Kes yang besar-besar menjadi bahan utama akhbar. Beberapa
menteri telah ditangkap kerana rasuah. Ada satu kes setiap
satu dekad sejak 1960-an hingga 1980-an. Tan Kia Gan
adalah Menteri Pembangunan Negara sehingga dia kalah pada
pemilu 1963. Kami memang berkawan rapat sejak awalan
1950-an lagi. Ketika itu beliau merupakan seorang
pemimpin dalam persatuan jurutera Malayan Airways dan saya
pula menjadi penasihat undang-undang kepada kesatuan itu.
Kami telah melantiknya menjadi seorang pengarah Lembaga
Pengarah Malayan Airways. Dalam satu mesyuarat lembaga
pengarah pada Ogos 1966, Tan telah membangkang cadangan
untuk membeli sebuah pesawat Boeing. Beberapa hari
kemudiannya, seorang insan bernama Mr. Lim telah
menghubungi First National City Bank, yang merupakan Bank
urusan Boeing. Lim cuba menawarkan khidmatnya dalam
pembelian itu. Lim merupakan rakan niaga Tan Kia Gan.
Pihak bank memang sedar akan pendirian kerajaan dalam aspek
rasuah, dan telah melapurkan perkara itu. Lim enggan
membabitkan Tan Kia Gan, kerana itu dia tidak dapat
didakwa. Tetapi saya yakin bahawa Tan memang terlibat.
Walaupun situasi itu memeritkan, saya terpaksa mengeluarkan
satu kenyataan menyatakan bahawa sebagai seorang ahli
lembaga pengarah Malayan Airways, Tan telah gagal
melaksanakan tugasnya dengan telus. Saya telah memecatnya
daripada semua jawatan. Menteri Lim Kim San telah
memberitahu saya kemudiannya bagaimana Tan telah merasa
begitu hiba kerana telah disisihkan oleh masyarakat. Memang
saya pun merasa sedih dalam hal itu tetapi saya tidak
mempunyai jalan lain.
Wee Toon Boon adalah seorang menteri dalam negeri bagi
kementerian alam sekitar. Pada 1975 dia telah melancong ke
Indonesia bersama ahli keluarganya dengan menggunakan tiket
yang dihadiahkan oleh seorang pemaju perumahan yang pernah
direkomenkannya kepada pegawai perkhidmatan awam. Malahan
beliau telah menerima hadiah satu banglo yang bernilai
S$500,000. Di samping itu beliau telah mendapat kemudahan
dua overdraft atas nama bapanya yang diberikan jaminan oleh
pemaju itu. Overdraft bernilai S$300,000 adalah bertujuan
untuk digunakan untuk spekulasi pembelian saham. Wee
merupakan seorang pemimpin kesatuan sekerja yang tidak
pro-komunis sejak 1950-an. Memang amat pedih bersemuka
dengannya dan mendengar segala alasan betapa beliau tidak
bersalah. Dia telah didakwa dan didapati bersalah dan
dihukum penjara selama empat tahun dan enam bulan. Dia
telah membuat rayuan. Hukuman tidak berubah tetapi
tempohnya telah dikurangkan selama 18 bulan.
Pada Disember 1979, kami dilanda satu musibah. Phey Yew
Kok, ketika itu menjadi presiden NTUC dan merupakan seorang
MP parti PAP, telah dikenakan empat tuduhan pecah amanah
berjumlah S$83,000. Dia juga menerima dua tuduhan di bawah
Akta Kesatuan Sekerja kerana melaburkan wang union
berjumlah S$18,000 dalam perniagaan sebuah supermarket
tanpa mendapatkan keizinan menteri yang berkenaan. Seperti
yang kerap berlaku dalam kes semacam itu, dia telah
dibebaskan dengan ikat jamin.
Devan Nair yang ketika itu menjadi setiausaha agong
kesatuan NTUC memang rapat dengan Phey dan yakin Phey
tidak bersalah. Dia telah meminta CPIB menimbangkan kes
itu semula dengan berkata seorang insan yang tidak
bersalah sedang dipunahkan oleh sebab tuduhan palsu. Saya
tidak setuju dengan permintaan itu. Setelah menyemak kes
itu semula saya pun membenarkan CPIB meneruskan siasatan
mereka. Devan Nair memang terlalu yakin bahawa Phey tidak
bersalah dan tidak mahu kehilangan seorang pembantu yang
pintar dalam pergerakan kesatuan sekerja. Pada satu hari
Sabtu dia telah membincangkan perkara itu dengan penuh
perasaan. Saya pun menelefon pengarah CPIB di hadapannya
dan meminta beliau mendedahkan segala bukti yang ada di tangannya itu kepada Nair sebaik sahaja kami selesai makan.
Setelah melihatkan barang bukti, Nair tidak pun menghubungi
saya. Phey telah bertindak melanggar ikat jamin itu ,
akibatnya dua orang yang mengikat jamin terpaksa kerugian
$50,000 apabila dia tidak muncul semula. Kali terakhir
yang kami dengar mengenainya menyebut yang beliau berada
di Thailand sebagai orang buruan. Di sana dia terus menjadi
mangsa kepada peras-ugut pihak kastam dan imigresen.
Kejatuhan yang paling dramatik telah mengenai The Chang Wan
yang satu ketika dulu pernah menjadi Menteri Pembangunan
Negara. Pada November 1986, salah seorang rakan lamanya telah mengaku setelah disoal oleh CPIB betapa beliau
telah membayar Teh sebanyak dua kali. Setiap kali
pembayaran dibuat jumlahnya ialah S$400,000. Satu
pembayaran bertujuan membolehkan satu syarikat pembangunan
mengekalkan hak milik sebahagian kawasan tanah yang
telah dicadang untuk diambil alih oleh kerajaan. Satu
pembayaran lagi ialah untuk membantu seorang pemaju tanah
dalam usahanya membeli tanah kerajaan untuk tujuan
pembangunan. Sogokan wang itu berlaku di antara 1981 hingga 1982. Dia
telah menafikan kes itu dan telah cuba berunding dengan
penolong pengarah kanan CPIB agar kes itu ditutup sahaja.
Setiausaha kabinet telah melaporkan hal ini kepada saya
dan menyatakan betapa Teh telah meminta izin untuk berjumpa
dengan saya. Saya memberi jawapan bahawa saya tidak dapat
berjumpa dengannya selagi penyiasatan belum selesai. Satu
minggu kemudian, pada pagi 15 Disember, 1986 pegawai
keselamatan saya telah membuat laporan betapa Teh telah
mati dan meninggalkan satu surat untuk saya.
Perdana Menteri,
Saya beras sungguh kecewa dan sedih sejak dua minggu yang
berlalu. Saya bertanggungjawab ke atas kejadian yang sungguh malang dan berasa saya patut menerima tanggungjawab
itu. Sebagai seorang manusia timur, saya rasa adalah memang
patut kalau saya menerima balasan kepada kesilapan besar
yang pernah saya lakukan itu.
Yang mengikut perintah,
The Cheang Wan
Saya telah membuat kunjungan ke rumah Teh yang diletakkan
di atas katilnya dan berjumpa dengan balu beliau. Dia
telah menyatakan betapa The telah berkhidmat dengan kerajaan sepanjang hayatnya dan mahu mengekalkan harga
dirinya. Dia telah meminta kalau siasatan koroner boleh
diketepikan. Perkara in hanya mungkin kalau dia dapat
satu surat daripada seorang doktor yang mengesahkan
bahawa beliau mati kerana perkara biasa. Kerana tidak
boleh dielakkan, satu siasatan koroner diadakan juga. Hasil siasatan menunjukkan beliau telah membunuh diri dengan
memakan sodium amytal secara berlebihan. Pihak pembangkang
telah mengungkit kisah ini di parlimen dan mahukan satu
suruhanjaya siasatan. Saya memang mudah bersetuju dengan
permintaan ini. Impaknya ia mendedahkan banyak lagi
perkara yang menyakitkan balu dan anak perempuan si mati
itu. Tidak berapa lama kemudian mereka telah keluar
daripada Singapura dan tidak pernah kembali semula kerana
menanggung malu yang amat dahsyat.
Kami berjaya mewujudkan satu suasana di mana umum
memandang korupsi di kalangan mereka yang berkuasa sebagai
satu ancaman kepada masyarakat. Teh telah memilih membunuh
dirinya daripada menghadapi keaiban dan suasana dicemuh
oleh masyarakatnya. Saya tidak faham kenapa dia sanggup
menerima S$800,000. Dia adalah seorang arkitek yang
berwibawa dan berbakat dan mampu mengumpul ratusan juta
dengan cara yang halal.
Memang mudah memulakan sesuatu dengan satu standard etika
yang tinggi, iltizam yang kuat dan keazaman untuk
menghapuskan korupsi itu. Tetapi, adalah amat sukar untuk
mengekalkan usaha murni itu melainkan para pemimpin
mempunyai daya tahan yang kuat dan bersungguh-sungguh
memerangi semua penceroboh tanpa sebarang pengecualian.
Pegawai CPIB mesti diberikan sokongan tanpa berdolak-dalih
untuk menguatkuasakan undang-undang.
Dalam satu usaha penyenaraiannya pada 1997m Institute of
Management Development telah menerbitkan hasil kajian
dalam satu terbitan berjodol World Competitiveness Yearbook.
Dalam buku itu nisbah bernilai sepuluh (10) telah
digunakan untuk menilai negara yang kurang terdapat amalan
korupsi. Singapura telah diistiharkan sebagai negara yang
paling kurang amalan korupsinya di seluruh Asia dengan nisbah 9.18. Ini telah disusuli oleh
Hong Kong, Jepun dan
Taiwan. Transparency International (yang berpusat di
Berlin) telah memilih Singapura menduduki tempat ke 7
dalam satu senarai yang merangkumi seluruh dunia pada tahun
198.
Kiraan persen (peratusan), wang sogok, baksheesh, slush,
tumbuk rusuk ataupun apa juga namanya adalah satu cara
hidup di Asia. Manusia menerimanya sebagai sebahagian
budaya hidup mereka. Para menteri dan pegawai tinggi tidak
mampu hidup berlagak sakan setara dengan jawatan yang
mereka pegang. Lagi tinggi jawatan itu, semakin besarlah
rumah kediaman mereka dan semakin ramai jumlah isteri,
gundik ataupun dayang-dayang yang perlu dihiasi dengan
intan permata yang setanding dengan pangkat yang dipegang
oleh jejaka mereka. Rakyat Singapura yang berdagang
dengan negara yang mengamalkan cara hidup begini terpaksa
berwaspada agar mereka tidak mengimpot sama amalan
tersebut.
Dipetik daripada The Star 18 September, muka surat 8.
(Diterjemahkan oleh MT)