'Tok Ampoo' teater reformasi
Fathi Aris Omar
Jumaat lalu, buat julung kali, pusat perhimpunan
pembangkang yang terbesar di Lembah Kelang menyaksikan satu persembahan baru politik.
Barangkali sudah bosan dengan ceramah-ceramah, sekumpulan pelajar universiti
mempersembahkan teater orang politik.
Teater
'Tok Ampoo,' arahan penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais dan terbitan
karikaturis Zunar tentunya ada mesej dan wawasan apabila memutuskan untuk mengadakan
persembahan di Markaz Tabiyah PAS, Taman Melewar.
Tentunya tidak mudah untuk mencemarkan kesucian
pusat parti Islam itu dengan nyanyian, gadis comel tidak bertudung, sedikit
lenggang-lenggok dan tepukan para penonton lelaki-wanita yang duduk dalam gelap tanpa
garis pemisah itu.
Bagaimanapun, majlis ringkas separuh budaya,
separuh politik itu dirasmikan oleh orang kuat Presiden PAS, Dr Mohd Hatta Ramli
sendiri. Dalam ucapannya, setiausaha politik Ketua Pembangkang itu berkata, "Istana
Budaya sedang menanti kita."
Istana Budaya ialah binaan mewah untuk persembahan
golongan seni, berhampiran Tasik Titiwangsa dan Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak.
Dr Hatta berkata pakatan pembangkang BA
menggalakkan budaya seperti itu diketengahkan. Baginya, pendekatan untuk meluaskan mesej
perjuangan boleh disalurkan melalui kegiatan kebudayaan, termasuk teater.
Tetapi teater ini bukan inisiatif BA, malah
pakatan pembangkang masih meneruskan kegiatan politik secara tradisi dan tidak pernah
nampak serius untuk meluaskan kegiatan seni atau berpolitik melalui seni.
Seni bukan maksiat
Ia
diusahakan oleh kelompok aktivis reformasi yang yakin "seni bukanlah maksiat"
- begitu ucapan Hishamuddin sendiri dengan topi dan jaket jeans di atas pentas yang
selalunya digunakan tokguru-tokguru PAS, yang selalunya juga dikatakan
"antiseni".
Teater
itu berkisar tentang budaya politik mengipas dan membodek pemegang kuasa - wataknya
‘Tok Ampu' yang mendakwa sebagai maharaja. Pemimpin itu bertakhta di puncak tinggi (di
atas sebuah tangga), sambil memegang tongkat kuasa (dibuat daripada batang penyapu
lantai).
Bagaimanapun, krisis muncul apabila rakyat marhaen
mula menyedari kepincangan Tok Ampu dan memprotes untuk merebut tangga tersebut. Aksi
protes rakyat bermula apabila mereka enggan hadir mendengar ceramah politik Tok Ampu
tentang ajaran sesat.
Malah, rakyat juga menuntut tangga itu diserahkan
kepada mereka (bukan dibolot seorang diri oleh Tok Ampu) untuk pelbagai tujuan,
antaranya menoreh pokok getah, membaiki atap rumah yang bocor dan memanjat kelapa.
Protes itu bagaimanapun berjaya dilemahkan apabila
sekumpulan anggota polis FRU dan aktivis rakyat ditangkap dan dibicarakan di mahkamah
Tok Ampu.
Hakim (yang memakai rambut palsu daripada kain
penyapu pengelap lantai) sambil berkonspirasi dengan Tok Ampu menghakimi tertuduh
menggunakan beberapa bahan bukti, antaranya seeokor arnab, sebiji kelapa dan pengelap
bulu ayam yang didakwa telah "menggangu keselamatan awam."
Agit-prop
Tidak lupa, bahan buktinya sebuah tilam yang kotor
dan berbau busuk! Tentunya penonton ketawa dan bertepuk tangan.
Selain dialog lucu dan menyindir, teater ini
diselang-seli dengan nyanyian ringkas - ala Broadway, barangkali - sebagai sebahagian
jalan cerita.
Krisis Tok Ampu dengan rakyat berakhir apabila
rakyat berjaya menggulingkan pemerintah kejam itu dan tangga akhirnya dikongsikan
bersama-sama secara adil dan rakyat bergembira.
Teater
politik dan seni satira itu menggunakan konsep "agit-prop," agitation
dan propaganda, seperti dipersembahkan untuk protes jalanan, sebahagian daripada
demonstrasi atau kegiatan politik.
Teater agit-prop merupakan satu cabang seni
lakonan pentas yang dipersembahkan di luar pentas biasa teater dan selalunya dilakonkan
di tempat tumpuan awam secara tidak dirancang (sebab itu, dikenali juga sebagai
"teater gerila"), untuk menzahirkan satu luahan rasa politik, khususnya yang
kritis terhadap aliran arus perdana, dan menarik reaksi protes dan debat dengan
penonton.
Walaupun tidak meluas, teater berkonsepkan agit-prop
bukanlah kali pertama dipersembahkan di negara ini. Teater seumpama itu dengan tema-tema
yang lain pernah dipersembahkan dalam ceramah politik dan mendapat reaksi marah dan
kecaman penonton di Johor Baru menjelang pilihan raya umum lalu.
Ia juga pernah digunakan oleh penyokong reformasi,
dengan bantuan dua patung (effigy), dalam satu demonstrasi di Masjid Negara bagi
membantah tindakan kerajaan mengehadkan penerbitan Harakah pada Mac lalu. Dan,
sekali lagi teater sebagai sebahagian aksi demonstran dalam perhimpunan aman pada hari
keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, 8 Ogos lalu.
Sajak Anwar
Sebelum persembahan itu, dua penyajak
mendeklamasikan hasil seni mereka, seorang penyajak veteran dan dikenali ramai Dinsman,
dan seorang lagi artis-pelukis Hasmi Hashim. Tanpa diduga, Anwar dengan nama pena
"Al-Islah" juga menyumbangkan sajaknya (di bawah) untuk acara ini.
Pesan betara guruku,
"Sisih dari angkara
Bendahara,
Bertapalah di dalam gua
kelana dan kedana,
hingga batin waja
dan
jasad satria"
Kurenung menembusi gua
matakaci aye rinseng...
Kudengar
riuh tempikan
mamak Bendahara:
"Aku pewaris takhta
dan khazanah negara
dihimpit
hulubalang perkasa,
jika cuba menderhaka
akan disula."
Kusingkap batasan
terlihat gerombolan keluh
kesah
tunduk mengampu dan mengamin
drama rekaan jadi nyata
walhasil rasuah,
kezaliman
kisah bobrok tersorok
lantaran mata rabun
fikiran nanar
Kupacu kereta kencana
sambil meneropong
menembusi
awan
Terlihat keresahan membara
kendati dibelasah
muak
dengan telatah
Bergerak riak bagaikan ombak
Derap dan deru bagaikan halilintar
Mulanya
sayup
kian terang
kini gegak gempita -
ya, kalimah keramat:
Reformasi!
Al Islah
Penjara Sg Buloh
Kira-kira
500 peminat teater, khususnya penyokong reformasi dan politik pembangkang, hadir
menyaksikan program tersebut. Beberapa pemimpin politik yang diundang termasuklah,
Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Ismail dan keluarga (kecuali Anwar,
tentunya), Presiden PRM Dr Syed Husin Ali, ahli jawatankuasa pusat PAS dan penulis Subky
Latif, aktivis reformasi Abd Malek Hussin dan Seniman Negara Syed Ahmad Jamal.
Tidak pasti sama ada teater ini satu bentuk
kegiatan politik atau kebudayaan; yang pasti, kita terhibur sambil mengecam tindakan
politik tertentu.