KTLBELB:Bab 26
Yang
Bergolek dan Bergolak
Ketika Mr. Lee Kuan Yew menceritakan kisah
perbualannya di Davos dengan Mahathir dalam kes penahanan Anwar Ibrahim dulu,
menteri kanan Singapura itu ada membuat beberapa pendedahan seolah-olah dia tidak berapa
suka dengan perbuatan kawan lamanya itu. Sekaligus ramai rakyat Malaysia yang fikir Lee
Kuan Yew cuba memperlekehkan Mahathir. Tetapi, perkara sebenarnya ialah mereka
berdua sedang mencari satu formula baru bagaimana Mahathir boleh terus berkuasa dan
menjadi satu penghalang utama terhadap kebangkitan arus reformasi di dua belah negara.
Kerana itu, Lee Kuan Yew berani mempersendakan Mahathir di Kuala Lumpur sebelum beliau
bertolak pulang. Kalau Lee mahu berniat serong dengan Mahathir, tentu sekali dia telah
mencadangkan agar Mahathir berundur diri secara hormat selagi ada lagi secebis perasaan
hormat rakyat Malaysia terhadapnya. Dengan kata mudah, tentu sekali Lee Kuan Yew
menasihatkan Mahathir melepaskan jawatannya dan mengambil peranan sebagai menteri kanan
di kabinet Persekutuan pula. Ataupun apakah Mar. Lee ada menasihatkan Mahathir supaya
undur dengan hormat sebelum terlambat?
Mr. Lee Kuan Yew memang terkenal
sebagai seorang negarawan terulung di rantau ini. Tidak ada lagi sesiapa negarawan (di
rantau ini yang masih hidup) yang mampu menandinginya. Tidak juga Mahathir. Kerana itu
dia sudah dapat melihat betapa rapuhnya Mahathir sekarang. Pelbagai peristiwa yang
berlalu sejak dua bulan yang lalu adalah satu gambaran yang jelas kepada Mr. Lee betapa
Mahathir sedang mencengkam tanah yang dipijaknya laksana seekor anjing tua yang masih
lagi mempunyai hati muda melihatkan gelagat suku sakatnya di musim mengawan. Lee sudah
nampak dengan jelas betapa Mahathir hanya menantikan hari-hari yang bersejarah untuk
menyembah bumi juga. Kerana itu segala taktik Mahathir untuk terus berkuasa itu dianalisis
sebaik mungkin oleh negara jiran dan juga para analis professional untuk
menilai apakah yang akan terus datang bergolek untuk menjadi isu yang bergolak dan
mencemaskan keselamatan rantau ini.
Kalau Mr. Lee Kuan Yew sudah mampu
memahami kedudukan Mahathir sekarang ini, siapakah lagi yang mampu berfikiran seperti
Lee? Tentunya semua kuasa dunia yang memang mahu melihat bila agaknya Mahathir akan
undur ataupun diundurkan. Tentunya para penganalisis korporat bertahap global yang
mahu melihat risiko pelaburan mereka di rantau ini. Tentunya para hartawan bukan Melayu
yang sudah lama kaya raya di negara ini melalui sistem Kronisme, Korupsi, Daddykasi
dan Detkasi. Selama ini mereka pura-pura akur dengan Mahathir, tetapi kita tahu mereka
pun sudah lama mengatur strategi apa yang perlu dibawa lari dan bila mesti bersiap sedia
untuk lari.
Mampukah Mahathir Menyanggah Sejarah ?
