Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

POLITIK KEBENCIAN DR. MAHATHIR TERHADAP PAS MENDAPAT SIMPATI

Minda Mingguan kali ini menyingkap ucapan Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap dalam persidangan mengenai Malaysia Pada Milenium Baru semalam di Uniersity of Cambridge, England. Beliau antara lain mengajak generasi muda Malaysia menyelamatkan masa depan negara dengan membantu kerajaan menghapuskan ekstremisme politik dan agama yang sedang dipupuk oleh parti-parti pembangkang terutama PAS.

Menurut Perdana Menteri, politik Malaysia pada masa akan datang mungkin dicemari keganasan berdasarkan berleluasanya politik benci yang ditanamkan oleh pembangkang pada masa ini.

Katanya, kalau itu berlaku dan tidak disekat, keganasan kerana politik fanatik seperti yang terjadi di Sauk akan berulang dan Malaysia mungkin terjebak dalam krisis tidak menentu yang boleh menghancurkan pembangunannya.

Dr. Mahathir juga memaparkan senario itu dan secara terbuka dan melahirkan kebimbangan tentang tindakan para pemimpin PAS yang dikatakansedang memupuk kebencian dan pembohongan dalam diri generasi muda Malaysia sejak mereka kanak-kanak.

''Apabila kanak-kanak itu dewasa, perasaan benci telah menjadi betul-betul tebal hingga tidak dapat diubah lagi. Ia hanya menjadi semakin buruk,'' kata Dr. Mahathir sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Meloya hari ini.

Dr. Mahathir mendakwa jika politik benci PAS itu jika tidak dihapuskan ia akan membahayakan Malaysia pada milenium baru ini dan menjejaskan cita-cita negara. 

''Jika kita bertindak sekarang, kita mungkin menyelamatkan masa depan, tetapi tentu sahaja kita akan dikutuk oleh penyokong-penyokong mereka.''

Beliau berkata, kerajaan menyedari tentang bahaya kempen politik benci itu kepada kestabilan Malaysia dalam jangka panjang tetapi apabila kerajaan bertindak untuk menghapuskannya ''terdapat segelintir orang yang menganggap apa juga tindakan kerajaan sebagai tidak demokratik, kejam dan menafikan hak asasi rakyat.''

''Mereka ini mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan demokrasi di luar negara. Bagaimanapun, orang-orang asing ini tidak akan menderita jika negara kita hancur. Kebanyakan mereka mungkin gembira melihat kita hancur.''

Itulah sebahagian dari ucapan Dr. Mahathir yang secara terang-terangan melafazkan kebenciannya terhadap PAS dan BA akibat dari sokongan rakyat terhadap mereka. Bukti sokongan rakyat itu sudah ditunjukkan dalam pilihan raya umum negara 29 November tahun lalu dan beberapa siri pilihan raya kecil yang terakhir di Teluk Kemang.

Dalam hal ini PM menyalahkan PAS kerana dikatakan menghasut kanak-kanak dan mempengaruhi pemikiran mereka. Rasionalnya sudah pasti hasutan PM itu tidak ada logikanya memandangkan setelah setiap kali memenangi pilihan raya mereka (pemimpin UMNO) kembali dengan agenda mereka sendiri sehingga melupakan tugas utama mereka membela nasib rakyat.

Akibatnya proses pilihan raya itu berlalu seperti satu percubaan UMNO/BN untuk memperbaharui lesen 'kekuasaan' mereka. Setelah itu mereka perolehi maka agenda merompak kekayaan negara mereka teruskan. Kehidupan sosial rakyat terkapai-kapai sehingga masalah sosial hari ini benar-benar menggugat kehidupan keluarga dan masyarakat.

Tanpa terpukau oleh segala kekuasan duniawi, PAS sebaliknya meneruskan proses mentarbiah masyarakat dan mengajak mereka mencari keredhaan Ilahi. Ruang kosong yang ditinggalkan UMNO/BN itu pastinya diisi segenap ruang untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat, baik diperingkat dewasa mahupun di peringkat pra sekolah. 

Anak-anak remaja diasuh mengenal Allah dan mengenal nabi dan kecintaan kepada agama. Mereka diberikan amaran bahawa kehidupan yang tidak berpedoman hanya akan merosakkan keimanan dan menggadai kehidupan dunia dan akhirat.

Proses ini bukan baru setahun dua. Malahan sudah berpuloh tahun lamanya. Akibatnya generasi muda kini mempunyai ilmuan asas keagamaan dan dapat membezakan antara yang hak dan batil. Sekiranya mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sudah pasti pelajaran itu akan terus disambung dan dimanfaatkan setiap waktu yang ada.

Kembali kepada tuduhan PM bahawa PAS mengasuh politik benci membenci itu sebenarnya adalah jelas ide beliau sendiri. Amat pasti bahawa sistem pendidikan Islam yang diamalkan di PASTI tidak berorientasikan politik, malahan sebaliknya kanak-kanak diajar mengenal Allah dan sifat-sifat yang wajib kita ketahui. Mereka juga diajar sejarah nabi dan para pahlawan semasa kebangkitan Islam. Tidak ada proses kebencian yang diperturunkan melainkan yang benar dan yang salah. Generasi muda harus dibimbing secara ikhlas ke jalan Allah, bukan dengan mempengaruhi mereka dengan ideologi politik sempit apa lagi jika politik sekular.

Seperkara yang menarik dalam ucapan itu PM menyatakan prinsip perkongsian jelas digambarkan dalam pengurusan ekonomi dan sosial kerajaan. Pendekatan Robin Hood untuk merompak orang kaya bagi membantu orang miskin ditolak oleh kerajaan campuran Barisan Nasional. Ini adalah kerana amalan kerajaan BN mereka akan merompak harta rakyat miskin (melalui pelbagai dasar penswastaan dan persyarikatan) untuk diinikmati oleh golongan kaya, tanpa mereka sedikitpun merasai bersalah akibat perbuatan itu. Contoh terbaru dalam hal ini ialah royalti minyak kepada rakyat Terengganu yang dirampas melalui nama wang ehsan.

Diakhir ucapannya PM menyatakan kerisauan beliau terhadap sesetengah orang Melayu yang mendakwa tidak ada perbezaan antara UMNO dan PAS, kononnya jika mereka menyokong PAS tiada perkara buruk akan berlaku kepada orang Melayu, kedudukan sosioekonomi mereka dan negara Malaysia.

Dakwa PM lagi, jika PAS memerintah Malaysia, negara akan tidak stabil dari segi politik dan tidak akan membangun. Katanya, lihat sahaja kerajaan Kelantan yang tidak mampu untuk membekalkan air kepada rakyatnya. PAS, menurut Perdana Menteri, tidak akan dapat memerintah Malaysia. Apa yang parti itu dapat lakukan hanyalah melemahkan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO.

Persoalannya siapakah yang mengamalkan politik benci membenci serta hasut menghasut? Jika pembangkang pernah ditudingkan jari dalam hal ini, ucapan Dr. Mahathir di University of Cambridge semalam jelas membayangkan tuduhan itu berbalik kepada mereka yang kini mengamalkan politik hasut menghasut dan benci membenci. 

Anihnya kebencian yang ditabur kepada PAS tidak mendatangkan kebencian sebenar di hati rakyat, sebaliknya mendapat simpati dan sokongan yang kian kukuh di hati mereka.


8 Oktober, 2000

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter