'Umno Kuat Islam Kuat'? Umno
semakin hilang arah
oleh Adi Putra
KOTA BHARU, 9 Okt (Hrkh) - Orang ramai di negeri
ini terutamanya tokoh-tokoh agama mempertikaikan tema 'Umno Kuat Islam Kuat' pada
konvensyen Umno Kelantan 2000, yang diadakan di sini, Sabtu lalu.
Menurut mereka tema tersebut cuba memperlihatkan
keegolan parti itu kononnya Islam hanya kuat hanya apabila Umno kuat.
Seorang pendawah bebas, Haji Hasbullah Awang, 55
berkata, amat tidak sesuai sekali mana-mana parti sekali pun mengunakan tema tersebut
apatah lagi sebuah parti yamg tidak memperjuangkan Islam.
"Tema 'Umno Kuat Islam Kuat' kalau dilihat
sekali pandang menampakkan seolah-olah Umno wujud lebih awal daripada Islam,"
katanya.
Menurutnya, tindakan Umno menggunakan tema
tersebut sebenarnya untuk berdepan dengan kekuatan PAS yang sudah lama berjuang
memartabatkan Islam.
Katanya, idea tidak munasabah itu mungkin datang
dari seorang pemimpin dalam Umno yang pernah bersama PAS suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun beliau berkata, pengalaman yang ada
pada tokoh terbabit ketika bersama PAS tidak mampu digunakan semasa dia bersama Umno
sekarang kerana pentas perjuangan cukup berlainan.
"Tema seperti ini sebenarnya menampakkan Umno
terlalu pincang untuk memperkatakan tentang agama sehingga boleh ditertawakan orang
ramai," katanya.
Ketua Pemuda PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman
Yunus berkata, tema yang digunakan Umno pada konvensyen tersebut mencerminkan mentaliti
sebenar pemimpin Umno yang sering mempermainkan agama.
Katanya, tidak ada dalam catatan sejarah Umno
benar-benar mahu mendaulatkan Islam, malah sepanjang penubuhan parti itu hala tujunya
lebih berasaskan kepada dontrin sekular.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi
Zakaria berkata, dengan tema tersebut seolah-olah menampakkan Islam sebagai menumpang
kepada kekuatan Umno.
"Tema tersebut amat tidak bertempatan dengan
konsep perjuangan Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan sekularisma kerana asas
idealogi itu memisahkan antara politik dan agama," tambahnya.Beliau juga berkata,
biarpun kewujudan Umno bukan untuk menentang Islam, namun pada hakikatnya mereka
menganggap politik hanyalah perjuangan hidup di dunia sahaja.
Baru-baru ini, Umno mengadakan konvensyen di
sebuah hotel terkenal dengan tema, 'Umno Kuat Islam Kuat'.
Ucaptama dilakukan Pengerusi Perhubungan yang
baru, Dato' Mustafa Mohamed.