Kalau
kita lihat pergerakan dan aktiviti Mr. Lee Kuan Yew sejak dia meletakkan jawatannya
sebagai Perdana Menteri Singapura dulu, kita akan faham beliau adalah seorang insan yang
tidak mudah memberi nasihat ataupun kritik terhadap negara luar. Selalunya dia
menumpukan fokus kritikannya terhadap negaranya sahaja. Kalau dia lakukan kritikan
terhadap negara luar, kritikannya itu adalah simbolik untuk menghentam kuasa yang lebih
besar darinya dan juga sebagai ingatan kepada pemimpin muda Singapura yang naik kerana
tunjuk ajarnya. Itu sebabnya penganalis professional mengiktiraf Mr. Lee Kuan Yew sebagai
'Mr. History of Singapore'
Satu ketika dulu Mr. Lee ada membuat komen betapa
perlunya Singapura memikirkan kemungkinan republik itu berbalik kembali di bawah satu
gagasan dan bendera yang memberinya ruang mencapai kemerdekaan dulu. Dengan ringkas
beliau membawa kejutan di kalangan masyarakat Singapura betapa mungkinnya Singapura
menganggotai Malaysia semula untuk terus berjaya. Lantas, para pemimpin di
Malaysia berlagak sakan sehinggakan pemimpin yang baru laksana jagung mentah pun turut
terbawa dengan sentimen yang palsu itu. Mr. Lee sebenarnya menyindir rakyat Singapura
agar berwaspada untuk bekerja kuat lagi dan menjamin kejayaan republik itu. Inilah
yang tidak difahami oleh kebanyakan pemimpin Malaysia ketika itu, apatah lagi para
pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO yang ikut melatah tak tentu hala. Ada di kalangan
mereka yang berucap betapa Lee Kuan Yew "sudah mendongak muka ke langit
untuk menjilat ludahannya". Sekaligus mereka meninggikan suara untuk memuji-muja
Mahathir Mohamad sehingga tinggi melangit pujiannya. Pernah terlintaskah di kepala
otak pemimpin pemuda UMNO itu kini, apa yang terjadi selepas Mr. Lee Kuan Yew muncul di
bumi Malaysia kali ini? Adakah dibincangkan masalah Singapura menganggotai Malaysia?
Adakah sesiapa di kalangan pemimin pemuda UMNO yang pernah terfikirkan drama lawak
jenaka Lee Kuan Yew mengenai hal ini?
Siapa Lawan Siapa Kawan ?
Kita
nampak berapa tersinggungnya Mahathir dengan perbuatan Mr. Lee Kuan Yew ketika berada
hanya empat hari di Kuala Lumpur. Risikan Malaysia telah menyatakan siapakah yang
ditemui oleh Lee ketika berada di ibukota. Dia tidak pun menghabiskan masa yang panjang
dengan Mahathir untuk memberi justifikasi kenapa dia perlu empat hari untuk membuat
lawatan itu. Dia tidak pergi ke tempat lain seperti Pulau Pinang ataupun Langkawi. Tidak
juga dia pergi ke tanah tumpah darah asalnya di Perak untuk mengimbau sejarah silam.
Mr. Lee hanya berada di Kuala Lumpur menikmati keindahan Menara kembar berbentuk 'H'
yang mengikutnya adalah satu pembaziran khazanah negara. Apabila dia menoleh ke sebelah menara kembar itu dia terlihat Menara Kuala Lumpur yang digunakan untuk tujuan
komunikasi, tetapi dia tidak membuat soalan mengenainya. Dia sudah lama tahu betapa
kedua-dua menara yang berbilion harganya itu adalah satu lambang kepada rakyat Malaysia di masa depan berapa rakusnya seorang pemimpin yang satu ketika dulu bersuara lantang
menghentam Tunku Abdul Rahman Putra. Sayangnya, kita hanya akan mengetahui perasaan Mr.
Lee sebenarnya apabila terbit sebuah memoir khas (mengenai semua ini) selepas
kematiannya. Untuk ketika ini, sudah tentu perasaannya itu dipendamnya dulu sebagai
tanda hormat kepada perhubungan dua negara yang dikatakan akrab itu.
Namun,
seluruh dunia kini faham bahawa di antara Mahathir dan Daim, siapakah orang pilihan Mr.
Lee ? "Daim," katanya singkat. Kenapa pula begitu, kita mahu bertanya
sedangkan Mahathir dan Lee pernah seangkatan di Singapura satu ketika dulu dalam dunia
kewartawanan dan penulisan. Soalan demikian tentu tidak berani disoalkan oleh wartawan
negara ini kepadanya di sidang akhbar yang lalu kerana mereka tahu akan bahananya.
Begitu juga dengan kisah lain seperti masalah Stesen Keretapi di Singapura (Pasir
Panjang) dan harta Malaysia daripada Woodlands ke Tanjung Pagar itu. Sekali lagi soalan
mengenai hal itu tidak dikemukakan, seperti juga soalan pandangan beliau terhadap
kes-kes lama di Malaysia yang terbeku dan terpendam sahaja. Malahan, ada satu soalan
penting yang sungguh relevan yang patut dikemukakan oleh wartawan dari Malaysia: kenapakah
kerajaan Singapura masih menyekat caruman rakyat Malaysia yang sudah lama berhenti kerja
di republik itu? Kenapakah wang itu tidak dikirimkan untuk dimasukkan di KWSP Malaysia?
Mungkin juga para wartawan akhbar Malaysia sengaja diajar tidak menyoal soalan sensitif
seperti itu, kerana Mr. Lee Kuan Yew adalah kawan baik orang-orang Utusan Melayu?
Jikalau
kita lihat kenyataan Mr. Lee ketika sidang akhbar dulu itu, nampak ada satu
lakonan juga. Dia tidak banyak menghentam cara negara ini ditadbir dari perspektif
pembaziran wang rakyat. Tentunya Mr. Lee amat faham betapa banyak bank di
Singapura yang mengaut hasil kekayaan ini disebabkan rakyat Malaysia yang
melarikan harta mereka daripada negara ini. Mr. Lee tidak pernah buat komen akan keadaan
pencapaian Malaysia dalam arena pelajaran kerana dia tahu anak-anak hartawan Malaysia
menerima didikan di Singapura dan bukannya di Kuala Lumpur. Dia tahu semua itu kerana
banyak apartment dan kondominium yang mahal-mahal adalah kepunyaan tauke besar Malaysia
dan para jongos Mahathir untuk tujuan memudahkan mereka berkumpul ramai-ramai di hujung
minggu. Ataupun ketika Mahathir ke luar negara melakukan peranannya sebagai Wira Dunia
Ketiga.
Kalau demikianlah halnya, apakah sebenarnya tujuan Mr. Lee datang ke
Kuala Lumpur? Kalau mahu bertemu dan makan besar dengan orang kenamaan di Kuala Lumpur
dia mampu menunggu ketibaan mereka di Singapura. Dia boleh mengirim salam dan menjemput
mereka ke Sri Temasik untuk bersua muka dan berlawak jenaka. Dia mempunyai
kekuatan untuk mengetahui nombor akaun rahsia mereka semua di Bank Singapura. Malahan
dia tahu nama gundek dan isteri simpanan para hartawan Malaysia di seberang tambak
sana. Tentu sekali Mr. Lee tidak perlu datang ke ibukota untuk tujuan itu semua kalau
lawatannya itu hanya untuk bersua muka dengan Mahathir sahaja?
Tentu ada
sesuatu yang lebih penting daripada apa yang kita tahu secara terbuka mengenai lawatan
Mr. Lee itu. Apakah dia Mr. Harry Lee) datang untuk menyaksikan The Royal Circus of
London dengan tujuan menentukan gereja mana di Kuala Lumpur ini yang sepatutnya
menerima 5% derma kutipan jualan tiket setiap hari? Apakah dia datang untuk memberi
nasihat kepada Mahathir sebelum dia bertolak ke Mozambique ? Ataupun apakah dia datang
untuk memberi sokongan kepada Parti Gerakan di atas masalah kepimpinan mereka? Inilah
yang masih menjadi tandatanya para analis masa kini. Kerana, tidak ada satu masalah
yang tidak dapat dibincangkan oleh Mr. Lee dengan Mahathir melalui telefon dan telefaks
sahaja. Malahan mereka sentiasa boleh berhubungan melalui sistem
'teleconferencing' yang sulit dan berahsia. Apa juga muslihat sebenar pertemuan mereka,
rakyat marhaen tidak akan tahu kerana sistem rahsia di negara ini tidak membolehkan kita
mengetahuinya. Sedangkan di negara yang maju setiap aktiviti pemerintah didedahkan untuk
kajian rakyatnya setelah satu tempoh yang terhad. Tetapi di negara ini apa juga yang
dilakukan oleh pemerintah hanya merupakan hak pemerintah. Rakyat tidak akan
mengetahuinya selagi pemerintah tidak mendedahkannya. Alangkah lucunya
perkara ini sedangkan yang memerintah itu adalah wakil rakyat, sebenarnya?
Hak
Keistimewaan Orang Melayu
Kekecohan mengenai hak keistimewaan orang Melayu
tiba-tiba meletup sebaik sahaja Mr. Lee Kuan Yew berlepas daripada Kuala Lumpur untuk
pulang ke Singapura. Kenapakah kekecohan itu tiba-tiba sahaja meledak ? Kenapakah
Pergerakan Pemuda UMNO mampu menunjukkan keberangan mereka mengenai isu ini
sedangkan Perdana Menteri sendiri telah diberitahu oleh David Chua betapa pendapatnya
sengaja disalah-tafsirkan oleh Utusan Melayu?
Penulis Veteran MGG
Pillai telah menulis panjang mengenai hal ini dan mengatakan betapa Pemuda UMNO itu
berlagak sakan tidak kena pada tempatnya. Bukankah hak keistimewaan Melayu itu sesuatu
yang lama termaktub dalam perlembagaan negara? Dengan hal yang demikian, siapakah yang
cuba ditipu oleh Pemuda UMNO ini? Apakah mereka fikir orang Melayu khasnya dan rakyat
Malaysia amnya sudah begitu jauh ke belakang dalam bidang sejarah? Soalan ini telah
dijawab oleh seorang peniaga gerai makan yang berkata: "Inilah lakonan Mahathir
yang terbaru!!! Yang peliknya pergerakan Pemuda UMNO turut berlakon sama!!"
Bayangkanlah
sendiri begitu hinanya tafsiran rakyat akan perkara ini terhadap seorang perdana
menteri dan juga terhadap pelapis pemimpin negara. Jikalau rakyat marhaen sedar
akan lakonan terbaru ini apakah sebenarnya tujuan lakonan itu dicetuskan? Apakah ia
bertujuan untuk mengalihkan pemikiran orang Melayu terhadap impak saranan Mr. Lee Kuan
Yew mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim? Apakah benar, Mr.
Lee Kuan Yew sudah menerima 'advance warning' (amaran awal) mengenai tindakan dunia luar
terhadap Mahathir berasaskan keputusan mahkamah terhadap Anwar? Apakah ini sebenarnya
maksud kenyataan Mahathir yang berbunyi "Kini kita baru tahu siapa kawan dan siapa
lawan...."
Sebenarnya, kita boleh menyoal Mahathir dan juga para pemimpin
Pemuda UMNO, apakah sebenarnya yang membuat mereka melatah sekarang ini mengenai Hak
Keistimewaan Melayu itu? Apakah mereka tidak sedar bahawa golongan yang paling beruntung
dengan Hak Keistimewaan Melayu itu adalah golongan yang bertapa nun jauh di atas pucuk
pimpinan parti yang bergelar UMNO. Di samping itu yang paling beruntung dalam
keistimewaan ini adalah golongan yang kini mudah dikenal sebagai kumpulan Kroniputra.
Inilah segelintir orang bukan Melayu yang beragama Islam dan berjaya
menyamar sebagai orang Melayu dan syok sendirian setelah diberi pangkat dan tempat dalam
UMNO. Mereka ini lah juga yang berjaya menonjolkan segolongan orang bukan Melayu
yang tidak beragama Islam yang diberi segala keistimewaan oleh Mahathir untuk
turut sama membalon harta negara yang sepatutnya diwariskan kepada keturunan bangsa
Melayu khasnya dan keturunan rakyat Malaysia amnya.
Mr. Lee tahu apa yang
sedang di hadapi oleh Malaysia dalam satu dekad yang terdekat. Malaysia akan menghadapi
masalah dalam menangani hutang negara, seandainya harga minyak turun dan seandainya
simpanan minyak dan gas menurun. Harga minyak boleh turun kalau kuasa besar
seperti Amerika mahu harga itu turun. Kerana itu kita dapati pergolakan di Tanah Arab
akan berterusan semata-mata kerana Amerika mahu mengawal bekalan minyak dan gas dan juga
harganya. Kerja-kerja mengawal itu menjadi mudah kerana Indonesia masih lemah. Indonesia
masih lagi tidur kini, seperti yang kerap berlaku kepada presidennya di majlis besar
negara, baik di siang hari ataupun di waktu sore. Kalau Indonesia mampu bangkit,
industri minyak negara itu dipergiatkan, besar kemungkinannya simpanan minyak Malaysia
akan tergugat dan ini akan mencetuskan kerisauan kepada pemimpin seperti Mr. Lee. Dia
tahu keharmonian dan kestabilan politik Singapura banyak bergantung kepada kesinambungan
kekayaan yang diperolehi oleh Indonesia dan Malaysia. Untuk berdekad lamanya, Singapura
menjadi kaya raya kerana menapis minyak keluaran negara Arab dan juga Indonesia.
Di waktu yang sama Singapura merupakan 'pejabat pos' besar bagi segala urusan mengenai
perkapalan dan pengangkutan udara dan maritim. Lantas sistem perbankan Singapura terus
mantap secara tidak langsung disebabkan kemudahan perkhidmatan ini.
Faktor
ekonomi yang dituliskan di atas sudah tentu memang difahami oleh Mahathir dan dia tidak
perlu satu ingatan ataupun nasihat daripada Mr. Lee yang mesti datang secara peribadi.
Tetapi,
kenapakah berlaku satu demonstrasi di Putra Jaya sebaik sahaja Mr. Lee menamatkan
lawatannya? Kenapakah secara spontan beberapa kumpulan 'rakyat yang perihatin' mampu
menunjuk perasaan dan memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri sehinggakan beliau
menangis lagi? Apakah kena mengenanya lawatan Mr. Lee yang baru berakhir itu
dengan lakonan si diktator tua menangis lagi? Yang lebih menakjubkan bagaimanakah begitu
ramai mampu berdemonstrasi tanpa lesen dan iringan kawalan polis?
Bila
Diktator Tua Menangis Lagi
"Mahathir menangis lagi, Mahathir menangis
lagi" demikianlah ungkapan yang diulang-ulang di Puduraya di sebelah petang itu
kerana lakonan tangisan seorang diktator tua hanya diketahui oleh rakyat setelah mereka
menonton Berita TV Jam 6 petang. Kenapakah ungkapan "PM Menangis tadi,"
diulang-ulang secara bebas di merata ibukota di satu petang itu, seolah-olah ada satu
jentera khas yang melakukan ulang-main tape-recorder yang tersembunyi?
Memang
pelik peristiwa itu, kerana ketika itu negara sedang meraikan kedatangan dua tetamu
besar iaitu Nelson Mandela dan juga Yassir Arafat. Malahan Yassir Arafat terpaksa
tinggal lebih lama daripada jadualnya kerana kerosakan pesawat terbangnya sebelum
berlepas ke Jakarta.
Kemunculan dua tetamu khas negara yang bukan
calang-calang orangnya selepas negara menerima ketibaan 'Mr. History of Singapore'
sepatutnya merupakan satu penghormatan yang besar kepada Mahathir dan mampu membuatkan
beliau ketawa panjang sentiasa. Lagipun ketika itu beliau sedang bersiap-siap untuk ke
Moputo dan kemudiannya ke London sebelum terbang ke Chicago untuk berucap kepada satu
forum antarabangsa.
Antara Malaysia dan Mozambique
Pada
hari Ahad yang lalu, Mahathir sudah pun berada di Maputo, Mozambique. Hanya dia seorang
pemimpin daripada luar Afrika yang menghadiri Southern Africa International
Dialogue 2000 (SAID 2000). Kalau kita kurang arif tentu kita termakan propaganda yang
disiarkan di media kerajaan akan tugas Mahathir di sana. Maklumlah, pemergiannya itu
diiringi oleh lebih 30 orang anggota delegasinya. Mak uui....alangkah hebatnya?
Akan tetapi kalau kita kaji balik dengan teliti, apa yang disebut sebagai persidangan
besar ini hanyalah merupakan satu persidangan yang ditiru daripada Langkawi
International Dialogue. Pertama kali ianya diadakan di Afrika ialah di Kasane, Botswana
pada tahun1997. Kemudian di Swakopmund Namibia pada 1998. Tahun lepas di Victoria Falls
Zimbabwe.
Kalau kita kaji sejarah Mozambique kita akan sedar bahawa inilah
sebuah negara yang baru bernafas kembali setelah mengharungi peperangan saudara lebih
dua dekad. Kalau kita teliti negara yang baru bangkit daripada satu keruntuhan
disebabkan peperangan saudara, kita akan sedar kebangkitan itu adalah sesuatu yang pedih
dan masih goyang. Pembangunan yang baru bermula tentunya mendapat perhatian yang
penuh daripada semua agensi PBB dan Bank Dunia. Tentu sekali semua institusi gereja
Kristian bertumpu ke sana kerana itu sudah menjadi sikap mereka bekerja. Ciri yang
unik inilah yang menyebabkan tidak ada seorang pun pemimpin dunia yang unggul dan
ternama menyertai persidangan ini. Hanya seorang pemimpin negara yang ketagih dengan
jolokan Wira Dunia Ketiga.
Mozambique adalah sebuah negara yang kaya dengan emas
dan hasil galian yang lain. Pada awal tahun ini (Februari - Mac) ia telah dilanda banjir
besar yang telah menyebabkan kematian hampir satu ribu manusia. Banjir besar
ini telah membantutkan pembangunan negara itu setelah peperangan saudara berjaya
ditamatkan pada tahun 1992.
Dalam Forum antarabangsa itu kita diberitahu terdapat
400 wakil delegasi yang turut serta. Beberapa pemimpin negara Afrika telah berucap
dengan menggunakan tajuk yang amat digemari oleh Wira Dunia Ketiga - "Globalisasi
dan bagaimana mahu menentangnya"
Inilah modal Wira Dunia Ketiga kalau dia
berucap di mana sahaja. Tetapi kalau kita tanya pakar yang pernah bertugas di Afrika,
apakah yang mereka amat perlu untuk terus kekal dengan kuasa yang ada? Mereka akan
jawab, "kita mesti terus sokong Amerika, Britain, Jepun, Russia, China, Peranchis
dan German". Belum ada seorang pun di kalangan mereka yang menyebut kita
mesti terus sokong Malaysia. Kenapa? Kerana kita bukannya diiktiraf sebagai sebuah
negara yang dalam kategori kuasa besar.
Jika demikian, kenapakah kita
terburu-buru mahu menjadi tenaga pengajar di Afrika? Apakah muslihat sebenarnya kita
berbelanja besar di sana? Selama ini pun Mahathir amat sering ke benua itu dan menggalakkan
syarikat Malaysia melabur dalam pelbagai bidang. Bagaimanakah prestasi
mereka dan kenapakah banyak sangat syarikat itu yang sedang menghadapi masalah besar di
sana? Bukankah aib kepada Malaysia ketika kebanyakan syarikatnya gagal beroperasi
di sana, kerajaannya pula semakin galak berlagak seolah-olah pintar dalam pentadbiran negara? Dalam soal ini siapakah yang mahu menipu siapa?
Setiap negara yang
baru betah daripada peperangan-saudara masih lagi dianggap sebagai negara berisiko
tinggi dalam aspek keselamatan. Apatah lagi dalam segi pelaburan daripada luar.
Risiko ini berlaku disebabkan kekuatan pasukan yang menentang dan menjadi
pembangkang kepada kerajaan yang sedang berkuasa. Contohnya di Mozambique sekarang
ini ialah masalah yang dihadapi oleh Matola Transport Company, STM yang berpusat di
Matola. Kegagalan syarikat bas ini adalah satu petanda bahawa apa yang dikatakan
keadaan pulih di Mozambique itu akan tergugat.
Di samping itu, Mozambique adalah di bawah
kawalan USAID yang memberikan banyak bantuan kepada pemulihan ekonominya.
Pengaruh USAID adalah kuat sehinggakan ia mampu menentukan kadar faedah bank yang
perlu ditetapkan oleh kerajaan Mozambique. Buat masa ini kadar faedah bank adalah
sekitar 8 hingga 10 persen.
Seperti yang berlaku di banyak negara di Afrika,
apabila USAID mempunyai pengaruh menentukan kadar faedah bank, ia membawa erti kuasa dan
pengaruh Amerika Syarikat di negara itu amat kuat. Tidak ada kuasa negara lain yang
mampu menandingi kuasa Amerika di situ. Contoh yang paling baik di Mozambique ialah
kesediaan negara itu menerima sesiapa sahaja daripada negara jiran yang mahukan suaka
politik daripada negara itu. Semua itu adalah di atas anjuran Amerika juga.
Kini,
dengan pimpinan Amerika Syarikat Mozambique sedang membangun dengan pesatnya. Satu
lebuh raya yang menghubungkannya ke Afrika Selatan semakin siap. Lebuh raya yang dinamakan
Maputo Corridor itu merupakan satu jalan yang bertol yang sedang ditentang oleh banyak
pihak di Mozambique. Tetapi ia akan merupakan satu ujian besar kepada kerajaan yang
sedia ada.
Kini, SAID 2000 sudah pun selesai dan para delegasi
sudah pasti mula meninggalkan Maputo.
Kemana Mahathir selepas SAID 2000 ?
