TERENGGANU TIDAK MEMERLUKAN ROYALTI MINYAK
UNTUK
TERUS BERNAFAS
Sungguhpun Kerajaan Pusat di bawah pemimpin autoritarian
Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk tidak lagi menyalurkan wang royalti minyak
kepada Terengganu baru-baru ini, namun perkiraan cetek politik Mahathir itu tidak banyak
yang boleh membantu mengembalikan sokongan dan dokongan rakyat, khasnya orang-orang
Melayu terhadap UMNo dan Barisan Nasional. Perkiraan Mahathir dalam soal royalti minyak
dengan membatalkan perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan Terengganu itu
tidak ubah seperti tindakan pesakit mental yang mengamuk kerana hajatnya nak kahwin
tidak dipenuhi. Politik dendam kesumat dengan menjadikan rakyat yang tidak berdosa
sebagai mangsa itu sebenarnya akan mempercepatkan proses “hapus-nisasi” (istilah
saya sendiri yang mudah difahami) saki baki UMNo yang sedang nazak menunggu ajalnya yang
sudah di kerongkong itu.
Menghadapi tindakan zalim dan tidak bertamadun politik
Diktator Mahathir itu, saya berharap kerajaan Terengganu akan mengambil beberapa
alternatif lain untuk mendapatkan sumber hasil kerajaan. Dengan ketiadaan wang royalti
tidak dinafikan bahawa agak sulit untuk mengurus sebuah negeri seperti Terengganu itu.
Keadaannya seperti negeri yang dilanda perang, terpaksa mengikat perut kerana mahu
berjimat cermat. Tetapi jika Kelantan mampu bertahan sehingga tiga penggal
pilihanraya dalam keadaan tiada pun sumber royalti seperti Terengganu dulu, masakan
Terengganu sekarang selepas ditarik balik wang tersebut tidak dapat bertahan ?
Malah
saya cukup yakin dengan rahmat dan berkat yang diberikan Allah, kerajaan pimpinan Tuan
Guru Abdul Hadi mampu meneruskan projek-projek untuk kepentingan rakyat jelata. Saya
yakin bahawa Allah pasti akan memberikan rezeki-Nya kepada Terengganu dari “arah yang
tidak disangka-sangka”. Namun sebagai manusia, kita kenalah berusaha dan berikhtiar
untuk memperolehinya.
Saya tahu negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang
masih kaya dengan sumber alamnya sendiri. Di zaman Wan Mokhtar menjadi Menteri
Besar dahulu, sumber kekayaan tersebut tidak dieksplotasi dengan sepenuhnya kerana
beliau hanya mengharapkan sumber kekayaan daripada royalti minyak semata-mata.
Pendapatan negeri daripada sumber pembalakan dan galian kurang ditekankan, malah
kedapatan sumber galian tertentu yang tidak dieksplotasi dengan sebaik mungkin kerana
‘kebodohan’ Wan Mokhtar dalam mengurus negeri. Yang dia tahu cuma menambak tebing
Sungai Telemong untuk menghalang hakisan kepada tanah milik isterinya itu.
BEBERAPA
ALTERNATIF PENDAPATAN KEKAL UNTUK TERENGGANU
1. Premium Tanah Industri
Dalam
tulisan saya yang boleh dibaca di http://tranung.com/berita9/cucu10.htm
pada 10 September lepas, saya telah mencadangkan kepada kerajaan pimpinan “Ayah
Chik" itu supaya mengkaji akan kemungkinan menaikkan cukai premium tanah di kawasan
perindustrian Petronas di Kertih . Oleh kerana bidang kuasa ke atas tanah merupakan hak
kerajaan negeri, maka Petronas wajar dituntut supaya membayar sejumlah wang yang
menyamai 5 % daripada nilai jualan minyak dan gas aslinya, atas kadar penggunaan setiap
kaki ruang tanah yang menempatkan segala kemudahan infrastruktur dan logistik minyak di
Kemaman tersebut. Jika dirasakan kadar 5 % tersebut agak tinggi, ianya bolehlah
dirundingkan antara kedua belah pihak dengan saksama.
Akibat pembayaran ini,
Petronas tidak diperlukan lagi untuk menyumbangkan apa-apa bayaran yang selain daripada
bayaran premium tanah tersebut. Maka wang royalti 5 % selama ini itu bolehlah diberikan
terus kepada Mahathir untuk membail-out syarikat-syarikat Mirzan dan Mokhzani yang kini
kembali sakit dan demam itu. Dengan kata lain, hasil petroleum kini dimiliki
sepenuhnya 100 % oleh Kerajaan Pusat. Saya rasa kena perlu ada satu dimensi baru
dalam takrifan sumbangan Petronas akibat penggunaan tanah milik negeri Terengganu
tersebut dan ini hendaklah bermula pada awal Tahun Kewangan 2001.
Selain
Petronas, di Kemaman dipenuhi dengan pelbagai kilang-kilang perindustrian yang
beroperasi hasil daripada pembuatan berasaskan sumber petroleum tadi. Kilang-kilang
tersebut menempatkan beribu-ribu hektar keluasan tanah untuk bangunan-bangunannya.
Pemilik-pemilik kilang wajar dimaklumkan akan peraturan baru kenaikan premium tersebut
dan mereka seharusnya memahami situasi yang dialami oleh kerajaan negeri sekarang. Saya
tidak fikir dasar baru ini akan menjejaskan niat pelaburan para pelabur asing dan
tempatan kerana ia lebih berupa ‘imbalan’ akibat penggunaan tanah semata-mata
dan mereka juga perlu sedar bahawa harga tanah di Terengganu masih jauh terlebih murah
berbanding dengan tanah-tanah industri di Selangor, Johor dan sebagainya.
Berhubung
dengan premium tanah industri ini, suka saya menambah bahawa kerajaan Terengganu
juga wajar menaikkan premium tanah kepada syarikat-syarikat dan kilang yang dimiliki
oleh Kerajaan Pusat atau kepentingannya dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Pusat atau
para kroninya. Misalnya kilang NST di Ajil dan Utusan Melayu di Gong Badak. Mereka ini
wajar dipaksa membayar cukai premium tanah yang lebih tinggi kerana kepentingan Kerajaan
Pusat di dalamnya ataupun dimiliki oleh kroni-kroni Mahathir sendiri.
Selain itu,
mana-mana tapak bagi projek yang ingin dimajukan oleh Kerajaan Pusat di bawah kelolaan
JPP yang baru ditubuhkan itu wajar dikenakan “taksiran khas” cukai premium tanah
atau bangunan sejajar dengan fungsi mereka yang mengkhianati kerajaan yang telah dipilih
oleh rakyat.
2. Eksplotasi Optima Sumber Galian
Terengganu merupakan
sebuah negeri yang kaya dengan sumber galian bawah tanahnya seperti emas, bijih besi,
amang dan timah. Kawasan di sekitar geografi Marang –Wakaf Tapai- Cendering merupakan segi tiga
‘emas’ yang menyimpan banyak kekayaan emas yang masih belum diterokai.
Ketika negara heboh dengan penemuan emas di Lubuk Mandi beberapa tahun dahulu, tumpuan
hanyalah diberikan kepada kawasan sekitar itu sahaja. Hasil pengalaman orang tua saya
sebagai ‘orang lama’ dalam sumber galian dan pembalakan di Terengganu, beberapa
tempat tertentu di kawasan yang saya sebutkan tadi mengandungi logam emas dan amang yang
banyak untuk diterokai. Pendapat saya ini meskipun tidak berdasarkan fakta-fakta yang
tepat disebabkan ‘halangan’ semasa Wan Mokhtar dahulu, tapi saya percaya
logam–logam berkenaan masih tersimpan di situ, Insya Allah.
Di kawasan Ajil
misalnya, logam amang yang digunakan dalam pembuatan cat meskipun telah diterokai secara
agak meluas, tetapi ianya dipercayai masih ‘bersambung’ sehingga ke kawasan Bukit
Payung Kuala Terengganu, yang masih belum diterokai. Di beberapa buah gunung di
sekitar Empangan Kenyir dan bersempadan dengan negeri Kelantan dipercayai mengandungi
logam emas yang agak banyak selain daripada batu-batu permata yang bermutu tinggi
(selain dari di Besut). Di sekitar Bukit Keratan dan Bukit Kancil Hulu Terengganu juga
dipercayai mengandungi logam berharga yang masih belum diketahui nilai dan potensinya.
Corak bentuk muka bumi di kawasan-kawasan tersebut memungkinkan logam-logam tersebut
boleh diterokai dengan lebih optima sebagai sumber penting hasil negeri Terengganu.
Jabatan Tanah dan Galian Terengganu hendaklah melipat gandakan usaha-usaha meneroka
kawasan-kawasan berpotensi tersebut secepat mungkin supaya hasilnya cepat diperolehi.
Saya percaya jika segala sumber galian tersebut dieksplotasi, pendapatan berpuluh-puluh
juta setahun mampu diperolehi oleh kerajaan Terengganu. Selain itu, di kawasan antara
Marang-Wakaf Tapai-Bukit Payung juga masih kaya dengan bukit-bukit batu kuari yang boleh
diterokai untuk industri pembinaan jalan raya. (Mungkin kerajaan Terengganu boleh
menjimatkan duit untuk membina lebuh raya nanti dengan menggunakan batu kuari
sendiri…hehehheehehe …bergurau aje). Premium yang berpatutan hendaklah dikenakan
untuk industri-industri galian ini.
3. Sumber Pembalakan
Ketika Wan
Mokhtar menjadi Menteri Besar Terengganu, kedapatan beribu-ribu hektar hutan balak KSK
(kawasan sudah kerja) yang masih kaya dengan kayu-kayu balak di kawasan KETENGAH dimana
sebahagian besar daripadanya telah dikebas oleh kroni-kroni beliau. Oleh kerana KETENGAH
merupakan sebuah kawasan yang agak luas, sumber balak masih lagi banyak di kawasan
tersebut. Selain itu, di kawasan Bukit Bauk Dungun, adalah merupakan kawasan hutan dara
yang masih tidak terusik sebahagian besar daripadanya. Sumber balak juga masih belum
diterokai sepenuhnya di beberapa buah gunung berhampiran sempadan Kelantan dan Empangan
Kenyir serta sempadan Perak. Berdasarkan jumlah balak yang masih banyak itu, kutipan
premium hendaklah dinaikkan ke suatu kadar yang bersesuaian sebagai sumber penting
pendapatan negeri.
4. Industri Sutera
Terengganu merupakan negeri
pengeluar sutera terbesar di negara ini. Kawasan penternakan sutera Ajil walaupun telah
berjalan lama tetapi masih tidak dikembangkan seoptima mungkin. Sutera yang dihasilkan
oleh Terengganu merupakan sutera asli yang bermutu tinggi. Kerajaan Terengganu
dicadangkan mengambil peluang daripada industri ini dengan membuat pengembangan operasi
dengan lebih komprehensif. Saiz ladang ternakan dan tanaman makanan ulat sutera
hendaklah dilipatgandakan seberapa yang boleh. Kawasan-kawasan terbiar di sekitar
beberapa buah bukit di kawasan Ajil itu hendaklah dibangunkan dengan industri ini secara
lebih meluas. Lokasi tanaman dan ternakan hendaklah diperluaskan ke lain-lain daerah
dengan memberikan galakan dan insentif tertentu seperti penggunaan tanah kerajaan secara
percuma atau sewa murah untuk rakyat mengusahakan industri ini.
Selain itu, hasil
industri seperti kain sutera dan seumpamanya hendaklah dinaikkan cukainya kerana sutera
merupakan barangan mewah yang tidak diperlukan oleh rakyat marhaen. Ianya untuk kegunaan
orang-orang kaya yang mempunyai wang yang banyak dan mampu membelinya
sekalipun dengan harga yang mahal. Hasil pembuatan daripada industri ini juga
mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri Terengganu dan boleh menjana pendapatan
yang besar kepada hasil negeri.
5. Industri Limau Madu
Di zaman Wan
Mokhtar menjadi MB, hanya segelintir rakyat yang mengusahakan industri tanaman limau
madu bermutu tinggi di sekitar Bukit Payung dan Ajil/Jerangau. Tanaman limau madu
mendapat sambutan yang tinggi bukan sahaja di dalam Terengganu tetapi juga di luar
Terengganu kerana rasanya yang lazat itu. Kerajaan Terengganu disarankan menjadikan
industri ini sebagai sumber pendapatan penting dengan memperluaskan kawasan penanaman di semua daerah di Terengganu. Antara kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman
limau madu ini ialah antara Ajil hingga ke Dungun, selain dari kawasan Bukit Payung.
Beberapa kawasan di Besut juga mempunyai tanah jenis yang sesuai dengan pokok limau ini.
Jika dibangunkan secara komersil, saya percaya hasil limau madu ini mampu memberikan
pulangan berjuta-juta ringgit kepada negeri. Kejayaan Thailand menguasai industri
buah-buahan tempatan wajar dijadikan contoh.
