Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU

Beberapa hari ini ditimbulkan pula isu mengenai Hak Istimewa Orang Melayu (HIOM) dalam akhbar-akhbar perdana. Beberapa isu telah diketengahkan berkaitan dengan isu ini. Antara isu yang diutarakan ialah orang Melayu masih lemah dalam sistem perekonomian negara kita. Saya tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Berkaitan dengan HIOM ini beberapa perkara perlu kita analisis dan kita selidiki apakah masih wujud HIOM ini dalam erti kata yang sebenarnya. Umpamanya dalam soal ekonomi, apakah seluruh masyarakat Melayu mempunyai hak istimewa untuk dibantu oleh kerajaan pada hari ini. Kalau kita selidiki dengan mendalam sebenarnya hak istimewa ini tidak benar-benar dipraktikkan. Kita lihat sahajalah bagaimana pinjaman yang kita hendak pohon dari agensi kerajaan umpamanya MARA. Menteri Pembangunan Usahawan dengan jelas menyatakan bahawa pinjaman MARA adalah untuk orang-orang yang menyokong UMNO dan BN sahaja. Manakala orang-orang dari kalangan BA walaupun dia orang melayu tidak berhak untuk mendapatkan pinjaman dari MARA walaupun dia berkelayakan untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Kita ambil satu contoh dua orang usahawan; usahawan A dan usahawan B. Usahawan A berhasrat untuk menjalankan satu industri kecil. Dia tidak berpengalaman langsung dalam industri tersebut tetapi dia adalah seorang ketua cawangan UMNO di taman X dan mempunyai hubungan baik dengan menteri dan orang atasan bahagian pinjaman. Untuk menjalankan industrinya itu dia telah memohon pinjaman kepada sebuah agensi kerajaan yang menyediakan pinjaman kepada usahawan IKS. Usahawan B juga berhasrat untuk menjalankan satu industri kecil. Beliau mempunyai sedikit pengalaman dalam industri tersebut dan menjalankannya mengikut kemampuannya. Untuk mengembangkan lagi perniagaannya dia telah memohon pinjaman kepada sebuah agensi kerajaan yang menyediakan pinjaman untuk usahawan IKS. Usahawan B ini adalah seorang pendokong gerakan reformasi yang lantang dan menganggotai parti alternatif secara aktif.

Dalam hal ini kita akan dapati bahawa usahawan A akan dengan mudah untuk mendapatkan pinjaman manakala usahawan B tidak akan dipertimbangkan untuk diberi pinjaman walaupun dia layak untuk meminjam. Oleh kerana usahawan A tidak mempunyai visi dan misi yang jelas untuk menjalankan industrinya maka dia akan menggunakan wang pinjaman itu untuk perkara-perkara yang lain umpamanya untuk membeli kereta, saham dan seumpamanya tetapi tidak digunakan untuk menjalankan industrinya. Akhirnya pinjaman itu tidak berbayar, hutang bertimbun dan industri yang dicadangkan tidak berjalan. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat melayu sebelum ini dan jika perkara ini masih berjalan maka sampai bilapun masyarakat Melayu tidak akan maju dalam ekonomi.

Ini baru dalam bidang ekonomi, belum lagi dalam bidang pendidikan, sosial dan lain. Apa yang jelas di sini ialah isu HIOM ini sebenarnya adalah mainan media perdana semata-mata demi untuk mengalihkan masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khasnya terhadap kebejatan dan kerosakan pimpinan negara yang telah diketahui seluruh rakyat Malaysia. Kalau kita teliti sebenarnya isu HIOM bukanlah isu hak istimewa orang Melayu tetapi hak istimewa orang UMNO dan BN (HIOU/BN). Ini ialah kerana orang UMNO dan BN sahaja yang berhak mendapatkan segala keistimewaan tersebut dan bukan untuk orang Melayu yang bersama Barisan Alternatif.

Oleh kerana itu kita tidak perlu merasa risau atau gusar tentang Hak Istimewa Orang Melayu ini. Perkara ini telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia dan orang-orang yang bukan Melayu tidak akan mempersoalkannya  melainkan jika orang-orang Melayu sendiri yang memulakannya.

Apa yang perlu kita perjuangkan sekarang ini bukanlah soal HIOM ini tetapi yang lebih penting ialah keadilan untuk semua orang, semua kaum dan semua bangsa di Malaysia ini. Jika soal keadilan ini tidak selesai maka selagi itu rasa curiga dan sangsi sesama kaum tidak akan dapat diselesaikan dan berterusan sampai bila-bila.

Keadilan ini meliputi semua perkara meliputi soal ekonomi, pendidikan, sosial dan politik. Kita haruslah berjuang untuk menegakkan keadilan sekalipun kita terpaksa mengorbankan nyawa kita. Ini harga yang paling mahal untuk kita memperjuangkan keadilan ini.

Dari, 

Abu Zahra' 
Banting, 
Selangor Darul Ehsan.

 
Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter