Pemerhati politik tertumpu kepada
Telok Intan
Harakah
Semua pemerhati politik kini tertumpu kepada
Parlimen Teluk Intan berikutan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman RM10,000 ke atas
wakil rakyatnya, Mah Siew Keong.
Mah dihukum di atas dakwaan menghina mahkamah
apabila beliau gagal mematuhi hukuman sebelah pihak (ex-parte) yang telah dijatuhkan
oleh mahkamah yang sama sebelum ini.
Mah telah memfailkan permohonan untuk membuat
rayuan ke atas hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya itu.
Sebelum ini, pada tahun 1997, DAP telah memberikan
kejutan kepada BN apabila calonnya, K Kulasegaran telah memenangi pilihan raya kecil
kawasan itu dengan mengalahkan calon BN dengan majoriti melebihi enam ribu undi.
Bagaimanapun, DAP telah gagal mempertahankan
kerusi itu dalam pilihan raya lalu.
DAP, ketika dihubungi memberitahu, akan menjadikan
majlis makan malamnya 26 Ogos ini di Teluk Intan sebagai majlis besar-besaran.
Ketika ditanya apakah itu sebahagian persiapan
pilihan raya, jurucakapnya berkata, "belum lagi kerana keputusan mahkamah ke atas
rayuan Mah belum lagi diketahui."
Jika Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman Mahkamah
Tinggi atau memberikan hukuman lebih dari RM2,000, pilihan raya kecil akan diadakan di
kawasan berkenaan kerana Mah dikira hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
DAP dijangka akan diberikan laluan oleh Barisan
Alternatif untuk bertanding di kawasan itu jika pilihan raya kecil benar-benar diadakan.