Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

JIKA TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG..

Menginsafi kemelaratan hidup anak bangsa, adalah satu kesedaran maha agung setelah sesebuah negara mencapai kemerdekaannya dari belenggu penjajahan. Penjajah datang dan pergi pastinya membuahkan kesan yang mendalam dalam pembentukan identiti negara yang dijajah dan kemerdekaannya. Kekayaan hasil mahsyul sesebuah negara menarik minat penjajah yang berselindung di sebalik pelbagai nama dan aktiviti untuk menghalalkan niat kotor mereka.

Syarikat Hindia Timur umpamanya atau aktiviti para mubaligh dan pedagang-pedagang. Sejauh manakah keikhlasan mereka berdagang dan menyampaikan seruan Islam tidak kita ketahui. Namun hakikatnya aktiviti-aktiviti itu telah menanamkan kesan yang mendalam sehingga akhirnya mereka datang untuk mengaut kekayaan negara semata-mata. Pergaduhan sesama mereka juga berlaku menyebabkan rakyat di negara berkenaan terpaksa menanggung risiko yang berpanjangan.

Dari dahulu lagi sesebuah negara yang bangsa dan tanah airnya dijajah sudah mengenal erti kepayahan, kesukaran, kesedihan, rajuk, tangis, pilu dan serba satu macam hidangan kehidupan yang tidak sanggup kita hadapi. Namun bagi yang beriman segala kepiluan dan kesedihan ini dapat dipujuk dan diredhakan dengan 'menyerahkan diri' dan jiwa raga kepada Ilahi.

Malangnya setelah penjajah datang dan kemerdekaan diberikan, negara terpaksa mengharungi lagi cabaran. Kali ini sudah pasti datangnya dari bangsa sendiri. Tanpa keikhlasan yang mendalam, dengan kuasa yang sedikit diperolehi dari undian rakyat, pemimpin sebuah negara merdeka saling tak tumpah peri lakunya persis penjajah. Kali ini darah bangsa sendiri diperah dan langkah-langkah penjajahan diikuti untuk meraih kesempurnaan tuntutan peribadi.

Nafsu nafsi jika tidak dikawal maka akan menguasai hati dan meranapkan keimanan. Akhirnya negara kembali ke era penjajahan bentuk baru dengan seribu ugutan yang berbahaya kepada keamanan yang terjanji sebaik mengecap kemerdekaan.

Mengaut kekayaan negara dari bangsa sendiri jauh lebih mudah kerana ianya mendapat sokongan pihak tertentu yang seiringan dengan nafsu yang ingin dicapai. Akhirnya maka rakyat yang lemah terus tertindas dalam perangkap pemodenan apatah lagi jika bangsa itu lemah dan tidak bersedia menerima saranan yang dibuat samada dalam bentuk lahiriah dan batiniah.

Persediaan menerima erti kata kemerdekaan belum mampu mengheret kesediaan rakyat keseluruhannya dalam agenda baru sebuah negara merdeka. Apa lagi jika agenda kemerdekaan itu tidak jelas pengisian dan matlamatnya. Matlamat umum pastilah ingin membawa sesebuah negara ke mercu kegemilangan, namun apakah prinsip-prinsip dan garis panduan itu sudah melingkupi kesediaan rakyat keseluruhannya. Bagaimana dengan ilmunya, persediaan mental, fizikal dan spiritualnya?

Bagi sebuah negara yang sudah merdeka 43 tahun dan menyambut ulang tahun kebebasan dari belenggu penjajah dengan laungan 'merdeka' setiap tahun, tiada sebarang alasan patut diberikan jika negara masih ditahap rendah akhlak politiknya dan kewibawaan ekonominya. Inilah yang terjadi kepada Malaysia apabila perencanaan dan hala tuju negara tidak disandarkan atas prinsip carry forward (bawa ke hadapan). Ini juga mungkin cerminan kelemahan hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai tidak dicapai secara musyawarah, dikaji segala aspek kebaikan dan keburukan. Ini juga cerminan minda penjajahan masih berkuasa ke atas segolongan pemimpin. Jika ini terjadi maka amat malangnya bagi sebuah negara itu.

Negara yang gagal menyediakan parlimen sebagai tempat menyalurkan idea dan perbahasan mengenai sesuatu isu yang menjadi agenda negara berkenaan lebih sesuai disifatkan sebagai menempah kehancuran dan masa depan rakyatnya. Umpamanya sejauh manakah kesan pelaksanaan dasar penswastaan, persyarikatan dan pengkorporatan jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu. Tanpa dikaji dahulu buruk baiknya, akan mendedahkan negara kepada kebangkerapan dan akibat dasar yang melulu rakyat keseluruhan akan tergadai dan merasaikan akibatnya. 

Seseorang pemimpin yang gagal dalam dasarnya perlu dipertanggungjawabkan atas perlaksanaan sesuatu dasar yang tidak menguntungkan negara. Jelasnya mereka patut ditangkap dan dipenjarakan. Ini boleh dilihat apabila sesuatu perancangan dilakukan maka negara mengalami kejatuhan ekonomi yang teruk. Di barat, seseorang perdana menteri atau presiden negara tertentu lebih senang meletakkan jawatan akibat kealpaan dan kecuaian dalam pemerintahannya yang membawa padah kepada ekonomi negaranya.

Malangnya ini tidak berlaku di Malaysia. Sekalipun anggota parlimen menyedari akan kelemahan ini dan teguran sudah  dibuat untuk memperbaiki, perdana menteri terus berkuasa seolah-olah tidak ada apa yang terjadi dan tidak ada kes perlu beliau bertanggungjawab. Ini ditambah dengan sikap 'ampu  sana, ampu sini' para pengikutnya   sehingga membutakan kebenaran. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung risiko dan bebanan akibat satu dua tangan yang rakus mahu berkuasa dengan cara yang jijik ini. Apabila ekonomi negara berada di tahap rendah, inflasi akan berlaku. Dagangan dengan negara luar tidak dapat dirancang dengan baik kerana akan merugikan akibat nilai tukaran wang yang melambung tinggi.

Berfokuskan kepada Malaysia, walaupun hasil mahsyulnya telah diterokai oleh penjajah British dengan mengambil masuk pedagang dan pelombong Cina, namun negara ini terus menerus menerima 'anugerah' hasil bumi yang melimpah ruah. Pantai negeri Terengganu umpamanya memiliki minyak petroleum. Di negeri Kelantan sudah ada emas di perut bumi yang sedia memuntahkan galian itu pada bila-bila masa. Kekayaan hutan sejumlah berjuta juta hektar di negeri Perak, Johor dan Sabah serta Sarawak. Nilai kandungan galian ini sudah cukup untuk menampung bilangan rakyat berjumlah 22 juta ini untuk memperolehi hidup senang dengan kebebasan membayar sebarang jenis cukai, dan menikmati segalanya secara percuma, seperti jalan tanpa tol atau cukai pintu yang membebankan.

Namun atas kecuaian pemimpin sendiri, maka segala hasil mahsyul itu tidak dikendalikan dengan baik dan selesa sehingga akhirnya rakyat hidup dhaif dan menderita. Rakyat diletakkan dan dibebankan kesalahan kerana tidak mahu dijadikan masyarakat yang mengamalkan budaya 'subsidi'. Sebaliknya pemimpin menjadi kaya raya memiliki istana yang besar bukan setakat satu dunia malahan berpuluh bilangannya pun ada!

Akibat penyelewengan ini kita kembali dijajah oleh bangsa sendiri. Justeru penjajahan ini lebih mencengkam kerana 'menyembelih' jiwa dan raga kita di negara yang mengaku telah merdeka. Akhirnya memaksa perjuangan menuntut keadilan dan menyanggah kekufaran yang berlaku dimulakan, sebagaimana perjuangan memerdekakan tanah air cinta dan jajahan British pada tahun 1950'an.

Kali ini perjuangan itu tidak lagi di medan peperangan, mengangkat senjata dan bertempur sehingga luka berdarah dan terkorban. Perjuangan yang seharusnya berlaku ialah mengangkat pena menulis dan mencoretkan sesuatu tentang 'kesedaran' akibat lalai dan kesesatan. Mujur di alaf baru ini bantuan menyebarkan penulisan telah diperolehi dengan cepat sehingga ke seluruh dunia dan luar dunia jika menerima gelombang yang dipancarkan oleh satelit buatan manusia.

Ruang angkasa tiba-tiba menjadi begitu sibuk dengan gerakan elektron ke sana sini membawa maklumat dari satu server pemancar kepada server yang dipancarkan. Dari satu stesyen ke satu stesyen hingga maklumat itu dibawa dari satu komputer kepada komputer yang lain. Kemudian ia dicetak dan dijadikan hidangan bersama minum pagi atau petang, hatta di jamuan makan tengah hari dan malam jika tidak keberatan. Dari bangunan serba tinggi mewah dan gagah sehingga ke gerubok kecil di pinggir desa, maklumat dibawa untuk jadi santapan minda demi membebaskan diri dari belenggu seorang dua yang telah gilakan kuasa dan harta benda!!

Laksana seorang nakhoda kapal, seorang webmaster di sana terpaksa menjadi perantara di antara rakyat dengan penulis rakyat yang juga kini dikenali sebagai penulis siber. Waktu yang tidak terhitung, masa yang tidak pernah dikira serta dengan ongkos yang ada 'memecahkan ruyung' akan berharap selalu hasilnya tetap sagu jua.

Demi membebaskan negara dari cengkaman pemerintah yang berkuku besi dan bersikap diktator, peranan para webmaster sentiasa dibayangi oleh projek RM20 juta kerajaan BN yang mahu menangkap para pengendali laman yang ada. Selaku seorang dari mereka, saya ingin menyatakan perasaan terharu kerana sudah terjebak dalam medan peperangan ala siber demi 'pena yang lebih tajam dari mata pedang'. Berasa bangga tanpa gentar hidup dan mati adalah di tangan Allah jua. Perjuangan ini harus diteruskan tanpa mengenal 'cuti rehat', jemu dan muak kepada segala bahan catatan yang akan tercatat dalam khazanah penulisan oleh rakyat negara ini. Ianya akan diabadikan sehingga bumi hancur di cakerawala, menerima tiupan sangka kala, gegaran yang maha dahsyat dan pertembungan antara planet-planetnya. Firman Allah:

"Hari kiamat, apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu apakah hari kiamat itu? Pada hari itu manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, dan gunung ganang adalah seperti bulu yang dihamburkan dan ada pun orang-orang yang berat timbangan amal kebaikannya maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan ada pun orang-orang yang ringan timbangan amal kebaikannya, maka tempat kembalinya ialah neraka hawiyah. Dan tahukah kamu apa neraka hawiyah itu? (Iaitu) api yang sangat panas"- ayat 1-11 Surah Al-Qaariah

Meskipun berhadapan dengan cabaran manusia yang enggan keburukannya diketahui rakyat, penyelewengannya diumumkan untuk menggantikannya dengan yang lebih baik, yang membelanjakan lebih RM20 juta bagi menangkap para webmaster, cabaran dan amaran Allah lebih dahsyat lagi. Sudah pasti yang kutakuti ialah amaran Allah bukan amaran manusia yang secebis pun tidak bisa menggugatkan, melainkan dengan perintah dan keizinan Allah jua.. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!!

Polong Cyber, 
webmaster
 

10 September, 2000  

 
Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter