KTLBELB:30
MENYELAMI YANG SILAM
AWAL KATA:
Setiap yang bermula tentu ada penghujungnya. Kira-kira enam
bulan yang lalu, penulisan ini dimulakan untuk menyambut
cabaran pengendali web Mindarakyat dan FeU, yang ketika itu
masih disangsikan. Memang di waktu itu terdapat beberapa
laman web yang hangat-hangat sehingga mampu mengaut
perhatian dan sentuhan pembaca sehingga puluh ribuan
banyaknya. Saya menyambut cabaran dua PW ini dengan penuh tanda tanya apakah mereka dapat bertahan lama berbanding
dengan laman web lain yang ternyata lebih unggul lagi. Alhamdulillah, keyakinan awal itu terus bertahan
sehinggakan penulisan ini dapat mencecah bab ke-30 seperti
yang diilhamkan. Memang, bukan sebarang keyakinan rupanya
semua itu, kerana hampir semua laman web yang hangat-hangat
dulu sudah pun dingin kini, Hangat-hangat botol termos
rupanya; apabila tiba masanya, kan dingin juga. Mujur juga
tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam.
FENOMENA HANGAT-HANGAT TAHI AYAM
Fenomena hangat-hangat tahi ayam sebenarnya merupakan satu
bentuk pemerintahan yang diterajui oleh seorang insan yang
bergelar wira dunia ketiga sejak dua puluh tahun yang lalu.
Cuba perhatikan perkara ini:
- Konsep pemerintahan 'Bersih Cekap dan Amanah' merupakan
teras pemerintahan dinasti Mahathir bin Mohammad. Kemanakah
Malaysia kini?
- Malaysia mahu dijadikan sebuah negara yang maju
menjelang 2020, ke manakah arah negara kita kini?
- Kemajuan Malaysia untuk terus maju tersekat sehinggakan
Malaysia terpaksa menderita kerana diserang "oleh penyangak mata wang seperti Soros dan ramai orang Yahudi yang lainnya.
Keadaan semakin meruncing apabila IMF dan Bank Dunia mahu
menekan Malaysia dengan mengenakan syarat ketika Malaysia
memerlukan pinjaman wang. Kerana itu Malaysia tidak
meminjam daripada dana itu dan bergantung harap kepada dana
luar sehingga terpaksa membayar faedah yang tinggi."
Negara lain seperti Thailand dan Korea yang meminjam
daripada IMF dan Bank Dunia telah pun bangkit dengan
megahnya sedangkan Malaysia masih terumbang-ambing dan
menghampiri gerbang kemelesetan ekonomi sekali lagi.
Sebaliknya Malaysia yang begitu lantang menuduh negara
maju sebagai memasang agen untuk menjatuhkan ekonominya,
kini terpaksa menghantar pegawai dan pakar ekonomi ke
Amerika secara bertujai jadualnya. Hilangkah syak wasangka terhadap orang Amerika yang mahu meranapkan ekonomi negara
ini?
- Seluruh dunia telah mengharungi kemelesetan ekonomi
dengan mengecutkan segala bentuk institusi dan
infrastruktur pengurusan yang membazir. Dengan cara itu,
petualang yang menyalah-gunakan kuasa dan keistimewaan
perniagaan dapat didedahkan dan perniagaan mereka
diberikan kepada yang lebih berwibawa. Apakah yang terjadi
sebaliknya di Malaysia? Semua projek mega yang besar terus
dilaksanakan dan sesiapa sahaja yang tergolong dalam khemah
kroniputra diberikan bantuan untuk hidup mewah lagi. Rakyat
marhaen akan terus merempat lagi kerana segala desakan
hidup mereka tidak terbela. Harga tol terus naik meningkat.
Harga barang makan terus naik lagi. Tambang bas, teksi,
keretapi dan kapal terbang terus naik mencanak. Bagaimana
pula dengan harga buku sekolah dan kos pelajaran di IPTA
dan IPTS? Semua itu ditolak tepi, tidak masuk buku para
perancang negara. Kerana apa juga kenaikan yang dikenakan
kepada rakyat marhaen itu yang akan menerima faedahnya
adalah para kroniputra juga.
