MALAM SATU WADAH, SATU PERJUANGAN
Assalamualaikum,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas
dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis makan
malam tersebut. Semua meja habis terjual dan sehingga setakat malam itu sahaja masih ada
ahli-ahli yang berminat untuk menempah. Antara tetamu-tetamu terhormat yang hadir ialah,
YB. Datin Seri Wan Azizah, YB selaku Presiden Parti Keadilan Nasional; Tuan Haji Muhamad
Sabu; Ahli exco PAS Pusat, YBhg. Teng Chang Kim, Ketua Pemuda DAP Pusat;YBhg. Rustam
Sani; naib Presiden PRM, Dr. Hatta Ramli, bapa kepada DSAI, Dato' Ibrahim dan lain-lain
lagi yang tidak sempat cucu catatkan di sini.
Majlis telah dipengerusikan oleh
saudara Husnal dengan pelbagai aturcara telah dirancang dan diatur. Antara acara yang
menarik sekali ialah acara lelongan lukisan kartunis Zunar dan 2 biji kek yang telah
disiapkan oleh YBhg. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kesemuanya telah berjaya dilelong
dan cucu mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbangan para dermawan yang sudi
membeli barang-barang lelongan tersebut.
Selain dari acara lelongan, saudara
Disman juga turut hadir dengan deklaminasi sajaknya. Sebuah sajak yang berkisar kepada
peri rakusnya sistem kehakiman negara ini dalam memutuskan hukuman kepada Bapa Reformasi
Negara DSAI. Kepada beliau, sekalung taniah diucapkan di atas penyampaian sajak yang
cukup bersemangat itu...
Seterusnya, para hadirin dihidangkan pula dengan
ucapan-ucapan dari tetamu-tetamu yang diundang dengan dimulakan oleh YB Mohamed Azmin
Ali selaku Ketua Bahagian Parti Keadilan Nasional Bahagian GOMBAK dan Pengerusi
Perhubungan Parti Keadilan Nasional Negeri Selangor. Banyak isu-isu semasa yang disentuh
oleh beliau.
YB Azmin menjelaskan kepada hadirin betapa sokongan rakyat kini
semakin meningkat dan jelas terbukti terbukti. Ini boleh dilihat dengan rentetan
peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam parti AMENO terutamanya di kem Selangor yang kini
sedang gawat dilanda masalah kepimpinan dan kepercayaan. Mat Taib diulit rasa kekecewaan
dan kesal yang teramat sangat bila mana saudara M menolak mentah-mentah pencalonan 11
orang calon pilihannya bagi jawatan MB sebaliknya memilih anak Toyo untuk menjawatnya.
Kekecewaan Mat Taib bertambah lagi jika dilihat latarbelakang anak Toyo yang tidak
mempunyai pengalaman langsung dalam kancah politik dan seterusnya membelakangi tradisi
pemilihan.
Beliau juga turut menarik perhatian hadirin tentang pengalaman beliau
sewaktu hadir ke program Sumpah Keramat 2 Parti Keadilan Nasional, Peringkat Negeri
Terengganu pada 25HB OGOS,2000 yang lalu di mana lautan manusia yang hadir berkirim
salam dan mengucapkan taniah kepada seluruh rakyat Selangor di atas kejayaan rakyat
menjatuhkan Abu Hassan Omar.
Isu perletakkan jawatan Abu Hassan adalah isu yang
paling banyak disentuh oleh beliau. Beliau berkata, sebelum perletakkan jawatan Abu
Hassan itu YB Azmin telah cuba mengusulkan cadangan di dalam Dewan Rakyat bagi
membahaskan isu surat layang Abu Hassan yang kini cukup luas dipertikaikan tentang
kebenarannya. Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang tidak melazimkan perbuatan
fitnah itu dijadikan sebagai satu budaya dan juga sebagaimana yang pernah dituntut oleh
Pendakwaraya untuk dilakukan kepada YB Azmin dan anaknya sewaktu persaksian kes liwat
DSAI dijalankan, beliau mencabar Abu Hassan supaya melakukan ujian DNA bagi menafikan
fitnah tersebut. Bagaimanapun, hingga kini beliau gagal untuk berbuat demikian. ini
membuktikan bahawa kes itu benar dan tegas YB Azmin, Pemuda Parti Keadilan Nasional akan
membuat satu lapuran kepada pihak polis dan JAIS bagi menghadapkan Abu Hassan ke
mahkamah.
Hukuman 9 tahun yag dijatuhkan ke atas DSAI pada 8 Ogos 2000 lalu,
turut disentuh. Fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Taha jelas membuktikan bahawa
penghakiman kes liwat DSAI tidak mengikut ajaran Islam dan menuntut supaya DSAI
dibebaskan. Isu yang sudah menjadi isu global itu sekarang ini turut menarik minat ISNA
untuk tidak mengundang saudara M yang dikatakan bakal menerima anugerah dari ISNA pada
majlis tersebut. Menurut YB Azmin, penarikan tersebut telah menyebabkan saudara M
terkejut besar dan telah mengarahkan pihak ISNA agar terus membenarkannya hadir.
Bagaimanapun, arahan tersebut telah dibalas oleh pihak ISNA dengan mensyaratkan supaya
satu pertemuan tertutup diatur antara pihak ISNA dengan DSAI. Namun syarat tersebut
ditolak oleh saudara M dan menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai dan tidak akan
dikeluarkan dalam mana-mana akhbar pro kerajaan, saudara M akan tetap hadir ke majlis
tersebut biarpun tidak diundang.
Akhir sekali, YB Azmin berpesan kepada hadirin
yang hadir agar jangan berasa gundah gulana dengan apa yang telah berlaku ke atas DSAI
malah menurut beliau tahap perjuangan BA kini sudah sampai ke tahap kemuncaknya.
Beberapa perancangan telah dirangka oleh pucuk pimpinan BA dalam rangka menawan Negeri
Selangor dan beliau menjangkakan akan ada perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan
Negeri Selangor sekarang ini.
Seterusnya YB Teng pula mengambil giliran berucap.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 2 penggal beliau menjadi pembangkang di Dewan Rakyat
sudah 2 orang MB telah berjaya ditumbangkan. Yang pertamanya Mat Taib dengan isu wangnya
yang berjumlah 2.4 juta dan yang keduanya Abu Hassan Omar dengan skandal seks. Malah
menurut YB Teng, beliau pernah mengusulkan satu cadangan undi tidak percaya dibuat
kepada Mat Taib di atas kes yang sedang ditanggungnya waktu itu, dalam persidangan
tetapi tidak dihebahkan dalam akhbar pro kerajaan.
Kini tiba pula giliran anak
Toyo menjadi MB Selangor. AMENO Selangor kini berantakan atas perlatikan anak Toyo itu.
Mesyuarat AJK Pemuda Selangor menjadi kecoh. YB Teng menjelaskan kekecohan berpunca dari
perlantikan anak Toyo itu yang tidak berlatar belakangkan teras politik yang kuat.
Menurut YB Teng lagi, AMENO kini betul-betul ketandusan isu. Beliau menjelaskan, isu Hak
Keistimewaan Orang-orang Melayu sudah termaktub di dalam perlembagaan. Soalnya, siapakah
yang mencetuskan isu ini, pihak pembangkang ataupun BN? YB Teng menegaskan , tiada isu
yang timbul sebenarnya dikalangan kaum Melayu, India dan CIna. Hanya AEMNO dan David
Chua sahaja yang menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa kini rakyat Cina dan
India mempertikaikan hak-hak tersebut.
Akhir sekali, beliau menyeru kepada
hadirin sekalian agar perpaduan yang sedia terjalin di kalangan ahli-ahli dalam
parti-parti komponen BA ini sentiasa dikekalkan dan dijaga agar tidak terungkai dengan
mudahnya.
