RINTIHAN RAKYAT KEPADA RAJA-RAJA - Bahagian Empat
Di manakah penghujungnya ?
Ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan Mahathir semakin terserlah hari demi hari.
Bahangnya terasa di merata tempat di seluruh negara. Cuma Mahathir dan para juaknya
yang sibuk menafikan fenomena ini sehinggakan sanggup berbelanja besar untuk
meyakinkan para penyokongnya. Jikalau diambil kira akan saranan yang terdapat di
media massa dan saluran perdana, kerajaan Mahathir seakan berada di satu tempat yang
utuh dan yang sukar untuk diganggu-gugat oleh para barisan pembangkangnya. Akan
tetapi, ini adalah mainan politik yang memerlukan belanja yang besar. Perbelanjaan
itu terus dicurahkan dengan menggunakan wang ringgit rakyat tanpa memikirkan
implikasinya.
Ketika Anwar baru sahaja ditangkap, tidak ada sesiapa yang berani menelah secara
jujur bahawa rakyat akan bangkit untuk memerangi penindasan yang dirancang oleh
Mahathir terhadap Anwar dan para penyokongnya. Parti KeADILan belum wujud ketika
itu. Hanya GERAK yang dipelopori oleh parti PAS yang menonjol bersama Datin Seri Wan
Azizah untuk memperjuangkan nasib Anwar. Kemunculan parti KeADILan dan permuafakatan
di kalangan semua parti pembangkang dalam bentuk yang disebut Barisan Alternatif
telah membawa satu gelombang kesedaran yang memukul pantai pemikiran rakyat jelata
seluruh negara. Ia tidak berkisar di kalangan rakyat yang mempunyai kecenderungan
kepada perjuangan parti PAS ataupun DAP sahaja.
Gelombang ini telah menaklukki pemikiran segenap lapisan masyarakat yang
cintakan kedamaian dan harmoni di negara ini. Kebangkitan reformasi rakyat
yang dikeramatkan oleh DSAI di masjid negara telah menggugat kedudukan MAHFAIRAUN.
Kemuncaknya telah tercipta di masjid negara juga di mana rakyat telah menunjukkan
emosi mereka untuk menyerahkan satu memorandum kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong.
Sayangnya, majlis yang penuh emosi dan bersejarah itu yang diilhamkan dengan segala
sopan santun dan penuh harapan; telah bertukar wajah menjadi satu peristiwa yang
menyayat hati yang besar kemungkinan mencetuskan trauma kepada golongan kecil yang
turut serta. Satu peristiwa yang sepatutnya menjadi pengajaran manis kepada
anak-anak muda akan apa ertinya kebenaran dan keihlasan rakyat jelata; bertukar
kepada satu peristiwa di mana pemerintah menunjukkan belangnya melalui tingkahlaku
kurang ajar pasukan keselamatan yang sepatutnya menjadi lambang keselamatan negara
dan pelindung rakyat jelata.
Alangkah aibnya apabila satu demonstrasi aman yang dipertonton oleh golongan
rakyat yang cintakan kedamaian dibalas dengan pancutan air asid dan serangan pukulan
yang kejam kepada rakyat yang tidak bersenjata dan bermaya. Namun, rakyat sudah
bangkit dengan menyerahkan satu memorandum kepada raja-raja mereka dan rakyat pasti
akan terus bangkit mengharapkan jawapannya. Apa yang boleh diharapkan dari istana?
Jikalau kita teliti jawapan Abdullah Badawi ketika dikemukakan soalan mengenai isu
memorandum dahulu, kita boleh merumuskan bahawa tidak ada reaksi yang berkesan boleh
diharapkan daripada istana.
a) Golongan Istana sedang tersepit:
Rakyat tahu bahawa golongan istana sendiri dalam keadaan serba salah. Mereka sudah
berada dalam satu situasi tertekan sejak Mahathir berjaya meletakkan martabat mereka
hanya canggih di atas kertas dan tidak lagi mempunyai banyak kuasa di atas
singgahsana. Mahathir sudah berjaya meletakkan raja-raja berada hanya di
"singgahsini". Singgahsana sebenar sudah dirancangkan untuk berada hanya
di Putra Jaya.
b) Pemimpin UMNO/BN lebih berkuasa daripada Raja-raja.
Pada suatu ketika dahulu golongan istana mempunyai banyak kuasa dan keistimewaan
sehinggakan ada ahli istana yang rakus dan lupa daratan. Sikap ini telah dibiarkan
untuk berpanjangan sebagai tali perangkap yang akhirnya menjebak golongan ini.
