SIRI YTDT
YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI
P r o l o g
Apabila saya tamat menyiapkan Bab-30 dalam
"Siri Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila", saya fikir eloklah
mengambil masa yang panjang untuk menulis bab penutup siri itu dalam bentuk satu epilog.
Saya perlu membaca kembali 30 bab yang ada dan
membuat rumusan beberapa halaman dengan mencoretkan sedikit penjelasan ke atas
beberapa idea yang terpetik ketika menulis siri tersebut.
Ramai peminat yang
menulis dalam pelbagai perkara. Ada yang mahu saya percepatkan tulisan epilog itu. Ada
yang mahu saya teruskan siri tersebut sedangkan ramai yang memberi pelbagai lagi idea
sebagai bahan penulisan.
Untuk mengelakkan perkara remeh-temeh berpanjangan:
- Kini saya mengambil satu jalan pintas
untuk menangguhkan sahaja penulisan epilog itu kepada satu masa yang bersesuaian
sebelum berakhirnya tahun 2000.
- Menyambung tulisan saya dalam satu siri
yang baru yang saya namakan seperti di atas. Semoga sama-samalah kita menikmatinya.
Semoga tulisan ini seperti yang lain terdahulunya akan menjadi satu bahan sejarah
untuk warisan bangsa.
-MT-
Jikalau kita lihat keadaan hidup rakyat
Malaysia sekarang ini dan bandingkan dengan keadaan selepas tercapainya kemerdekaan
dulu, memang kita harus akui betapa banyaknya liku-liku hidup yang telah diharungi oleh
bangsa kita untuk sampai ke tahap kehidupan yang ada. Inilah yang dikatakan kemajuan dan
ini jua yang ditakrifkan sebagai pembangunan hayat. Namun, perbezaan yang amat ketara
itu tidak jua merubah sikap masyarakat untuk mengejar apa yang dikatakan sebagai kebahagiaan, kerana
kebahagiaan untuk hidup itu difikirkan harus mampu memberikan
keselesaan ke atas segala-galanya, sehinggakan ramai di kalangan masyarakat
itu yang tersilap arah untuk memahami apakah sebenarnya satu kebahagiaan. Impaknya, ada
yang terus merana sehingga ke hari tua dan ada yang tidak dapat untuk terus hidup selesa
seperti yang diimpikannya.
Kepimpinan Yang Pincang
Jikalau kita
ambil sejarah kemerdekaan Malaysia dan kepimpinannya, kita dapati rakyat negara ini
sudah menghirup angin kemerdekaan selama 43 tahun. Daripada tempoh ini, dua puluh tahun
telah dihabiskan untuk hidup mengikut rentak kepimpinan seorang insan yang bernama
Mahathir bin Mohammad. Mereka yang hidup lebih awal dan lahir sebelum kemerdekaan, tentu
telah mengalami satu proses kehidupan yang panjang sehingga mampu berkata: betapa
perubahan diidamkan. Di kalangan orang Melayu, kalau ada pun segelintir
insan yang mengaku betapa keadaan hidup kini adalah menepati idamannya, kumpulan insan
seperti itu boleh digolongkan sebagai mereka yang berjaya dan yang harus menjadi bahan
rujukan bagaimana mereka mencapai taraf itu. Rujukan menyeluruh itu penting kerana kita
telah lihat bagaimana seorang guru yang memukul kompang di zaman mudanya boleh menjadi
jutawan dalam satu masa yang singkat kerana dia menjadi seorang wakil rakyat. Kita juga
telah melihat bagaimana kekayaan menghambat seorang menteri besar yang satu ketika dulu
susah hidupnya. Kalau dikira akan pendapatannya sebagai menteri besar itu tentu kita
hairan bagaimana dia mampu membawa keluar sejumlah wang yang tidak setara dengan
pendapatan bulanannya.
Contoh yang disebut di sini merupakan segelintir contoh
yang menjijikkan tetapi inilah yang merupakan racun berbisa yang telah mengabui minda
rakyat di negara ini terutama sekali orang Melayu sehingga rakyat Malaysia secara
keseluruhannya dipandang oleh orang asing sebagai satu bangsa (Malaysian ) yang sungguh
korup dan amat gemar kepada serba serbi yang bersangkutan dengan amalan korupsi. Yang
sebetulnya amalan hidup penuh bergelumang amalan korupsi itu berlaku setakat ahli politik
yang menjadi komponen Barisan Nasional secara jelasnya.
Secara jelasnya pula
kalau dilihat akan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohammad sejak dia
memegang kuasa, sikap memerangi korupsi itu merupakan satu amalan yang utama dalam
pentadbirannya. Konsep "Bersih, Cekap dan Amanah" merupakan cogankata utama
yang dilaungkannya sebaik sahaja dia memegang kuasa. Tetapi, apakah jadinya? Dua puluh
tahun kemudiannya, kita dapat lihat, yang 'bersih' itu ialah segala khazanah negara yang
dibalunnya untuk memuaskan nafsu serakahnya. Yang 'cekap' itu ialah cara dia menangani
segala projek mega yang mampu membelakangkan keizinan rakyat yang melantiknya
sebagai seorang pemimpin. Yang 'amanah' pula tentunya berhubung kait dengan cara dia
melakukan songlapan sehinggakan rakyat jelata tidak sedar sesuatu songlapan itu sudah
pun dilakukan.
Antara Yang Pelik dan Ajaib
Generasi yang akan
datang yang sudah pasti mengkaji sejarah silam akan bertanya bagaimana sebuah negara
kaya seperti Malaysia ini mampu menjadi satu negara yang merempat dan melata disebabkan
beban hutang yang sungguh besar, sedangkan Allah telah mengurniakan segala jenis sumber
kekayaan yang mampu menjadikannya sebuah negara Islam yang terkaya di dunia? Kenapakah
Malaysia tidak menjadi satu negara yang digeruni oleh dunia dan diambil kira
sebagai Kumpulan G-7++, sedangkan Malaysia mempunyai segala kriteria untuk menjadi kuat
dan berkuasa? Bukankah Malaysia merupakan sebuah negara 'kawah menggelegak' (melting
pot) di mana tamaddun dunia yang lebih matang daripada tamaddun Eropah dan Amerika
(yakni budaya Arab, India Farsi, China mampu berinteraksi dengan budaya dan tamaddun
Melayu ? Kalau diambil kira akan tamaddun orang Cina dan India dan dikira pula sikap
toleransi dan mudah-mesra budaya dan tamaddun Melayu, Malaysia sepatutnya sudah mampu
berdiri tegak seiring jalan dengan apa yang disebut sebagai kuasa besar yang menjadi
ahli G-7 sekarang ini. Apakah kita masih tidak sedar, bahawa penjajahan negara oleh
Portugis, Belanda, British, Jepun dan 'Bintang Tiga'adalah penjajahan fizikal yang
membawa banyak khazanah tamaddun dunia ke rantau ini untuk diselidiki dan diserap ke
dalam tamaddun Melayu moden? Bagaimana pula dengan peradaban Islam, Arab, Farsi,
Hindu-Pak, Cina dan India ? Bukankah semua ini satu tangkal yang besar yang sepatutnya
menjadi azimat untuk bangsa Malaysia menjadi satu bangsa yang besar dan gagah di dunia
ini?
Kalau kita lihat apa yang berlaku sejak satu ratus tahun yang lalu, kita
dapati Malaysia tidak pernah terlepas peluang untuk menguasai dunia kerana harga
dagangan yang tinggi berlaku secara menyeluruh sedangkan barangan itu ada di Malaysia.
Rempah-ratus dan damar telah menjadikan Melaka sebuah kerajaan yang dihormati oleh
dunia, kemudian muncul getah asli, bijih, koko, kelapa sawit, minyak dan selepas ini
banyak lagi sumber asli ataupun barangan yang mudah diperdapatkan di negara ini yang membuatkan negara menjadi pusat tarikan di mana seluruh dunia akan menagih simpatinya.
Yang lebih penting sekali, inilah sebuah negara yang kosmopolitan di mana kebanyakan
keluarga yang merupakan pelbagai kaum dan agama itu mempunyai pertalian darah
melalui perkahwinan ataupun semangat kejiranan ataupun pertalian anak angkat yang
berlaku di masa silam.
Ciri kosmopolitan yang begitu lama terjalin
telah mampu menepis episod Mei 13 1969, yang tercetus kerana berlakunya putar belit
politik oleh golongan yang rakuskan kuasa. Keupayaan rakyat marhaen menangani episod itu
dalam satu masa yang singkat adalah menakjubkan kerana pemimpin UMNO sehingga kini,
masih lagi menggunakan kemelut Mei 13 itu sebagai satu kayu ukuran untuk mengingatkan
orang Melayu agar terus menyokong perjuangan UMNO sedangkan perjuangan UMNO itu sudah
lama berkecai dengan pembubarannya. Yang tinggal ialah UMNO (Baru) yang ramai orang
Melayu kini suka menyebutnya sebagai UMNO Barua.
Satu ketika dulu tragedi
Mei 13 adalah satu bab sejarah yang dianggap keramat oleh UMNO kerana ia mampu
menjatuhkan seorang perdana menteri yang merupakan Bapa Kemerdekaan Negara. Tunku
Abdul Rahman sebagai anak raja yang berjuang secara bergadai-golok untuk mengongkosi
tambang dan keperluan misi perunding Malaysia ke London dulu telah mampu mendapatkan
kemerdekaan untuk Malaysia sebagai penamat kepada satu tahap perjuangan orang Melayu
yang berjuang mati-matian mempertahankan negaranya dari penjajah dulu. Tunku
disanjung oleh orang Melayu kerana orang Melayu marhaen yang merana sekian lama sebelum
itu telah berkorban nyawa untuk menentukan Persekutuan Tanah Melayu tidak mudah
dikotak-katikkan oleh British, walaupun golongan istana telah lama menerima British
sebagai penasihat mereka. Semangat perjuangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu
telah diduplikasi oleh masyarakat Melayu di Sabah dan Sarawak sehinggakan British yang
menjajah tidak mampu berbuat kerenah secara berlebihan. Di atas semangat juang orang
Melayu yang bertarung nyawa itu makanya terbina satu masyarakat Melayu yang toleran
terhadap budaya orang lain, mudah mesra dengan setiap tamu yang mendatang, mudah
menerima ajaran baru yang difikirkan dapat membangunkan masyarakatnya dan menerima pakai
setiap kata yang dihamburkan oleh mereka yang telah dilantik sebagai pemimpin bangsa.
Inilah ciri-ciri kekuatan orang Melayu yang seperti bahagian lonjong setiap rantai yang
mampu menjadi titik penyambung di antara satu dengan lainnya. Seperti juga dengan ciri
yang terdapat di rantai yang bersambung itu, inilah juga titik kelemahan masyarakat
Melayu itu sebenarnya.
Sejarah kegemilangan bangsa yang besar di dunia ini
bermula dengan era kedaifan yang menyebabkan ramai rakyat jelata bangsa itu yang mati
kebuluran disebabkan kekurangan makanan, wabak penyakit yang berjangkit ataupun
kekalahan dalam peperangan. Pengalaman yang amat getir inilah yang menyuntik semangat
kekentalan untuk bertahan dan membangun semula menjadi satu bangsa yang besar dan
berwibawa. Kalau kita teliti fenomena kemajuan bangsa yang besar itu ada dua
perkara unik yang muncul hingga menyebabkan berlakunya dua fenomena yang menukar haluan
hidup sesuatu bangsa itu. Sesuatu bangsa yang menonjolkan dirinya disebabkan
mengikut arah tuju yang dilakar oleh seorang pemimpin yang popular tanpa
mengetahui dengan jelasnya apa sebenarnya rencana mega pemimpin itu akhirnya kecundang
menjadi satu bangsa yang sengsara. Bukankah ini yang berlaku kepada Turkey di
bawah Kamal Ataturk? Malahan inilah juga yang berlaku kepada Jarman di bawah Hitler,
Jepun di bawah Emperor Hirihito, Korea Utara di bawah Kim Il Sung, Liberia di bawah
Sarjan Doe, Uganda di bawah Adi Amin, Sudan di bawah Jaffar Nyerere, Congo di bawah
Mobuto, Bangladesh di bawah Arshad Husin, Somalia di bawah Siad Bari, Ethiopia di bawah
Mogistu Mariam, Filipina di bawah Marcos dan yang terdekat; Indonesia di bawah
Suharto.
