Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Tertipu dengan kenaikan harga minyak

Saya terpanggil untuk melafazkan rasa dukacita dan tertipu dengan tindakan pihak kerajaan menaikkan harga minyak tempoh hari. Ini disebabkan kempen kenaikan harga minyak yang digemburkan bahawa kenaikan sekadar 10 sen seliter dikatakan tidak membebankan rakyat. Memang sekali imbas cuma sepuluh sen seliter agak kecil nilainya tetapi hakikatnya jumlah yang perlu ditambah untuk memungkinkan kenderaan kita bergerak setiap hari melibatkan bayaran lebih tinggi.

Pada puratanya apabila ke stesen minyak, kita bukannya memasukkan satu liter minyak ke tangki sebaliknya antara 10-20 liter minyak untuk menampung perjalanan dalam urusan harian. Ini bererti kita perlu menambah kos mengisi minyak antara RM1-RM2 sebagai kos tambahan berbanding keadaan sebelum harga minyak dinaikkan. Bayangkan jika seorang berkenderaan perlu membayar tambahan kos sedemikian dan jika keseluruhan rakyat berkenderaan di negara ini melakukan pembayaran sedemikian setiap hari, ini bermakna pihak kerajaan dan syarikat minyak berjaya mengumpul sejumlah wang yang besar dari hasil kenaikkan harga minyak tersebut.

Maka, mana mungkin pihak peniaga lain tidak memikirkan cara lain melepaskan kos kenaikkan harga minyak tadi dengan menaikkan harga barangan mereka dan sekaligus membebankan pengguna. Cuba bayangkan jika kenderaan yang beroperasi di negara ini setiap hari disekitar 5 juta kenderaan. Maka setiap pemiliknya pula terpaksa menambah kos mengisi minyak sebanyak RM1 ke RM2 sehari.

Ini bermakna pendapatan tambahan yang diperolehi pengeluar minyak dan pihak kerajaan adalah sekitar RM5 juta ke RM10 juta sehari. Dan jika didarab sebulan bersamaan RM150 juta ke RM300 juta sebulan dan bagi tempoh setahun pula peningkatan nilai tambahan kepada pendapatan mereka sebanyak RM1.8 billion ke RM3.6 billion setahun. Bayangkan dengan penambahan kos minyak ini, pastinya beban pengeluaran dan penghantaran barangan juga meningkat dan memungkinkan pihak pengeluar dan peniaga menaikkan kos barangan jualan mereka.

Implikasi keduanya ialah rakyat bukan sahaja berhadapan dengan masalah kenaikan harga minyak tetapi juga kesan rantaiannya iaitu perlu memperuntukan perbelanjaan tambahan untuk membeli barangan lain bagi memenuhi keperluan harian seperti keperluan sebelum kenaikkan harga minyak. Dalam keadaan ini, saya perhatikan bahawa rakyat bukan sahaja tertipu dan terbeban dengan bayaran kenaikan harga minyak tetapi juga kenaikan harga barangan yang membawa kepada tekanan hidup yang lebih membebankan berikutan kenaikan harga barangan tersebut.

Untuk itu, kenaikan harga minyak bukan sahaja memerlukan seseorang itu memperuntukankan perbelanjaan tambahan daripada pendapatan sediaada pada puratanya RM60 sebulan bagi menampung kenaikan harga minyak tetapi juga kos tambahan perbelanjaan harian. Jika perbelanjaan hariannya bagi memenuhi keperluan keluarga sekitar RM30 sehari, kini dengan kenaikan harga barangan sekitar 20% ke 40% akibat kenaikan harga minyak, maka beliau terpaksa memperuntukan tambahan sebanyak RM6 ke RM12 sehari menjadikan kos perbelanjaan harian selepas kenaikkan harga minyak kepada RM36 hingga RM42 sehari.

Jika dikira dalam sebulan maka digabungan kos kenaikan harga minyak yang perlu ditanggung yakni RM60 ditambah kenaikan harga barangan sekitar RM180 sebulan (dengan andaian kenaikan harga barangan sekitar 20%) maka jumlah keseluruhan yang perlu ditambah untuk memenuhi perbelanjaan perjalanan dan keperluan harian seseorang adalah sekitar RM240 sebulan. Ini bermakna dengan kenaikan gaji sebanyak 10% bagi kakitangan rendah kerajaan tidak juga membawa sebarang makna atau erti dari segi daya membeli mereka.

Jika dikatakan bahawa seorang kakitangan rendah mempunyai pendapatan RM800 sebulan dan dengan kenaikan gaji 10% sebulan, jumlah pendapatannya adalah sekitar RM880 walhal kos tambahan bagi memenuhi tuntutan perjalanan dan keperluan hariannya akibat kenaikan harga minyak dan barangan memnyebabkan peruntukan tambahan diperlukan sekitar RM240 sebulan daripada perbelanjaan yang perlu disediakannya sebelum harga minyak dinaikkan. Bagi pegawai kerajaan dari kategori A yang berpendapatan sekitar RM2000 dan RM3000 sebulan juga, kenaikan gaji 10% juga tidak membawa sebarang perubahan dari segi kuasabeli mereka.

Kenaikan gaji sebanyak 10% atau bersamaan RM200 ke RM300 sebulan sesungguhnya sekadar membiayai kos tambahan perjalanan dan membeli barangan yang perlu ditanggung akibat kenaikan harga minyak muktakir ini. Malahan, bagi beberapa individu, kenaikan gaji 10% tidak dapat menampung kenaikkan kos perjalanan dan perbelian barangan keperluan harian. Akibatnya kita menjadi lebih miskin daripada keadaan sebelum kenaikan harga minyak diistiharkan. Rasanya inilah keadaannya yang perlu dihadapi oleh rakyat keseluruhannnya akibat ketidak perihatinan peminpin negara amnya.

Akhir-akhirnya rakyat juga yang tertindas dan tertipu bukan sekali kerana kenaikan harga minyak tetapi juga kenaikan harga barangan. Mungkin pihak pemerintah tidak menyedari keadaan ini kerana rata-rata mereka berpendapatan besar ditambah pula kenaikan 10% yang berlaku pada mata gaji mereka menawarkan pulangan lebih besar daripada kos kenaikan minyak dan barangan keperluan mereka. Mereka juga tidak perlu risau dengan kenaikan harga minyak kerana segala perbelanjaan perjalanan termasuk minyak kereta ditanggung oleh elaun-aluan kenderaan yang disediakan kepada mereka. Bagaimana pula nasib rakyat terutama yang miskin dan berpendapatan kais pagi makan pagi. Umumnya mereka lah yang terus menderitai akan kesan kenaikan harga minyak dan barangan sehingga bukan sahaja mengancam kuasa belian mereka dari keadaan sebelumnya tetapi terus meletakkan mereka dalam keadaan kepapaan.

Analisis terakhirnya mereka yang miskin, khususnya petani miskin Melayu dan Cina dan buruh estet India terus tertekan kehidupan harian mereka. Tidak kurangnya musibah ini turut dirasai oleh mereka yang hidup makan gaji terutama dari kalangan berpendapatan rendah. Tidak ketinggalan juga tempiasannya turut dirasai oleh mereka dari kategori A kerana kenaikan gaji 10% lalu tidak pula membawa erti mereka telah dapat meningkatkan kuasa belian mereka kepada keadaan yang lebih baik.

Anti Tipu KL

(dipetik dari Harakah Daily)

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter