Perutusan Hapak Seorang................. Bahagian 3:
Globalisasi Pengancam Siapa?
Sudah hampir dua tahun MAHAFIRAUN memberi ingatan kepada rakyatnya betapa
"besarnya bahaya jahat agen asing yang mahu menjajah negara ini." Inilah
satu agenda yang diulang-nya sejak DSAI dipenjarakan. Tema agen asing itu sentiasa
bermain di bibirnya sehinggakan sebahagian rakyat masih tertanya-tanya siapakah
sebenar agen asing itu?
Tekateki itu terjawab sudah dalam perutusannya itu bilamana beliau berkata: ...
"Kita mungkin berfikir bahawa Malaysia tetap akan merdeka selama-lamanya dan
orang Melayu tetap akan berkuasa dan negara tetap akan kaya raya. Kita mungkin
percaya bahawa kita akan memasukki abad dan alaf baru dengan keadaan negara kita
yang tidak berubah, dengan kita terus merdeka dan berdaulat. Tetapi, bekas penjajah
sudah merancang untuk menjajah negara kita. Cara ini diperkenal sebagai globalisasi
dan dunia tanpa sempadan."........ Saya masih bingung dengan perutusan seperti
ini kerana kenyataan yang menggambarkan betapa pessimisnya seorang pemimpin yang
sekian lama dianggap sebagai wira dunia ketiga.
Sebagai perbandingan cuba kita teliti apa pula kata Perdana Menteri Singapura dalam
perutusannya: ..."Negara boleh menjadi ekonomi bersaing secara global dalam
masa 10 tahun dan untuk mencapainya Singapura perlu memanfaatkan globalisasi; dan
Singapura perlu mengenal pasti bakat baru dan membina kepimpinan generasi ketiga,
kerana kepimpinan adalah faktor penting untuk kejayaan negara. Kita harus menyahut
perubahan, menggelongsor gelombang ekonomi baru, membuat innovasi dan menjana
kekayaan baru. Melakukan perkara yang sama dengan lebih baik tidak lagi akan
mencukupi" Demikianlah perutusan seorang perdana menteri yang tidak pun diberi
gelaran wira dunia ketiga. Inilah ucapan yang menaikkan semangat rakyat kerana
rakyat diberikan satu panduan yang jelas untuk dicapai, tidak kira berapa umur
rakyat ketika itu. Tidak ada pun satu perkataan di mana pemimpin Singapura itu
menakut-nakutkan rakyatnya akan ancaman globalisasi. Malahan dia yakin rakyat
Singapura mampun melayari gelombang cabaran fenomena yang pasti akan datang.
Bila Pemimpin dihantui bayang-bayangnya
Kenapakah berbeza amat persepsi seorang pemimpin yang berpengalaman seperti
MAHAFIRAUN? Kenapa dia takut dengan globalisasi. Baginya globalisasi yang
ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan akan menggondolkan segala harta benda yang
ada pada rakyat Malaysia kerana orang luar mampu membawa masuk modal yang lebih
besar lagi. Ataupun dia takut harta anak cucunya yang tergondol?
Beliau berhujah demikian: ...." Interpretasi globalisasi oleh mereka
ialah kebebasan modal melintasi sempadan dan mengatasi sebarang sekatan terhadap
penguasaan modal ke atas ekonomi mana-mana negara. Kononnya dengan kebebasan modal
maka kemiskinan boleh dihapuskan di seluruh dunia. Mereka hendaklah bebas
membeli semua bank dan perniagaan-perniagaan milik negara kaya sahaja. Semua
eksekutif dan pekerja akan bekerja untuk mereka jika khidmat mereka masih
diperlukan. Yang lain akan digugur supaya pembaziran dihapus demi efficiency.
Sebagai contoh kereta nasional kita akan diganti dengan kereta jenama antarabangsa
dan kita akan mengeluarkan komponen kereta berjenama dan mungkin memasang
kereta-kereta ini."
Demikianlah bebelan MAHAFIRAUN dalam perutusan itu. Apakah tujuan sebenar dia
takutkan globalisasi itu sedangkan ramai pemimpin negara asing yang sanggup
menghadapinya. Kenapakah dia tiba-tiba mahu mempertahankan projek kereta nasional
sedangkan dia tidak pernah menahan kemasukan kereta luar melalui pengeluaran AP yang
berleluasa? Rakyat tentu mahu tahu kenapakah MAHAFIRAUN yang sudah hampir di ambang
senja karier politiknya masih sangsi dan takut sangat dengan globalisasi
itu? Siapakah yang dipertahankannya?
Sebagai lazimnya MAHAFIRAUN telah menuduh penyangak matawang sebagai bajingan yang
paling merbahaya. Kata beliau:
........."Hakikatnya penyangak matawang dan pelabur jangka pendek telah sengaja
menjatuhkan nilai wang dan saham untuk mendapat keuntungan besar. Mereka memusnahkan
ratusan billion dollar keuntungan bagi pemodal mereka. Berjuta pekerja hilang
pencarian, sementara rusuhan dan pembunuhan berlaku. Kerajaan jatuh dan negara
hilang kestabilan politik, ekonomi dan sosial.
"Inilah hasil sebenar globalisasi, dunia tanpa sempadan dan kebebasan gerakan
modal yang dapat kita lihat. Apabila mereka sudah beli semua bank dengan harga
yang murah, maka mereka akan pulihkan semula ekonomi. Tetapi rakyat negara
yang diserang sudah tidak lagi memiliki apa-apa. Bukan sahaja ekonomi akan terlepas
ke tangan penjajah Barat tetapi politik juga akan dikuasai oleh mereka. Kebebasan
dan kedaulatan sudah pun hilang. Inilah pengalaman daripada peristiwa kegawatan yang
dialami baru-baru ini.
"Segala-gala ini bukan ramalan, bukan khayalan. Segala-gala ini sudah pun
berlaku. bahawa ia tidak berlaku di negara ini bukanlah kerana penjajah moden tidak
mencuba. Mereka cuba dan mereka hampir berjaya. Tetapi Alhamdullilah kita dapat
menangkis percubaan ini dan kita dapat memulihkan negara kita. Namun kita belum
selesai. Percubaan sedang dibuat lagi. Jika tidak kerana rusuhan menentang WTO di
Seattle mungkin sebahagian lagi daripada sempadan kita akan dapat diruntuhkan.
Tetapi mereka akan mencuba lagi."
Kita pernah menulis tentang apa yang ditakutkan oleh MAHAFIRAUN ini. Kalau diteliti
ucapannya itu kita boleh kesan bahawa itulah ucapan untuk 'masuk bakul dan angkat
diri sendiri'. Sebenarnya dalam penulisan kami bertajuk 'Era Putar Alam
yang Menakjubkan' dan 'Apabila Rakyat Menjadi Bingung' ada kita bayangkan secara
terperinci jua faktor-faktor yang memungkin Malaysia menjadi gelanggang mesra bagi
proses globalisasi.
Kenapa Mesti Takut Kepada Globalisasi
Keraguan MAHAFIRAUN terhadap globalisasi adalah satu tandatanya yang besar bagi
kita. Apakah Globalisasi itu satu raksaksa yang menyerupai hantu yang tidak dapat
dikesan akan kedatangannya? Apakah Malaysia ini sebuah negara 'anak ayam' yang mudah
menjadi pilihan tekanan globalisasi itu sehinggakan 'anak ayam' itu akan terus
mejadi bahan ratahan; menjadi ayam golek ataupun direbus lama untuk dijadikan pati
ayam?
Pemimpin negara lain tidak pun takut dengan kedatangan globalisasi itu.
Kenapakah kita tidak mengambil langkah yang sama untuk menangani globalisasi itu
supaya rakyat negara ini turut bersedia seperti rakyat Singapura? Apakah muslihat
sebenar makanya MAHAFIRAUN terlalu sensitif dengan kemunculan globalisasi? Kita
boleh menjangkakan bahawa beliau sememangnya mempunyai phobia terhadap tentangan
ataupun persaingan seperti yang dipertontonkannya dalam usaha mengekalkan jawatan
Presiden UMNO. Mungkinkah ini satu trauma yang berputik sejak beliau kalah di
pilihanraya Kota Star pada tahun 1969 dulu?
Kita lebih cenderung menelah bahawa MAHAFIRAUN sememangnya mempunyai
trauma ini yang tidak diubatinya. Kerana itu dia kerap merancanakan sesuatu yang
drastik untuk menyingkirkan beberapa Timbalan Perdana menteri sejak 18 tahun yang
lalu. Oleh kerana ia melihat ancaman yang amat besar daripada DSAI, makanya dia
telah mengambil satu tindakan proaktif untuk menamatkan karier pejuang bangsa itu.
Tindakan ini tentunya tidak dapat diterima oleh rakyat jelata kerana MAHAFIRAUN
orangnya yang membimbing DSAI masuk ke dalam kabinetnya.
Kenapa Tidak menjadi Bangsa Yang Mesra Globalisasi?
Kalau kita lihat akan ciri-ciri globalisasi itu kita akan dapati rakyat Malaysia
merupakan manusia yang sepatutnya mudah menerima konsep globalisasi. Kalau
globalisasi itu satu proses yang universal tentunya setiap tindakan untuk menyerap
masuk dalam persekitaran kita didorang dan dikawal-selia oleh satu undang-undang
yang universal juga. Menyedari hakikat ini bukankah elok kalau kerajaan mempunyai
satu Pelan induk (Master Plan) untuk mengeluarkan pakar-pakar muda yang dapat
menangani segala masalah yang mungkin berbangkit setelah penyerapan globalisasi itu
diterima-pakai di negara ini?
Pendedahan awal kepada golongan muda yang baru lulus daripada universiti tentunya
memberikan satu motivasi bagi semua institusi yang besar untuk membuat rencana yang
sama. Inilah peluangnya untuk negara merencana satu karikulum baru yang dapat
menangani serangan globalisasi seperti mana negara ini telah merencana satu sistem
untuk menanti kemunculan pepijat Alaf Y2K yang baru lalu. Apakah yang
diperlukan?
Sudah dua tahun berlalu sejak MAHAFIRAUN mencanang tentang kedatangan agen asing
menjajah Malaysia. Pendedahannya akan bahana globalisasi sudah tentu melunturkan
imejnya di kalangan rakyat kerana rakyat sendiri yakin bahawa globalisasi itu tidak
seburuk yang digembar-gemburkan. Kita tidak boleh mengambil kias pada tunjuk
perasaan yang dilakukan di Seattle, selagi kita tidak tahu siapakah dalang yang
menganjurkan tunjuk perasaan itu. Di Amerika tunjuk perasaan boleh dilakukan
oleh sesiapa sahaja termasuk juga Kerajaan Amerika sendiri. Oleh kerana
terlalu banyak muslihat niaga yang hendak dipelopori oleh Amerika kita boleh
mengsyakki bahawa tunjuk perasaan yang ganas itu dipelopori oleh salah satu
insitutsi kerajaan juga.
'Fact-sheets dan maklumat terkini
Sepatutnya rakyat diberikan satu maklumat dalam bentuk risalah ataupun 'fact-sheets'
tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'GLOBALISASI'. Apabila proses
kesedaran itu dapat di tanam kepada rakyat di peringkat awal lagi, ia mudah
mencetuskan minat rakyat untuk menghadapi cabaran yang berbangkit itu dengan satu
keyakinan yang berganda. Kerajaan boleh mengadakan seminar, bengkel, perjumpaan
secara resmi ataupun tidak formal di mana rakyat diajak berunding untuk merencana
sesuatu yang konkrit dalam menghadapi ancaman yang mungkin menjelma.
Melalui proses musyawarah ini kerajaan dapat menilai reaksi rakyat mengikut
pembabitan mereka dalam menghadapi globalisasi itu. Kita dapat menganalisa apakah
kekuatan kelemahan yang amat ketara. Proses ini memberikan
peluang kedua-dua pihak memantapkan persediaan masing-masing. Apabila tercapai
kata muafakat maka mudahlah usaha merencana strategi yang baik untuk
disebarkan. Negara akan mampu menghadapi cabaran itu dengan satu pendekatan
yang positif. Kenapa kita perlu takut?
Kalau kita buat kajian akan perjalanan ekonomi global kita dapati bahawa fenomena
kebebasan modal tanpa sempadan adalah merupakan keluasan dasar ekonomi
berbentuk 'laisser-faire' yang sudah lama dipraktikkan. Cuma, kali ini ia memberi
ruang yang lebih besar bagi orang yang mampu untuk menerjah masuk peluang niaga
kawasan orang lain dalam satu masa yang lebih cepat. Perkara seperti ini
bukannya satu fenomena yang menakutkan kerana ia telah dicanangkan sejak berpuluh
tahun yang lalu. Cuma ketika ia mula dibincangkan dan ditulis dalam 'The Club
of Rome' perkataan 'globalisation' ataupun globalisasi itu tidak ditonjolkan.
Jika kita teliti revolusi rakyat yang dicetuskan oleh orang Peranchis kita akan
sedar kenapa ia dirakamkan sebagai ibu kepada semua revolusi. Revolusi itu yang
berslogankan 'Liberty, Equality and Fraternity' sebenarnya berbau fahaman
Katholik. Tetapi, semangat yang dicetuskan yang menaikkan bulu roma telah
diterima-pakai oleh setiap reformis di seluruh dunia. Revolusi ini sebenarnya
pengatur cara kepada fenomena globalisasi.
Tumbangnya Tembok Berlin
Semangat itu terus membara di awal abad yang lalu dan melonjak naik dengan
tertumbangnya Tembok Berlin pada November 9, 1989. Peristiwa ini telah mengubah
peralihan kuasa di seluruh dunia. Inilah temboknya yang menjadi lambang kebinatangan
manusia yang akhirnya mencetuskan Perang Dingin yang mencipta sempadan pemikiran,
sistem perniagaan dan tatasusila kehidupan sejak 1945 dulu. Perang Dingin
ciptaan barat telah melonjakkan revolusi elektronik kerana kedua-dua pihak yang
'berperang' mahu menonjolkan kejuaraan masing-masing sambil cuba mencuri maklumat
dari pihak saingannya. Saingan dalam proses curi-mencuri maklumat itu dikamoflasy
dengan apa yang dikatakan perang ideology.
Berlakulah pertentangan di antara blok yang berfahaman Komunis dengan blok
bukan-komunis. Amerika dan Britain mahu menonjolkan fahaman demokrasi
sedangkan Peranchis mementingkan Sosialisme. Lantas, beberapa negara
barat yang lainnya mengambil jalan tengah dengan menonjolkan semangat
'demokratik sosialisme'.
Bila Arab Naik Minyak
Inilah zamannya bila harga minyak mula melonjak naik dan orang barat yang
lantang bersuara dengan segala rupa bentuk sistem pemerintahan sibuk berlumba-lumba
untuk memikat hati para pemimpin negara minyak. Sepatutnya, semua ketua Arab
itu berkongsi strategi dan memanggil semua ketua kuasa besar itu dan mengatakan
bahawa apa yang mereka sibuk itu sebenarnya boleh disengkatkan dengan penggunaan
kata yang berbunyi 'Fahaman Bermusyawarah'.
Minyak menjadi semakin mahal dan orang Arab menjadi semakin angkuh. Di sana-sini,
tanah Arab digerudi untuk mencari 'emas hitam' dan gas yang semakin menggila
harganya. Arab Saudi menjadi satu tanah besar yang dikerumuni oleh pekerja asing.
Mereka datang berbondong, tanpa iklan kerana kemewahan yang melempah-ruah sudah
disebarkan oleh jemaah haji yang baru pulang daripada Mekah. Kemewahan yang
ditunjukkan oleh Allah tidak dipegang sebagai amanah oleh pemimpin Arab.
Di U.A.E kita boleh lihat beberapa bangunan tinggi yang masih kosong dan lengang.
Ini adalah kesan salah tadbir yang berlaku ketika minyak naik mendadak pada
tahun lapan puluhan dulu. Apabila minyak naik harga semua ketua Arab turut naik
minyak. Mereka menjadi terpesona dengan kemajuan dunia. Daripada pesawat terbang
yang canggih sehinggalah cangkir kahwa yang berbentuk unta menjadi benda yang
menakjubkan mereka. Semuanya mahu dibeli dan kalau boleh termasuk kilangnya
sekali. Di Dubai kita akan melihat pelbagai bentuk banglo. Ada yang berbentuk
kuil di Mumbai ada berbentuk berhala Shanghai, ada yang berbentuk candi hindu
di Bali Hai. Ada yang membina pondok Tokpekong di depan pintu rumah, seoalah-olah
mereka sudah taksub dengan budaya semah-menyemah. Lonjakan ekonomi yang naik
menggila mendesak pembikinan bangunan tinggi dan kediaman yang selesa.
Para usahawan telah menciplak lakaran bangunan tinggi-tinggi di negara barat dan
menggunakan komputer untuk mengubah suai lakaran itu . Bayangkan wajah-wajah
orang badawi yang sebelum itu amat selesa dengan kereta keldai dan unta, kini
bertukar kepada Merz, BMW dan Toyota. Itulah pertama kali mereka melihat
rupa komputer dan lakaran rumah tinggi yang menjulingkan mata. Orang putih yang
datang berbondong-bondong membawa pelbagai cadangan secara borong. Arab kuno yang
sudah moden mudah sekali kena bohong. Semua projek mahu dibikin kerana fulus sedia
tersusun. Tetapi, masa yang berlalu bikin otak Arab jadi mencelaru.
Mereka didatangi oleh orang Jepun, Korea, China, Taiwan, Singapura, India dan
Pakisatan pula. Orang dari Asia ini sudah menjolok si Arab agar membuka
matanya dan jangan mudah terpedaya.
"Bayangkan sendiri Ya Akhi," kata mereka; " Kalau anta bikin projek
ini dengan orang putih, siapakah nanti mahu menjadi pekerjanya?" Orang Arab
menjadi tersentak. Mereka semakin gelabah hingga hilang tasbih di celah jubah.
Barulah timbul kesedaran bahawa wang yang melempah ruah tidak dapat membeli
kebahagiaan. Maka diaturnyalah segala projek itu untuk menentukan kejayaannya.
Lakaran orangputih diterima kerana mereka datang lebih awal. Nasihat kepakaran
Jepun dan Korea diterima juga kerana merekalah yang berani menunjukan jalan. Khidmat
China, Taiwan dan Singapura diterima sama untuk bahan pembinaan dan jentera
ciplakan. Orang India, Bangla, Indon, Paki dan Filippina diterima juga untuk
menjadi orang bawahan.
Demikianlah secebis kisah kemajuan tanah Arab pada tahun lapan puluhan dulu. Semua
pembangunan itu telah memungkin kemasukan pelbagai barangan dan khidmat pengurusuan
yang diperlukan. Itulah contoh perniagaan tanpa sempadan yang paling ulung. Ia
tercetus bukan bikinan Barat ataupun Syaitan. Ia tercetus sebagai berkat dari Tuhan.
Cuma manusia tidak menyedarinya kerana memikirkan peratusan hidup yang baik mesti
dicerna dengan pemikiran manusia jua. Semua ciri-ciri pelaburan tanpa sempadan telah
diuji keberkesanannya di Tanah Arab. Ia telah merobah tamaddun Arab sehinggakan
ramai anak muda Arab yang pelat dengan bahasa ibundanya. Kekayaan yang datang
mendadak telah tidak diterima sebagai amanah. Tiba-tiba, peperangan Iraq dan Iran
meletup dan tidak lama kemudian ia bersambung pula di anatara Iraq-Kuwait. Menyedari
hakikat ini cuba kita lihat di depan mata. Bukankah kemewahan yang datang melempah
ruah di negara ini telah disalah-gunakan?
Kita telah menjadi angkuh dengan pembinaan segala projek mega untuk menonjolkan satu
bangsa yang mundur menjadi maju. Ataunpun untuk memuaskan ego seorang yang sudah
angkuh dan lupa pengangan? Kita banyak menulis tentang pembaziran khazanah negara
ini dan terlalu banyak paparan rintihan rakyat yang telah dirakamkan oleh para
penulis dan para analis. Tetapi, apakah rintihan yang tertulis itu mendapat
perhatian yang berkuasa? Kini, globalisasi menjadi satu perkataan yang mesti ditanam
dibibir rakyat agar mereka turut sama menentangnya. Menentang kerana apa? Rakyat
semakin yakin kalau dunia ini mahu dihuni dengan bebas mengikut hukum yang
diturunkan oleh Tuhan, globalisasi adalah satu fenomena yang sepatutnya diterima
dengan hati terbuka. Rakyat sepatutnya bersedia dengan segala cabaran yang akan
tiba. Tetapi, seorang diktator tua tidak mahu globalisasi itu. Dia boleh menelah
bahawa kemasukan globalisasi akan melunturkan kuasanya.
Globalisasi akan menjadi alat yang membolehkan rakyat melihat betapa kerakusan yang
membolehkan segelintir pelahap politik yang hidup angkuh akan menemui
'waterloo'nya. Yang lebih berusaha akan lebih berjaya dan yang masih ragu akan terus
termangu. Itulah globalisasi yang kita harapkan. Adalah amat sayang sekali satu
fonomena yang pasti akan melanda negara ini telah dilekehkan oleh seorang pemimpin
negara di hari pertama alaf baru.
Perutusan ulung seorang pemimpin sepatutnya memberikan kesegaran kepada mental
yang menaikkan semangat rakyat untuk mandari segagah Menara Kembar 'H'.
Bukankah itu bangunannya yang telah 'disintuk' dengan kerlipan cahaya
bejuntaian sebagai lambang menyambut alaf baru? Adalah amat malang sekali negara
yang sedang meraba-raba untuk sembuh dari kebetahan kegawatan ekonomi yang
disebabkan penyangak dalam negara, dan pakar songlap berstatus antarabangsa;
masih lagi mahu dilantak pemikirannya dengan maklumat songsang?
Lunturnya sebuah harapan
Rakyat semestinya bingung dengan perutusan terbaru MAHAFIRAUN. Alangkah hapaknya
perutusan itu. Ia seolah-olah datangnya daripada seorang pemimpin kumpulan penyangak
yang mahukan orangnya berhati-hati terhadap serangan musuh. Mungkin sudah ada anak
muda yang tidak berjaya mengawal emosinya yang menganggap perutusan itu
seperti berita haprak yang dikeluarkan oleh seorang bajingan tua. Yang pasti
perutusan seperti itu sudah tidak relevan lagi. Tetapi apa yang boleh diharap dari
seorang pakar silap mata politik yang selalunya berani membuka mulut kepada
pendengar yang tidak dibenarkan menyoalnya? Bukankah itu mainan hidupnya yang amat
takut pada saingan yang sehat?
Masakan tidak. Itu sebabnya ia lebih rela memenjarakan seorang wira kerana takut
terdedahnya penyonglapan khazanah negara. Dia lebih sanggup mengharamkan terbitan
sebuah tabloid kerdil yang muncul dua kali seminggu. Berapa sangat HARAKAH yang ada
dalam penerbitan itu jika dibandingkan dengan senjata penangkis yang bertimbun
keluarannya; setiap hari dan setiap hujung minggu? Dia lebih rela menarik
lesen penerbitan sebuah majallah sosial yang sejemput sahaja tebalnya, sedangkan ada
enam stesyen TV dan berbelas saluran radio yang boleh digunakan setiap
DETIK untuk menangkis kebenaran yang dituliskan dalam majallah itu.
Apakah ini tandanya Melayu akan terus maju? Ataupun inikah tandanya Melayu perlu
mencari teras untuk maju? Apa juga jawapannya, hakikat yang ada harus diterima.
Seorang pemimpin yang cuba melawan arus akan hanyut dengan arus itu akhirnya. Inilah
tanda bahawa pemimpin itu sudah tidak relevan lagi. Bunga-api raksaksa yang
mencetuskan kerlipan warna warni pun mempunyai tarikh luputnya. Selagi ia segar
bolehlah digunakan untuk menerangi keadaan gelap dan gelita. Apabila ia tidak
relevan lagi ia akan menjadi bahan yang paling bahaya kerana mencetuskan ledakan
yang mungkin berlaku bila-bila masa. Walaupun ia disimpan di sebuah mahligai yang
mempunyai singgahsana yang bertakhtakan kencana.
-MT- 3.1.2000. |