LEBIH BANYAK MUNGKAR AKAN UNDANG LEBIH BANYAK BALA siri 2

Menyembunyikan Kebenaran

Perbuatan ulama yang tidak berani menentang kefasikan pemimpin serta kejahilan mereka serta menjadi pak turut juga akan mengundang bala Allah. Jika sesuatu perkara itu haram hukumnya di sisi Allah, maka para ulama tidak berani mengatakan haram dan begitulah sebaliknya. Ini adalah sebagai satu contoh perbuatan menyembunyikan kebenaran kepada rakyat jelata untuk menegakan kebenaran pemerintah.

Contoh sambutan tahun baru yang dibuat oleh Salem di ibu kota malam 1 Januari lalu juga adalah contoh ulama yang menyembunyikan kebenaran kerana hukum kepada pesta minum arak dan maksiat itu jelas 'haram' dan bertentangan dengan syariat Allah. Tiada seorang, hatta Haman atau Astora Jabat berani mengkritik kerajaan yang meluluskan permit pesta muzik dan arak itu hingga mendorong muda-mudi hanyut dalam arus kebinasaan budaya dan penuh perzinaan. Maka dengan penyembunyian sebegini bala Allah yang datang tanpa henti sehingga manusia sekelian bertaubat.

Allah berfirman dalam ayat 174 & 175 surah AlBaqorah bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah, iaitu AlKitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak mensucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih".

"Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan siksa dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka!"

Orang yang menyembunyikan kebenaran itu disifatkan sebagai mendustakan kebenaran yang ada dan perbuatan itu amat dicela Allah.

Allah menegaskan dalam ayat 5 surah Al An'aam bermaksud:

"Sesungguhnya mereka mendustakan yang hak (AlQuran) tatkala sampai kepada mereka (kenyataan dari) berita-berita yang selalu mereka memperolok-olokkan".

Allah menambah dalam ayat seterusnya (ayat 6):

"Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyakkah generasi-generasi yang Kami musnahkan sebelum mereka, (padahal) generasi itu telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa-dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain"

Amat jelas kepada kita bagaimana Allah hancurkan sesuatu kaum dan generasi yang mendurhakaiNya dan menggantikan dengan generasi baru untuk dicoba dan diuji keimanannya dan ketaatannya kepada Allah.

Menegah Orang Lain Mentaati Allah

Kerap kita lihat yang berlaku di kalangan masyarakat Islam hari ini ialah perbuatan segelintir manusia (terutama yang ada kuasa) mengikut undang-undang negara yang menghalang manusia lain untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. Misalnya mereka mengugut dengan undang-undang yang mengancam keselamatan dan nyawa seperti ISA (Internal Security ACT). Ini adalah satu contoh halangan yang menyebabkan manusia yang taat kepada Allah takut untuk menerangkan kebenaran kerana seringkali diancam dan diugut akan disiksa  di bawah Undang-undang Neraka Manusia itu.

Perbuatan menghalang itu sama mereka mencabar Allah dan mereka yang mempunyai kuasa itu berusaha supaya menghalang rakyat lain yang perlukan sesuatu maklumat kebenaran itu dari menerima informasi dari para pendakwah dan pejuang agama atau ulama yang ada keberanian untuk bercakap tentang hukum Allah. Yakni mereka menghalang supaya AlQuran itu dikupas dan diterjemah dengan sebenar untuk pengetahuan rakyat jelata.

Allah berfirman dalam ayat 26 surah AlAn'aam bermaksud:

"Mereka melarang (orang lain) mendengarkan AlQuran dan mereka sendiri menjauhkan diri  daripadanya, dan mereka hanyalah membinasakan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedari".

Alangkah malangnya manusia itu akan Allah binasakan secara tanpa mereka sedari. Bagaimana caranya terpulang kepada cara yang Allah kehendaki tetapi yang pasti mereka akan Allah binasakan.

Amaran Allah tercatat dalam ayat 44 dan 45 surah AlAn'aam bermaksud:

"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami membukakan semua pintu kesenangan kepada mereka, sehingga apabila mereka telah gembira dengan apa yang diberikan kepada mereka (itu), Kami siksa mereka dengan bala bencana, maka ketika itu mereka berdiam dan berputus asa.

Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar umbi. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam".

Demikianlah antara amaran Allah terhadap manusia yang menghalang kebenaran dari menerima petunjuk AlQuran, apatah lagi mahu melaksanakan Al-Quran. Jelas sekali halangan itu dengan mengatakan bahawa AlQuran itu tidak sesuai lagi diterimapakai di alaf baru dan begitu kuno undang-undangnya.