6. Industri Ternakan Berkelompok
Industri
penternakan lembu daging, tenusu, kambing, biri-biri, rusa dan burung unta masih teramat
kecil di Terengganu. Dengan keluasan geografi dan tanah-tanahnya yang subur itu, kerajaan
Terengganu disaran agar menjadikan industri ternakan berkelompok ini sebagai
sumber penting pendapatan negeri. Penternakan lembu daging dan susu di Tersat yang
dulunya begitu gah, hendaklah dibangunkan semula secara agresif. Keluasan kawasan
hendaklah ditingkatkan secara lebih meluas meliputi keseluruhan daerah. Kejayaan
beberapa buah negeri di Australia memajukan industri ternakan lembu ini wajar dijadikan
contoh dimana sumber pendapatan kekal negeri diperolehi secara lebih spesifik. Budaya
Mat Salleh yang gemarkan ladang lembu hendaklah dipupuk di kalangan rakyat Terengganu
dengan kerjasama kerajaan negeri. Potensi ternakan lembu sedia ada yang dibangunkan
sejak sekian lama di Tersat itu hendaklah diberi nafas baru yang mampu menjana
pendapatan besar kepada kerajaan negeri.
Daging rusa yang agak mahal harganya itu
sewajarnya membuka minat penduduk Terengganu untuk memulakan industri ini secara
lebih komprehensif. Setakat ini saya lihat hanya beberapa buah negeri seperti Negeri
Sembilan dan Sabah sahaja yang menternak rusa secara komersil. Terengganu patut
menceburi industri berpotensi ini secara lebih meluas dan berani.
Berdasarkan
alternatif-alternatif sumber pendapatan negeri yang dinyatakan di atas, iaitu gabungan
antara hasil industri (premium tanah), premium hasil galian dan hasil pertanian
(premium balak dll) dirasakan mampu menyumbangkan hasil pendapatan yang besar kepada
negeri Terengganu, sekalipun tidak dapat menyamai hasil kontan wang royalti minyak
selama ini. Dianggarkan sumber –sumber tersebut mampu mendatangkan pulangan
hasil antara RM200 – 250 juta setahun kepada negeri Terengganu jika dieksplotasi sepenuhnya (mungkin tidak termasuk hasil premium tanah industri kelak).
Ini tidak
termasuk hasil sumbangan sektor pelancongan yang dijangka turut menyumbang pendapatan
yang banyak, terutama selepas PAS mengambilalih pemerintahan negeri Terengganu tersebut.
Kejayaan Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein bertahan daripada sekatan ekonomi selama
lebih 10 tahun wajar menyuntik semangat rakyat Terengganu untuk sama-sama memikirkan
alternatif terbaik mencari sumber hasil yang pelbagai daripada lain-lain punca yang
berpotensi. Jika Iraq boleh bertahan sebegitu lama tanpa hasil petroleumnya, masakan
Terengganu tidak boleh melakukan perkara yang sama ?
Malah kejayaan dan ketahanan
yang bakal diperlihatkan oleh kerajaan Terengganu dalam masa 4 –5 tahun akan datang
sudah pasti akan lebih meyakinkan rakyat seluruhnya. Yang penting, ianya pasti akan
menjadi ‘boomerang’ kepada Barisan Nasional tentang bagaimana jika sekiranya
sesebuah kerajaan itu ditadbirkan secara telus dan amanah, dengan keterbatasan hasil
pendapatan pun masih dapat mengurus dengan berkesan. Dan ini sudah pasti akan membuka
mata rakyat untuk terus memberikan undi padu mereka kepada BA dalam pilihanraya akan
datang. Jika ‘Malaysia Boleh’ (slogan BN), maka PAS juga Boleh ! Jika PAS
boleh mentadbir Terengganu dengan cemerlang tanpa hasil minyak sekalipun, saya cukup
yakin bahawa selepas itu akan berduyun-duyunlah orang-orang UMNo yang gila, separuh gila
dan pening-pening lalat menyertai atau menyokong PAS dalam pilihanraya 2004 nanti. Hanya
si buta dan si pekak sahajalah yang mungkin masih mahu “hidup dan mati kerana UMNo”.
Jadi
saya merasakan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak “memerlukan” duit royalti minyak
Mahathir untuk terus bernafas kerana sumber kekayaan negeri itu apabila diterokai sebaik
mungkin nanti mampu membisukan lidah Mahathir daripada terus menyangka yang
Terengganu di bawah PAS tidak akan hidup lama tanpa wang minyak !!
Cucu Datuk
Bahaman
24 Oktober 2000