Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MINDA MINGGUAN 27 OGOS

RUNTUHNYA EMPAYAR SEORANG 'WIRA'

Jolokan 'jaguh kampong' atau 'hero kampong' yang ditimbulkan oleh seorang penulis laman ini (Bomohdin) telah mengimbaukan ingatan saya kepada Rashid Haji Sidek seorang jaguh badminton negara suatu masa dulu. Tanpa membicarakan soal Rashid itu, sesungguhnya amat malang berlaku apabila rakyat marhaen mengukur kewibawaan pemimpinnya yang mengaku menjadi wira dunia ketiga itu hanya seorang 'hero kampong'. Malangnya tulisan bomohdin hanya tersiar di laman Minda Rakyat, sebuah laman (pro reformasi) haram yang dibaca majoritinya oleh mereka yang mendokong perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh pemimpin rakyat, DSAI. Jika tulisan bomohdin itu tersiar di Utusan Meloya atau Berita Hairan akan ramailah pemimpin-pemimpin BN (lebih tepat mereka ini pengampu-pengampu sahaja) yang 'terkejut beruk' dan 'latah kera' yang termakan belacan.

Saya percaya sudah pastilah Hishamuddin Hussein sambil terketar tangannya di depan TV3 suku menafikan tuduhan Bomohdin. Apa pula komen Khalil Yaakub, Muhyiddin Yassin, Mohamad Khir Toyo, Tajol Rosli, Muhd Taib Mohamad, serta lain-lain kepimpinan BN. Sudah pasti Astora Jabat juga akan mengeluarkan fatwa terbarunya yang akan disokong oleh pemimpin yang tewas dalam pilihan raya ke 10 lalu iaitu Datuk Dr. Hamid Othman, tidak boleh mencerca pemimpin, hatta memberikan nasihat sekalipun!!

Inilah amalan demokrasi UMNO yang saling ampu mengampu, ibarat menadah minyak bahan api ke dalam tangki kenderaan. Setiap kali tadahan dan ampuan itu dilakukan maka kenderaan akan dihidupkan oleh pemandunya Mahathir Mohamad dan nyalaan enjin akan membakar bahan api itu sehingga tangki yang penuh berisi bahan api itu akan kembali kosong. Setiap kali kekosongan itu berlaku, perkara ampuan tatkala mengisi bahan bakar yang baru akan berlaku lagi. Demi setiap perjalanan 'kenderaan' yang dipacu oleh Mahathir Mohamad akan terpaksa diampu-ampu lagi untuk tujuan mengisi bahan bakarnya.

Apakah yang terjadi sekiranya bahan bakar itu mengalami kenaikan harga? Atau bahan api itu kehabisan stoknya? Mampukah kenderaan pacuan Mahathir Mohamad meluncur laju bagaikan selalu? Apakah tradisi ampu-ampuan akan terus-terusan berlaku persis 'menatang minyak yang penuh' ketika menyumbatkan kenderaan dengan bahan api itu?

Seorang jaguh kampong lebih mirip kepada permainan 'ala-ala' sendiri. Dialah penjaga gol, dialah pemain sayap, pemain pertahanan atau penyerang. Dalam waktu tertentu dia akan menahan golnya dari serangan lawan dan ada ketikanya dia akan meninggalkan posisinya sebagai penjaga gol, lalu bertindak sebagai penyerang kubu lawan. Soalnya, sampai bilakah kita mahu bermain taktik itu? Apakah kita tidak mempercayai bahawa wujudnya satu sistem permainan yang sistematik yang disamakan dengan 4-2-4 atau 4-3-3 atau 4-4-2 dalam permainan bola sepak. Apakah mesti kita berlagak mahu menunjuk hero bahawa kitalah jaguh segala-galanya!!

Perkara ampuan yang terbesar ialah kemampuan diri sendiri yang melebihi hadnya. Malangnya perkara ini sudah jadi budaya bangsa yang baru disebut 'Malaysia Boleh'!! Segala-galanya boleh!! Termasuklah merampas harta rakyat, membalun khazanah negara dengan bermacam-macam dasar yang dilaksanakan 'ala-ala' penswastaan, pengkorporatan dan sebagainya!!

Kemudian dicanang perkara itu untuk diangkat martabatnya ke persada antarabangsa. Lantas negara Afrika mahu mencontohi kejayaan negara Bolehland itu. Amatlah malang kerana negara yang mencontohi itu tidak belajar bagaimana Indah Water Konsortium gagal dilaksanakan dengan sempurna bagai dirancang. Namun kerajaan bertindak menyelamat para kroninya dengan mengarahkan satu badan di bawah kementerian kewangan 'membeli' kembali perniagaan itu untuk menjaga kehormatan 'kegagalan' dasar pengkorporatan sebahagian dari kerja anjuran pemimpin Maha Boleh.

Dalam isu ini rakyat harus menyedari kekuatan mereka dengan melancarkan 'boikot' tidak rasmi yang tidak ditaja oleh mana-mana badan politik. Tetapi rakyat keseluruhan mempertikaikan agenda mengutip 'wang rakyat' secara rasmi atas kerja-kerja 'perkumuhan' bahan buangan manusia itu yang sebelum ini tidak pernah ada dalam bayangan mereka patut dibayar dan adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk memberikan keselesaan kepada rakyat setelah pelbagai cukai dikenakan.

Agenda terbaru KWSP yang menganjurkan skim anuiti berinsuran juga menemui kegagalan (perkembangan terbaru) apabila pencarum menyedari mereka tidak beroleh nikmat menyertai skim anjuran kerajaan itu. Semalam Menteri Kewangan, Tun Daim menyatakan kesediaannya membatalkan skim tersebut jika pencarum menolak kewujudannya.

Apa yang rasionalnya berlaku di sini ialah kewujudan satu benteng yang kuat jika rakyat bersatu. Kekuatan kerajaan Bolehland yang seagung mana sekalipun tidak akan mampu membolosi benteng perpaduan rakyat. Jika mereka tidak mahu kepada sesuatu itu (melancarkan 'boikot') maka kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menarik balik apa yang telah disogok kepada rakyat. Apa lagi jika sogokan dilakukan oleh seorang jaguh kampong yang kita tahu bisa dan taringnya tidak sekuat mana pun. 

Ini bukanlah pelajaran baru rakyat dari kekuatan regim Mahathirisme. Malahan kekuatan itu diselindungkan oleh ampu-ampuan para jongosnya. Namun setelah berulang-ulang kali melaksanakan agenda 'ampu sana ampu sini' keletihan mereka terserlah juga. Maka kekuatan rakyat akan terserlah untuk meranapkan dengan sempurna sebuah kekuatan yang sering diagung-agungkan dengan pelbagai gelaran ciptaan 'wira dunia ketiga'. Jika pihak yang memberikan anugerah itu tahu bahawa kejayaan dasar penswastaan dan persyarikatan itu bergantung sepenuhnya kepada prinsip menindas hak rakyat atau merampas secara terhormat kekayaan negara, pastilah mereka bersetuju menarik balik gelaran kehormat itu.

Pemboikotan rakyat nampaknya segera dikesan oleh masyarakat dunia. Penarikbalikan ke atas undangan yang terdahulunya diberikan secara terhormat kepada seorang Perdana Menteri oleh ISNA minggu lalu merupakan satu 'perlucutan' kepada pengiktirafan seorang 'wira' kepada dunia yang sedang melangkah maju seiring dengan negara maju lain di dunia. Apakah akibah penarikbalikan itu? Apakah yang tinggal setelah jaguh dunia diberikan kepada seorang pemimpin badminton negara seperti Rashid Sidek ditarik balik? Jawapannya, gelaran yang tinggal hanyalah beliau seorang 'jaguh kampong'!!

Terlolonglah ke sana ke mari dengan gelaran itu 'kununnya' beliau maha hebat, maha tahu, maha bijaksana, maha boleh , maha ... segala-galanya maha.. maha .. MAHATHIR!! (ada yang menulis mahakutty).

Justeru setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Tiada yang berkekalan di dunia ini. Jika PAS atau BA memerintah selepas ini sekalipun mereka perlu ingat bahawa setiap permulaan akan ada hari akhirnya. Hanya yang kekal itu ialah Allah dan dzat-Nya!! 

Justeru itu mampukah UMNO/BN mendakwa akan kekal memerintah selamanya? Atau hidupkah Melayu selamanya sebagaimana yang sering 'ditakbirkan' mereka?


27 Ogos, 2000

 

 
Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter