam dan Itik ada sekian lama tetapi bukan untuk membela rakyat, tetapi untuk membela penjual.  Justeru itu apabila harga barangan cuba diturunkan, penurunan harga itu biasanya akan melibatkan penurunan kualiti dan amat malang jika keluarga A membeli kualiti barang pemakanan yang rendah (kezaliman ke 10) tentu akan mendedahkan mereka kepada kepincangan kesihatan.

Mujurlah sebagai kakitangan awam, jika sakit biasa dan demam atau lain-lain rawatan perubatan yang biasa ianya masih disediakan secara percuma dengan membawa surat pengesahan daripada majikan. Namun bagi yang bukan kakitangan awam tentu akan dibayar dengan jumlah yang bukan sedikit (kezaliman ke 11) untuk membiayai rawatan perubatan keluarga.

Di sekolah, anak-anak A lain pula ceritanya. Setiap tahun perlu membeli peralatan sekolah yang baru seperti buku ulangkaji, buku latihan, yuran persekolahan, yuran itu, yuran ini, bayaran peperiksaan jika menghadapi peperiksaan utama dan lain-lainnya. Harga buku pula almaklum kerana A berpendapatan RM1,500 dan tidak melayakkan beliau menerima sekim pinjaman buku-buku teks -  (kezaliman ke 12) apakah sistem ini masih wujud lagi.

Di pejabat A juga berhadapan dengan masyarakat dan rakan-rakan. Kerapkali kunjungan peminta sedekah dan orang yang tidak sempurna maka seringgit dua perlu dihulurkan sebagai tanda ehsan antara sesama manusia. Dimanakah pembelaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (yang kini tidak kemas dan asyik berkempen untuk BN) terhadap golongan kurang upaya (kezaliman ke 13) ini?

Di luar pejabat A seorang yang sosial dan menjaga kesihatan. Beliau berkongsi dengan rakan-rakan menyewa (kezaliman ke 14) dewan tertutup seminggu dua kali kepunyaan Majlis Bandaraya Ipoh untuk memelihara tahap kesihatannya agar sentiasa cergas dan riang.

Di hujung minggu sekali-sekali anak-anak A mendesak beliau makan di luar untuk merehatkan minda mereka dari ketegangan menghadapi pelajaran semata. Harga makanan di luar sungguh menakjubkan (kezaliman ke 15) kerana nasi goreng ayam sudah mencapai RM3 sepinggan dan teh ais RM1. Sekali makan di luar A pasti berbelanja lebih kerana RM20 yang dikeluarkan boleh membiayai 3 atau 4 hari belanja ikan dan sayur secara berdikit-dikit.

Para peniaga terpaksa menaikkan harga nasi lemak dari RM1.20 sepinggan kepada RM2.50 akibat sewa gedung perniagaan yang mahal (kezaliman ke 16) dan larangan menjaja nasi lemak di sekitar bandaraya agar sentiasa cantik dipandang.

Semua tempat kereta diletakkan tiang tolnya dan jika terlewat sedikit kertas saman akan dilekatkan di kereta dan bayaran RM20 perlu dilunaskan (kezaliman ke 17) di MBI dalam tempoh 14 hari. Pada hari Jumaat diberi sedikit kelonggaran untuk meletakkan kereta di mana-mana sahaja supaya senang A dan kaum muslimin mengerjakan solat Jumaat. 

Memandangkan A boleh menerima pinjaman sekali selepas 5 tahun, dan kereta yang dipakai selalu rosak walaupun baru berusia 6 tahun, A cuba menjualkan keretanya di suatu hari hari Sabtu cuti umum di minggu pertama atau minggu ketiga (kezaliman ke 18) kerana Perak menerima cuti 2 kali sebulan berbanding bekerja 5 hari seminggu di Kelantan dan Terengganu.

Harga kereta Perodua Kancil yang dibeli awal 1994 ketika itu bernilai RM24,000 apabila hendak dijual semula secara jual beli hanya laku pada harga RM12,000 sahaja. Susut nilai 50% disebabkan hampir semua peniaga kenderaan terpakai dimonopoli oleh kaum Cina yang memaksa mereka menjadi lintah darat dan memeras pengguna kenderaan. Kejayaan monopoli kaum Cina ini nyata akibat dasar kerajaan BN yang 'menyusukan kera di hutan'. (kezaliman ke 19) Perkara ini jelas sekali jika hendak dibicarakan dengan panjang lanjut sehingga penguasaan ekonomi begitu ketara di tangan mereka.

Mahu tidak mahu kereta terpaksa ditukar kerana keluarga semakin membesar dan kereta yang kecil tidakkan mampu menanggung beban yang begitu memberat. Segala 'red tape' dalam proses jualbeli kereta tidak mahu saya bincangkan di sini.

Pada hujung minggu keluarga A baliklah ke kampong di Padang Rengas. Jalan lama akan mengambil masa  kira-kira 1 jam. Di sepanjang jalan ke Kuala Kangsar dari Ipoh jalan berlopak di sana sini walaupun jalannya semakin membesar. Sesekali tayar kereta jatuh ke lubang atau terlanggar bonggol penutup lubang talian telekomunikasi yang ditanam ditengah-tengah jalan. Walau pun cukai jalan dibayar dengan sempurna, tetapi keadaan jalan amat tidak sempurna (kezaliman ke 20) sekali. Akibatnya kereta akan cepat sampai tempoh hayat atau memerlukan penyelenggaraan yang lebih.

Balik ikut jalan lama adalah lebih jimat berbanding dengan lebuhraya yang akan dikenakan tol berjumlah RM2.70 (kezaliman ke 21) bagi perjalanan sependek 15 minit dari tol Jelapang ke tol Kuala Kangsar.

Di kampong pula lain ceritanya. Hasil tanah kian meningkat walau pun tidak produktif. Surat amaran dari Pejabat Tanah Kuala Kangsar telah diterima mengatakan hasil tanah selama 5 tahun setahun RM60.00 tidak dijelaskan. Bayaran denda lewat berjumlah RM47.00 dikenakan sebagai hukuman dan tambahan cukai RM300 bagi kelewatan bayaran dari tarikh sepatutnya iaitu dari 1 Januari hingga 31 Mei setiap tahun. (kezaliman ke 22) Jika di Terengganu kesemua cukai tertunggak ini dihapuskan sama sekali.

Dalam tahun 70'an di kampong A terdapat sawah yang luas membentang. Akibat pengorekan sistem pengairan yang moden, kesemua sawah ini akhirnya kering kontang. Tak tahulah di mana silapnya hinggakan air taliair yang sentiasa melimpah itu menjadi kering kontang. Ini akibat kerjaa yang tidak sistemastik dan kurang sempurna perencanaannya. (kezaliman ke  23)

Implikasi keadaan ini pendapatan para petani menjadi kurang kerana mereka terpaksa mengalih tumpuan kerja sawah kepada beberapa pokok getah yang hidup subur di belakang rumah. Namun biarpun hanya pengumpulan sekerap getah dahulu boleh menampung perbelanjaan di dapur. Akibat harga getah yang turun mendadak (kezaliman ke 24) sebagaimana hujan turun, maka perbelanjaan kopi dan tembakau pun selalu tidak kecukupan.

Mujurlah adik A yang bongsu bekerja di kilang di Taiping. Masa perjalanan ulang alik dari Padang Rengas ke Kawasan Perusahaan Kamunting mengambil kira-kira 1 jam lebih. Jam 5 pagi adik A sudah keluar rumah menunggu van kilang di tepi jalan besar. Gaji sekitar RM13 - RM16 sehari (kezaliman ke 25) adalah buruan mereka selain menganggur di rumah tanpa apa-apa kerja. Mujurlah pengangkutan dikira percuma kerana keprihatinan majikannya terhadap para pekerja.

Pernah adik A bekerja dengan kontraktor kaum lain. Gaji yang dibayar walaupun lebih iaitu RM30 sehari adalah tidak setimpal dengan kemahiran yang ada berbanding dengan kaum sejenis kontraktor itu yang di bayar RM80 (kezaliman ke 26). Justeru kerana sakit hati dan bebanan kerja maka  adik A berhenti sahaja.

Kini risiko berulang alik ke kilang di Kamunting adalah menanggung risiko di jalanan yang memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Melainkan atas sikap hati-hati kita, insyaAllah kita terselamat dari kecelakaan jalanraya yang kini menyediakan satu cara pembunuhan kejam ke atas rakyat Malaysia.

Begitulah secebis kehidupan rakyat marhain keluarga A yang merupakan satu dari berjuta rakyat Malaysia yang menjalani kehidupan dalam suasana kezaliman dan penindasan dasar kerajaan BN. Maka dengan kezaliman yang bertimpa-timpa ini memanglah menginsafkan rakyat untuk mencari perlindungan dari sebuah kerajaan yang prihatin terhadap masalah mereka sehari-jari.

Walaupun kerajaan tidak menzalimi secara langsung namun atas dasar dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin atasan seringkali tidak membela rakyat marhain dan setiap waktu semakin dihimpit derita.

Tidak guna kita bercakap fasal ekonomi global dunia multimedia super koridor, sedangkan majoriti rakyat marhain masih ditakuk lama dan dikesempitan hidup yang kian memberat. Cubalah jika seorang wakil rakyat mempunyai elaun sekitar gaji A dalam ringkasan riwayat hidup di atas, maka apakah mereka mampu memiliki Mercedes Benz E280 atau Perdana Limousene.

Litar F1 Sepang juga tidak menjanjikan kehiidupan yang lumayan kepada rakyat marhain. Menara kembar tertinggi itu hanya dilihat sesekali di kaca TV atau di akhbar. Persidangan ekonomi atau simposium dengan agenda panjang lebar juga tiada erti jika rakyat marhain kais pagi makan petang, kais petang makan esok pagi.

Jurang perbedaan kehidupan antara kaum di Malaysia terus membesar dan meluas akibat dasar yang dilakukan oleh kerajaan BN. Persoalannya, apakah salah rakyat marhain yang merupakan majoriti rakyat negara ini mencari perlindungan dan memohon belas ikhsan kepada kerajaan selain BN yang mampu mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan agar segala gasar yang menekan, menindas dan menzalimi itu dibuang dan dihapuskan.

Justeru itu benarlah kenyataan para pimpinan BN hari ini bahawa kakitangan kerajan golongan bawahan majoriti menyokong parti bukan kerajaan kerana selaku pelaksana dasar mereka sedar dasar yang menzalimi tidak boleh disokong dan didokong. Justeru hanya kerana terpaksa mereka masih melakukannya tanpa kerelaan!!!

Polong Cyber
(Satu kajian yang mudah)