Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

PENUBUHAN KERAJAAN YANG BERSIH 
(Clean Government - Lee Kuan Yew: The Singapore Story 1965-2000)

Ketika PAP  (The People's Action Party)  merangkul kuasa pemerintahan pada 1959,  ia telah memberikan keazaman kepada kami untuk mewujudkan satu  pentadbiran negara yang bersih.  Kami memang merasa mual  dengan kelahapan, keadaan korupsi dan kereputan kebanyakan  pemimpin di Asia.  Inilah para pejuang kebebasan  yang memimpin rakyatnya dan kemudiannya bertukar menjadi  penyamun khazanah negara. Masyarakat mereka pun menggelonsor ke belakang. Ketika itu kami memang disemarakkan oleh  gelombang revolusi  di Asia, dan memang berazam untuk menyingkirkan pemerintahan kolonial. Di waktu yang sama kami merasa jengkel dan amat malu  dengan perbuatan para pemimpin nasionalis di Asia yang gagal untuk memperkotakan idealisme mereka sehinggakan kami kecewa dengan mereka.

Pernah satu ketika selepas peperangan di England dulu, saya bertemu dengan  beberapa pelajar daripada China yang amat bersemangat  mahu menyingkirkan  pemimpin mereka yang sungguh korup dan tidak cekap mentadbir.  Keadaan inflasi di negara mereka sungguh menggunung tingginya dan peristiwa rompakan harta benda yang  terus mengganas, menyebabkan ramai  pemimpin Nasionalis Cina itu yang melarikan diri  ke Taiwan.  Sikap para pemimpin yang mudah disuap dan sogokkan wang telah mencetuskan perasaan jijik di kalangan  sebilangan besar pelajar sekolah Cina di Singapura sehinggakan ramai yang cenderung kepada perjuangan komunisme. Pelajar-pelajar ini nampak akan contoh-contoh perjuangan   yang ditonjolkan oleh para pemimpin  komunis itu yang  amat bersabar,  berdedikasi, tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri sehinggakan perwatakan itu menjadi satu ikutan  dan kepercayaan hidup ramai pengkagumnya  ketika itu.

Sebelum berlangsungnya pilihanraya umum May 1959 kami ada membuat satu keputusan yang penting  yang menyerlahkan pendirian kami  mengenai korupsi. Kerajaan Lim Yew Hock (1956-1959) sudah menjadi korup ketika itu. Menteri pendidikan  beliau, Chew Swee Kee, pernah menerima wang sogok berjumlah S$1 juta daripada sumber yang berasal daripada Amerika sebagai kos memerangi pengaruh komunis dalam pilihanraya umum  (pemilu) itu.  Terdapat juga beberapa desas-desus betapa  adanya  sogokan yang lebih kecil sedikit  untuk  sebab-sebab yang remeh.  Kami memang tidak berapa yakin   di pemilu itu kerana kami merasakan belum berapa  bersedia dan juga tidak  berapa mantap dalam susunan organisasi    memerangi  pengaruh  komunis yang memang dijangka  akan mengganyang kami sebaik sahaja kami berjaya menubuhkan sebuah kerajaan. Tetapi kami tidak mahu memberikan ruang kepada sekumpulan penyangak  untuk berkuasa semula selama lima tahun lagi  kerana mereka sudah pasti akan berjaya mengotori minda  pegawai perkhidmatan awam  yang masih lagi  jujur dalam tugas mereka.  Kalaulah perkara ini dibiarkan  bererti kami tidak lagi akan berjaya memperbaiki sistem yang tercemar. Kerana itu kami membuat keputusan untuk terus melawan.

Suasana yang menggoda memang terdapat di mana-mana, bukan semestinya di Singapura sahaja.  Sebagai contoh,  setiap kali seseorang menjejakkan kakinya di negara yang dilawatinya, hubungan rasmi yang terawal dilakukannya tentulah dengan pegawai imigresen dan kastam. Di beberapa lapangan terbang di Asia Tenggara   pelancung  asing kerap diperlecehkan oleh pihak kastam sehinggalah pelancung itu mengeluarkan wang tunai sebagai imbuhan. Amalan menjijikkan yang serupa diamalkan juga oleh para polis trafik apabila menahan seseorang pemandu atas tuduhan apa yang dikatakan memandu terlalu laju. Pemandu terpaksa menyerahkan lesen memandu mereka beserta harga imbuhan yang perlu  dibayar mengikut kadar semasa, untuk mengelakkan  tindakan lanjutan.  Ini adalah disebabkan pegawai yang kanan dalam sesuatu peristiwa itu tidak menunjukkan contoh yang baik. Di beberapa bandar besar di rantau  ini, kemasukan seseorang ke dalam hospital memerlukan susulan bayaran sogokan tertentu untuk memastikan  rawatan segera. Kuasa yang remeh-temeh apabila diamanahkan kepada  manusia yang tidak mampu hidup dengan gaji bulanan yang murahan  sudah pasti akan mengundang keadaan kerja yang menyalahgunakan kuasa itu.

Kami mempunyai satu misi  yang besar untuk mewujudkan satu pentadbiran kerajaan yang bersih dan berkesan. Ketika mengangkat ikrar sumpah setia pada 1959 itu, kami telah mengenakan pakaian serba putih  sebagai lambang kejujuran dan keikhlasan  dalam tingkah laku kami  secara peribadi dan juga dari segi melayani rakyat. Rakyat memang mengharapkan perkara ini dan kami berazam tidak akan menghampakan mereka.  Pihak yang pro-komunis telah mengenakan pakaian yang  menayangkan imej cara hidup mereka (seluar dan  lengan baju yang lusuh), pergerakan mereka adalah dengan menggunakan bas dan teksi, tempat tidur mereka selalunya di bahagian bilik belakang  rumah persatuan. Mereka berpendidikan daripada sekolah Cina.

Golongan prokomunis ini kerap mempersendakan keadaan pejabat dan rumah saya yang mempunyai kemudahan hawa dingin,. Begitu juga dengan kereta saya  jenis American Studebaker, tabiat saya yang suka bermain golf dan meminum bir. Seterusnya dengan latar belakang keluarga saya daripada kelas marhaen dan pendidikan yang saya terima di Cambridge.  Namun mereka tidak berupaya menuduh saya dan rakan-rakan bahawa kami pernah membuat keuntungan daripada usaha membantu para pekerja dan persatuan pekerja yang pernah kami bantu.

Semua menteri kabinet saya, kecuali seorang sahaja, adalah lulusan universiti.  Kalau kami tidak menjadi menteri pun memang kami mampu hidup senang lenang dengan kelulusan yang ada pada kami.  Memang tidak perlu melakukan kerja-kerja mencari duit  sampingan sebagai tangkal di hari  tersebut. Yang penting sekali, kebanyakan kami mempunyai isteri yang sedang bekerja yang mampu menyara hidup anak-anak seandainya kami terpenjara.  Inilah yang menjadi rukun hidup  rakan menteri saya dan isteri mereka.  Apabila para menteri menerima  keyakinan dan dihormati oleh rakyatnya, pegawai kerajaan pun  mampu berkhidmat  dengan megah dan membuat keputusan dengan penuh keyakinan. Inilah yang menjadi  satu  perbandingan yang kritikal dalam usaha kami memerangi pengaruh komunis itu.

Diterjemahkan oleh -MT-

 
Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter