KTLBELB: Bab 25
YANG TERPUKAU DAN TERPAKU
Menteri Kanan Singapura telah membuat lawatan empat hari ke
Kuala Lumpur. Dia datang dengan berkereta daripada
Singapura, tentunya untuk melihat kemajuan negara ini lebih
dekat lagi. Tentunya dia terkejut dengan kemajuan fizikal
yang tegak meninggi, dan luas terbentang. Tidak kiralah
samada yang tinggi itu lambang bikinan manusia berhati
syaitan ataupun yang luas terbentang itu adalah lambang air mata rakyat yang berhempas pulas untuk terus hidup.
Dengan lain perkataan Mr. Lee Kuan Yew sudah menyaksikan
segala bentuk kemegahan negara yang lebih selesa disebut
"Malaysia Boleh kerana Mahathir Boleh."
Sememangnya, Mr. Lee muncul sebagai penyelamat kepada
seorang diktator tua yang hidupnya semakin tertekan.
Sambutan yang diberikan kepadanya amat hangat sekali,
diluar jangkaan dan dugaan beliau sendiri , malahan juga
kerajaan Singapura. Samada keghairahan itu satu perasaan
yang benar-benar ikhlas menyambut kedatangannya ataupun
sesuatu yang boleh dianggap sebagai lakonan, adalah sesuatu
yang kita akan tahu dalam beberapa hari lagi. Memang tidak
susah meneka perkara ini kerana Mahathir kini diberikan
jolokan sebagai seorang pemimpin negara yang sungguh pandai
berlakon. Sekali fikir sepatutnya dunia politik sudah lama
ditinggalkannya dan beralih pula ke dunia perfileman
ataupun teater. Keupayaannya menitiskan air mata bila-bila
masa adalah sesuatu yang menakjubkan. Tentu Mr. Lee akan
akur dengan lakonan spontan Mahathir itu kalau beliau
pernah mengikuti rancangan TV di negara ini.
Antara Kawan dan Lawan
Sejak Mr. Lee muncul, ada satu kenyataan Mahathir yang
dilaungkan berkali-kali oleh beberapa menteri kabinetnya.
Topik kenyataan itu adalah mengenai kecaman-kecaman yang
hebat-hebat diterima oleh kerajaan Mahathir daripada negara
luar dan juga masyarakat antarabangsa. Inilah kecaman yang
ditumpukan kepada keputusan mahkamah yang dihakimi oleh
Ariffin Jaka ke atas kes Anwar Ibrahim hingga menjebak
beliau untuk merengkok selama sembilan tahun lagi.
Kecaman yang hebat muncul daripada Amerika Syarikat di mana
Al Gore bersuara lantang sekali. Begitu juga daripada
Australia, New Zealand dan juga masyarakat negara Eropah.
Soalnya sekarang kenapakah mereka itu semuanya mengecam
Mahathir? Bukankah Mahathir seorang wira dunia ketiga yang
perlu dihormati oleh semua? Sistem kehakiman negara yang
punah ranah dibuat oleh Mahathir melalui Ketua Hakim Negara
Eusoff Chin dan Ketua Peguam Negara Mokhtar Abdullah sudah
sampai ke satu tahap yang memualkan. Apatah lagi kalau kita ambil kira tingkah laku yang meloyakan yang dilakukan
oleh Augustine Paul dan Ariffin Jaka dalam mengadili kes
Anwar. Semua itu memang menjijikkan dan memang melayakkan
sesiapa sahaja mengkritik dan mencela sistem kehakiman
negara.
Tetapi, kenapakah Mahathir mencemuh balik dengan berkata;
"Sekarang kita tahu siapa kawan dan siapa lawan." Apabila
terdengar kenyataan Mahathir itu ramai rakyat negara ini
yang berkata: Dasar seorang pengecut dan mahu terus
membalun harta negara. Sepatutnya Mahathir harus bersyukur
kepada Allah kerana masyarakat antarabangsa tidak
melancarkan kempen memulaukan Mahathir dan setiap menteri
kabinetnya. Kalau masyarakat antarabangsa mahu, mereka
boleh melancarkan satu kempen agar diadakan sekatan laksana
'Apartheid' terhadap kerajaan Mahathir. Mereka mempunyai
alasan yang baik setelah mengikuti cerita bagaimana Vincent
Tan menggula-gulakan Eusoff Chin dan Mokhtar Ahmad di luar
negara. Yang lebih menjijikkan rakyat negara ini ialah
cara Vincent Tan dan peguam peribadinya memukau Eusoff Chin
dan Mokhtar agar terus terpaku kepada kewibawaannya dalam
segala hal berkaitan dengan perniagaan dan peribadinya di
mahkamah.
Keupayaan Vincent Tan memukau Eusoff Chin dan Mokhtar Abdullah
sepatutnya menjadi satu tamparan hebat kepada orang Melayu
secara keseluruhannya dan pada rakyat Malaysia secara
amnya. Lihat, Tan Seri Vincent Tan mampu memperbodohkan
orang Melayu melalui dua peguam yang mempunyai pangkat
tertinggi dalam bidang profession mereka di negara ini. Bagaimana pula dengan persahabatan Vincent Tan dengan
Mahathir? Sebenarnya orang Melayu di Lembah Kelang amat
meluat dengan Vincent Tan kerana mereka tahu akan asal
usulnya. Tetapi, apabila melihatkan cara beliau mampu
mengawal minda Melayu melalui keakrabannya dengan Mahathir
dan para jongosnya, Melayu Lembah Kelang merasa curiga
sampai bilakah Cina yang satu ketika dulu menjadi penjual
insurans ini mampu mengawal minda pemimpin Melayu dalam
UMNO? Ramai yang berpendapat, cengkaman Vincent Tan
terhadap Mahathir sudah menular begitu dalam kerana adanya
proksi khas beliau yang kini menjadi Setiausaha Kerja UMNO.
Melalui Tengku Adnan, Vincent Tan mampu mengawal minda
keseluruhan pemimpin UMNO di negara ini.
Ada seorang kawan daripada Singapura yang bertanya kepada
saya; Kenapakah Mahathir amat mudah terpesona dengan
segelintir peniaga China yang tidak berwibawa? Lihat pada
Vincent Tan, katanya, di Singapura orang akan tertawa
apabila mendengarkan namanya. Begitu juga kalau mendengar
nama Tan Sri Ting ataupun YTL ataupun Eric Chia. "Kami
orang Cina di Singapura tentu tidak akan memberi muka
kepada nama-nama yang disebutkan ini, kerana mereka adalah
'opportunist' yang hanya tahu membalun harta rakyat tanpa
mahu memberi balik kepada rakyat." Saya tidak tahu
memberikan jawapannya kerana saya fikir perkara seperti ini
eloklah kita kemukakan kepada orang UMNO kerana ramai yang
bergantung harap kepada manusia seperti ini. Bahananya,
Perwaja sedang nazak, orang Langkawi semakin azab
hidupnya, ramai pegawai kerajaan yang mengeluh dengan
kebiadaban ahli korporat Cina yang lain yang menumpang kasih
sayang Mahathir terhadap mereka. Ironisnya, setiap kali
Mahathir bercakap dengan orang Melayu dia selalu cakap
besar betapa dia memberi keutamaan kepada pelajaran agar
orang Melayu berpendidikan tinggi untuk menerajui negara.
Tetapi, cuba lihat kepada semua orang Cina yang berada di
keliling pinggangnya. Apakah kelulusan Eric Chia, Ting
(tauke eksport batang penyapu), Vincent Tan, Abdullah Ang
dan banyak lagi itu. Di universiti manakah mereka pernah
belajar? Perkara semacam inilah yang membuatkan orang
Melayu di Langkawi tidak dapat memaafkan Mahathir. Mereka
merasa tertipu dengan segala perancangannya di pulau itu.
Mungkin Aminsapiro dan rakan penulis siber yang lain boleh
menulis lanjut akan hal ini satu hari nanti.
Sebagai perbandingan kini kita disogokkan dengan satu
nama baru dalam dunia politik. Namanya ialah Dr. Mohamad
Khir bin Toyo, seorang wakil rakyat yang masih belum puas
diulit mimpi indah sejak menang pemilu ke-10 dulu. Saya
ingin merakamkan tahniah kepadanya. Cuma, saya ingin
mengambil kesempatan agar beliau terus ingat apa jadi pada
tahun 1986 ketika dia meraih simpati daripada masjid dan
surau untuk mencari wang mengongkosi pelajarannya. Yang
lebih penting dia mesti ingat, siapakah Menteri Besar
Selangor ketika itu. Jangan pula, satu hari nanti kita
terdengar Mohamad Khir Toyo melarikan 7.2 kilo wang ke luar
negara untuk menandingi apa yang dilakukan oleh bekas
Menteri besar itu.
Singapura: Kawan ataupun Lawan
Mr. Lee pernah disoal apakah Singapura bersifat kawan
ataupun lawan dengan Malaysia. Mr. Lee menjawab cepat,
"Kawan, kerana keakraban antara pemimpin yang terjalin
begitu lama." Tetapi, mampukah Mahathir memaafkan Mr. Lee
dengan pendedahan bagaimana Mahathir menjawab soalannya
terhadap Anwar? Rupanya Mr. Lee pernah menegur Mahathir
terhadap cara dia menangkap Anwar dan mengenakan Akta
drakonian setelah melebamkan matanya. Nampak sangat
bagaimana Mahathir telah berbohong dan menuduh Rahim Noor
bertindak tanpa pengetahuannya. Malahan sudah ada kini
desas-desus betapa Mahathir pernah merestui perbuatan Rahim
Noor membelasah Anwar sehingga lebam matanya.
Pendedahan Mr. Lee yang dibuat di sebuah hotel ternama di
Kuala Lumpur mungkin dirangsang oleh dua faktor;
(a) Perasaan Meluat:
Mr. Lee memang merasa mual dan
getek terhadap kelakuan Mahathir seperti yang telah
didengarnya selama ini dan seperti yang didapatinya semasa
lawatannya. Sebagai seorang menteri kanan Singapura, Mr. Lee
adalah satu 'icon' di rantau ini. Dia berundur daripada
arus perdana politik dengan terhormat. Kini dia melayari
kehidupan sambil berpolitik secara sambilan dengan
terhormat. Di mana sahaja dia pergi Mr. Lee diberikan
status negarawan yang unggul kerana demikianlah taraf yang
dirangkulnya ketika dia cergas berpolitik dulu. Tetapi,
bagaimana dengan Mahathir? Dia tidak mampu melepaskan
jawatan politiknya dengan terhormat. Yang lebih menyedihkan dia akan berundur diri dengan suasana
yang amat memualkan. Hidupnya selepas dia tinggalkan dunia
politik akan merupakan satu kehidupan yang penuh kesunyian.
Bayangkan sekarang ini pun (malahan sejak dulu lagi) sudah
ada insan yang berani menunggu dia mati untuk menaburkan
air kencing di pusaranya. Kita tahu perbuatan itu tidak
akan berlaku (minta dijauhkan Allah) tetapi, apabila ugutan
seperti itu sanggup dilakukan terhadap seorang ketua
negara, apakah agaknya dosa beliau sebenarnya?
Kita mesti ingat, Mahathir cuba menonjolkan dirinya setelah
Mr. Lee melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri
Singapura. Perkara ini berlaku kira-kira sepuluh tahun
yang lalu. Sebelum itu Mahathir tidak menonjol sangat
kerana ketokohan dan populariti Mr. Lee sebagai seorang
negarawan yang unggul. Bayangkan betapa dia mampu
menjadikan Singapura (sebuah negara kepulauan) menjadi
salah sebuah negara terkaya di dunia. Tanpa sebarang sumber
hasil bumi yang setara dengan apa yang ada di bumi
Malaysia, Mr. Lee mampu menaikkan ekonomi Singapura ke satu
taraf yang tinggi sehinggakan Singapura mampu menjadi
negara peminjam di dunia ini. Kepintaran Mr. Lee ini
terserlah setelah beliau berjaya mempengaruhi Amerika agar
membiayai kilang penapis minyak di kepulauan berdekatan
(seperti Pulau Bukum) bagi minyak keluaran Timur Tengah.
Dari usaha ini Singapura menjadi satu pulau yang memberikan
khidmat perkhidmatan seluruh dunia.
Sebaliknya apa yang telah dilakukan oleh Mahathir? Hasil
bumi negara yang sungguh lumayan habis dikebasnya
sehinggakan kini (seperti yang dilaporkan di akhbar)
Malaysia terpaksa meminjam daripada pasaran dunia untuk
memenuhi keperluan kecairan negara yang amat mendesak.
Keperluan Malaysia untuk meminjam itu berlaku ketika negara
sedang menerima lawatan Mr. Lee Kuan Yew. Apakah agaknya
yang difikirkan oleh Lee setelah mengetahui hal ini? Bagaimanakah agaknya jawapan beliau kalau disoal
pendapatnya mengenai hal ini? Tentu dia mampu tersenyum
sinis sambil terbayangkan bentuk dua menara kembar yang
berbentuk 'H' sedangkan tidak jauh dari situ tercacak
menara Kuala Lumpur yang sepatutnya tidak perlu dibina.
Tentu dia terbayangkan masjid yang bersebelahan bangunan
perdana menteri di Bandar Airmata Rakyat (BAR) yang hanya
mampu menggamit sekitar dua puluh insan bersolat Maghrib di
hujung minggu? Apabila dia teringatkan pula Mahligai
Airmata di BAR itu, tentu dia tidak mahu memberikan
jawapannya kerana menjaga hati seorang kawan.
b) Perasaan Kesal:
Mungkin Mr. Lee merasa kesal kerana kemajuan yang
dilihatnya berlaku di Malaysia adalah satu kemajuan fizikal
yang dicetuskan oleh hawa nafsu seorang diktator. Kita
mesti ingat Mr. Lee adalah seorang peguam yang fasih dan
mahir membaca tulisan jawi. Dia pernah menjadi peguam
Utusan Melayu Singapura sebelum menjadi perdana menteri
negara itu. Satu ketika dulu selepas dia bersara sebagai
perdana menteri, Mr. Lee pernah menyuarakan kesalnya
melihatkan masyarakat muda Singapura yang 'complacent'
yakni mudah ambil sikap 'tidak-apa'. Dia mengutarakan satu
teori betapa mungkin satu hari nanti Singapura terpaksa
bercantum dengan Malaysia untuk maju. Tetapi, itu adalah
satu gimik untuk dia menyedarkan masyarakat republik itu.
Kita tahu adalah tidak mungkin perkara itu akan terjadi.
Kuasa besar dunia seperti Amerika, Britain dan Peranchis
tentu tidak senang dengan fenomena itu. Lagipun Singapura
adalah rakan sekutu Israel yang paling kuat.
Yang mungkin membuatkan Mr. Lee menyesal ialah cara
khazanah negara diselewengkan. Tentu dia mempunyai
maklumat terkini akan pembaziran harta negara. Tentu dia
sendiri amat sedar akan masalah saham syarikat Malaysia
yang tertahan setelah Clobb di bubarkan. Yang lebih
penting lagi, tentu Mr. Lee diberitahu oleh pasukan
perisiknya betapa UMNO tidak lagi menerima sokongan padu
masyarakat Melayu.
Antara Singapura dan PAS
Mengikut MGG Pillai, salah satu tujuan lawatan Mr. Lee
ialah untuk membuat penilaian persendirian akan pengaruh
PAS dalam tata hidup masyarakat majmuk di negara ini.
Tentunya dia mahu dengar apa pendapat Mahathir akan
kekuatan PAS masa kini. MGG Pillai ada mengatakan betapa
Singapura seperti juga negara barat yang lain "merasa
sangsi dan curiga dengan kemunculan kerajaan mullah".
Soalnya sekarang, apakah Mahathir sendiri sudah sedar
bahawa kedatangan Mr. Lee ada kena mengena dengan membuat penilaian akan situasi ini. Dengan lain perkataan; Mr. Lee
yang mempunyai persepsi awal yang amat negatif terhadap PAS
tentu mahu tahu daripada mulut Mahathir akan ancaman
pengaruh PAS di negara ini. Lapuran MGG Pillai akan jenaka
Mr. Lee ketika diwawancara oleh wartawan New Straits Times, menunjukkan akan sikap Lee terhadap PAS.
Perkara ini tentu diperkuatkan lagi oleh Mahathir dengan
menonjolkan cerita Al Ma'unah di Bukit Jenalik. Kemudian
diperkuatkan lagi dengan lakonan semula cara menyumbat senapang dan peluru dalam tiga pajero di KEMENTAH.
Kemudian, galaknya berita betapa PAS dan segala "taktik
buruk kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan" yang
bersangkutan dengan pengendalian masjid dan surau di sana.
Semua itu yang diberi ruang yang luas dalam akhbar perdana
adalah usaha Mahathir untuk memperlekehkan PAS. Apakah Mr.
Lee termakan umpan itu?
Kalaulah itu rencana Mahathir untuk mengelirukan PAS, dia
sudah gagal segagalnya. Berita penangkapan Tian Chua dan
Malik Hussein dan bagaimana Tian Chua dibaham dalam lokap
tanpa sebarang bukti yang sah akan kesalahannya, sudah
mampu membeliakkan mata Mr. Lee terhadap sikap Mahathir
dalam memerintah Malaysia.
Kegusaran Lee terhadap PAS adalah disebabkan beliau tidak
sedar betapa PAS sudah bergerak ke hadapan lebih maju lagi
daripada UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat yang
tertekan. Lee merasa kurang senang dengan PAS kerana tidak
mengenal siapakah yang menerajui PAS masa kini. Lee merasa
senang dengan UMNO setelah selesa berinteraksi dengan UMNO
"sejak 1940 lagi", demikianlah alasan beliau. Tetapi, Lee
tidak sedar bahawa PAS telah maju selepas itu di mana ramai
orang politik UMNO yang keluar UMNO untuk masuk PAS dan
memajukannya. Selama ini kalau ada sebarang keraguan Lee
terhadap keutuhan sesuatu parti dia tentu merujukkan
perkara itu kepada PAP di Singapura. Oleh kerana sebarang
maklumat 'terperinci' datang daripada Parti Gerakan yang
merupakan rakan sekutu PAP, tentulah sebarang berita
mengenai PAS merupakan berita yang kurang menggembirakan Mr. Lee. Lainlah kalau PAP masih lagi bersekongkol dengan
DAP seperti yang dilakukannya satu ketika yang panjang dulu.
Apabila Lee Rijek PAS
Pada keseluruhannya, tindakan Lee memperkecilkan PAS adalah
satu petanda betapa Lee juga terjebak dan terpukau dengan tipu helah seorang diktator tua di Malaysia. Dengan kata
mudah, beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur dan
beberapa tempat di Malaysia telah mendorong Lee memikirkan
bahawa Malaysia sedang berada dalam situasi yang
kucar-kacir disebabkan kekuatan yang ada pada PAS. Kalaulah
ini yang difikirkan oleh Lee kita mampu tersenyum sinis
sahaja. Ini bererti, Lee juga turut terpukau dengan keadaan
yang sengaja diadakan itu sehinggakan dia turut terpaku
kepada satu 'time-warp' ( masa dikakukan) yang telah mampu
memukau pemikirannya untuk mempercayai sesuatu yang
dilakonkan itu sebagai yang benar dan 'surreal'. Jika
tidak bagaimanakah Lee mampu membuat kenyataan: "No
government will stage arms seizure at cost of officers
lives" (Tidak ada kerajaan yang sanggup melakonkan rampasan
senjata sambil mengorbankan nyawa pegawainya). Sayang, Lee
lupa betapa tuduhan ke atas Anwar dibuat semasa Tivola
Apartment belum pun dibina. Malahan, tilam yang diusung
keluar masuk mahkamah setiap hari itu telah dibeli sebelum
apartment itu siap. Mungkin Lee tidak rasakan apa yang
dirasakan oleh orang Kampung Ngor di Sauk. Sehingga hari
ini, mereka masih lagi merasa marah dengan episod Sauk.
Cuma mereka marah dalam hati kerana takut ditahan di balai
polis.
Cara lakonan semula dikendalikan tentu juga akan
menyedarkan Mr. Lee akan taraf pemerintahan di negara ini.
Kenapa perlu dilakonkan satu aksi penting yang akan
dibincangkan di mahkamah? Bukankah perbuatan itu menyalahi
peraturan mahkamah? Kalau hendak dilakonkan pun, apa
perlunya dilakukan rehearsal (raptai) beberapa hari dan kali
sebelum itu? Cara lakonan itu dikendalikan dan cara ia
diberikan liputan yang meluas sudah cukup meyakinkan Mr.