Jaminan Allah

Allah memberikan jaminan bahawa akan melindungi hambanya yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan menegakkan syariatnya secara bersungguh-sungguh. Justeru itu amat bertuah kepada rakyat di sesebuah negara yang mahu menegakkan syariat Allah dalam semua bidang, politik, ekonomi dan sosialnya.

Jaminan Allah itu berupa perlindungan dan dijauhkan dari malapetaka. Allah berfirman bermaksud:

"Dan Tuhanmu, sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan". - 117 Hud

Dan kesatuan (perpaduan) umat manusia pula adalah jaminan Allah atas kebaikan rakyat sesebuah negara itu, bukanlah semata dasar dan perlaksanaan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan, melainkan ia adalah rahmat atas kebaikan yang dilakukan.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu (bersatu padu - perpaduan), tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat" - 118 Hud

Demikianlah kekuasaan Allah sehingga kepada perpaduan juga tidak dapat kita manusia sengaja mahu membentuknya dengan apa jua dasar yang kita lakukan dan perkenalkan sebagaimana yang seringkali dicanangkan melalui media perdana. Jika Allah tidak menghendakinya maka tidak akan berlaku perpaduan. Ini adalah pegangan orang yang beriman.

Peringatan Bagi Orang Beriman

Kepada orang yang beriman apa jua yang Allah kurniakan adalah peringatan dan panduan kepada kehidupannya. Namun kepada manusia sekular, tidak pernah mengaitkan peristiwa sepanjang kehidupannya dengan peringatan Allah.

Kadangkala manusia itu dikurniakan kesenangan, maka lupa juga dia menghitung nikmat Allah itu adalah ujian bagi dirinya. Begitu pula sebaliknya bala dan kesusahan yang dialami tidak pernah mereka kaitkan dengan peringatan Allah terhadap dosa dan perbuatan mereka yang bercanggah dengan kehendak Allah.

Orang sekular tidak akan menerima hakikat bala itu turun kerana perbuatan maksiat dan dosa yang berlaku di kalangan masyarakat Islam. Mereka akan mengatakan bahawa banjir lumpur adalah atas kecuaian kita menjaga alam sekitar. Itu benar pada hakikat fizikal, sedangkan di sisi Allah itu dianggap 'penyebab' atau peristiwa yang mencetuskan.

Di kalangan orang sekular juga peristiwa yang lalu bukan ukuran dan peringatan Allah untuk menusia alaf baru. Kehidupan secara adalah moden dan terpisah dari ajaran AlQuran yang dianggap kuno dan ketinggalan.

Allah berfirman bermaksud:

"Dan semua kisah-kisah rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah denganmnya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini (Al Quran) telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman" -  Hud:120

Demikianlah penjelasan Allah berhubung dengan peringatan dan kaitannya apa yang berlaku dalam kehidupan manusia. Amat jelas hanya orang yang beriman menerima hakikat bahawa segala bala dan bencana yang Allah turunkan merupakan satu amaran dan peringatan Allah tentang perbuatan durhaka manusia melalui berbagai cara; samada menolak hukum Allah, mengatakan ia sudah tidak sesuai, mengatakan hukum Allah hanya untuk orang Islam dan negara kita berbilang bangsa dan ugama (majmuk), menganjurkan maksiat, menghalang manusia yang mencari keredhaan Allah dan lain-lain.

Semoga kita senantisa menerima petunjuk Ilahi iaitu dengan selalu memohon kepadaNya agar diberikan hidayah selepas setiap kali solat. Menerima Islam dan menerima hidayah Allah adalah dua perkara yang berbeda. Rujuklah kepada ulama dan guru agama yang muktabar, bukan Astora Jabat atau Hamid Othman.

Wahai umat manusia!.

Saya menyeru kepada anda dan diri sendiri, marilah kita bersama-sama menyertai perjuangan ini iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi Malaysia dan membenteras kemungkaran agar bangsa kita terhindar dari malapetaka yang berpanjangan. Kita hindari daripada terhapusnya bangsa Melayu dari kamus sejarah manusia di muka bumi. Jangan percaya ada golongan yang mampu memartabatkan bangsa, apa lagi memperjuangkan nasib bangsanya melainkan ajakan itu menjunjung tinggi perintah Allah dan meng'esa'kanNya.

Percayalah bahawa janji Allah adalah benar. Jaminan Allah adalah pasti. Hanya satu cara (the only way) untuk menyelamatkan bangsa kita adalah dengan saranan di atas bukan sebagaimana yang digembar gemburkan oleh media perdana kerajaan BN hari ini.

Polong Cyber