INFO RAKYAT |
Kenapa Kita Kalah
Salam warga siber, Tiada siapa boleh pertikaikan kenyataan ini. Bagaimana pun, secara semulajadinya kita sebagai manusia pasti juga akan terfikir apakah kita hanya menerima keputusan pilihanraya ke10 baru-baru ini tanpa memikirkan sesuatu bagi memperbaiki cara perubahan atau 'reformasi' boleh dilakukan di negara ini? Sedangkan kita disuruh berusaha mengubah nasib sendiri dan tidak hanya menerima dan mengharapkan perubahan datang menyembah. Apakah sudah memadai usaha kita dengan menyertai pilihanraya 5 tahun sekali tanpa sedikit pun merasa curiga akan peluang kemenangan melalui cara itu?. Apakah kita tiada hak untuk memikirkan cara memperbaiki mutu pilihanraya itu sendiri sebagai usaha kita mencerminkan kesungguhan untuk perubahan? Kita juga tidak boleh terlalu yaqin akan menang dalam pilihanraya kesebelas akan datang dek kerana kita sudah pun menang 45 kerusi sekarang atau kerana kita menang di dua buah negeri. Peristiwa di tahun-tahun 1969 dan 1986 dan apa yang berlaku selepas daripada itu menjadi bukti perkara ini. Tetapi apakah kemenangan yang sebenar-benarnya kita burui ataukah penghayatan kepada tujuan perjuangan itu yang lebih penting? Penyertaan PAS di dalam pilihanraya telah berlanjutan hampir setengah abad semenjak memperolehi kemerdekaan daripada British tahun 1957. Tetapi sehingga kini PAS masih gagal memenangi sebarang pilihanraya secara keseluruhannya. PAS hanya berjaya menawan beberapa buah negeri di tahun-tahun tertentu sahaja. Dalam sejarah pilihanraya di negara ini, keputusan tahun 1999 merupakan yang paling cemerlang berjaya dicatat oleh PAS sepanjang penyertaannya. Apakah selama-lamanya PAS akan menjadi pembangkang? Sememangnya tujuan menyertai perlawanan adalah untuk menang. Kenapa PAS tidak pernah menang malah prestasinya tidak banyak berubah adalah kerana dasar perjuangan PAS telah menentukan sedemikian rupa selain daripada kelicikan parti pemerintah memainkan isu mempengaruhi rakyat. Secara amnya, dasar perjuangan PAS adalah untuk menjadikan Islam sebagai ad-Deen, tidak seperti perjuangan parti-parti politik lain yang kebanyakan pemimpinnya berhabis-habisan untuk menang pilihanraya semata-mata untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. PAS sebenarnya berjuang menegakkan Islam di Malaysia melalui kesemua saluran yang ada. Politik merupakan salah satu wadah daripada saluran-saluran ini. Perjuangan PAS bukanlah semata-mata untuk menang dan menjadi pemerintah tetapi sebenarnya untuk mempastikan Islam dihayati dan dijadikan cara hidup. Sebab itulah juga kita pernah mendengar Mursyidul Am sanggup membubarkan PAS sekiranya ada pihak yang sanggup melaksanakan dasar-dasar Islam di Malaysia. Ini mungkin boleh menjawab persoalan sesetengah pihak kenapa PAS kelihatan seperti tidak bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihanraya. Berkemungkinan besar punca kekalahan PAS dan Barisan Alternatif di dalam pilihanraya lepas adalah kerana kurangnya pemahaman akan tujuan perjuangan yang sebenarnya. Kebanyakkannya masih didorong oleh perasaan marah lalu bangkit menentang ketidakadilan yang dilakukan oleh pemerintah. Benar, ketidakadilan dan kezaliman perlu dibenteras, tetapi itu sebenarnya bukan isu pokok yang harus ditentang habis-habisan. Yang lebih penting dan mesti dibetulkan adalah punca kerenah ini boleh berlaku. Apa guna kita tentang penyelewengan bermatian-matian lalu apabila kita menang kita pula atau orang-orang kita pula melatah melakukan penyelewengan yang sama dan lupa perjuangan asal. Ini boleh berlaku sekiranya jiwa kita tidak memahami erti perjuangan sebenarnya. Memenangai pilihanraya dan kuasa pemerintahan bukanlah segala-galanya dalam Islam. Amal maaruf nahi mungkar perlu dijaga oleh setiap individu. Mungkin inilah diantara sebabnya Allah menangguhkan kemenangan kepada PAS dan Barisan Alternatif. Oleh itu, pemahaman kepada tujuan asal perjuangan amat penting kepada setiap pejuang. Ianya perlu difahami dan dihayati sekiranya inginkan bantuan Allah dalam mencapai kemenangan dalam mana-mana perjuangan sekali pun. Islam adalah ad-Deen yang diturunkan Allah untuk menjadi panduan kepada seluruh manusia dalam menjalani kehidupan sebelum kembali menemuiNya. Ad-Deen adalah suatu cara hidup yang cukup sempurna dan cantik merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Ia menekankan kepentingan penghayatan Islam dalam setiap diri insan bagi mencapai keredhaan Allah yang hakiki. Oleh itu, tugas utama kita sebagai hambaNya adalah untuk memahami dan menghayati erti ad-Deen, dan kemudiannya menyebarkannya kepada seluruh umat manusia dimana sahaja kita berada. Bukan setakat berkempen untuk memenangi pilihanraya sahaja. Diri kita perlu dihiasi dengan cara hidup Islam sehinggakan apa sahaja yang kita lakukan akan menggambarkan kita sebagai pelakunya adalah seorang Islam yang sejati. Barulah kita dapat memahami dan menghayatai erti ad-Deen dengan ertikata yang sebenarnya. Seterusnya apabila diri kita sudah sebati dengan cara hidup Islam ini maka dengan sendirinya kita akan dicontohi oleh umat yang lain terutama dari kalangan mereka yang dahagakan perubahan dan ingin sekali melakukan tajdid (perubahan) dalam kehidupan mereka. Dengan ini juga usaha kita untuk mengajak golongan yang berada di atas pagar untuk turun berjuang bersama-sama kita akan menjadi lebih mudah. Apabila jiwa sudah dibersihkan dengan Nur Islam maka sudah pasti kita semua akan lebih memahami erti perjuangan yang sebenarnya. Dengan pemahaman yang jelas sahaja kita akan dapat berjuang dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Mungkin diketika itulah Allah akan memberikan kemenangan kepada kita, InsyaAllah. Sekiranya kemenangan memihak kepada kita diketika itu, maka percayalah kita akan dapat mengekalkan kemenangan ini dengan izin Allah berbeza dengan kemenangan yang tidak diiringi dengan pemahaman akan erti perjuangan yang sebenarnya. Abu Ayadi |