- Sejak dua puluh tahun yang lalu, dalam jangka masa 43
tahun yang menyeluruhi Malaysia di zaman kemerdekaannya,
kerajaan diterajui oleh seorang yang bernama Mahathir bin
Mohammad. Dia telah diberikan oleh Allah SWT, sebuah negara
yang aman damai kerana rakyatnya yang bersikap toleran
terhadap masalah suku kaum dan berjaya menanganinya
tanpa banyak muslihat. Dia diberikan Allah sebuah negara
yang kaya raya, baik daripada hasil buminya mahu pun yang
tertanam di permukaannya. Inilah sebuah negara yang unik
kerana tidak dilanda masalah gempa bumi, taufan puting
beliung, penyakit berwabak yang berbahaya kecuali JE;
kerana malaria, biri-biri denggi dan sejenis dengannya sudah
lama terkawal. Inilah negaranya di mana asas kemerdekaan
yang dicapai membolehkan setiap suku kaum bertegur sapa
dalam satu bahasa dan berhibur dengan pelbagai istiadat,
budaya dan irama tanpa banyak masalahnya. Insan bernama
Mahathir a/l Mohammad telah diberikan Allah sebuah negara
yang sepatutnya mampu ditonjolkan ke dunia sejagat sebagai
negara maju sebelum menjelangnya tahun 2001. Kerana dia
tidak tahu bersyukur kepada Allah swt, kerana dia cuba
menjadi seorang nabi jadian di kalangan umat Allah yang
masih percayakan kekuasaan mutlak Allah swt. Malaysia kini
sedang menghampiri ambang kemuflisan sekali lagi. Mahathir
bin Mohammad telah melakukan satu putar-belit dalam
melaksanakan amanah rakyat negara ini sehingga mampu
mengambil alih ketuanan Melayu daripada majlis raja-raja, sehingga mampu memesongkan aqidah sebahagian besar orang
Melayu dan sehingga mampu memukau segelintir ulama dan
golongan terpelajar Melayu di negara ni untuk bersekongkol
dengannya.
Orang Melayu Yang Tertipu
Sikap toleransi Melayu kepada orang lain dan sikap hormat
yang hampir menonjolkan satu ketaksuban kepada orang yang
dianggap dan dihormati sebagai ketua, kini sudah menjebak
masyarakat Melayu itu selama dua puluh tahun yang lalu.
Jerat-jerat ini memang mudah dipasang kerana sikap
toleransi yang tinggi di kalangan orang Melayu itu sendiri.
Inilah bahana berpegang terlalu lama kepada tradisi hidup
tanpa mahu mengulang kaji dan memeriksa yang mana satu yang
patut dikekalkan dan yang mana satu patut diperbaharui dan
diperbetulkan
Selepas berlakunya peralihan kuasa daripada Tunku Abdul
Rahman Putra kepada Tun Razak, keaiban episod Mei 13 telah
dijadikan satu gong raksasa oleh UMNO untuk mencanai minda
Melayu menjadi satu bangsa yang mudah turut kata-kata
ketuanya. Sekali gong itu dipalu, berpuluh kali dengungnya
berdenyut di minda orang Melayu, kerana kata-kata hikmatnya
diulang bertubi-tubi oleh pemimpin UMNO agar orang Melayu
percaya kepada kata pemimpinnya. Masuklah Melayu ke hutan
rimba mengerjakan hutan belantara dengan gaji harian yang
tidak seberapa sebagai peneroka. Di waktu yang sama;
balak, rotan dan gaharu diangkut ke luar oleh pemegang
konsesi yang merupakan ahli warga istana ataupun ahli exco kerajaan negeri yang menjualkan konsesi itu kepada
taukeh-taukeh kaya satu ketika dulu. Mereka inilah
pengusaha lombong bijih yang sudah pun hilang harganya. Di
manakah pengusaha kawasan balak itu kini? Mereka berada
senang-lenang di Eropah, Canada, Amerika dan Australia.
Segelintir masih lagi berada di Singapura dan Bangkok.
Kalau mereka berada di Malaysia pun masa ini, mereka datang
sebagai pelawat terhormat sahaja.
Kemunculan kembali usahawan Malaysia yang kaya raya daripada
hasil bumi negara adalah untuk melabur kembali secara
pelabur singkat di BSKL. Mereka akan datang menderu kalau
BSKL menunjukkan graf aktiviti berwarna biru. Sebaik sahaja
warna bertukar menjadi merah, itu menandakan pelabur
singkat itu sudah gelisah dan menjual pegangan mereka
untuk seketika sambil berhibur di tempat lain pula. Di
waktu mereka berada di luar negara semula itu, harga barang
makanan di negara ini akan naik lagi, kerana ramai pelabur
dalam negeri yang tergigit jari kerugian di sebabkan mainan orang yang lupa daratan. Apakah impaknya kepada
rakyat marhaen? Mereka akan tercungap terus kerana tidak
mampu menangani arus kenaikan harga barang keperluan yang
tidak nampak akan menurun lagi. Itu sebabnya ramai penduduk
ibukota terpaksa melakukan kerja lebih masa ataupun membuat
dua kerja dalam satu hari kerana menampung keperluan
kenaikan harga yang terus meninggi. Itu sebabnya ada suri
rumah yang terpaksa menjual diri, demi masa depan anak-anak
yang memerlukan kos yang tinggi untuk mengejar pendidikan.
Ada yang melacurkan diri dengan izin sang suami dan ramai
juga yang melakukannya tanpa pengetahuan sanak saudara.
Akhirnya, masyarakat Melayu yang dikenal sebagai masyarakat
yang lemah lembut itu menjadi satu masyarakat yang
berdendam kerana mereka sedar kini bagaimana mereka ditipu
dan tertipu.
Bagaimana pula dengan para peneroka hutan rimba dulu? Ramai
yang sudah menjadi arwah, dan tidak merasakan keperitan
golongan yang masih bergelar peneroka lagi. Kini, yang
masih menjadi peneroka sudah pun selesai membayar hutang
projek asal dulu. Kini, tanaman lama perlu ditanam semula
dan akan bermulalah kembali kisah hutang-piutang itu untuk
dijadikan bekalan kesengsaraan si anak cucu. Sepatutnya
penanaman semula ini tidak memerlukan pembayaran apa-apa
kalau sebahagian besar hasil kutipan balak dimasukkan ke
dalam satu tabung khas tanaman semula untuk peneroka.
Inilah contohnya bagaimana harta bumi negara diselewengkan
dengan bersahaja.
Kaum Lain Yang Ditipu
Yang paling kuat tertipu ialah apa yang disebut sebagai masyarakat orang asli. Di zaman raja-raja Melayu kuno
golongan ini adalah berbangsa Melayu darat. Ketika itu
mereka lebih dikenal sebagai golongan orang hutan dan
ketua mereka lebih terkenal dengan panggilan Raja Sakai.
Apabila British datang menjajah mereka dikenali dengan nama
"orang asli". Inilah pusingan pertama minda orang Melayu
itu diputarbelitkan, sedangkan ramai orang Melayu di bandar
kini, mempunyai darah kumpulan asli ini dalam badan mereka.
Penjajah British mahukan orang asli terus di hutan sebagai
benteng menghadapi pengaruh komunis. Apabila kemerdekaan
dicapai, para ketuanan Melayu ketika itu (Pemimpin UMNO
dan ahli istana) mahukan orang asli terus di situ sebagai
benteng terhadap kerakusan kaum Cina menyalahgunakan
kawasan hutan dan hasil rimba. Jabatan Orang Asli
diteguhkan dengan usaha asli itu secara terpinggir di
antara satu sama lainnya. Sedangkan cara yang terbaik ialah
menempatkan golongan orang menempatkan mereka di kawasan
khas seperti yang dilakukan oleh British kepada orang Cina
ketika zaman darurat dulu.
Apakah kesannya? Orang asli jadian-jadian bikinan British
merupakan segelintir bangsa Melayu yang masih terpinggir.
Jutaan wang Baitul-mal yang sepatutnya dicurahkan (sedikit
sahaja) untuk mengislamkan seluruh masyarakat asli ini
masih tidak digunakan. Usaha mengislamkan mereka berjaya
dilakukan oleh orang persendirian kerana dasar kesedaran
dan perjuangan jihad. Tetapi, apakah yang dilakukan oleh
kerajaan dan UMNO? Falsafah membiarkan mereka sebagai
barangan antik dalam sejarah tamaddun orang Melayu sengaja
diperpanjangkan. Kalau ada pun usaha memodenkan masyarakat
itu ia mestilah mengambil falsafah hangat-hangat tahi ayam
juga.
Selepas orang (Melayu) asli, barulah kita sampai kepada
kaum India . Pada asalnya mereka dibawa untuk bekerja
membuka jalan raya dan landasan keretapi. Keretapi digunakan
untuk mengangkut hasil bijih ke bandar-bandar. Kemudian
barulah mereka ditempatkan membuka hutan rimba menanam
getah sebagai menggantikan ladang kopi yang diserang oleh
penyakit 'pytophtora'.. Ladang getah telah membuatkan
negara kaya raya terutama sekali apabila tercetusnya
Perang Korea. Kemajuan getah mendorong Syarikat Socfin
membawa masuk benih sawit untuk ditanam di Ladang Tanah
Merah (tidak jauh daripada Bukit Pelanduk) . Kejayaan itu
membuatkan Socfin membuka hutan rimba di Ca'ah hingga ke
Labis di Johor; di Sungai Ular di Kedah, di Batang
Berjuntai di Selangor dan Ladang Budu di Benta, Pahang.
Kejayaan inilah yang mendorong ramai bekas tentera British
menjadi tuan peneroka, dengan membuka hutan menggunakan
wang gratuiti persaraan mereka. Apabila berjaya mereka jual
ladang itu kepada bank dan syarikat besar di pasaran saham
Eropah. Inilah yang mendorong kemasukan pekerja daripada
kaum India ke ladang-ladang. Tetapi, British melakukan
pecah dan perintah dalam menggaji kaum India ini.
Kebanyakan mereka yang menjadi pegawai kerani adalah
daripada kaum Malayalam daripada Kerala. . Mereka yang
menjadi pegawai perubatan (dresser ataupun H.A) datangnya
daripada kaum Singhalese ataupun Tamil daripada Sri Lanka.
Ada juga segelintir yang datang daripada kaum Telugu
(seperti seorang pemimpin MIC sekarang ini). Majoriti
pekerja ladang adalah daripada Tamil Nadu (Madras) dan
daripada kaum harijan (nama lamanya ialah pariah).
Kemasukan orang Tamil Nadu ke negara ini adalah dengan tipu
helah juga. Saya ada bercerita panjang mengenai hal in
dalam tulisan yang lalu. Kaum ini merupakan satu kaum yang
tertekan hingga kini. Mereka merupakan golongan majoriti
yang bertungkus lumus bersama orang Melayu kampung
menegakkan ekonomi pertanian negara. Hidup mereka di ladang
dulu banyak bergantung kepada cara hidup masyarakat mereka
di India di mana setiap masyarakat itu dikawal oleh satu
majlis golongan tua yang lebih mirip kepada 'sistem
pancayat' di India. Sistem ini memberikan kuasa kepada
majlis orang tua menentukan keputusan muktamad dalam
masalah kehidupan masyarakatnya Inilah sebabnya apabila
masyarakat ladang itu terbubar dan kaum India masuk arus
kehidupan di bandar-bandar, mereka menjadi satu kaum yang
tertekan. Yang termampu untuk hidup di bandar ialah
dengan tinggal di kawasan setinggan. Oleh kerana pelajaran
tidak mencukupi ramai di kalangan mereka yang bekerja di
kilang-kilang yang kebanyakannya dididirikan secara haram.
Ramai yang terpaksa bekerja dua jenis pekerjaan untuk menampung tekanan hidup. Di ibukota ramai anak-anak India
yang bekerja di pasar borong hingga mampu bertutur loghat
Cina dengan fasihnya. Inilah golongan yang kebanyakannya
menganggotai kumpulan haram di ibukota, dan mengganas di
perkampungan sendiri setelah berjaya mempelajari selok
belok hidup dipengaruhi amalan 'Triad (Kongsi gelap
terancang) Cina'.
Untuk mengimbangi keganasan yang muncul daripada satu
generasi kaum yang semakin berani mengganas, apakah yang
dilakukan oleh Raja Kaum India di negara ini? Apakah dia
sanggup berlembut dengan memanggil mereka untuk berdialog?
Adakah dia melancarkan satu Pelan Induk untuk
mempertingkatkan Kaum India? Tidak, dia mula mendera mereka
dengan maki hamun. Dia tidak mampu memanjakan mereka
sedangkan apa yang diperlukan ialah telinga yang
bersimpati mendengarkan rintihan mereka. Mereka perlukan
satu sistem pancayat moden daripada kerajaan melalui MIC. Sebaliknya, Maharajah Samy Vellu, menunjukkan keupayaannya
menggunakan kekerasan untuk menentang kedegilan itu.
Secara tidak langsung terjebaklah masyarakat India lepasan
ladang-ladang itu ke kancah keganasan. Mereka amat mudah
melakukan semua ini kerana di Sri Lanka, kaum yang sama
sedang menunjukkan ketahanan mereka untuk menentang
kerajaan Colombo.
Maharajah Samy Vellu tidak lagi mampu mengendalikan masalah
sebenar kaum India kerana untuk menentukan mereka kekal
dengan agama Hindu dia terpaksa mengimpot lebih empat ratus
'sami' daripada India dan Sri Lanka. Dia akan terus
tertekan dengan hambatan ini kerana semakin ramai anak muda
India yang bertukar agama dan mengahwini perempuan asing
atau mengamalkan hidup kahwin suka-suka terutama sekali
dengan gadis-gadis yang datang daripada Filipina dan
Indonesia. Amalan baru ini sekaligus menenggelamkan budaya
membayar wang hantaran 'dauri' yang tinggi yang menjadi
amalan lama kebanyakan masyarakat India di negara ini.
Sekaligus, budaya nenek moyang mereka itu menjadi
kucar-kacir sehinggakan masyarakat India itu menjadi satu
masyarakat yang masih mencari seorang pemimpin tulin untuk
membawa mereka ke alaf baru. Kalau keadaan yang ada
dibiarkan berterusan, pencarian mereka itu hanya akan
terjawab kalau masyarakat India itu keluar beramai-ramai
daripada MIC ataupun sebarang parti politik yang merupakan
parti serpihan MIC itu juga.
Kaum Cina Pun Tertipu Juga
Kalau kita perhatikan masyarakat Cina sekarang ini kita
tentu kagum dengan kemajuan mereka itu. Inilah kaum yang
amat taksub dan setia kepada rukun hidup suku-kaum
masing-masing. Namun merka mampu bersatu apabila menandingi
masyarakat lain. Kemasukan orang Cina mengikut amalan
" Shanghai Indenture System" memberi ruang kepada ketua
masyarakat untuk menentukan cara kehidupan mereka. Orang
Cina mampu berniaga kerana sistem ini yang memberi ruang
luas kepada sistem 'Taukeh dan aperantis'. Seorang
pengusaha dimestikan (sejak dulu kala) melatih beberapa
anak muda sebagai pelatih ataupun 'apprentice' tanpa
membayar gajinya. Hanya perlu menyediakan makanan harian
dan sedikit wang saku untuk membeli sebatang-dua rokok.
Malahan dalam urus niaga teknikal, ada pelatih ataupun
'apprentice' yang dikenakan bayaran bulanan.
Cara hidup orang Cina seperti ini berjaya memberikan ruang
untuk kaum ini memonopoli dunia niaga. Sistem
'apprenticeship' akhirnya berkembang kepada sistem
'francais'. Contoh sistem francais yang paling berkesan
ialah penjualan buah-buahan, air tebu, air teh-cina dan
air-herba di tepi jalan. Kebanyakan orang Cina yang menjaja
di tepi jalan itu dulu, hanya merupakan ahli francais
tajaan kelab kaum mereka. Mereka menjual apa yang
disogokkan dengan harga yang ditetapkan. Sistem francais
ini membolehkan kaum Cina menguasai serba serbi bidang
francais yang menguntungkan. Kekuatan mereka terserlah di
satu ketika Pemuda UMNO menaja perlawanan tinju Mohamad Ali
lawan Joe Bugner. Orang Cina dengan ihsan MCA telah
mengambil sikap memulaukan perlawanan itu. Pertunjukan itu
gagal-segagalnya dan Dato Harun bersama Datok Abu Mansor
terpaksa merengkok dalam penjara.
Kekuatan sistem francais Cina itu memang amat ketara sekali
pada satu ketika mereka memulaukan memakan durian,
menjelang pertunjukan tinju Mohammad Ali-Joe Bugner itu.
Impaknya, orang Melayu yang menanam durian pun kerugian
besar. Ironisnya, peniaga Cina yang telah membayar wang
pajakan kebun durian Melayu telah dibayar pampasan sebagai sagu hati. Demikianlah berpengaruhnya masyarakat Cina dalam
mengawal dunia perniagaan mereka di negara ini.
Sehingga hari in tidak ada satu bidang niaga yang tidak
dipelopori dan ditaja oleh masyarakat Cina yang tidak
berjaya. Kerana mereka amat pintar untuk mengawal dan
menyelia ketahanan bidang niaga itu. Apabila tiba masanya
sistem 'aprenticeship' itu terkubur, masyarakat Cina
memperhebatkan sistem francais mereka sehinggakan mampu
menghentikan usaha niaga yang menggunakan banyak tenaga
buruh. Sekaligus sistem 'apprentice' itu diketepikan.
Inilah jenis niaga yang akhirnya diserahkan kepada usahawan
Melayu untuk meneruskannya. Orang Melayu pun mengambil alih
beberapa perniagaan yang satu ketika dulu dikuasai oleh
usahawan Cina. Sekaligus orang Melayu diperlekehkan dengan
'budaya cuci-mangkuk' itu.
Dengan terhapusnya sistem 'apprenticeship' ramai anak muda
Cina yang tidak berpelajaran dan berpendidikan tinggi,
menjadi sampah masyarakat hingga terjebak ke kancah
maksiat. Ini menghasilkan kumpulan haram yang menggugat
ketenteraman awam. Keadaan meruncing sehinggakan Pulau
Jerejak tidak cukup tempat untuk mereka. Bandar-bandar
kecil pun mengalami masalah maksiat apabila penjenayah yang
telah menjalani hukuman penjara ditempatkan di kampung dan
bandar kecil untuk menjalani hukuman buang daerah.
Muncullah operasi tikam-ekor haram dan perjudian haram. Ini
merupakan satu jenayah baru yang tidak menzalimi sesiapa
secara melukakan badan. Oleh kerana lumayannya operasi
haram seperti ini, jenayah rompak merompak menjadi
berkurangan terutama sekali dengan munculnya kilang di
merata negara. Setiap kilang itu merupakan tapak yang baik
untuk kegiatan perjudian tanpa lesen ini. Begitu lumayannya
operasi itu setiap wang haram perlu dibersihkan.
Bermulalah operasi 'money laundering' secara bersistem di
negara ini. Pusat hiburan bercambah dan menjadi bertambah
popular dengan terciptanya sistem karaoke (dalam Bahasa
Jepun bererti tanpa suara). Wang yang dilonggokkan daripada
perjudian tanpa lesen kini menjadi modal untuk menjana
pusat hiburan haram dan hasilnya ialah wang kutipan yang
sudah "dibersihkan" untuk memasuki sistem perbankan
negara.
Sistem mencuci wang haram di Malaysia menjadi begitu
terkenal kepada masyarakat kumpulan haram seantero
dunia sehinggakan ia menjadi tarikan dan tumpuan sindiket
asing menggunakan Malaysia sebagai tapak membersihkan wang
haram itu. Sekaligus, BSKL menjadi wacana yang terpenting
untuk dijadikan kasino di siang hari sedangkan karaoke
dijadikan tempat menghibur sesiapa sahaja yang terlibat
dalam melakukan penguatkuasaan setiap aktiviti bersangkutan
dengan kegiatan haram di negara ini.
SIAPAKAH LAGI YANG TERTIPU
Apabila wang menjadi dewata, apakah yang ada kepada manusia
kerdil yang hidupnya mencari makan secara kais pagi makan
pagi dan kais petang makan hati? Apakah yang termampu
dilakukan oleh setiap pegawai kerajaan yang bergaji bulan
tetapi yang berhutang sepanjang tahun untuk menyara hidup
keluarganya? Berapa lamakah yang termampu dilihat oleh
seorang prebet mata-mata yang semakin hampir hari persaraannya kalau setiap hari dia disuruh mengutip 'cukai
khas' bagi pihak ketuanya daripada si pengusaha 'rumah
urut', rumah mahjong, rumah sundal dan sebagainya?
Demikianlah kuasa wang yang kini dianggap sebagai dewata
oleh pengusaha yang kini sudah kaya raya. Apabila wang
diberikan ruang yang luas untuk menguasai satu masyarakat
yang amat memujanya, kuasa wang itu mampu meruntuhkan
empayar kerajaan, tidak kiralah betapa kuat dan kukuhnya sesuatu kerajaan itu. Bidalan Melayu ada berkata:
"Titisan air yang bertubi ke atas batu pejal akan
membuatkannya lekuk juga."
Demikianlah yang terjadi kepada masyarakat Melayu itu
akhirnya. Wang panas telah menyerapi segala institusi
ketuanan Melayu sehinggakan Pembalak Wong menjadi Tengku
Wong, Cashier Tan menjadi Tan Seri Vincent Tan, Tauke
batang penyapu Ting menjadi Tan Seri Ting. Cettiar Arumugam
menjadi Tan Seri Arumugam, Ah Luung Pang (tukang pinjam
duit kaum Cina) menjadi Datuk Pang.
Wang panas ataupun tempiasan operasi wang yang sentiasa
hangat itu telah memperkayakan sejumlah Melayu (yang
kebanyakannya berasal daripada kampung) sehinggakan
mereka lupa siapakah mereka sebenarnya. Sekaligus ketuanan
Melayu itu bertukar tangan daripada satu tempat yang
sungguh mulia (istana) kepada satu tempat yang diberikan kemuliaan juga (UMNO). Akhirnya ketuanan Melayu itu
terhumban ke satu kancah yang merupakan satu sistem
raksasa pemerintah negara yang tidak pernah direstui oleh
orang Melayu, oleh kerana mereka sudah tertipu.
Pengaruh Wang Haram Yang Dibersihkan
Oleh kerana sistem pengawalan kewangan di negara ini lemah,
segala bentuk wang panas mampu masuk tanpa banyak kawalan.
Malahan kemasukan wang panas itu merupakan satu agenda yang
sengaja dibiarkan dan pada tahap awalannya diberikan
permaidani merah oleh seorang diktator yang sudah gilakan
kuasa dan nama.. Tanpa wang haram itu siapakah yang mampu
membiayai segala projek mega yang dirancang sejak awal
70-an dulu? Wang panas itu menjadi satu sistem perbankan
yang setanding dengan sistem perbankan yang formal itu.
Siapakah yang lebih memahami perjalanan sistem perbankan
yang tidak formal kalau bukan seorang insan yang pernah
menjadi juru wang (cashier kepada sistem perbankan yang
formal?) Kalau tidak kerana wang panas masakan Indeks
Komposit BSKL boleh bergayut lama di atas 1200 mata?
Dengan wujudnya dua sistem perbankan yang selari itu,
pelbagai projek pembangunan telah mampu ditaja tanpa banyak
usul periksa akan viabilitinya. Pengurus bank yang formal
terpaksa berlawan dengan pengurus bank haram dalam
mengeluarkan pinjaman bagi projek perumahan dan apa juga
projek yang dibenarkan oleh kerajaan. Wujudlah struktur
yang tinggi-tinggi dan indah-indah di merata tempat. Di
Port Dickson misalnya, sebuah kondo satu bilik mampu dijual
dengan harga RM140,000 pada tahun 1997. Kini, harga pasaran
ialah sekitar RM80,000. Projek sewa bermusim yang
dirancangkan kepada pembeli kondominium mewah Port Dickson
sudah berkecai mengikut rentak JE yang mengganas Bukit Pelanduk dan beberapa tempat di
Negeri Sembilan.
Bayangkan, ratusan pelabur runcit (rakyat marhaen) yang
merana sekarang ini dengan pelaburan yang merugikan itu.
Begitulah juga halnya dengan berpuluh projek perumahan yang
tersadai di seluruh negara kerana kos penjualan yang tinggi
yang memikat para pembeli ketika itu. Projek itu tersadai
tanpa disiapkan sedangkan si pembeli terpaksa terus
membayar hutang bulanan bersama dengan faedahnya. Siapakah
yang ambil peduli semua itu?
Dengan mengecutnya potensi pembangunan sekarang ini,
pengusaha yang dirasuk hantu kemuflisan terpaksa
mengecutkan pula kos pembangunannya. Kalau dulu dia mampu
membayar lesen cukai jalan lori pengangkut pasir, kini dia
mahu mengelakkan bayaran itu. Kalau dulu dia mampu membayar
caruman pekerja kepada KWSP, kini dia mahu lari daripada
tanggungan itu. Begitulah seterusnya mengenai kos yang
perlu dilunaskan dan mahu dielakkan oleh golongan yang
semakin terhimpit perusahaannya. Wujudlah kumpulan 'TONTO'
(tolong orang tipu orang) yang digaji khas untuk menentukan usahawan yang mahu menipu itu dilindungi oleh kumpulan
ganas. Berlakulah penggunaan pekerja asing yang datang
secara haram tanpa permit dan kelulusan perubatan. Mereka
digunakan sebagai hamba abdi dengan gaji yang murah. Di
saat projek hampir tamat, tempat kediaman mereka diserang
dan digeledah dan mereka ditangkap untuk dipulangkan ke
negara asal tanpa sebarang pampasan. Kalau ada yang mati di
tempat kerja mereka ditanam di antara tiang, tembok dan
lantai yang masih belum disaluti simen dan mar mar yang
berkilat. Jadilah setiap bangunan yang tinggi itu satu
menara yang mengandungi banyak pusara terpendam yang tidak
ada sesiapa yang tahu, ataupun mahu tahu. Apakah kerana
itu masih banyak bangunan tinggi yang tidak berpenghuni
kerana tidak ada sesiapa yang mahu menyewanya? Tanyalah
pengawal (guard) yang bertugas di malam hari mengawal
bangunan kosong begini. Tanyalah apa yang pernah mereka
alami dan lihat dengan mata sendiri ataupun dengar dengan
telinga sendiri. Memang seram dan menyeramkan kerana
kebanyakan roh si mati yang teraniaya ini masih menunggu
satu semangat keihsanan untuk menenangkan.
Bagaimana pula dengan para pekerja yang diserang di saat
mereka akan tamat sesuatu kontrak itu? Di manakah mereka
ditahan dan bagaimanakah pula layanan yang mereka alami?
Masih ingatkah kita cerita seorang saksi (Majumder) di kem
tahanan Kemayan dalam Episod Fernandez dulu? Sampai bilakah
kes itu akan ditunda disebabkan ketiadaan penterjemah di
mahkamah? Bagaimanakah pula dengan cerita terbaru mengenai
orang yang ditahan di pusat tahanan didagangkan oleh
pihak yang mengawal pusat itu?
MEMERINTAH UNTUK MENJAJAH
Apa yang berlaku di atas adalah contoh bagaimana orang
Melayu dan rakyat negara ini terus dijajah walaupun negara
sudah bergelar bebas dan merdeka. Penjajahan itu sebenarnya
berterusan mengikut satu 'scheme' yang lama dirancang oleh
seorang diktator yang bertopengkan nama Islam dan berbangsa
Melayu. Kedurjanaannya itu sudah terserlah kini. Tidak ada
lagi topeng yang mampu dipergunakannya untuk terus
mengekalkan kuasanya. Kita akan kupas segala kepincangan
pemerintahan Mahathir bin Mohammad ini dalam satu artikel
khas yang merupakan satu epilog dalam siri "Kalau Tak
Larat Eloklah Lagi Bersila." Insya Allah.
Sejarah akan membuktikan betapa pemergian Mahathir Mohammad
itu akan merupakan satu episod yang panjang kerana
panjangnya proses memperbetulkan masyarakat Melayu dan
semua kaum di negara ini untuk memahami erti menjadi rakyat
sebuah negara yang merdeka.
Saya pernah berkata: Apabila seorang pemimpin negara yang
popular mula memusuhi rakyatnya untuk terus berkuasa,
bermulalah satu titik permulaan kejatuhannya. Kini,
Mahathir sedang menghampiri satu titian yang panjang yang
perlu diharungi sebelum dia tersungkur menyembah bumi.
Ironisnya terlalu ramai para cendekiawan, ilmuan dan ulama
yang sanggup menunjukkan satu tahap yang toleran terhadap
tindak-tanduknya. Kalau dinilai akan tahap kebijaksanaan
yang diberikan oleh Allah kepada semua manusia yang berada
di keliling pinggang Mahathir itu, masya-Allah……bukan
kepalang kepintaran yang ada pada mereka. Tetapi, sayangnya
mereka masih mampu tersenyum dan terhegeh-hegeh
memperakukan apa juga yang dikatakan dan dilakukan oleh
Mahathir. Sedangkan mereka tahu setiap perbuatan Mahathir masa kini adalah menyanggahi harapan rakyat marhaen dan yang
lebih aib lagi banyak yang bertentangan dengan ajaran
Allah.
Inilah masalah yang perlu difahami oleh setiap rakyat Malaysia, bahawa masa hadapan negara ini banyak bergantung kepada cara pemulihan yang patut dilakukan sekarang dengan segera sambil Mahathir masih lagi berkuasa dan bernyawa. Kalau semua pembetulan itu tidak dilakukan dan hanya mahu dilakukan selepas Mahathir sudah tiada, rakyat negara ini harus diberikan pendidikan untuk bersedia menanganinya. Akibat proses pembetulan itu akan sungguh memilukan kerana kita masih samar dengan cara ia akan dilaksanakan dan siapa pula yang akan melaksanakannya. Kita
masih dihantui kesamaran siapakah nanti yang akan
memperbetulkan segala kejijikan yang melanda; orang awamkah
ataupun mereka yang berpakaian celorengkah - seperti yang
berlaku di negara lain. Inilah kejayaan Mahathir yang paling besar sekali. Warisannya telah membawa Malaysia ke satu era yang sungguh
bercelaru di mana rakyatnya masih keliru apakah peranan seorang rakyat kepada negara yang merdeka. Selama ini Mahathir sudah berjaya memutarkan minda rakyatnya.
Selama ini pula kita taksub mempercayainya. Kerana itu yang silam perlu diselami agar kita tidak akan terus tertipu lagi.
-Marhaintua-
25 September, 00.