ITO BUAT KEJUTAN..
Satu sesi ceramah BA telah diadakan di sebuah kampung
yang 'pekat UMNO', Kampung Bendang Sera di Serdang,
Kedah pada 7 hb. Oktober baru-baru ini. Sejarah
kampung ini semasa pilihanraya 1999 yang lepas
menunjukkan bahawa BA hanya berjaya meraih 200 undi
dari 2000 pengundi di situ. Rasa-rasanya inilah
kawasan yang paling terpencil pernah kami jejaki
kerana untuk sampai ke sana terpaksa melalui jalan
kecil sepanjang lebih 2 kilometer dari jalan utama.
Memandangkan betapa terpencilnya kedudukan tapak
ceramah , saya begitu sangsi akan sambutan yang bakal
diterima. Apatah lagi kampung tersebut merupakan kubu
kuat penyokong-penyokong UMNO TOTOK.
Namun rasa curiga itu sekali lagi dipatahkan dengan
kehadiran lebih kurang 3000 orang ke ceramah tersebut.
Rakyat Kedah tetap setia berpayung di bawah naungan BA
nampaknya. Penceramah-penceramah pada malam itu
sepatutnya terdiri dari Dato' Sheikh Azmi, Raja
Komando dan Sdr. Saifudin Nasution. Apabila diumumkan
bahawa Dato' Sheikh Azmi dan Raja Komando tidak dapat
hadir pada malam itu ramai yang mengeluh kecewa. Walau
bagaimanapun para hadirin dikejutkan apabila pengerusi
majlis mengumumkan bahawa pengganti Raja Komando
adalah Sdr. Ito, bekas penyanyi terkenal lagu-lagu
blues satu ketika dahulu. Ternyata nama Ito masih
lagi segar di ingatan kami....Ito dengan lagu-lagu
rakyatnya.
Para hadirin pada malam itu terdiri dari berbagai
peringkat usia tetapi yang paling ketara nampaknya
adalah dari golongan yang sudah lebih dahulu makan
garam. Oleh kerana program pada malam itu dianjurkan
oleh PAS kawasan tersebut maka ramailah ahli-ahli PAS
yang datang memberikan sokongan.
Tidak lama kemudian Sdr. Ito pun muncul di atas pentas
kecil dengan menyandang sebuah gitar kotak dan sebuah
harmonika. Disangkakan pada mulanya Sdr. Ito akan
memberikan ucapan tetapi beliau terus sahaja memetik
gitarnya dan menyampaikan lagu lamanya, 'sakit, sakit,
sakit'. Kelemahan sistem PA menjejaskan sedikit
persembahannya di mana untuk mendapatlan 'mood'
nyanyiannya beliau terpaksa mengulangi beberapa kali
'intro' lagu tersebut. Keadaan ini telah menimbulkan
keresahan di kalangan penonton sehingga menyebabkan
beberapa suara nakal melaung dari belakang meminta
Sdr. Ito memberikan ucapan sahaja. Walau bagaimana pun
persembahan diteruskan dengan lagu kedua, 'Apo nak
dikato'. Saya lihat beberapa orang lama di barisan
hadapan berbisik-bisik sesama sendiri. Saya sendiri
tidak berani untuk bergerak mahupun menoleh ke
belakang. Suasana yang agak kurang menyenangkan itu
menyebabkan lagu nyanyian Ito terasa begitu lama
sekali.
Selesai lagu kedua itu Ito mengucapkan terima kasih
dan mengundurkan diri ke belakang pentas. Tiada tindak
balas ataupun tepukan dari penonton seperti
kelazimannya. Masing-masing seperti terpukau dengan
agenda majlis yang tidak disangka-sangka dan tidak
pernah dihidangkan kepada mereka sebelum itu. Seperti
telah berlaku satu kejutan budaya kepada ribuan
makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang hadir pada malam
itu. Pengerusi majlis kemudiannya mengucapkan terima
kasih dan terus menjemput Sdr. Saifudin Nasution untuk
memberikan ceramah tanpa memberikan sebarang komen
terhadap persembahan Ito tadi.
Dengan pengalaman dan kebijaksanaan Sdr. Saifudin
Nasution sebagai penceramah terakhir, ketegangan
perasaan di kalangan hadirin dengan mudah dikawalnya.
Beliau dengan bijak menyentuh betapa BA kini diwakili
oleh semua kelompok masyarakat antaranya golongan
profesional, kolar putih, kolar biru, ahli akademik,
petani, pekerja sektor awam dan yang terbaharu sekali
adalah dari kalangan penggiat seni atau artis. Hanya
dengan penyerapan segenap lapis masyarakat dari
berbagai bidang inilah yang akan menjadikan BA kuat
dan mampu diberi kepercayaan untuk memegang tampuk
pemerintahan negara ini kelak. Menurutnya antara
artis-artis yang pernah dilihatnya hadir pada sesi
ceramah yang disertainya adalah Sdr. Nasir Khan
(sewaktu di Yan), Ogy Ahmad Daud dan Noraini Hashim
(semasa di Hulu Kelang).
Bagi mereka yang berfikiran terbuka, kaedah pendekatan
'terbaru' seperti ini tidak akan menjadi satu masalah
besar. Namun bagi sesetengah golongan terutama dari
kawasan pendalaman pendekatan seperti ini agak asing
dan kurang menyenangkan mereka. Mungkin pihak BA
terpaksa menilai dan men'adaptasi' kaedah penyampaian
berseni ini dengan lebih teliti dan halus lagi agar
dapat diterima oleh semua pihak. Satu perkara yang
boleh membuatkan saya tabik kepada pak-pakcik dan
makcik-makcik pada malam itu adalah tidak seorang pun
yang bersikap tidak sopan dengan mengangkat punggung
meninggalkan majlis di tengah-tengah keresahan mereka
itu. Mungkin di atas rasa setiakawan yang dibentuk
oleh barisan alternatif telah berjaya mendidik mereka
menjadi lebih terbuka. Apa-apa pun sekalung
penghargaan buat Sdr. Ito yang telah sudi menjejakkan
kaki ke ceruk kampung. Sesungguhnya adalah diharapkan
agar usaha murni beliau tidak pula akan disia-siakan
oleh kita semua.
LAWAN TETAP LAWAN!
ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!
Kak Id 2000