Lee dan juga para pengiringnya betapa Sauk adalah satu
Episod Sandiwara Tercanggih di Alaf Baru. Kalau saya
menjadi Mr. Lee dan disoal untuk memberi komen tentang
lakonan menyusun senjata dalam tiga pajero itu, saya akan
menjawab: Kenapa tidak diadakan satu pertandingan antara
kompeni dan batalion untuk mendapatkan masa terpantas.
Selepas itu adakan pula upacara tahunan peringkat negara
dan juga ASEAN. Bukankah canggih teknik itu?
Tetapi, Mr. Lee Kuan Yew tidak perlu disoal perkara itu
kerana itu satu perkara yang remeh. Malahan wartawan asing
tentu tidak mahu menyoalnya akan episod lakonan itu kerana
mereka tahu sandiwara itu adalah layak untuk Malaysian Book
of Records sahaja. Sama taraf dengan projek membikin popia
terpanjang yang baru sahaja selesai.
Tentu Mr. Lee ada bertanya kepada Mahathir: Bagaimanakah
negara kaya seperti Malaysia akhirnya menjadi negara yang
perlu meminjam-minjam daripada dunia luar? Mr. Lee tentu
sudah faham sangat apakah sebab yang utama membuatkan
Mahathir menyingkirkan Anwar Ibrahim. Sanggupkah Mahathir
menjawab betapa dia sudah membalun khazanah negara lebih
Dua Bilion untuk membantu perniagaan anak-anaknya?
Kalaulah Mr. Lee diberitahu akan hal ini tentu dia akan
sedar bahawa masalah pembangunan negara sekarang ini bukan
terletak kepada pengaruh PAS yang semakin meluas. Ia
terletak di atas kepala Mahathir yang sudah lama
menyalahgunakan kuasanya.
Daripada apa yang diterangkan oleh orang akhbar, sejak Lee
menjejakkan kakinya di Kuala Lumpur, dia sudah menunjukkan
betapa beliau tidak senang dengan PAS. Apakah beliau tidak
fikir, ketaksubannya kepada UMNO adalah satu hak yang tidak
dipertikaikan oleh sesiapa? Tetapi, masa akan terus
berlalu. Lee mungkin masih bernyawa lagi ataupun tidak, dan
besar kemungkinannya rakyat Singapura akan menyenangi
pengaruh PAS apabila ia menggantikan UMNO satu hari nanti.
Perkara seperti ini bukannya sesuatu yang mustahil. Ia akan
berlaku juga apabila ada kumpulan kaum Cina dan kaum India
yang akan bersatu padu dengan PAS untuk memerintah negara.
Mungkin (saya sebutkan mungkin) ketika itu Parti Keadilan
akan menjadi parti pembangkang sahaja. Di sebaliknya pula
masa mungkin tiba di mana Parti Keadilan akan menerajui
kerajaan bersama PAS dan bersatu pula dengan beberapa
parti yang lain. Yang menjadi pembangkang ketika itu
mungkin hanya UMNO. Semua ini adalah sesuatu yang serupa
mungkin. Sebagai seorang yang dikatakan kini kerap ke
gereja (Kristian) Mr. Lee tentu percaya dengan ajaran
agamanya mengenai hal ini. Malahan sebagai seorang yang
rajin membaca tafsiran Al Quran satu masa yang lalu, Mr.
Lee tentu amat arif tentang bab 'kadaq dan qadar'.
Sebagai menteri kanan Singapura, Mr. Lee tidak perlu
bersengkang mata membaca bahan rujukan dan bertekak leher
untuk mempertahankan teorinya mengenai masa depan
Malaysia. Satu ketika dulu orang Malaysia memang amat
hormat Mr. Lee sehinggakan kini beliau dianggap dan diberi
hormat dengan jolokan Mr. History. Inilah jenis ketaksuban
golongan yang kagum dengan Mr. Lee sedangkan apa yang patut
dilakukan ialah kagum dengan cara si diktator tua membalun
khazanah negara.
Rakyat Malaysia memang hormat Mr. Lee. Tetapi, rakyat
Malaysia terutama sekali orang Melayu masih ingat betapa
ahli warisan Raja melayu di Singapura terpaksa datang
merempat ke Malaysia kerana Mr. Lee gagal melakarkan satu
asas bagaimana kerajaan pimpinannya dulu patut menghormati
hak warisan raja-raja Melayu itu. Sepatutnya sebagai salah
sebuah negara terkaya di dunia, Lee mampu melakarkan satu
plan di mana suku-sakat Raja Husin diberikan keistimewaan
untuk menjadi satu kumpulan Melayu yang maju, malahan lebih
maju daripada warga istana di Malaysia ini. Namun demikian,
kita akan berlaku tidak adil kepada Lee di atas kedaifan
cara hidup warisan istana di Singapura. Mereka pada tahap
awalannya sudah mampu mendapatkan bantuan masyarakat istana di Malaysia ini, dulu.
Kini, Mr. Lee sudah pun pulang ke Singapura. Mahathir tentu
terfikir betapa pertemuannya yang singkat itu membawa
seribu kenangan kepada Lee, tetapi seribu persoalan baru
yang ada pada Mr. History itu. Tentu banyak pendapat dan
pandangan Lee yang telah diberitahu kepada Mahathir. Kalau
Lee mampu bercerita panjang dengan wartawan sebelum beliau
berlepas ke Singapura, tentu banyak pandangan Lee mengenai Anwar yang diceritakannya kepada Mahathir. Soalnya
sekarang, apakah sebenarnya muslihat kedatangan Lee ke
Bandar Air Mata itu. Apakah dia datang untuk diulang-pukau
oleh seorang diktator tua, ataupun dia datang untuk
melakukan kerja-kerja memukau dan memaku Mahathir agar
mengikut telunjuk kerajaan Singapura, kali ini. Jika tidak,
pasaran BSKL akan terus merudum, aliran wang tunai ke
Malaysia akan terus berkurangan dan kemasukan pelancung
daripada Singapura akan dicatu.
Mengikut sejarah, Mr. Lee gemar melakukan beberapa 'ugutan
lembut' seperti itu terhadap Mahathir. Dia tahu dan
kerajaan Singapura pun sudah lama sedar, sekarang ini
Mahathir berada pada tahap di mana dia perlu akur apa saja
dengan pemimpin jirannya. Asalkan dia dapat terus berkuasa
sebagai seorang diktator tua selagi nyawa masih lagi
sanggup berada pada jasadnya. Hanya Allah yang mengetahui, betapa dalam lawatan Mr. Lee kali ini untuk berunding
dengan Mahathir, siapakah sebenarnya yang memukau siapa dan
siapa pula yang terpaku kerananya. Malahan, tentu mereka
ada berjenaka, bila pula akan berjumpa lagi dan kalau
berjumpa di mana?
Kini, Lee Kuan Yew sudah selamat pulang ke Singapura. Dia
pulang dengan membiarkan rakyat Malaysia terus membuat
spekulasi apa sebenarnya tujuan beliau menjenguk Kuala
Lumpur. Betulkah ketibaan Lee itu untuk memberikan sokongan
moral kepada Mahathir agar terus berkeras terhadap PAS?
Betulkah Lee Kuan Yew tiba di Kuala Lumpur sebagai emissari
pemimpin negara barat yang mahukan Mahathir melakukan
sesuatu yang dapat mengendurkan keadaan tegang di Kuala
Lumpur kesan daripada hukuman yang dijatuhkan terhadap
Anwar Ibrahim?
Pada keseluruhannya, apa juga yang telah disetujui oleh Lee
dan Mahathir, tidak lagi menjadi satu teka-teki besar kepada
orang Melayu. Sebilangan besar orang Melayu terutama sekali
di bandar besar sudah pun memberi satu diskaun yang tinggi
terhadap Mahathir. Mereka mahu Mahathir berundur dengan
hormat sebelum terlambat. Tidak kiralah apa keputusan kes
terhadap Al Ma'unah, samada satu kes benar ataupun lakonan
yang fantastik. Yang lebih penting rakyat terutama sekali
orang Melayu baik dalam UMNO ataupun di luar UMNO sedang
bersedia menghadapi satu saat getir untuk menyaksikan
giliran Mahathir diheret ke mahkamah. Apa sekali yang akan
berlaku samada oleh Mahathir sendiri dan apparatus
pemerintahannya untuk mengelakkan fenomena ini, hakikatnya
rakyat pelbagai bangsa di negara ini mahukan Mahathir menghadapi satu kenyataan: Bahawa Mahathir yang selama ini
bersuara lantang menyindir Anwar Ibrahim dan berjaya
menghukum beliau selama lima belas tahun dalam penjara,
menghadapi tuduhan rakyat pula. Sebilangan besar rakyat
mahukan Mahathir pergi ke mahkamah dan menjawab tuduhan
mereka pula.
Mampukah Mahathir berdalih lagi?
Hampir dua tahun yang lalu, Mahathir telah bersuara lantang
mengatakan betapa negara ini tidak mampu maju kalau ada
menterinya yang bersikap songsang dan berperangai hodoh.
Kini, 'Mr. Clean' Abu Hassan terpaksa meletakkan
jawatannya. Beliau akan disusuli oleh beberapa menteri
pilihan dan kesayangan Mahathir juga. Apakah kesudahannya?
Mampukah Mahathir melengahkan bala yang datang daripada
langit? Apakah Mahathir akan terus mempertahankan Abu
Hassan yang disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri
Besar sahaja. Apakah kesalahan Abu Hassan itu harus sabit
sahaja dengan jawatan Menteri Besar? Dia tidak diundi oleh
rakyat menjadi Menteri Besar. Dia menang kerusi wakil
rakyat untuk menjadi ahli dewan undangan negeri Selangor.
Kalau kesalahannya itu disabitkan kepada jawatan Menteri
Besar bererti itu satu kesilapan yang mesti diperbetulkan.
Abu Hassan mesti melepaskan jawatannya sebagai wakil
rakyat. Period, fullstop dan noktah!!
Sebenarnya Mahathir sudah tersepit teruk. Dia sudah
terdesak dan hidup laksana seekor anjing kurap yang mundar
mandir dengan ekornya yang tersepit di celah kangkang. Cuba
bayangkan apa yang dibuatnya di Afrika? Siapakah pemimpin
dunia yang hebat-hebat yang menghadiri persidangan di
Mozambique itu? Hanya beliau sahaja yang sibuk-sibuk
menunjuk-menunjuk kepimpinannya di sana. Orang di Afrika
angguk sahaja, tetapi mereka amat sedar untuk memajukan
negara mereka bantuan Amerika dan negara barat amat
diperlukan- bukannya Malaysia. Begitu juga dengan bantuan
Jepun, China dan Korea. Apakah yang termampu diberikan oleh
Malaysia sebagai alternatif kepada bantuan negara yang
disebutkan itu, selain idea Mahathir yang cetek dan yang
membuatkan ramai pemimpin Afrika itu tersenyum dalam tidur
mereka? Mereka akur dengan kehadiran Mahathir, kerana
apabila tiba ketikanya mereka akan diberikan kemudahan
terbaik untuk menyibukkan diri mereka di Langkawi sekali
lagi. Kalau dilihat kepada jadual lawatan Mahathir ke luar
negara kali ini memang hebat kerana beliau dijadualkan
berucap di satu muktamar persidangan Islam di Amerika.
Sayangnya jemputan itu sudah ditarik balik sebagai satu
ingatan kepadanya betapa dunia Islam semakin
meminggirkannya.
Apa yang sedang dihadapi oleh Mahathir baik di negaranya
sendiri mahupun di pentas antarabangsa bukannya satu berita
baru kepada Mr. Lee Kuan Yew. Sebagai seorang menteri kanan
kepada sebuah republik yang menggunakan khidmat Mossad
(perisik Israel) Mr. Lee sudah tentu mendapat maklumat
yang luas tentang kewibawaan Mahathir dan masalah yang
sedang dihadapinya. Lawatannya ke Kuala Lumpur itu hanya
satu lawatan simbolik untuk mengesahkan apa yang
diketahuinya secara bersurat. Mahathir pun tahu, apa yang
dia fikir Mr. Lee sudah lama tahu. Adalah sesuatu yang
tidak mustahil kalau ada di antara mereka berdua itu yang
sudah berfikir siapa yang akan mula kaku dulu selepas
perjumpaan itu.
Marhaintua
18 Ogos 2000.