Nama yang disebut itu tadi adalah manusia yang satu ketika dulu menjadi
nama yang popular di tahap awalan kuasa mereka, tetapi menjadi nama yang dibenci oleh
bangsanya kerana membuatkan negara mereka hancur kemuflisan dan rakyatnya merempat di
merata dunia.
Keunikan yang lagi satu, terletak kepada cara kegemilangan bangsa
yang tertekan disebabkan kerakusan pemimpin unggul itu akhirnya mampu bangkit kembali
untuk menjadi satu bangsa yang besar. Cuma yang disangsikan bagaimanakah kebangkitan itu
akan berlaku dan berapa lama pula zaman transisi yang terpaksa dilalui oleh
sesuatu bangsa itu sebelum menggapai pentas kegemilangan yang diidamkannya ?
Jarman
tumpas setelah diserang habis-habisan oleh Pasukan Allies (Bersekutu). Sebuah negara
industri yang besar berpecah menjadi satu negara yang mempunyai dua ideologi tetapi
mampu bersatu menjadi satu negara yang besar kembali. Jepun bangkit semula kerana
dikejutkan oleh ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Rakyatnya bangkit
untuk menutup keaiban yang berlaku ke atas nama bangsa Jepun. Inilah sebuah negara yang
kaya dengan ilmu pengetahuan tetapi miskin dengan hasil bumi dan hutan rimba.
Jarman
dan Jepun bangkit di atas tumpah darah yang mengalir pekat di bumi sendiri dan di bumi
orang lain yang mahu dijajahnya. Mereka bangkit tanpa mempunyai satu kaki persegi
kawasan jajahan lagi. Kini, mereka menjadi ahli kumpulan negara terkaya di dunia
yang dikenal sebagai Kumpulan G-7. Ahli lain dalam kumpulan itu merupakan kuasa besar
lama yang mash lagi mempunyai negara luar yang dijajahnya ataupun yang diberikan kuasa autonomi. Inilah Great Britain, Amerika Syarikat, Peranchis, Kanada, Itali,
Jerman dan Jepun. Kecuali Amerika, negara yang lain tidak pun mempunyai hasil bumi yang
besar di negara induk mereka. Mereka masih lagi bergantung kepada negara jajahan ataupun
bekas jajahan bagi hasil bumi yang diperlukan. Tetapi, mereka mampu berlagak besar dan
bagak kerana mereka mempunyai pengetahuan teknologi yang mereka sengaja kongsi bersama
secara rahsia.
Alangkah seronoknya kalau di kalangan G-7 itu ada sebuah negara
Islam, yang mampu menjadi sebuah ahli yang menerangkan keluhuran ajaran Islam? Pada
tahun tujuh puluhan, Arab Saudi meledak sebagai negara yang terkaya di dunia kerana
harga minyak yang naik mendadak dan sekaligus Arab Saudi menjadi satu negara yang amat
disegani oleh negara luar kerana ia mampu menaja pembangunan di semua negara Arab
yang lain, termasuk juga negara Islam di beberapa tempat. Kekayaan Arab Saudi itu telah
mencelikkan mata para pengeluar barangan konsumer sehinggakan setiap bungkusan barangan
yang dijual di seluruh dunia mempunyai tulisan Arab dipaparkan di sarung (pembungkus)
barangan itu. Kenapakah begitu sekali berubahnya pandangan mata dunia luar terhadap Arab
Saudi? Kerana harga minyak yang tinggi telah meledakkan negara itu ke arah pembangunan
yang pesat. Berbilion wang dihambur untuk pelbagai pembangunan negara sehinggakan banyak
pekan kecil menjadi bandar di mana pendatang asing diambil untuk bekerja di sana.
