Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

HARUSKAH EZAM BERTEMU PEMIMPIN BARAT?

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera

Ezam atau sesiapa saja tidak sepatutnya bertemu dengan musuh umat Islam untuk menagih simpati. Walaupun
mereka mungkin memberi simpati, tetapi untuk jangka masa panjang, ambo rasa ia bukan satu strategi yang
baik untuk kepentingan Islam.

Ambo bersetuju bahawa ini bukan cara yang disaran dalam Islam. Kalau mahu menuruti strategi para Sahabat
dahulu, mereka ada bertemu dengan Raja Habsyah dari Etiopia untuk tujuan yang sama dengan Ezam pada
prinsipnya. Tetapi Raja tersebut dikenali sebagai seorang raja yang taat kepada agama Nasrani (Islam
yang dibawa oleh Nabi Isa AS) sehingga beliau menangis apabila dibacakan surah Maryam kepadanya oleh Zayd.

Sedangkan pemimpin Barat hari ini telah jauh terpesong, bukan sahaja daripada ajaran Kristian itu sendiri, tetapi juga daripada prinsip demokrasi dan hak kemanusiaan secara terang, termasuklah menjadi dalang dalam pelbagai kezaliman umat Islam di Kosovo, Kahsmir, Palestin, Mindanao etc.

Ambo terbaca dalam rencana pengarang HARAKAH November edisi English, sdr pengarang juga ada menegur strategi yang dilakukan oleh pemimpin keADILan ini yang bertemu dengan pemimpin Barat untuk menagih sokongan dan simpati. Tetapi sebelum itu lagi, ambo sudah punya prinsip tersendiri dalam isu ini.

Tindakan tidak bertemu untuk menagih sokongan Barat/ Kafir Harbi ini jangan disalah-ertikan sebagai satu
tindakan menjauhi manusia. Cuma sebelum bertemu dengan mereka, apakah kita sudah tanya dulu, siapa mereka itu dan untuk tujuan apa kita bertemu.

Mereka itu jelas Kafir Harbi yang boleh/ patut diperangi. Siapa lagi yang boleh mempertikaikan hakikat ini? Kalau pun kita mahu bertemu dengan manusia seperti itu, biarlah di ketika kita sudah kuat dan punya 'izzah sendiri. Tentu kita tertanya mengapa Nabi SAW tidak bertemu dengan Maharaja Rom atau Parsi untuk tujuan yang sama tetapi sebaliknya bertemu  dengan Raja Habsyah, sedangkan Raja Rom Hercules itu juga beragama Nasrani?

Bagaimana kita boleh mempunyai dua prinsip perjuangan yang bertentangan? Bagaimana mungkin di satu ketika
kita menentang kezaliman mereka ke atas umat Islam tetapi di ketika yang lain kita seperti memohon bantuan mereka pula? Apakah perjuangan kita diilhamkan daripada perjuangan orang seperti Nelson Mandela, Yaser Arafat, Nur Misuari dan seumpamanya? Mandela mungkin punya matlamat yang tidak bercanggah dari segi dasar tetapi Arafat dan Misuari? Apakah akhir atau akibat mereka berdua ini sekarang? Hina dan dihinakan.. menang jauh sekali.

Kita mungkin dapat mengatakan bahawa strategi ini tiada kaitan dengan agama sebagai satu justifikasi. Kalau inilah justifikasinya, maka lagilah silap besar. Kita mungkin tidak menganggapnya demikian, tetapi mereka itu pastinya telah mengambil-kira semua aspek yang ada pada kita, termasuklah agama kita.

Ya, betul. Mungkin dengan strategi ini, situasi ekonomi negara dan BSKL boleh digugatkan oleh mereka. Seterusnya BN juga boleh tergugat. Memang ada benarnya tetapi ia hanya sesuai sebagai satu strategi jangka
pendek, sedangkan seorang pemimpin sebenar akan berfikir lebih jauh daripada itu. Apatah lagi seorang
yang punya fikrah Islamiah dan punya 'izzah dalam diri.

Secara peribadi juga, ambo dari awal lagi tidak bersetuju dengan tindakan Nurul Izzah bertemu dengan
Presiden Estrada satu ketika dahulu sebagaimana DS Wan Azizah bertemu dengan Madeline Albright. Kita semua sedia maklum tujuan mereka yang sebenar akan pertemuan tersebut. Albright memang sudah jelas lagi bersuluh akan ketaksuban keyahudiannya dalam isu Palestin dan Perang Teluk.

Dan walaupun Estrada pada ketika itu belum lagi menunjukkan belangnya ke atas umat Islam Moro, tetapi
simpati ambo sejak dari dahulu lagi kepada perjuangan kemerdekaan umat Islam Moro tidak dapat menerima
sebarang pemimpin sebuah negara yang masih mempunyai prinsip memusuhi umat Islam sehingga ke peringkat
memerangi mereka. Hanya sesudah peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam Moro ini berlaku sekarang
baru kita mahu menyatakan penentangan kita terhadap Estrada? Atau apakah pembunuhan umat Islam itu tidak
menjadi satu isu yang begitu penting bagi kita sebagaimana pentingnya isu kemenangan Reformasi?

Di sinilah letaknya satu perbezaan pahit yang perlu ditelan oleh kita sesama BA. Perjuangan menentang UMNO
dan BN kita tuntut bersama. Tetapi tolong jangan sampai prinsip dalam agama kita gadaikan semata-mata
untuk menang di dunia ini. Memang pahit untuk ambo menuliskan ini. Tetapi ambo tidak ragu bahawa di sana
memang ramai lagi yang tidak dapat mengelakkan konflik dalaman seperti ini dan mahu meluahkannya tetapi
bimbang akan berlaku satu lagi isu kontroversial yang boleh diambil kesempatan oleh musuh-musuh kita.

Ayat yang bermaksud "Jangan kamu cenderung kepada golongan yang zalim" kita kerap tujukan kepada
UMNO/BN. Kalau UMNO/BN itu zalim, maka bagaimanakah kedudukannya golongan kafir harbi itu? Kalau UMNO zalim kerana pernah membunuh 14 orang penduduk Memali, bagaimanakah agaknya sikap kita kepada sebuah regim yang telah dan sedang membunuh secara langsung atau tidak langsung ratusan ribu umat Islam?

Buat sesiapa yang boleh membantu, ambo mahu tahu apakah ada kebaikan hakiki dan bermaruah daripada
strategi seperti ini. Dan kalau boleh, sila nyatakan bagaimanakah caranya untuk menghapuskan konflik di antara kepentingan perjuangan kemerdekaan dengan kepentingan agama dan umat Islam dalam jangka panjang melalui strategi seperti ini.


Salam,

HC

honciv@yahoo.com

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter