Aktivis Media Akan Seret KDN ke Mahkamah
KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis
Media Independen (KAMI) mungkin akan mengambil tindakan undang-undang kepada Kementerian
Dalam Negeri (KDN) ekoran sikap segelintir kakitangan Unit Kawalan Penerbitannya yang
dikatakan mengamalkan amalan double standard dan menyalahgunakan kuasa mereka ketika
berurusan dengan pemilik dan pengamal media alternatif.
Jurucakapnya, Ahmad Lutfi
Othman, ketika dihubungi selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Suhakam di sebuah
hotel terkemuka di sini, 6 Ogos lalu, berkata, mereka sedang mengumpul bukti-bukti
berkaitan.
"Malah sebahagian karenah buruk KDN sudahpun didedahkan dalam
pertemuan dengan Suhakam itu. Alhamdulillah, ahli-ahli Suhakam yang hadir, yang diketuai
Tan Sri Harun Hashim memberi respons yang cukup memberangsangkan," tegas Lutfi lagi.
Dalam
pertemuan itu, KAMI diwakili 16 wartawan-penulis bebas manakala Suhakam, selain Harun,
diwakili Prof Mehrun Siraj, Prof Hamdan Adnan, Zainah Anwar.
Menurut Lutfi, isu
kebebasan media di Malaysia tidak dapat lari dari membincangkan peraturan dan akta-akta
yang mengongkong, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Dalam pertemuan itu, KAMI
menggesa agar akta berkenaan dipinda, manakala konsep pemberian permit yang diamalkan
selama ini dimansuhkan.
KAMI juga memandang berat peruntukan yang memberi kuasa
mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk melulus atau menolak permohonan baru, menggantung
dan mengharamkan mana-mana permit penerbitan tanpa perlu memaklumkan sebarang alasan.
"Dari
sudut ini, KAMI juga bercadang untuk mempersoalkan kesahihan peruntukan berkenaan, yang
menafikan terus peranan mahkamah sebagai tempat rujukan terakhir. Pindaan yang dibuat pada
3 Disember 1987, hanya selepas 35 hari Operasi Lalang berkuatkuasa, hanya mendedahkan
dendam kesumat Mahathir kepada badan kehakiman ketika itu, yang akhirnya membuatkan bekas
Ketua Hakim Negara dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung dipecat," tambah Lutfi.
"Zaman
sekarang sudah berubah, hakim-hakim kini sudah menjadi kroni Mahathir, jadi apa perlu
dibimbangi peranan mahkamah untuk menjadi orang tengah dalam perbalahan KDN dengan media
alternatif. Tapi kami lebih suka jika Suhakam sendiri dapat bertindak sebagai orang tengah
itu," tegasnya lagi. .
"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG
PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
--------------------------------------------------------------------------------
KAMI
24G,
Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks :
03-4630372