Sayangnya pembangunan fizikal yang dilakukan kepada infrastruktur di keseluruhan negara
tidak disaingi oleh pendidikan yang setara untuk anak-anak Arab Saudi
sedangkan ibubapa mereka menjadi pengendali dan pengelola pembangunan itu. Kebanyakan
rakyat Arab Saudi masih khayal dengan budaya lama mereka sehinggakan mereka sibuk dengan
perkara yang remeh temeh sehingga tidak mampu membuat keputusan apakah wanita boleh
dibenarkan menjadi pemandu kereta secara bersendirian di jalan raya. Kekayaan
yang datang mendadak tidak digunakan untuk mendidik penduduknya sehinggakan ramai suri
rumah menghabiskan masa siang berbeli-belah sahaja dan menyerahkan nasib pembangunan
anak-anak kepada orang-gaji daripada Filipina, Indonesia, Thailand dan Sri Lanka.
Impaknya, ramai anak-anak muda Saudi kini kurang fasih bertutur dalam bahasa ibunda
mereka sedangkan pengetahuan berbincang adalah dalam Bahasa (pasar) Inggeris semata-mata.
Anak yang diserahkan kepada orang-gaji mendidiknya pun mempunyai fikiran orang
mendatang, hanya mudah berseronok tanpa memikirkan perlunya mendapat pendidikan yang
tinggi. Sejak lima tahun yang lalu, Arab Saudi yang merupakan penyumbang wang kepada
institusi besar seperti IMF dan Bank Dunia, boleh bertukar status menjadi peminjam
kepada Bank Dunia pula. Sejak dari itu, pelbagai bentuk cukai telah diperkenalkan
dan harga kos mengerjakan umrah dan haji ke tanah suci pun menjadi lebih mahal lagi.
Hasil
Minyak yang Disalahgunakan
Satu ketika dulu, pegawai kerajaan Arab Saudi akan
memperlekehkan negara Islam lain. Kalau ada sebarang mesyuarat mengenai agama Islam
ataupun hal ehwal mengerjakan haji, mesyuarat itu harus dilaksanakan di Arab Saudi
seolah-olah hal ehwal haji itu adalah urusan ulung Arab Saudi semata-mata. Keadaan sudah
berubah, Arab Saudi sudah perit kerana pembangunan negara yang banyak membazirkan
warisan bangsa dan pemberian Allah. Sedikit demi sedikit maruah orang Arab Sudi sudah
tercemar. Mereka sedang mengikut trend yang dipelopori oleh orang Arab Kuwait, yang satu
ketika dulu lebih kaya daripada orang Saudi, berdasarkan pecahan penduduk dengan
pengeluaran minyak negara.
Kewujudan Kuwait merupakan satu sejarah yang menakjubkan
sebelum tercetusnya peperangan dengan Iraq. Kekayaan yang melimpah ruah
membuakan setiap rakyat Kuwait hidup dalam satu syurga buatan manusia di mana anak-anak
sudah tidak mampu bertutur dalam Bahasa Arab dengan fasihnya kerana mereka lebih
selesa bertutur Bahasa Inggeris yang mereka pelajari daripada ibu angkat mereka daripada
Filipina, Indonesia, Sri Lanka ataupun Thailand. Kekayaan telah membuatkan golongan ibu
sibuk membeli belah sambil menyerahkan tugas membesarkan anak-anak kepada pengasuh
upahan.
Ketika itu, kumpulan lelaki pula sibuk dengan pasaran saham yang bernama
"Suk almanaq' yang dibuka berasaskan perjalanan Pasaran Saham Komoditi
Chicago. Bayangkan ketika itu ikan ariwana pun boleh didagangkan secara lelongan.
Malahan kilang Arab yang diwujudkan dengan harga berjuta ringgit menjadi tarikan pasaran
saham tidak kiralah samada kilang itu sudah berfungsi ataupun belum. Kekayaan mendadak
itu telah membuatkan golongan muda Arab Kuwait lupakan diri bahawa mereka adalah orang
Arab. Setiap kali mereka terbang ke luar negara, sebaik sahaja tangki bulat yang
mengandungi bekalan air tidak kelihatan lagi daripada tingkap pesawat udara, para rakyat
Kuwait akan berlumba-lumba lari ke tandas untuk menukar pakaian . Minuman kahwa dan jus
pun bertukar kepada wain dan bir. Ketika itulah ramai orang Kuwait yang menyangkakan
mereka hidup dalam satu syurga bikinan manusia yang mampu membuatkan mereka menikmati
kehidupan dalam dua alam. Allah mencetuskan satu musibah kepada rakyat Kuwait
sehinggakan ramai yang menjadi papa kedana hingga ke hari ini. Ramai yang hidup
merempat di luar negara dan membuat kerja-kerja kasar sambil merenung kenikmatan hidup
di zaman silam. Yang anihnya ramai yang tidak mahu mengaku mereka berbangsa Kuwait kerana
lebih selesa mengaku mereka adalah rakyat Palestine.
Musibah Berbentuk
Sumpahan Minyak
Musibah disebabkan menyalah-gunakan hasil minyak yang diberikan
oleh Allah kini sudah melanda Brunei, Indonesia dan juga Malaysia. Brunei hampir muflis
kerana penyalahgunaan wang petrol oleh seorang adik kepada sultan yang bertakhta
sekarang. Mujur, Sultan sendiri masih lagi mempunyai simpanan wang dan harta yang banyak
yang mampu menyelamatkan negaranya daripada merempat. Rakyat Brunei bernasib baik kerana
mempunyai seorang Sultan yang teguh imannya dan bersemangat besar untuk memelihara
rakyatnya. Penulis masih ingat lagi akan rupa baginda dan adiknya ketika berdiri di tepi
padang Victoria Institution menyaksikan permainan ragbi yang amat diminatinya ketika
itu. Alhamdulillah, sistem pendidikan Malaysia ketika itu masih mampu menyelamatkan
rakyat Brunei.
Indonesia dan minyaknya sepatutnya mampu menonjolkan bangsa
Indonesia menjadi satu bangsa yang besar. Tetapi, ia gagal keluar daripada kancah
kemuflisan kerana khazanah negara telah diseleweng oleh pemimpin negara yang rakus.
Dasar penyatuan negara yang mengandungi berbilang kaum dan bangsa serta agama dan budaya
kedaerahan telah gagal menemukan satu bangsa yang besar yang mampu menikmati khazanah
negara. Kekayaan negara hanya dinikmati oleh segelintir masyarakat pemimpin yang
beruniform dengan dipelopori oleh sekumpulan kaum Cina yang diberi ruang yang luas untuk
bermaharajagila. Akibatnya rakyat Indonesia merempat ke serata dunia untuk terus hidup
tanpa banyak sengsaranya. Yang lebih menyedihkan, peniaga Cina yang rata-rata penganut
agama Kristian telah mampu menyisihkan ajaran Islam di kalangan rakyat pribumi yang
lahir sebagai orang Islam.
Musibah yang melanda Brunei dan Indonesia telah
juga melanda Malaysia. Kalau mengikut keadaan sebenar, Malaysia sepatutnya
tidak dihinggapi musibah itu seandainya pemimpin negara tidak korup, rakus dan
mengamalkan nepotisme, kronisme dan apa juga cara pemerintahan kuku besi yang
membelakangkan amanah rakyat. Di antara tiga negara yang berteraskan Bangsa Melayu
dan berpaksikan Agama Islam, Malaysia sepatutnya merupakan negara yang mampu menjadi
satu negara besar yang boleh diambil kira sebagai rakan runding oleh Kumpulan G-7.
Malaysia bukan kaya disebabkan minyaknya, ataupun hasil buminya, tetapi kerana rakyatnya
yang mampu bekerja kuat untuk mengejar matlamat yang diatur oleh kerajaan yang
memerintah. Kini, Malaysia merupakan sebuah negara kecil yang mempunyai hutang luar
negara yang amat besar.
Kegagalan Malaysia sehingga hampir menjerumuskan rakyatnya
ke kancah kemuflisan adalah disebabkan pemerintahan yang rakus. Cukup dulu dengan
kenyataan pendek ini. Saya mahu ketengahkan satu teori yang saya amati sekian lama untuk
difikirkan bersama.
Setelah dihenyak oleh apa yang dikatakan 'penyangak mata wang'
Malaysia mampu bangun untuk memperbetulkan keadaan ekonominya. Pinjaman dengan kadar yang
tinggi dibuat dengan menggadaikan harta rakyat yang disimpan oleh Petronas. Sebahagian
besar wang pinjaman itu digunakan untuk menyelamatkan syarikat kepunyaan para
kroniputra. Mujur di waktu yang sama harga minyak naik mencanak. Perbelanjaan
negara yang ditaksir berdasarkan harga minyak se tong USD 16.00 diselamatkan oleh harga
minyak yang naik lebih dua kali ganda. Kerana itu peranan Danamodal dan Danaharta
menjadi licin kerana adanya sokongan harga minyak ini.
Tetapi, peranan Danaharta
dan Danamodal adalah satu peranan yang dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai 'Receiver'
(pemegang amanah raya). Ini bererti setiap syarikat yang ditolong oleh Danaharta ataupun
Danamodal adalah syarikat yang sudah muflis. Hampir semua syarikat ini adalah kepunyaan
"Siapa lagi"? Bagaimana pula dengan rakyat marhaen yang dihenyak oleh
keadaan meleset disebabkan salah tadbir itu tadi? Mereka merempat kerana mereka tertipu
dengan janji-janji "bahawa negara mempunyai satu ekonomi yang tumbuh dengan kadar
lebih lapan persen selama bertahun lamanya! Kerana itu kita mesti berfikiran terbuka dan
memberi tumpuan kepada industri moden. Kita tidak perlu lagi memberi tumpuan kepada
pertanian kerana kalau kita kaya kita boleh beli hasil pertanian jiran kita…..!"
Demikianlah khutbah seorang diktator tua yang tidak faham yang dia tidak lagi diperlukan
di negara ini.
Inilah yang dilakukan sejak dua puluh tahun dulu di mana minda
rakyat terutama sekali orang Melayu diputarbelitkan agar terus percaya kepada seorang
presiden UMNO yang akhirnya takut untuk bertanding secara terbuka untuk jawatan utama
parti itu, apatah lagi menghadirkan dirinya ke mahkamah dalam satu kes yang
dimulakannya. Sayang sekali Malaysia menerima musibah kerana toleransinya terhadap si
bedebah ini.
Kini, harga minyak dinaikkan sedangkan reaksi susulan akan menaikkan
semua harga barangan yang lain. Cuba fikirkan perkara ini dulu:
- Dua
bulan yang lalu semua pengeluar minyak di negara ini telah memperkenalkan sejenis minyak
baru yang dikatakan jenis yang sama digunakan oleh kereta formula 1. Minyak jenis ini
diperkenalkan di bandar besar sahaja kerana ia menggantikan minyak berplumbum yang sudah
pun ditarik daripada pasaran. Ini bererti harga minyak sudah dinaikkan dua bulan
yang lalu, dengan bertopengkan jenis minyak yang lebih bermutu. Di stesen Shell, minyak
ini lebih senang dipromosikan sebagai Shell Viagra. Kini harga minyak dinaikkan lagi.
- Setiap pengeluar besar minyak tahu betapa harga minyak dunia naik tinggi setiap lima
tahun. Kenapa? Kerana ketika itu ada kempen pengundian Presiden Amerika. Semua pengeluar
minyak dunia menyumbang jumlah yang besar dalam kempen itu. Walaupun minyak naik, rakyat
di Amerika terus menerimanya kerana mereka tahu satu hari nanti harga akan diturunkan
sedikit untuk melegakan perasaan mereka. Di waktu yang sama, proses kempen politik menyebabkan banyak minyak digunakan. Kenapakah fenomena ini tidak difahami
oleh pemikir dalam kerajaan dan juga UMNO? Kalau fenomena ini difahami secara
'price-tracking' tentu sekali kerajaan sudah mampu memperuntukkan bekalan simpanan
laksana 'National Stockpile of America'. Apakah Mahathir tidak pernah belajar daripada
kerugian besar yang dialami oleh negara ketika dia cuba merampas monopoli pasaran logam
daripada London (London Metal market). Bukankah kerajaan kerugian berbilion ringgit
dalam usaha itu disebabkan kerajaan Amerika menggagalkannya dengan mengeluarkan simpanan
stokpail mereka atas permintaan Magaret Thatcher dan Kerajaan Switzerland?
Kalau
seorang pemimpin negara yang mudah terkembang hidungnya apabila orang menggelarkan
dirinya sebagai wira dunia ketiga tidak mampu memahami hakikat kenaikan harga minyak
ini, apakah lagi yang diperlukan oleh rakyat daripada kepimpinannya? Lihat, sekarang
harga minyak sudah dinaikkan berdasarkan harganya yang rendah jika dibandingkan
dengan Singapura dan Thailand. Harga terpaksa dinaikkan untuk mengelakkan negara jiran
datang membalunnya. Itukah alasan yang lojik? Apakah para pemimpin UMNO tidak faham
kalau harga minyak dinaikkan semua barangan yang lain akan dinaikkan sama?
Janganlah menteri harga barang Mahyuddin Yassin sibuk-sibuk memberi amaran mengenai
kenaikan harga yang lain. Harga barangan yang lain itu akan dinaikkan juga, akhirnya.
Tun
Daim sudah berkata bahawa kenaikan harga minyak adalah bersifat sementara dan dijangka
akan turun tahun hadapan. Kalau begitu kenapakah dibenarkan harga minyak naik lagi
sedangkan pada dua bulan yang lalu harganya sudah dinaikkan? Sepatutnya harga tidak
boleh dinaikkan dan cara lain untuk mengawal penggunaan minyak dilaksanakan. Dengan cara
ini, hanya mereka yang memerlukan kenderaan berminyak akan menggunakannya. Di waktu yang
sama kerajaan sepatutnya mengeluarkan arahan, agar semua pengeluar minyak menghentikan
perbelanjaan yang tidak perlu agar mereka mampu menyerap kenaikan harga minyak itu.
Contohnya ialah pembekuan perbelanjaan untuk pengiklanan, kerana kita tahu pengiklanan
adalah satu cara halus di mana pengeluar minyak melarikan wang ke luar negara.
Satu
ketika dulu hanya Sarawak yang mengeluarkan minyak. Sebulan sekali adalah pegawai
daripada Perbendaharaan yang pergi ke Miri untuk membuat lawatan ke pelantar minyak.
Tersebut kisah seorang pegawai bernama Yusuf (kemudian bergelar Dato') bin Basir (anak
saudara kepada Tan Sri Hashim Aman) yang membuat lawatan itu. Dia mendapati semua
perkara berjalan lancar sehinggalah dia mahu pulang ke darat daripada pelantar minyak.
Dari dalam bot yang membawanya dia terpandang ke arah paip minyak di dasar laut yang
bercabang ke arah lain dan tidak ke pantai Miri. Dia bertanya kepada pengendali bot itu
ke manakah paip itu disambungkan. Jawapannya "Brunei, Tuan". Barulah kerajaan
sedar melalui pegawai ini betapa selama itu syarikat yang menggerudi minyak di bumi
Malaysia itu telah mencuri minyak secara terang-terangan. Kini, paip minyak seperti itu
mungkin tidak ada lagi, tetapi kita berani berkata hampir semua syarikat minyak
asing menipu rakyat negara ini melalui kos pengiklanan. Di situlah mereka mengatakan
mereka perlu menaikkan harga minyak di pasaran untuk menanggung kerugian. Perkara
semacam ini bukannya Mahathir tidak tahu, ataupun orang UMNO tidak tahu. (Bukankah industri
pengiklanan dikawal oleh adik ipar Mahathir sendiri?) Mereka sengaja tidak mahu
tahu. Itulah dasar mereka menjadi wakil rakyat. Bukankah itu juga dasarnya yang mereka
mahukan orang Terengganu ikuti agar mereka menerima satu putar belit terbaru -
bahawa royalti minyak adalah berupa ehsan kerajaan Pusat?
-Marhaintua-
3
Oktober, 2000.
Allah turunkan musibah peperangan yang
menghancurkan padang telaga minyak Kuwait untuk menghentikan kerakusan yang
berlaku.