Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

DR MAHATHIR CABAR PAS BUKTIKAN KEBAIKAN MEREKA

BERNAMA melaporkan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mencabar PAS membuktikan kebaikan yang dibuat oleh parti itu untuk agama dan masyarakat Islam.

"PAS tidak ada buat apa-apa kebaikan selain daripada melemparkan fitnah semata-mata," katanya.

PAS hanya menggunakan Islam untuk menghina agama itu sendiri dan Rasulullah SAW, katanya pada majlis bersama rakyat di Ladang Rakyat, Lakar Temin, Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

Beliau berkata PAS gagal membawa pembangunan kepada rakyat walaupun membentuk kerajaan dan memerintah Kelantan.

"Kemudahan asas seperti air pun kerajaan PAS gagal sediakan di Kelantan," katanya.

Sebaliknya, PAS hanya pandai menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dan pemimpin, kata Perdana Menteri. Mereka mengajar rakyat agar tidak bersyukur dengan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional, katanya.

"Jangan ajar anak kita jadi tidak baik. Kalau tak bersyukur negara akan menjadi huru hara. Dalam masyarakat yang tidak berterima kasih, tidak akan ada tolong menolong," katanya.

Keadaan itu, kata Dr Mahathir, berbeza dengan kerajaan BN yang berusaha untuk menjamin masa depan rakyat supaya lebih sempurna.

BN sebagai contoh membawa pembangunan di kawasan itu dengan yang terbaru membawa kilang membina komponen sayap pesawat Boeing, kata Perdana Menteri.

Katanya kecekapan PAS hanya mengajar pengikutnya membuat bendera parti, panjat pokok, pasang bendera.

Beliau juga mendedahkan PAS sanggup mengadakan sembahyang hajat sebanyak 100 kali meminta beliau meninggal dunia.

"Patutkah kita sembahyang hajat meminta orang lain mati?" tanya beliau.

Nota webmaster:
Pada hemat MR cabaran PM kepada PAS itu laksana cabaran seorang ayah kepada anaknya. Jika dijawab dikatakan derhaka dan tidak menghormati mereka yang tua. Bukan semua cabaran harus dijawab. MR sempat mengikuti ucapan PM dalam siaran berita malam tadi. Rasanya perlu diperjelaskan bahawa, kebaikan itu bukan hanya dengan mendirikan masjid, membina universiti Islam, Bank Islam dan seumpamanya. Benarlah itu adalah sebahagian dari kebaikan lahiriah yang dapat dilihat dengan mata.

Tetapi di sisi Allah tafsiran kebaikan itu jauh lebih hebat dan tuntutannya sehingga kadangkala membuatkan kita sebagai manusia merasakan diri begitu kerdil dan tidak mampu untuk melaksanakannya. Umpamanya, mencegah berlakunya maksiat dan kemungkaran juga adalah satu ibadat dan kebaikan. Menghapuskan rumah pelacuran, kilang arak, pesta maksiat, berjimat cermat tentang pengurusan duit rakyat dan mengelakkan pembazirannya itu juga tergolong dalam tuntutan ibadat dan kebaikan. Pendek kata kebaikan itu terlalu hebat sehingga tidaklah boleh kita angkuh dengan mendirikan masjid kununnya kita berbuat baik. Bagaimana jika mendirikan masjid dengan wang haram (puncanya) serta niat yang haram (yakni tidak ikhlas kepada Allah bahawa masjid adalah rumah Allah dan bebas kepada sesiapa untuk melaksanakan kerja ibadat?).

Allah berfirman bermaksud:

"Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang yang mendirikan masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam) dan menguatkan keingkaran (mereka sendiri) serta memecahbelahkan perpaduan orang-orang beriman dan juga (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan buruk mereka itu ketara) mereka akan bersumpah dengan berkata: 'Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan dengan kebaikan semata.' Pada hal Allah menyaksikan, sesugguhnya mereka berdusta!" ayat 107 Surah At-Taubah

Pada hemat MR juga PAS ketika ini lebih bersifat rakyat (cuma kerajaan di Kelantan dan Terengganu). Justeru majoriti negeri-negeri di Malaysia masih di bawah kuasa BN, maka sudah pastilah tanggungjawab membuat perlaksanaan projek itu tanggungjawab BN. Namun ingat peruntukan itu adalah duit rakyat, datang dari pelbagai cukai langsung dan tak langsung yang dibayar oleh setiap warganegara di bumi bertuah ini. Jadinya, tidak berhak untuk sesiapa mencabar sesiapa melainkan kuasa rakyat (people power) yang berhak menyoal kerajaan di manakah segala tanggungjawab yang telah diamanahkan selama 5 tahun berkuasa. Sesungguhnya cabaran PM itu tidak relevan melainkan dengan niat yang tidak baik kerana angkuh kepada Allah dan mahu menjatuhkan sebahagian rakyat dan saingannya.

Cabaran PM kepada PAS itu tidak relevan!!

 
Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter