minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Fokus Khas : Langkawi 2

HILANG TANAH, MARUAH TERGADAI

Pengambilan tanah dikatakan  telah banyak mengubah sosio-ekonomi dan budaya masyarakat Melayu di Langkawi. Bagi penduduk yang terbabit dalam pengambilan tanah, mereka tidak ada pilihan lain melainkan menyerahkan sahaja tanah-tanah yang mereka warisi untuk berbagai projek pembangunan di Pulau Legenda itu.

Seorang penduduk, Haji Ishak Ismail, 50 berkata mereka sedar bahawa proses pengambilan tanah oleh kerajaan adalah proses jual beli tanah  di antara penduduk tempatan dengan seorang tokoh korporat Cina yang cukup terkenal di pulau itu, manakala pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) hanyalah menjadi orang tengah dalam proses jual beli tersebut.

"Pihak LADA, kami lihat hanyalah orang tengah dalam proses pengambilan tanah. Hakikatnya kerajaan bukanlah mengambil tanah kami untuk dibangunkannya, sebaliknya menjual tanah kami itu kepada tokoh korporat Cina tersebut untuk memajukan berbagai projek termasuk pelancongan," dakwa haji Ishak Ismail, yang kini menetap di Simpang Perana, Bukit Tangga.

Menurut Haji ishak, jika diberi pilihan, rata-rata penduduk Langkawi tidak mahu menjual tanah-tanah milik mereka kepada sesiapa pun termasuk kerajaan.

"Tetapi, dengan adanya Akta Pengambilan Tanah 1991, kami langsung tidak diberi ruang untuk membuat pilihan. Sekalipun kami membantah, ia tidak memberi apa-apa kesan, sebaliknya kerap ditolak mentah-mentah," katanya mengingatkan bagaimana penduduk menghadapi dilema kehilangan tanah sejak pembangunan Langkawi giat dilaksanakan.

"Memang ada perubahan apabila kami menerima wang pampasan hasil jualan tanah. Dengan wang itulah kami membeli tanah lain untuk dijadikan tapak rumah dan membina rumah dan wang selebihnya kami simpan untuk digunakan bila perlu.  Mungkin ada yang menganggap ada di antara kami yang sudah menjadi jutawan, tetapi sebenarnya kebanyakan kami masih  meneruskan kerja seperti dulu. Saya sendiri masih pergi ke laut untuk mencari nafkah," tambah Haji Ishak.

Haji Ishak mendakwa peluang telah tidak diberitakan kepada penduduk untuk membangunkan tanah mereka, sebaliknya hampir semua peluang itu diberikan kepada pelabur luar. "Hebat sangatkah pelabur luar itu? Cuba lihat projek-projek pelancongan seperti Hotel Langkasuka, Taman Tema Air dan beberapa projek lain di Langkawi yang kini sedang mengalami masalah, kerana tidak mendapat sambutan," katanya.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Haji Sidek Nor, 67, berkata wang pampasan hasil dari pengambilan tanah tersebut memang cukup lumayan, tetapi secara keseluruhannya gagal mengubah corak hidup kebanyakan penduduk Langkawi.  "Tidak dinafikan memang ada perubahan hasil dari pengambilan  tanah tersebut seperti  boleh memiliki  beberapa keping tanah, membina rumah kedai, dan membuat simpanan," katanya.

Tetapi, menurutnya, hasil yang diperolehi penduduk tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan keuntungan besar yang dikaut oleh para pelabur yang terbabit dalam pembangunan di pulau itu. "Soalnya mengapakah kami tidak diberi peluang untuk membangunkan sendiri tanah-tanah kami? Mengapakah hak milik tanah-tanah kami ditukarkan? Apa salahnya kalau kami dijadikan rakan kongsi  dalam pembangunan berasaskan pemilikan saham menurut nilai keluasan tanah yang kami miliki?

"Jika diberi peluang saya sendiri berupaya untuk membangunkan projek perniagaan. Begitu juga dengan penduduk Langkawi yang lain, jika diberikan peluang dan bimbingan. Malangnya kami tidak diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa melepaskan tanah-tanah kami kepada pihak lain,"keluh Haji Sidek.

Haji Sidek menjelaskan bahawa dia dan penduduk yang pernah menentang tindakan pengambilan tanah itu telah tidak diberikan penjelasan yang memuaskan oleh pihak berkenaan mengapa peluang mereka untuk  berkongsi pembangunan di Langkawi disekat.

"Kami tidak diberi pilihan sebaliknya kami diminta berkorban jika mahukan proses pembangunan berlaku di tempat kami."

"Cuba lihat apa yang terjadi kepada projek-projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah-tanah milik kami dahulu. Adakah ia benar-benar berjaya ataupun sebaliknya?" tanya Haji Sidek.

Haji Sidek tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa taraf hidup penduduk telah berubah apabila mereka menerima wang pampasan yang mencecah sehingga jutaan ringgit. Baginya apa yang pasti apabila pemilikan tanah berpindah tangan, penduduk tidak lagi ada hak untuk campur tangan dalam proses pembangunan yang telah dikuasai pihak luar.  Namun bagi haji Zainal hashim, 60 dia melalui pengalaman pahit setelah menerima wang pampasan hasil penjualan tanah.

"Pampasan yang saya terima memang banyak sehingga jutaan ringgit. Selepas mendapatnya saya  terus membeli tanah untuk  tapak rumah, membina beberapa rumah sewa dan membeli beberapa pintu rumah kedai di pekan Kuah.

"Sebanyak sepuluh  lot rumah kedai yang saya beli, di mana tujuh lot dengan menggunakan wang pampasan dan tiga lot melalui pinjaman bank. Pembelian rumah kedai di Pekan Kuah adalah atas nasihat banyak pihak yang memberi keyakinan kepada saya Langkawi akan muncul sebagai kawasan perniagaan dan perdagangan yang berdaya maju,"
jelas Haji Zainal.

Menurut Haji Zainal sehingga ke hari ini tidak ada satu pun rumah kedai dapat disewakan kepada orang. Lebih buruk lagi apabila tiga lot rumah kedai yang dibelinya melalui pinjaman bank masih terbiar sehingga ke hari ini.

"Nak dilelong pun tak laku." Keluh Haji Zainal yang masih menunggu bentuk tindakan yang akan dikenakan oleh pihak bank ke atasnya.

(Dipetik dari Utusan Pengguna Ogos 2000)

MURAHKAH HARGA BARANG DI PULAU BEBAS CUKAI?


"Memang ada barang yang murah harganya," tegas Ustaz Ghani Ahmad, seorang tokoh agama di Pulau Langkawi ketika ditanya mengenai harga barang di Langkawi.

"Tetapi yang murah itu hanyalah barangan seperti arak, rokok, pinggan mangkuk, coklat dan lain-lain. Adakah barangan  tersebut suatu keperluan harian yang membolehkan kita benar-benar menikmati taraf bebas cukai Langkawi? Harga kereta mewah, juga memang agak murah di Langkawi, tetapi apalah gunanya ada kereta seperti itu, kalau ia hanya dapat dipandu dalam jarak 40-50 km. Sahaja berkeliling pulau,"kata Ustaz Ghani lagi.

(Dipetik dari Utusan Pengguna Ogos 2000)

Sumbangan MT

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter