FOKUS KHAS:
LANGKAWI SIAPA PUNYA??????
Awalkata: Menjelang ulang tahun kemerdekaan,
marilah kita renungkan sejenak apa yang sudah jadi kepada Langkawi. Makalah
di bawah ini dipetik daripada Utusan Pengguna Keluaran Ogos 2000. Semoga selepas
usaha ini, ada Pengendali Laman Web yang akan memberi sedikit ruang kepada satu
terbitan yang sungguh tinggi nilai isinya. Utusan Pengguna diterbitkan oleh
Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Harganya hanya RM1.00. Semoga pembaca laman
web membelinya dan menjilidkannya sendiri sebagai khazanah keluarga.
-MT-
SEJAK Pulau Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai
kira-kira 10 tahun lepas dan projek-projek dilaksanakan di pulau itu, kesan
yang diterima oleh penduduk tempatan selain kehilangan tanah ialah
kehilangan jati diri terutama di kalangan generasi muda yang dirosakkan oleh
rempuhan arus budaya asing seperti minum arak, pergaulan bebas, hidup berpoya-poya
dan berbagai perlakuan yang mencemarkan maruah dan harga diri.
Dalam
tempoh sepuluh tahun itu perubahan fizikal Langkawi bukan sahaja
dapat dilihat dengan jelas, dengan binaan-binaan yang cukup hebat dan
megah, tetapi perubahan sosial juga dapat dilihat di mana nilai-nilai tradisi yang
diwarisi Mahsuri banyak yang telah dirosakkan, seolah-olah pulau itu berada di
satu wilayah asing yang terpisah daripada budaya Melayu.
Dapat dilihat
golongan remajanya bebas melakukan maksiat seperti minum arak, di mana saja yang
mereka suka, malah di depan orang tua sekalipun, manakala pergaulan bebas di
antara lelaki dan perempuan begitu berleluasa, menjadikan Langkawi sebagai
sebuah pulau yang cukup bebas dalam semua hal.
Inilah antara harga yang
terpaksa dibayar oleh penduduk Langkawi khususnya orang melayu untuk melihat Pulau
Legenda itu membangun dan menjadi tumpuan pelancong.
BEBAS CUKAI, BEBAS MINUM ARAK
Masalah
ketagihan arak di kalangan remaja di Langkawi memang cukup ketara. Anak-anak muda,
terutamanya daripada keturunan Melayu seolah-olah dirangsang untuk membeli dan
minum arak.
Sejak kira-kira 10 tahun lalu, bukanlah suatu yang luar biasa
arak dalam pelbagai jenama dijual secara bebas di kedai-kedai runcit dan di
kompleks perniagaan terutama di Pekan Kuah. Penjualan arak seolah-olah tidak
berbeza dengan minuman ringan lain seperti cola dan kacang soya. Harga
minuman keras dalam tin misalnya, cukup laris kerana ia dijual dengan harga RM0.80
- 1.20 setin. Lebih murah lagi jika dibeli dalam jumlah yang banyak.
"Saya
sendiri kerap melihat anak-anak muda Melayu minum arak sambil menunggang
motosikal. Mereka meneguk arak seperti minum air suam sahaja. Mereka
langsung tidak rasa segan, bersalah ataupun berdosa minum benda yang diharamkan
agama," keluh Zainab Hashim, 65 dari kampung Behor, Nyiur Cabang, Langkawi.
Bagi
orang tua seperti Zainab, untuk memulihkan keadaan Langkawi perlu dibawa balik ke
zaman asalnya daripada dijadikan pulau bebas cukai seperti sekarang agar generasi
muda tidak tenggelam dan rosak akibat arak dan berbagai gejala maksiat lain.
"Masa
makcik muda dulu, pulau ini memang bersih dari segala macam pengaruh buruk. Hidup
kami aman walaupun miskin, anak-anak kami baik, berbudi bahasa dan mendengar kata,
nak pegang botol arak pun mereka takut. Tetapi, sekarang orang tua seperti makcik
cukup bimbang melihat anak-anak dan cucu-cicit hilang iman dan hanyut dalam
keseronokan dunia. Tak taulah makcik apa akan jadi kalau keadaan macam sekarang
berterusan, "keluhnya.
Haji Ibrahim Drani, Ketua Kampung, Kampung
Menghulu, Kuah, sependapat dengan Zainab apabila bercakap mengenai gejala minum
arak di kalangan golongan muda di Langkawi. "Ia adalah sejenis penyakit
yang dihidapi oleh masyarakat Langkawi akibat taraf bebas cukai. Bebas cukai ini
nampaknya disalah anggap sebagai bebas dalam segala hal, termasuk menjadikan
minuman keras seperti air sejuk yang diminum sehari-hari," ujar haji Ibrahim,
kesal.
"Cuba bayangkan bentuk masyarakat Langkawi di masa depan
apabila anak-anak mudanya sudah menerima arak sebagai minuman biasa dan diminum di
mana sahaja tanpa segan silu lagi," tambahnya.
Selaku Ketua kampung,
haji Ibrahim pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap gejala itu kepada
pihak berkuasa dalam pelbagai program atau majlis yang memerlukan beliau hadir.
"Bagi saya boleh bebas cukai, tetapi jangan sampai bebas segala-galanya
sehingga tidak ada lagi garis sempadan di antara halal-haram. Malangnya sehingga
ke hari ini masih belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa,
termasuk jabatan Agama untuk membendung perkara ini secara bersungguh-sungguh.
Kawasan
Hitam di Langkawi
Menurut sumber dari Pejabat Daerah dan Pejabat Agama
Islam Langkawi, setakat ini ada empat buah perkampungan Melayu yang telah
disenaraikan sebagai "kawasan hitam". Ini berdasarkan rekod yang
menunjukkan kadar anak-anak muda yang terlibat dengan pengambilan arak di kawasan
berkenaan adalah tinggi dan membimbangkan. Kampung-kampung tersebut ialah
kampung Lubuk Setul, kampung Teriang, Kampung Nyiur Cabang dan kampung Lubuk
Sembilang.
PEMBANGUNAN LANGKAWI MENURUT PEMIMPIN
Pulangan
Tidak Penting Asalkan Langkawi Maju:
"Kerajaan sudah melabur
sebanyak RM1 bilion di Langkawi. Peruntukan pelaburan ini dibuat tanpa memikirkan
pulangannya kerana yang penting ialah melihat Pulau Langkawi membangun."
Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohammad -The Star, 24 Okt. 1996.
Langkawi Perlu
Bertaraf Dunia:
"Kerajaan akan menukar Langkawi kepada pusat
percutian dan persidangan yang setaraf dengan mana-mana destinasi percutian di
dunia."
Tun Daim Zainuddin - Pengerusi Bersama LADA. -NST, 28 Julai
1996.
Hotel Bertaraf Bintang Jadi Ukuran Pembangunan:
"50
tahun dulu, tidak ada hotel lima bintang di Langkawi bermakna tidak ada
pembangunan di Langkawi. Kerajaan menyedari potensi Langkawi sebagai pusat
pelancungan lalu mengisytiharkan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai. Status Bebas
cukai telah menarik pelabur-pelabur untuk membina banyak hotel dan merebut peluang
perniagaan. Bagi melancarkan proses pembangunan ini kerajaan telah menubuhkan
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Alor Setar sebagai ibu negeri Kedah pun tidak
boleh menyaingi Langkawi. Tidak ada se buah pun hotel lima bintang di Alor Setar,
tetapi di Langkawi ada beberapa buah."
Datuk Seri Mahathir -NST 24
Oktober, 1996.
Tanah Tidak Bernilai, Berbanding Dengan Barangan
Berjenama:
"Sebuah pusat membeli belah (Taman Raya Dunia0 dengan
keluasan 160 hektar akan dibina dengan kos RM150 juta di Langkawi. Pusat ini akan
menawarkan barang-barang berjenama dunia seperti Christian Dior, Gautier dan Estee
Lauder. Kewujudan pusat membeli-belah ini akan mengubah nasib 69 peneroka tanah
Felcra yang hanya berpendapatan RM500 sebulan menjadi anggota baru kelas menengah
Melayu dengan pendapat RM8,000-RM9,000 sebulan."
Datuk Annuar Musa - Bekas
Menteri Pembangunan Luar Bandar, The Sun 26 Mac, 1997.
Perumahan Kos
Rendah Tidak Diberi Tumpuan:
Projek perumahan terbaru di Langkawi
ialah pembinaan 192 unit pangsapuri lima tingkat dengan keluasan setiap unit 1,200
kaki persegi. Ia dijual dengan harga antara RM14,000 hingga RM16,000 seunit.
Melihat
trend pembinaan rumah mewah seperti ini, timbul pertanyaan mengapakah projek rumah
kos rendah kurang diberi perhatian di Langkawi?
Permintaan untuk rumah
tersebut sebenarnya tetap ada, kerana tidak semua orang di Langkawi telah berjaya
menjadi jutawan atau kaya, daripada wang penjualan tanah masing-masing. Masih
ramai yang memerlukan rumah, termasuk rumah sewa dengan kadar sewa yang
berpatutan. Ketiadaan projek perumahan untuk golongan berpendapatan sederhana dan
rendah memang menimbulkan masalah.
Ahmadan Ismail dari Kuah berkata,
generasi 1990-an di Langkawi, terutama yang berpendapatan sederhana kini
sedang berhadapan dengan masalah mendapatkan rumah, termasuk rumah sewa yang
dikenakan kadar sewa tinggi.
"Harga rumah sewa di Langkawi kini naik
antara RM150 hingga RM200 sebulan. Kadar sewa yang tinggi seperti ini memang
tidak mampu dibayar oleh golongan berpendapatan sederhana. Pasangan yang baru
kahwin juga tidak terlepas daripada masalah ini, menyebabkan mereka terpaksa
tinggal terus bersama ibu bapa atau mertua," katanya.
Sumber dari
jabatan Pembangunan dan Penilaian Harta Benda Langkawi juga mengakui wujudnya
masalah tersebut. Menurutnya semenjak tahun 1992, perumahan kos rendah tidak lagi
dibina di pulau itu.
Sehingga 1992, projek perumahan kos rendah hanya
terdapat di Taman Desa Ayu dan Taman Kemboja, Kuah. Selepas itu pembinaan rumah
kos sederhana, kondominium dan pangsapuri lebih diutamakan.
Sumber itu
menambah, antara alasan mengapa projek rumah kos rendah dihentikan ialah kerana
kos pembinaannya, termasuk kos pengangkutan bahan-bahan binaan dari tanah besar ke
pulau itu adalah terlalu tinggi dan tidak menguntungkan.
Syurga
Pembangunan Langkawi Untuk Siapa?
Dalam tempoh kira-kira 10 tahun,
begitu banyak projek, terutama untuk tujuan pelancongan telah dibawa ke Langkawi.
Projek bernilai berbilion RM itu bertujuan untuk menjadikan Langkawi
mencapai status pulau bertaraf antarabangsa dan menjadi destinasi pelancong dalam
dan luar negara. Berikut adalah projek-projek samada yang hanya berjalan separuh
jalan mahupun diteruskan di Langkawi, setakat ini:
· Port Langkasuka - RM1
bilion. · Oriental Village - RM44 juta, · Menara Langkawi dan Pusat
Konvensyen -RM750 Juta, · Laman Padi - RM12 Juta · Kompleks LADA -RM26
Juta · Pelabuhan Tanjung Lembung -RM80 Juta · Restoran Admiral Cheng Ho -
RM5.23 Juta. · Dataran Lang - RM16.5 Juta · Legenda Langkawi dalam Taman
-RM30 Juta · Istana Musim Panas Anna and The King -RM 3 Juta. · The
Treasure Lagoon Resort Langkawi -RM100 Juta · Langkawi Sanctuary Resort -
RM530 Juta · Pusat Pelancongan Pelbagai Budaya Antarabangsa- RM560 Juta. ·
Perdana Beach Resort - RM34 Juta · Projek Marina -RM4Juta · Kampung
Terapung Kuala Muda - RM1 Bilion.
Memang "Syurga Pelancongan
Langkawi" menarik perhatian pelancong apabila berlaku lonjakan jumlah
pelancong ke pulau berkenaan. Dalam tempoh 1986-1999, bilangan pelancongan
bertambah hampir lapan kali ganda daripada 209,763(1986) kepada 1,559,528(1999).
Bagaimanapun
untuk tahun 1999 (tempoh paling mutakhir), daripada sejumlah 1559528 pelancong
yang mengunjungi Langkawi hanya 12.4% (192,987) adalah pelancong dari luar negara,
iaitu 52,012 (Thailand), 32,730 (Singapura), 20168(Australia) 14775(United
Kingdom) 9394(Taiwan), 9367(Jepun), 7133(Indonesia), 4157(Amerika Syarikat)
2432(New Zealand) 4186(Jerman) dan 1572 (Kanada).
Memang jumlah tersebut
boleh dibanggakan, tetapi apakah penduduk tempatan mendapat keuntungan daripada
kunjungan para pelancong itu, kerana hotel-hotel dan tempat-tempat yang
dikunjungi itu rata-rata adalah milik orang lain. Hasil tinjauan yang dilakukan
membuktikan bahawa penduduk tempatan Langkawi cuma mendapat "kuah dan
tulang" manakala orang lain pula yang memakan isi.
(Terima kasih
Kepada Utusan Pengguna Ogos 2000- Syabas)
Sumbangan MT
|