Mahathir sudah merencana segala yang perlu untuk menggunakannya sebagai satu senjata
menekan golongan istana. Mahathir dan para Menteri Besar yang sepatutnya pada satu
ketika dulu menjadi memanda bendahara yang memberi nasihat bernas kepada institusi
raja telah menyalah-gunakan kuasa mereka dengan merencana projek mengaibkan
raja-raja dengan tunjuan untuk mencantas kuasa mereka dan mengambil alih kuasa yang
dianggap berdaulat itu.
c) Pemimpin UMNO pengganti Raja-raja
Dengan terhakisnya institusi raja-raja, kita dapati segelintir pemimpin UMNO telah
mengambilalih keistimewaan yang pada satu ketika dulu dikhaskan hanya kepada
golongan raja-raja. Di zaman negara kaya dengan hasil rimba, kita dapati golongan
istana yang kerap mendapat kawasan balak. Apabila projek balak pupus dan projek
perkilangan menonjol kita dapati para keluarga menteri yang menjadi pemegang saham
utama. Malahan pengagehan saham-mudah pun menjadi bolotan Pak Menteri, Mak Menteri,
kaum keluarga dan para juak mereka.
Ketika Mahathir disaman untuk menghadirkan dirinya di mahkamah yang melibatkan kes
Anwar, beliau telah dengan mudah sekali mengenepikan perintah mahkamah itu dengan
satu alasan yang amat jijik sekali, seolah-olah beliau mempunyai hak immuniti
terhadap mahkamah. Keupayaan melunturkan kuasa kedaulatan raja-raja telah
memperkuatkan kedudukan semua wakil rakyat Barisan Nasional dan UMNO
sehinggkan mereka sendiri merasakan merekalah sebenarnya raja di negara ini. Sikap
sombong, bongkak dan takabbur yang dipertontotkan oleh golongan ini yang sebenarnya
diamanahkan oleh rakyat menjadi wakilnya, tidak pun mendapat banyak rintangan
daripada rakyat yang memberi amanah itu pada asalnya.
d) Kuasa Politik Yang Berlebihan
Apabila kuasa memerintah beralih daripada raja kepada apa yang
disebut sebagai wakil rakyat BN dan disebabkan terlalu lamanya parti BN memerintah
negara; segala penyalah-gunaan kuasa, kerakusan, kelahapan yang dilakukan oleh para
wakil rakyat ini telah dapat dilindungi dengan mudah daripada diketahui secara
meluas oleh rakyat. Perkara ini dipermudahkan oleh penguasaan terhadap media massa
baik dalam bentuk percetakan ataupun elektronik. Lantas, apa yang dianggap haram,
mudah sahaja dihalalkan dan apa yang batil mudah sahaja dijadikan sesuatu yang haq.
e) Institusi Kerajaan dijadikan hak peribadi
Mahatahir pernah merayu kepada rakyat agar tidak mengampunya sebagai seorang
individu semata-mata. Dia mengatakan bahawa dirinya tidak penting. Dia mahukan
rakyat memilih pemimpin kerana perananya dalam sesuatu insitusi yang dipimpinnya.
Inilah caranya Mahathir memutar belitkan keadaan dan terus menjadi Raja Pembohong
Melayu yang paling besar dalam sejarah. Sebenarnya, setelah menghakiskan kuasa
raja-raja Melayu, Mahathir telah berjaya memperibadikan setiap institusi kerajaan di
negara ini. Keluruhan undang-undang dirobeknya dengan mudah sekali sehinggakan
rakyat tidak lagi memberikan kepercayaan kepada mahkamah negara.
Keutuhan institusi polis menjadi satu tandatanya rakyat yang besar, selepas Rahim
Nor melebamkan Anwar (ketika tangannya bergari) dalam tahanan. Khazanah negara
disalahgunakan seperti hak pensendiriannya tanpa segan dan silu. Kerana itu
kita lihat projek 'Pemimpin bersama Rakyat' dilancarkan seluruh negara semata-mata
untuk menonjolkan Mahathir dan BN sedangkan segala kos yang berbangkit ditanggung
oleh rakyat juga, akhirnya. Kejayaan Mahathir memperibadikan institusi kerajaan
mencapai kemuncaknya apabila beliau menggunakan khazanah negara untuk menutup lubang
kerugian yang ditanggung oleh anak-anak dan kroninya, sedangkan rakyat jelata yang
juga teruk kerugian terus merana dan dihimpit kemuflisan.
Dengan bertopengkan pembangunan negara mengikut acuan sendiri Mahathir
melancarkan "Malaysia Boleh" yang dijadikan batu loncatan untuk membina
projek mega yang amat membazirkan. Apabila ada suara tentangan terhadap selera
rakusnya itu, Mahathir terus menggunakan pengaruh luar sebagai lambang durjana yang
cuba menghancurkan keharmonian negara.
Apabila rakyat terus tertipu
Selama lebih 17 tahun Mahathir telah berjaya menipu rakyat negara ini. Beliau telah
berjaya menubuhkan satu sistem pentadbiran yang telah memukau rakyat jelata
sehinggakan sistem pemerintahannya itu menjadi satu raksaksa rakus yang paling zalim
sekali. Sejarah akan menentukan betapa Mahathir telah mengkucar-kacirkan suasana
keharmonian negara ini dengan tipu-helah pentadbirannya. Jikalau kita teliti cara
pentadbiran negara lain yang berjaya, kita dapati pemimpin unggul sesuatu negara itu
menggunakan kepakaran para ilmuan negaranya untuk menjana pembangunan ekonominya.
Di Singapura, Lee Kuan Yew telah memberikan satu status yang paling tinggi kepada
para graduan untuk mentadbir negaranya. Ketelusan pentadbiran kerajaannya itu telah
menggerakkan para korporat di pulau itu untuk berganding bahu memperkayakan
rakyatnya. Kini, Singapura merupakan sebuah negara yang mempunyai simpanan negara
(Sovereign Reserve) yang paling tinggi di dunia ini. Kerana itu, walaupun orang yang
berbangsa Melayu dikatakan golongan yang terpinggir di pulau itu, mereka berjaya
untuk hidup bebas yang di beberapa segi kedupannya adalah lebih selesa dari apa yang
dinikmati oleh bangsa Melayu di Malaysia.
Begitulah juga halnya di Taiwan. Presiden Taiwan dan para pemimpinnya memberikan
penghargaan yang tinggi kepada para ilmuannya dan mentadbir negara dengan ketelusan
untuk menjadikan Taiwan sebagai negara "Harimau" yang paling unggul
sekali. Perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Mahathir lebih mudah mempercayai ahli
koperat tidak kira apakah latar belakang mereka. Di awal pemerintahan Tunku
Mahathir, beliau telah memberi status yang tinggi kepada Abdullah Ang yang pada satu
masa dulu amat mahir dalam bidang insurans. Abdullah Ang kantul dan kini merengkok
di penjara.
Beberapa ahli korporat lain diberikan keistimewaan yang sama. Terlalu banyak nama
mereka yang boleh dinukilkan. Hampir semuanya mencoteng arang ke muka Tunku Mahathir
akhirnya. Ahli korporat yang ditonjolkan oleh Mahathir ini telah menggunakan taktik
yang dipusakai dari nenek moyang mereka dahulu untuk mengendalikan perniagaan.
Mereka telah mengamalkan budaya samseng dan kaki-pukul dalam perniagaan dan siapakah
yang menjadi sasaran mereka? Tentu sekali para pentadbir kerajaan dan juga para
ilmuan yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang niaga yang dikendalikan oleh
para korporat jelmaan itu. Malahan para menteri seperti Anwar Ibrahim tentunya
merupakan seorang insan yang tidak masuk dalam percaturan bisnes mereka. Budaya
samseng dapat hidup subur dalam suasana pentadbiran yang korup. Makanya kita dapati
tahap rasuah adalah tinggi. Moral budaya kerja menurun dan nilai hidup bersopan
santun kian luntur disebabkan budaya mahu cepat kebas dan cepat kaya. Jelmaan
budaya kotor yang dibawa oleh suasana niaga yang korup ini akhirnya menular dalam
sistem pentadbiran dan tata susila kehidupan negara.
Rakyat menjadi keliru kerana hidup mereka sentiasa diburu oleh kepalsuan matlamat
untuk hidup bahagia. Kepincangan fabrik kehidupan ini tidak dipedulikan oleh
Mahathir. Semua itu tidak penting baginya. Yang penting ialah membina segala projek
yang membawa maksud "TER.." yang dianggapnya sebagai perisai untuk
menaikkan ego martabat bangsa. Kuasa autoritarian yang dirangkulnya telah
menonjolkan Tunku Mahathir menjadi seorang diktator yang penuh berkuasa di Malaysia.
Kerana kegilaan kuasa itu Mahathir telah berani memperakui gelaran sinis yang
diberikan oleh rakyat terhadapnya.
Tunku Mahathir kini lebih senang menerima gelaran Mahafiraun Moden di Malaysia,
tanpa memikirkan implikasinya. Mahathir berjaya memukau rakyat untuk terus selesa
dengan penindasan yang direncananya. Dari seorang reaksioner, Mahathir kini menjadi
seorang diktator yang leka dengan segala kekayaan dan kuasanya. Rakyat yang terpukau
kini sudah sedar akan perubahan persekitarannya. Mereka baru sedar akan kehilangan
kuasa untuk menjatuhkan Mahathir. Dari segi undang-undang mereka hanya mempunyai
ruang untuk mendapatkan kuasa raja-raja untuk membantu. Apakah yang boleh raja-raja
lakukan sedangkan kuasa mereka pun lebih kurang sama dengan kuasa yang ada pada
rakyatnya?
MT 31.12.99 |