Mengikut
rencananya Mahathir sepatutnya menghadiri satu Forum di Cambridge Universiti. Di
situ beliau sudah dijadualkan untuk memberikan ucaptama di hadapan para ilmuan
yang dijemput khas mendengarnya. Sudah tentu sekali, ucapan Mahathir sepatutnya menjadi
satu isu tarikan yang mungkin disebarkan luas oleh media massa di sana. Akan tetapi,
secara tiba-tiba muncul pula berita betapa Mahathir tidak jadi berucap di sana kerana
adanya satu gerakan memboikot forum itu daripada kalangan cerdik pandai di England.
Kepada rakyat marhaen, pemboikotan forum itu oleh para ilmuan barat tentulah merupakan
satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Mahathir, malahan kepada Malaysia. Bahawa berita
ura-ura pemboikotan itu muncul ketika Mahathir sedang berlagak sakan di Maputo tentunya
menggugat pemikiran beliau ketika berada di sana, bukan? Apakah ini sebabnya Mr.
Lee Kuan Yew datang ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan berita buruk itu kepada Mahathir
sebagai wakil proksi penaja Forum itu di Cambridge University? Benarkah tekaan kita Mr.
Lee hanya mampu memberikan kiasan kepada rakyat Malaysia akan penarikan kehormatan
kepada Mahathir oleh University of Cambridge itu dengan mendedahkan berita perbualannya
mengenai Anwar di Davos dulu?
Pemboikotan ISNA dan Pertubuhan Islam Dunia.
Pada
14 Ogos yang lalu, ISNA (Pertubuhan Islam Seluruh Amerika Utara) telah membatalkan
cadangan menjemput Mahathir berucap di satu persidangan tajaan mereka.
Kemudian, muncul pula surat yang ditulis oleh Dr. Sheikh Taha Jabir Al-Alwani mengenai
keputusan mahkamah yang menghukum Anwar Ibrahim tanpa mengambil kira hukum Islam.
Aduuuuh......inilah satu tamparan hebat ke atas keperibadian seorang insan yang sudah
maghrib umurnya. Di waktu yang sama inilah juga satu tamparan yang hebat ke atas sesiapa
juga yang pernah menghakimkan kes Anwar Ibrahim itu. Sekaligus mereka itu
telah mempertontonkan betapa mereka lebih takut kepada Mahathir daripada takutnya mereka
terhadap Allah swt. Bayangkanlah Ariffin jaka pernah satu ketika dulu merupakan
Pesuruhjaya PAS di Negeri Sembilan dan pernah bertanding dalam pemilu atas tiket PAS.
Soalnya
sekarang, apakah ketibaan Yassir Arafat ada kena mengena dengan berita buruk yang
akhirnya menghantui Mahathir itu?
Mahathir yang Semakin Tertekan
Ling
Liong Shit selalu menyebut satu peribahasa Parsi yang terkenal: "Ikan mula busuk
daripada kepalanya". Begitulah keadaan UMNO sekarang ini. Dan begitulah juga
keadaan negara Malaysia yang dipimpin oleh insan yang bernama Mahathir bin Mohammad.
Betapa pun beliau berusaha untuk memperbaiki imejnya ia sudah semakin tercemar. Contoh
betapa tertekannya Mahathir sekarang ialah dengan tindakannya melantik seorang wakil
rakyat muda (yang baru berumur 35 tahun dan baru sahaja memegang amanah rakyat) untuk
menjadi menteri besar Selangor. Mahathir memberi alasan lemah dalam pemilihannya itu. Dia
tidak boleh membandingkan Dr. Khir dengan Isa di Seremban kerana ayah Isa pernah satu
ketika dulu menjadi wakil rakyat. Begitu juga perbandingan yang digunakannya terhadap
Hisyamuddin Onn dan Najib Tun Razak dan juga Tajol Rosli.
Sepatutnya Mahathir
berpegang kepada falsafah meritokrasi dalam pemilihan menteri besar Selangor. Kini,
orang yang diamanahkannya itu sudah menunjukkan kementahannya berpolitik. Baru diangkat
sudah mahu bermandi darah. Alangkah gobloknya seorang pemimpin muda yang berdarah
Jawa...??? Kalaulah Dr. Khir tidak mampu berubah perangai, dia akan merupakan seorang
pemimpin muda Jawa yang akan mengaibkan suku-sakatnya.
