SAMPAI BILAKAH KERAJAAN MAHU MENGEKALKAN DASAR TUTUP
PINTU?
MR memilih isu ini untuk dibicarakan minggu ini. Walaupun agak lewat disiarkan, MR
percaya ruangan mingguan hasil nukilan dan pemerhatian oleh webmaster antara yang
ditunggu oleh para netters. Semalam entah bagaimana Allah telah menggerakkan hati untuk
menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3 suku (masih terus boikot) yang menyiarkan
perdebatan (?) antara dua Hamdan iaitu Prof. Hamdan Adnan, Presiden FOMCA dengan Hamdan
Sulaiman, seorang penganalisis politik.
Ringkasnya dari perbincangan itu, Prof. Hamdan Adnan menggesa pihak kerajaan membenarkan
perhimpunan dengan diberi permit untuk mengelakkan perhimpunan 'tanpa permit' (tidak
sesuai jika digunakan perhimpunan haram). Ini adalah untuk merealisasikan sikap
keterbukaan kerajaan dan amalan demokrasi yang berjalan di negara ini.
Manakala Hamdan Sulaiman mati-matian mempertahankan bahawa jika adanya perhimpunan akan
berlakulah rusuhan, kerosakan harta benda serta perbuatan liar (sebagaimana ditunjukkan
selalu dalam TV3 suku). Maka nampaklah kehadiran Hamdan Sulaiman dalam rancangan
tersebut sebagai seorang yang taksub kepada Maha Firaun yang seringkali mengaitkan
perhimpunan rakyat dengan anasir yang tidak sihat.
MR ingin merakamkan ucapan sekalung tahniah kepada Prof. Hamdan Adnan kerana
mempertahankan perhimpunan dengan permit adalah satu-satunya jalan keluar kepada
tuntutan dan desakan rakyat. Jika permit dikeluarkan, katanya, maka sekiranya berlaku
tindakan liar akan senanglah tindakan diambil terhadap perusuh dan pengganggu keamanan
dalam perhimpunan itu.
Prof. Hamdan Adnan sudah pasti menyedari akibat 'keberaniannya' mengkritik dasar
keterbukaan kerajaan yang kini sudah ditutup. Jika selepas ini beliau tersingkir dari
jawatan Presiden FOMCA, maka amat benarlah kuku diktator Maha Firaun itu terus mencengkam
dalam apa jua bidang yang diamalkan oleh negara.
Prof. Hamdan juga menjelaskan bahawa perhimpunan terbuka rakyat bukanlah atas isu DSAI
sahaja. Malah, katanya, isu mungkin isu ekonomi, sosial dan apa sahaja.
Keterbukaan pandangan Prof. Hamdan Adnan dalam membicarakan isu 'perhimpunan rakyat'
melihatkan presiden FOMCA itu sebagai seorang yang terbuka mindanya dalam berpolitik.
Maka tidak rugilah sekiranya kita memiliki pemimpin yang memiliki ciri sedemikian.
MR mengaitkan isu debat 'dua Hamdan' pada perbicaraan kali ini adalah untuk melihat
apakah tindakan yang seharusnya kita lakukan dalam menghadapi keganasan polis. Apakah
kita merelakan sahaja diri kita dipukul? Atau apakah penyelesaian yang mungkin datang
dari tuntutan dan desakan untuk mengadakan perhimpunan dan dalam masa yang sama kerajaan
enggan memberikan kebenaran (meluluskan permit).
Dalam perbicaraannya semalam, Prof.. Hamdan melahirkan kebimbangan bahawa sekiranya pihak
kerajaan terus membendung tuntutan perhimpunan rakyat, tekanan yang tersimpan pasti
meluahkan satu tindakan yang lebih hebat dan tidak mungkin boleh dikendalikan oleh pihak
berkuasa. Perasaan yang meluap-luap rakyat dicampur dengan rasa benci yang tidak diurus
dengan baik atau api yang kecil jika tidak diurus dengan bijak, memungkinkan satu bencana kebakaran
yang besar, yang tidak mungkin diuruskan oleh pasukan bomba secekap mana sekalipun.
Dalam hubungan ini, kita melihat tindakan kerajaan yang enggan mengeluarkan permit
perhimpunan rakyat sama seperti negara China yang menjalankan dasar menutup pintunya
dalam abad ke enam belas. Tetapi dasar negara komunis yang kini berpecah itu adalah
sebagai menutup pintu kepada bangsa luar (penjajah), tetapi sebaliknya Malaysia menutup
pintu rundingan kepada rakyatnya sendiri.
Jika dasar tutup pintu negara China disifatkan sebagai 'autodorks' atau kuno, maka sifat
pemerintah yang menjalankan dasar menutup pintu rundingan dengan rakyatnya sudah pasti
jauh lebih kuno dan barbarian. Amatlah malang bagi sebuah negara yang mengaku
sedang bergerak maju mengatasi negara dunia ketiga yang lain, tetapi dalam masa
yang sama menutup pintu rundingan dengan rakyat.
Jika kerajaan BN melakukan itu kepada rakyat, maka apatah lagi dengan barisan
pembangkang. Justeru itu kita lihat agenda muzakarah antara UMNO - PAS tinggal kenangan
kerana amat jelas, 'ketakutan' di pihak pemerintah untuk berhadapan dengan kenyataan.
Jika 'ditewaskan' akibat perundingan itu maka akan terserlah kelemahan pihak kerajaan.
Pada hemat MR samada menyahut agenda muzakarah atau tidak reputasi kerajaan memang sudah
jatuh. Hanya tidak diumumkan secara rasmi. Agenda membenci kepimpinan kerajaan BN
bukannya disogok oleh pihak pembangkang sebagaimana dakwaan pemimpin kerajaan BN.
Sebaliknya kebencian itu lahir dari kebusukan sifat yang ditunjukkan oleh mereka. Hanya
sifat keangkuhan para pemimpin BN sahaja yang enggan mengakui hakikat ini. Namun tanpa
pengakuan mereka, rakyat sudah melabelkan kesombongan dan keangkuhan mereka. Justeru
kebencian meluap-luap tidak dapat dibendung.
Ada rasionalnya perbicaraan Prof. Hamdan Adnan bagi membendung 'kemuncak' desakan dari
tuntutan mengadakan perhimpunan rakyat. Semuanya jika dianalisis akan membawakan
keburukan kepada semua pihak. Namun sejauh manakah kesediaan kerajaan untuk membuka
ruang penyelesaian ke arah ini.
Pada hemat MR, selama mana kerajaan menutup pintu rundingan dan bersikap angkuh dengan
rakyat, maka selagi itulah api kebencian dan perasaan meluap-luap tidak dapat
dipadamkan. Api yang bernyala ini jika disirami sedikit 'bahan bakar' akan membuahkan
kebakaran maha dahsyat yang mungkin tidak akan dapat diselesaikan dengan apa cara jua
sekali pun.
Kita ingin mengulangi pertanyaan kepada pihak pemerintah, apakah mereka ingin melihat
pembangunan negara bertukar menjadi 'padang jarak, padang tekukur'? Jawapan dan
penyelesaian itu sebenarnya berada dalam tangan mereka untuk mengatasinya.

13 Ogos, 2000