Seterusnya, YB Muhamad Sabu pula mengambil tempat. Dalam ucapannya, YB
Muhamad Sabu menegaskan betapa perlunya semua ahli-ahli dalam komponen BA beristiqamah
dalam perjuangan kerana apa yang diperjuangkan itu masih panjang dan jauh. AMENO menurut
beliau sudah ketandusan isu. PM hilang wibawa di luar dan dalam negara dan rakyat kini
terutamanya diperingkat grass root telah hilang kepercayaan. Hal ini semakin
menjadi-jadi bila sahaja kes Sauk berlaku.
Bagi membuktikan betapa BA juga mampu
memikul tanggungjawab dan bersikap telus, YB Muhamad Sabu telah menjelaskan bahawa PAS
di peringkat negeri Terengganu telah menubuhkan satu Jawatankuasa Hizbah bagi mengawasi
tindak tanduk ahli-ahli exco termasuk MB di peringkat negeri.
Seterusnya, YB
Muhamad Sabu menyarankan kepada yang hadir agar menjadikan Barisan Alternatif ini
sebagai kekasih rakyat dengan kata lain suka dengan BA oleh sebab khidmat yang dibuat
oleh Barisan Alternatif dan bukannya suka disebabkan oleh kuasa yang dimiliki.
Sebagai
tetamu seterusnya yang diberi peluang untuk berucap, YBhg. Rustam Sani lebih banyak
menyentuh tentang rintangan dan halangan yang perlu dilalui oleh semua komponen BA
selepas DSAI dihukum. Beliau turut menyampaikan amanat dari DSAI betapa DSAI perlu
berehat lama dan memohon maaf kepada beliau kerana perjuangan seterusnya terpaksa
dipikul oleh kawan-kawan yang lain.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan meminta
ahli-ahli dalam BA supaya berjuang dengan hati yang tulus dan ikhlas.
Majlis
diakhiri dengan ucapan dari Ezam Mohd Noor. Dalam ucapannya, beliau menceritakan
bagaimana beliau telah dihubungi oleh Timbalan Naib Ketua Pemuda AMENO, Aziz untuk turut
sama berdemonstrasi dalam isu hak keistimewaan orang-orang Melayu. Tawaran itu telah
disambut oleh Ezam dengan mencabar Aziz supaya mengusulkan kepada beliau satu dasar yang
sepanjang saudara M menjadi PM berjaya dibuat untuk bangsa Melayu . Sebagai contohnya,
sekiranya Tun Hussein Onn berjaya membantu bangsa Melayu dengan Amanah Saham
Nasionalnya, apakah dasar yang diwujudkan oleh saudara M bagi membantu bangsa Melayu
dalam bidang ekonomi. Malah menurut beliau, isu sebenarnya yang diperjuangkan oleh BA
ialah isu agama dan negara dan bukannya isu bangsa.
Beliau juga turut
menceritakan bagaimana Dato' Shafei Yahya telah diugut sebanyak 7 kali oleh pihak polis
bagi menjadi saksi palsu dan malangnya Dato' Shafei tetap dengan pendiriannya menyatakan
bahawa urusan kerja beliau telah diganggu oleh saudara M. Ezam turut mencabar pihak
polis agar menggunakan lapuran 122 yang dibuat oleh Dato' Shafei bagi menangkap saudara
M. Ezam juga turut melahirkan kehairanannya bagaimana seorang yang rasuah seperti Abul
Hassan dan sedang dalam siasatan polis boleh dinaikkan pangkat untuk menjawat jawatan
Gabenor Bank Negara.
Tidak ketinggalan, Ezam menceritakan bagaimana punca DSAI
dimusnahkan kerjaya politiknya gara-gara keengganan DSAI untuk membantu Tajuddin Ramli
dalam masalah hutang piutangnya dan sebaliknya DSAI ditekan oleh saudara M dan Daim.
Di
akhir ucapannya, Ezam menjelaskan bahawa yang dipenjarakan sekarang ini ialah rakyat
Malaysia dan sebagai rakyat kita perlulah sama-sama membebaskan diri ini.
Cucureformasi
https://members.tripod.com/keadilanbt16/