Yang Bergolek Terus
Bergolak?
Keadaan negara semakin bercelaru dan keadaan pasaran saham pun
turut bercelaru juga. Mr. Lee Kuan Yew amat sedar akan fenomena ini kerana dia sendiri
pernah melaluinya. Satu ketika dulu, masyarakat niaga Singapura memberontak dalam
senyap-senyap kerana mereka berpendapat Singapura hanya mampu membangun kembali kalau
Mr. Lee melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri. Sebagai seorang pemimpin yang
bertaraf negarawan, Mr. Lee akur dengan sentimen rakyatnya. Dia mengundurkan diri dan
Singapura kembali membangun dengan pesatnya.
Sayangnya, Mahathir adalah seorang
pemimpin negara yang tidak satu kelas dengan Mr. Lee Kuan Yew, walaupun Mr. Lee tidak
pernah menerima jolokan Wira Dunia Ketiga.
Kalau Mr. Lee tidak berjaya
menasihati Mahathir untuk mengundurkan diri secara terhormat, apakah gerangan yang
telah dilakukan oleh Mandela dalam lawatannya yang singkat itu? Apakah benar Mandela
mengulangi kembali nasihat Yassir Arafat agar Mahathir membebaskan Anwar Ibrahim?
Mandela amat faham akan dilema yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Yang lebih penting lagi
Mandela amat faham dilema yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan terpenjaranya Anwar
Ibrahim. Cuma Mandela mungkin tidak mengingatkan Mahathir bahawa hak keistimewaan
orang Melayu sudah tergugat kini ke mercu penghinaannya: Dengan menyumbat Anwar Ibrahim
untuk satu masa yang panjang di dalam penjara Mahathir sebenarnya sudah menidakkan hak
orang Melayu melantik Anwar menjadi pemimpin mereka yang sah di alaf baru ini.
Mandela,
Lee Kuan Yew dan Yassir Arafat sudah pun datang dan pergi. Tentu banyak isu yang
dibualkan dan tentu ada di antara mereka yang menasihatkan Mahathir untuk undur secara
terhormat. Jika tidak, masakan Mahathir menangis secara mudah di khalayak
ramai selepas mereka berpergian.
Kini, Mahathir berada di luar negara. Dia
sedang diserang oleh satu tindakan yang mengaibkan perwatakannya kerana itulah maruah
Mahathir yang sebenar-benarnya, masa kini. Dia telah menghina namanya sendiri dan
mengaibkan ketokohannya sendiri dengan kerja-kerja jijik semata-mata untuk terus
berkuasa. Mungkin ada di antara kerja jijik itu dimulakan oleh para jongosnya yang
memang jijik perangainya sejak lahir lagi. Tetapi, Mahathir masih waras lagi dan
masih mampu berfikir dengan bijak. Kalau tidak masakan dia boleh berbohong dalam setiap
kali berucap kepada rakyat. Hanya Mahathir 'The Compulsive Liar' dan keluarganya yang
terdekat yang amat faham akan keadaan kesihatannya yang sebenar. Apakah dia berfikiran
waras setiap masa ketika dia celik. Ataupun kewarasannya itu sudah semakin terhad ketika
dia berdepan dengan rakyat jelata? Nampaknya Mahathir sedang dihantui satu hukum 'karma'
yang dia tahu sebab-musababnya.
Sebagai seorang tokoh politik yang berasaskan
ilmu kedoktoran dan diwarnai dengan pengalaman lama menulis dan berniaga lama di Pekan
Rabu (hehehe), Mahathir tentu sedar bahawa sebisa-bisa ular ia bertukar kulit dari
ekornya, dan tidak dari kepalanya. Melalui ekornyalah kulit di kepala itu bertukar dulu.
Ambillah iktibar daripada kiasan ini dan berundurlah dengan hormat sebelum terlambat.
Usah cuba menongkat dunia lagi kerana dunia tidak pernah memerlukan tongkat sesiapa
untuk terus berpaksi. Berundurlah sebelum rakyat bertindak dan sebelum yang datang
bergolek menjadi bergolak. Sebisa-bisa ular, bila menyusur akar tidak akan hilang
bisanya. Tetapi, sebisa-bisa ular, pergolakan yang dimulakan daripada ekornya akan
membuatkan ular itu bertukar kulit akhirnya.
Marhaintua
25 Ogos, 2000