Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Usaha kukuhkan UMNO: Mahathir usah bermimpi

Kepala Batas, 9 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd. Noor mengatakan, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad usah bermimpi untuk melihat UMNO kukuh kembali kerana kepimpinan parti itu sudah hilang wibawa untuk menjadi pemimpin kepada rakyat ini.

Beliau ketika berceramah sempena Karnival dan Hari Penerangan PAS kawasan Kepala Batas menambah, memandangkan sokongan dan berduyun-duyun anak muda menyertai Barisan Alternatif (BA) maka sukar bagi Umno untuk membina pengaruh semula ekoran terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan.

"Sudah berapa kali Perdana Menteri menyuarakan untuk mengundurkan diri sekiranya Umno kukuh tetapi kita yakin beliau tidak akan meletakkan jawatan seandainya tidak berjumpa dengan tokoh yang benar-benar sealiran denganya" tegas beliau.

Jadi untuk menyakinkan Perdana Menteri tegas beliau, Timbalannya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba sedaya upaya melakonkan watak yang diinginkan oleh Perdana Menteri terutamanya berhubung isu royalti minyak di Terengganu.

Bukan itu sahaja bahkan, beliau dijerat oleh Perdana Menteri untuk menuruti telunjuknya kerana beliau mempunyai rekod buruk pada tahun 1987 apabila terlibat dengan perpecahan sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 (PMS46).

'Timbalan Perdana Menteri tidak akan membantah segala tunjuk ajar Perdana Menteri kerana terjerat dengan peristiwa hitam bersama Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razalegh Hamzah pada tahun 1987," jelasnya juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tindakan Dato' Abdullah di Terengganu menambahkan lagi dendam rakyat apabila mengeluarkan kenyataan pihak pusat akan menyalurkan peruntukan terus kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan projek dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

Ucapan itu menurutnya, bukan jalan penyelesaian terhadap isu royalti minyak sebaliknya mewujudkan lagi perasan dendam politik seluruh negara untuk melihat Barisan Nasional (BN) tewas di serata negeri pada pilihanraya Umum akan datang.

"Bila mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak sewajarnya ramai rakyat terkejut kerana selama ini JKK yang dilantik mempunyai rekod buruk. Inikan pula mahu menguruskan kewangan yang banyak," jelasnya di hadapan ribuan hadirin.

Katanya lagi, akibat daripada itu mana mungkin Umno boleh kukuh kembali kerana ramai tenteranya keluar menyertai atau simpati dengan perjuangan yang mahu mewujudkan sistem pemerintahan yang adil kepada semua rakyat.

Sebelum itu Dato' Fadzil diberikan penghormatan menyampaikan cenderahati kepda 17 ahli veteran PAS Kawasan Kepala Batas dan Negeri yang banyak menyumbangkan tenaga untuk membangunkan PAS sehingga ke hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Khazali Husain, Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Balas, Ustaz Zulkifli Shaari, Pengarah Karnival, Zulkifli Ishak dan Setiausaha PAS Kawasan, saudara Mahjud Hanafi.

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter