SANDIWARA UMNO SETERUSNYA
Seperti biasa media perdana sejak sebulan kebelakangan ini begitu bersungguh-sungguh
mempertahankan pendirian Mahathir. Media yang sebenarnya telah lama bersifat sedemikian.
Tetapi tidaklah begitu ketara mempertahankan keburukan agenda kerajaan BN. Namun
semenjak peristiwa RAW (konspirasi kedua terbesar selepas pemecatan DSA yang dikaitkan
dengan isu liwat) kedudukan media begitu tertekan seolah-olah seperti cacing kepanasan
menggelupur ditikam sinaran mentari pagi.
Hingga kini media perdana masih terus berjuang untuk meneguhkan pendirian Mahathir dan barisan
kabinetnya. Satu demi satu agenda dicipta untuk melumpuhkan perjuangan pembangkang dan
percubaan mengekang kekuatan parti lawan ini sebenarnya tertimpa ke atas rakyat jelata
juga.
Keadaan ini seolah-olah mengheret rakyat marhaen keseluruhannya dalam kancah politik
kotor BN sehingga segenap lapisan masyarakat sudah siap sedia mempertahankannya dengan semangat juang yang
tinggi.
Kegigihan media perdana mencipta berbagai isu kebelakangan ini jelas mahu menutup
kebusukan akibat perbuatan salah laku Mahathir. Sebagaimana rakyat sekelian tahu bahawa
salah laku itu sebagai satu 'tempelak' akibat menuduh DSAI melakukan penyelewengan kuasa
sebagai TPM dengan mengarahkan polis menghentikan siasatan ke atas dirinya setelah difitnah
dalam Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Bezanya dengan DSAI, beliau menggunakan kuasa PM mengarahkan BPR yang diketuai oleh
Datuk Shafiee Yahya supaya menghentikan siasatan ke atas Pengarah Unit Perancang Ekonomi
yang ditangkap bersama wang rasuah berjumlah RM100,000 di dalam laci di pejabat pegawai
berkenaan.
Sedangkan tuduhan ke atas DSAI adalah palsu, tetapi penangkapan Ali Abol Hassan adalah
jelas dan nyata. Perkara ini dijelaskan oleh Datuk Shafiee Yahya dalam keterangan
bersumpahnya
sebagai saksi kes liwat 'palsu' ke atas DSAI. Namun siapakah yang menghiraukan salah
laku Mahathir ini? Apakah BPR seperti dipulas telinga, menutup mata di atas kejelekan
dan 'rasuah' yang dilakukan Mahathir.
Kekebalan Mahathir memang tidak pernah menjadi agenda media untuk membicarakannya. PM
itu disifatkan sama seperti rakyat marhaen yang lain, jika bersalah akan diheret sama ke
pengadilan. Namun rakyat semua sudah maklum dan tahu benar persekongkolan media dan
jabatan kerajaan yang semuanya berada di dalam cengkaman seorang diktator tua yang kini
'bermahakutty' setakat ini. Jika Mahathir, segala kelemahan dan kesilapannya ditutup.
Sifat kekebalannya dilindungi manakala fitnah kekebalan itu dilemparkan ke atas Persaudaraan Al-Ma'unah.
Penubuhan Al-Ma'unah yang sama dalam bulan di mana DSAI dipecat seperti memberikan
jawapan kepada rakyat bahawa rencana rampasan kuasa itu satu drama yang sudah dirancang
sejak lama. Cuma menunggu saat dan ketikanya untuk dilaksanakan. Pada suatu ketika,
dirasakan seperti ada komplot sedemikian akan berlaku menjelang pilihanraya umum negara.
Namun atas sikap hati-hati BA, drama Sauk tidak dapat dijayakan 'penggambarannya'.
Saat yang ditunggu akhirnya menjelang tiba. Apabila Mahathir diserang dengan hebat di
media siber ini dan dikaitkan dengan salah laku beliau serta Ketua Hakim Negara Tun
Eusoff Chin, akhirnya drama Sauk dipaksa menjalani penggambaran yang tergesa-gesa. Niat
mereka cuma satu iaitu untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada membicarakan salah laku Mahathir
dan perbuatan salah laku Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin.
Namun siapalah menyangka perbuatan Mahathir itu sudah dikesan dan dihidu oleh rakyat.
Akhirnya episod RAW hanyalah satu sandiwara yang lebih menyiksa jiwa dan raga Maha
Firaun itu. Tuduhan media ke atas medan siber sebagai alat penyebar fitnah berakhir
dengan sanjungan dan kepercayaan rakyat. Medan internet terus menerus membongkar episod
Sauk melalui pengembaraan beberapa penulisan di sekitar tempat kejadian dan berhubung
dengan keluarga mereka yang terlibat dalam sandiwara ini.
Rata-rata rakyat marhaen yang ditemui menyatakan kekesalan mereka di atas sandiwara UMNO
yang terancang itu. Hasil kegagalan media dalam isu Sauk begitu ketara sekali.
Pengesanan rakyat yang pantas menolak fakta pembohongan media dan persekongkolan mereka dengan
agenda UMNO/BN. Ianya bukan mengembalikan simpati rakyat terhadap Mahathir dan kerajaan
memerintah. Malah kerajaan semakin dibenci. Salahkah rakyat membenci kerajaan yang nyata
berbohong, tidak adil dan menzalimi rakyatnya?
Kegagalan media membawakan isu Sauk dengan baik dan teratur menyebabkan kepala konspirator Mahathir merancang
sesuatu yang lebih unik. Amanat Haji Hadi kali ini dijadikan sasarannya. Beberapa waktu
media menyerang teruk 'amanat' itu yang disifatkan mereka sebagai fatwa Haji Hadi
mengkafirkan orang UMNO. Pemimpin UMNO sebenarnya lupa untuk menyemak Al-Quran dan Hadis
sebelum membuat sebarang komen tentang amanat atau wasiat yang disebut dalam agama.
Pesanan, amanat atau wasiat memang dikehendaki oleh Allah sebagai satu kewajipan manusia
ke atas manusia yang lain.
Hasil menjayakan isu 'fatwa kafir mengkafir' beberapa tumpuan diberikan ke atas guru
agama. Kita dikejutkan dengan penangkapan Ustaz Shamsuri Ahmad di bawah akta neraka
I.S.A. Penahanan beliau antara lain untuk menyiasat sejauh manakah kaitan fatwa
sedemikian dalam mempengaruhi rakyat marhaen. Persoalannya apakah kaitan Ustaz Shamsuri
dengan Amanat Tuan Guru?
Berikutan penangkapan Ustaz Shamsuri dan Ustaz Fahmi, maka kerajaan BN sekali lagi
menjalankan drama terancang mereka. Demi fokus mereka kepada Haji Hadi, maka pimpinan
agama atau disebut para ulama akan ditangkap satu persatu. Siasatan demi siasatan ke
atas guru agama akan dibuat. Sasaran sedemikian akhirnya akan difokuskan kepada pimpinan
pembangkang dan akhirnya Haji Hadi akan menjadi mangsa kerakusan agenda politik BN.
Sekali lagi media akan memainkan peranan mereka. Media akan meniup satu gelombang
seolah-olah agama Islam berada di satu ambang berbahaya akibat diselewengkan oleh para
ulama yang mendapat kepercayaan rakyat. Sudah pastilah mereka yang dipersalahkan ialah ulama-ulama
yang
berada dalam parti pembangkang. Ini adalah kerana ulama pembangkang saja lagi yang ada.
Hampir ke semua ulama yang berada dalam kerajaan BN/UMNO sudah lama berhijrah sokongan
mereka kepada PAS dan sewaktu dengannya.
Kini kita sebenarnya sedang melalui satu lagi drama terancang UMNO sehebat episod RAW di
Sauk. Mereka yang pantas akan segera menghidu dan mengesan bauan yang berlainan dari
bauan seharian yang dihidu. Beberapa nama sudah muncul dalam senarai penangkapan pihak
polis kali ini. Namun rakyat sudah bersedia. Siapa lagi tempat kita mengadu dan memohon
perlindungan. Anjurkanlah sembahyang hajat sekerap yang mungkin. Selamatkan pimpinan kita!!
6 September, 2000