MINDA MINGGUAN 20 OGOS
MENANTI KESAN 'TEORI BARU' ALA-ALA MAHATHIR
Perlantikan Dr. Mohamad Khir Toyo menyerlahkan
satu usaha Mahathir kepada beberapa andaian setelah melalui analisis tertentu. Umpamanya
perlantikan itu disifatkan sesetengah ahli politik dan penganalisis politik sebagai
'satu kapal, dua nakhoda' atau dengan lebih tepat lagi sebagai percubaan memisahkan
politik dan pentadbiran.
Adalah sukar untuk menerima perlantikan seorang ahli
politik yang tidak dikenali ramai sebagai Menteri Besar Selangor, sebuah negeri yang pesat
membangun berbanding negeri-negeri lain di negara ini. Justeru itu perlantikan Tan Sri
Muhammad Muhd Taib dilihat sebagai percubaan menukarkan sesuatu yang mustahil itu menjadi
satu kenyataan. Ia juga menjelaskan kepada kita isyarat tentang hala tuju yang bakal
dilalui oleh UMNO selaku tulang belakang kerajaan pusat.
Biar apa pun tanggapan yang timbul ekoran perlantikan itu, namun isyarat yang
jelas kepada rakyat ialah bahawa UMNO tidak sedia untuk mengembalikan kuasa perlantikan
kepada rakyat. Ini diperlihatkan dari 11 nama calon MB itu ditolak mentah-mentah oleh
Mahathir, sekaligus menafikan hak demokrasi dalam UMNO itu sendiri. Sama ada disedari atau
pun tidak ianya telah membantu menjatuhkan imej UMNO yang telah terconteng pada saat parti
itu sedang bangun semula ekoran kemerosotan pada pilihan raya umum 1999.
Dengan
memilih Dr Mohamad Khir, yang baru berusia 35 tahun dan tidak langsung tersenarai di
kalangan mereka yang diura-ura akan mengambil alih, Perdana Menteri telah menolak hak yang
ada pada UMNO Selangor. Justeru ia merupakan satu cabaran kepada Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO yang baru, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sendiri yang kini giat berusaha
meletakkan diri sebaris dengan pemimpin yang ada setelah dicemari perbuatan 'rasuah' yang
sering dikaitkan dengan pemimpin UMNO.
Isu perlantikan MB Selangor begitu
penting bukan sahaja kepada rakyat Selangor, bahkan kepada rakyat negara ini. Sesiapa saja
yang menjadi Menteri Besar Selangor akan segera menjadi perhatian berdasarkan kedudukan
strategik dan kepentingan negeri itu dalam agenda ekonomi negara.
Justeru sebahagian
besar Selangor terletak di kawasan utama industri penting negara seperti pelabuhan
terbesar, Lapang Terbang Antarabangsa KL dan Koridor Raya Multimedia, ia juga sebagai
lokasi yang penting dan tempat 'wang panas' sentiasa bertukar tangan yang memancing hati
setiap mereka yang gilakan kuasa.
Kekejutan perlantikan Abu Hassan tiga tahun dulu
juga berubah kini. Abu Hassan Omar yang disifatkan 'penyelamat' maruah kepimpinan MB
Selangor ketika itu (yang terlibat rasuah) tidak dijangkakan memiliki satu sejarah
keperibadian tersendiri yang sudah dicemar dan disaluti 'bengkak bernanah' yang menanti
hari kebusukannya terserlah.
Tiga
tahun adalah satu tempoh yang panjang bagi seorang yang memiliki kebusukan ini untuk
berada dalam kepimpinan negara. Namun atas prinsip 'kebenaran akan terserlah jua
akhirnya' maka Abu Hassan sekali lagi mengundang UMNO menghadapi masalah keruntuhan imej
kepimpinan mereka. Ia juga dikatakan menjadi punca masalah kepada Mahathir kerana selaku
perdana menteri dan presiden UMNO, beliau (Mahathir) terpaksa bergelut dengan lebih
banyak kesukaran dalam menguruskan negara dan parti serta pengekalan kuasa dan masa
hadapan UMNO sendiri.
Ada para penganalisis bersetuju pendapat dengan cara
kepimpinan Selangor diterajui kini; iaitu Dr Mohamad Khir akan menumpukan tenaga
menguruskan negeri manakala urusan parti di negeri itu diserahkan kepada Tan Sri
Muhammad Muhd Taib sebagai ketua Badan Perhubungan Umno Selangor.
Namun
sebahagian para penganalisis berpendapat ia akan menambahkan keadaan bercelaru kerana
had kuasa kepada seorang Menteri Besar itu pasti akan tersengkang justeru adanya
kepentingan UMNO dalam kuasa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor. Percanggahan
dijangka akan timbul dan ini merupakan satu cabaran kepada rakyat betapa pun mereka
dikatakan memiliki kuasa terbesar tetapi tetap tertakluk kepada pengekangan kuasa oleh
parti yang gilakan kuasa itu.
Perlantikan Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Menteri
Besar Selangor terus mendapat reaksi positif dengan kebanyakan pemimpin parti memerintah
menyifatkan penonjolan seorang pemimpin muda satu langkah bijak bagi menghadapi cabaran
masa depan.
Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Presiden Umno melihat jauh ke hadapan untuk melantik
anggota dewan undangan Sungai Panjang yang berusia 35 tahun itu sebagai Menteri Besar.
"Apa
yang dilihat oleh Presiden parti jauh ke hadapan supaya proses pembangunan dapat berjalan
berterusan kerana kedudukan Selangor sebagai negeri yang penting dan mempunyai strategi
untuk negara dalam meneruskan kesinambungan pembangunan bukan sahaja untuk negeri tetapi
juga negara," katanya sebagai mengulas perlantikan itu.
Muhyiddin seterusnya
berpendapat perlantikan seorang lagi Naib Presiden Umno dan bekas Menteri Besar Selangor
Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri akan dapat
membantu Dr Mohamad Khir menjalankan tugas mentadbir negeri itu.
Menteri
Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata perlantikan Dr Mohamad Khir
menunjukkan satu perubahan yang baik dalam pemilihan pemimpin di masa depan. Beliau
berkata bahawa perlantikan Dr Mohamad Khir menunjukkan pandangan jauh Dr Mahathir dalam
memilih pemimpin yang boleh bekerja dan memberi sumbangan kepada parti dan negara.
"Pemilihan
pemimpin seperti ini juga akan berlaku di negeri-negeri lain di masa depan walaupun
seseorang itu masih muda kerana apa yang penting ialah mereka boleh bekerja untuk
mencapai wawasan pimpinan negara," katanya.
Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik
mewakili parti komponen BN dilaporkan berkata kriteria pemilihan itu lebih mengutamakan
seorang pemimpin muda yang berpengetahuan dan berpendidikan tinggi untuk memimpin negeri
Selangor ke arah pembangunan lebih pesat.
Beliau berkata, pemilihan itu juga
bermaksud bahawa Perdana Menteri telah memberi harapan baru kepada pemimpin muda untuk
memimpin dengan penuh bertenaga dan semangat kuat.
"Ini menunjukkan Barisan
Nasional menyedari kehendak kebanyakan rakyat khasnya golongan muda untuk memimpin,
tetapi ia tidak bermaksud bahawa pemimpin generasi lama tidak lagi boleh berkhidmat
kepada rakyat," katanya.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
turut menyambut baik perlantikan Dr Mohamad Khir yang sebelum ini tidak pernah
disebut-sebut sebagai Menteri Besar Selangor.
"Lebih baik kita lantik orang
yang tidak disebut-sebut supaya semangat rebut-merebut tidak berlaku," katanya.
MB
Kelantan itu berkata orang politik tidak harus mengamalkan budaya berebut untuk
mendapatkan sesuatu jawatan umpamanya jawatan menteri besar kerana kuasa melantik itu
berada di tangan orang lain yang lebih berkuasa.
Beliau berharap perlantikan Dr
Mohamad Khir dapat memenuhi kehendak pentadbiran masa kini yang penuh dengan cabaran dan
suasana perubahan kepada era kebangkitan Islam.
Biar
apa pun pandangan yang dilahirkan justeru perlantikan MB Selangor yang baru, adalah
diperakui bahawa suasana baru akan tercipta sedikit masa lagi. Rakyat akan menyaksikan
sendiri apakah 'pemisahan' teori Mahathir kali ini akan berlangsungnya satu keadaan yang
terbaik kepada UMNO dan rakyat keseluruhannya. Apakah benar dakwaan pemisahan di antara
kuasa pentadbiran dan politik saling tidak menyentuh antara satu dengan yang lain.
Rakyat
sekali lagi akan menjadi hakim dan seterusnya menentukan apakah teori-teori yang
didokong oleh UMNO relevan untuk disokong atau UMNO sendiri sedang menempah jurang ke
neraka!