Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

JANGAN GADAI HUKUM KERANA MUSLIHAT POLITIK

Editor Notes:
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
--------------------------------------------------------------------------------

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Noor Suzaily dan takziah buat keluarganya. Kejadian yang berlaku amat memilukan kepada siapa juga yang mendengarnya apatah lagi menanggung kesan langsung darinya. Jenayah keji yang berlaku ini bukanlah jarang berlaku di negara ini, malah statistik menunjukkan pertambahan dari tahun ke tahun. Peningkatan kejadian jenayah seksual seperti ini turut menggambarkan betapa keruntuhan iman di kalangan penduduk negara ini semakin buruk.

Malangnya tragedi ini telah dieksploitasi oleh puak-puak sekular untuk menyerang kenyataan Tuan Guru Nik Aziz berhubung sahsiah diri wanita dan kaitannya dengan gejala sosial. Mereka yang kesempitan idea ini lantas mengambil kesempatan untuk berlagak hero membela wanita-wanita yang engkar perintah Allah dengan membiarkan diri bertelanjang (biarpun berpakaian) berikutan tragedi ini berlaku hampir kebetulan dengan kenyataan Nik Aziz.

Tidak dinafikan mangsa-mangsa serangan seksual tidak hanya tertumpu kepada wanita yang tidak menutup aurat, malah banyak juga mangsanya terdiri daripada wanita yang berpakaian sopan, seperti Allahyarhamah Noor Suzaily. Berdasarkan pemikiran logik sekular, mereka merasakan ianya mencukupi bagi menafikan kenyataan Nik Aziz lantas menjadikan mereka idola wanita-wanita engkar berkenaan demi meraih sokongan politik untuk Puteri UM-NO yang baru ditubuhkan mereka.

Tidakkah mereka berfikir bahawa perintah menutup aurat itu adalah wajib dan datangnya daripada Allah Maha Pencipta, yang menciptakan sekelian alam termasuk tubuh badan mereka. Allah Maha Mengetahui akan naluri manusia dan sifat tabii mereka. Hukum yang Allah telah perintahkan adalah lengkap untuk memelihara kedamaian di bumi ini. Kerosakan dan keruntuhan sosial yang berlaku sekarang ini adalah kesan daripada keengganan manusia sendiri untuk mematuhinya.

Dalam persekitaran sosial seperti di negara ini dengan muda-mudinya yang semakin tidak berpakaian, rangsangan daripada media hiburan yang tidak terbatas, hukum agama dipermainkan pemerintah sendiri, ulamak dicerca, artis dipuja dan bermacam-macam lagi kerosakan, akan menukar naluri manusia kepada binatang.

Bila terdapat kesempatan, manusia yang lemah imannya ini dan terperangkap dengan bisikan Syaitan, pastinya akan bertindak tanpa memikirkan dulu samada mangsanya menutup aurat ataupun tidak. Sesiapa sahaja boleh dimangsakan dalam keadaan keruntuhan sosial yang menjadi-jadi sekarang ini. Malang bagi Jurutera Komputer itu kerana berada pada ketika yang memberikan kesempatan kepada penjenayah untuk bertindak ke atasnya.

Malang bagi kita juga kerana kejadian ini dimanipulasikan oleh puak-puak sekular ini bagi menempelak hukum Allah yang cuba disampaikan dalam kenyataan Nik Aziz. Mereka ini melihat pada sudut yang sempit hanya berkisar pada kejadian yang berlaku tanpa memikirkan puncanya dari aspek yang lebih luas.

Selagi hukum Allah dipermainkan selagi itulah masalah yang menghantui negara ini tidak akan selesai. Guballah seberapa banyak Akta dan tutuplah seberapa banyak pusat video game, masalah sosial pasti tetap berlaku. Siapalah manusia untuk mengawal manusia melainkan Penciptanya sahaja yang mampu mengawal mereka. Kembalilah kepada ajaran Islam sepenuhnya dan patuhilah perintah Allah.

Kepada puak-puak sekular yang mempertahankan wanita-wanita untuk berterusan bertelanjang itu, janganlah cuba menampilkan diri sebagai hero. Kalian semua adalah perosak dan penjenayah yang sebenar. Mereka adalah musuh wanita dan umat Islam yang paling besar. Merekalah yang bertanggungjawab menjauhkan kita semua dari jalan Allah yang akan menyaksikan kejadian-kejadian seperti ini akan terus berulang.

Sekian, teruskan perjuangan!!!
ALLAHHUAKBAR!!

171000



 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter