LAGI KEJAYAAN PEMULIHAN EKONOMI?
Kerajaan BN begitu bangga mengwar-warkan kejayaan ekonomi serta pemulihan yang
didakwannya. Mungkin tindakan ini membuktikan kepada kita sebenarnya apakah kejayaan
ekonomi yang dimaksudkan itu. Adakah dengan menaikkan harga barangan di pasaran,
menurunkan kadar cukai tak langsung, menaikkan harga pelbagai keperluan dan tuntutan
hidup rakyat. Jika demikianlah yang berlaku, kerajaan BN benar-benar menzalimi rakyat
termasuk para ahli parti mereka sendiri. Cuba perhatikan berita ini.
KABINET SETUJU NAIKKAN HARGA RUMAH
KOS SEDERHANA RENDAH
PULAU PINANG, 20 Okt (Bernama) -- Harga rumah kos sederhana rendah akan dinaikkan
kepada RM48,000 hingga RM70,000 untuk menggalakkan lebih ramai pemaju menambah
pembinaan rumah bagi kategori itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Seri Ong Ka Ting.
Katanya kenaikan harga itu telah dipersetujui kabinet selepas mengambil kira
faktor kenaikan harga tanah dan harga rumah kos rendah daripada RM25,000 kepada
RM42,000 tahun lalu.
Harga rumah kos sederhana rendah pada masa ini adalah di
antara RM42,000 dan RM60,000.
Ong berkata pembinaan rumah kos sederhana rendah
tidak mencapai sasaran kementerian itu dan hanya 20 peratus daripadanya dibina
disebabkan pemaju perumahan lebih berminat membina rumah kos tinggi bagi mengaut
keuntungan lebih.
"Pembinaan rumah kos sederhana rendah tidak banyak jika
dibandingkan dengan kelayakan golongan yang bergaji antara RM1,000 dan RM2,000 sebulan
untuk memiliki rumah kos berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
majlis makan malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Pulau Pinang di sini malam
tadi.
Beliau berkata golongan itu juga tidak layak untuk memiliki rumah kos
rendah dan dalam masa yang sama tidak mampu untuk membeli rumah kos tinggi.
"Tarikh
pelaksanaan kadar baru itu belum ditetapkan sebaliknya satu garis panduan berhubung
pembelian rumah kos sederhana rendah yang dibina pemaju perumahan yang dikawalselia
kerajaan akan ditetapkan pelaksanaannya dengan kadar segera," katanya.
Ong
berkata bagi projek perumahan kos sederhana rendah yang dimajukan oleh pihak swasta ia
tidak terlibat dengan ketetapan kementerian itu dan bebas dibeli oleh sesiapa saja.
Kementerian
juga sedang mencari jalan untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah kos rendah
dan sederhana rendah dalam jangka masa panjang.
Ong berkata antara langkah yang
akan diambil ialah menyediakan garis panduan atau intensif terhadap kos tanah bagi
memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Katanya di
bawah Rancangan Malaysia ke-8, sasaran utama kementerian adalah untuk membina sebanyak
740,000 buah rumah dengan separuh daripadanya adalah rumah yang mampu dimiliki iaitu
berharga di bawah RM70,000.
|