Pemimpin BA boikot lakunan semula
punggah senjata
KUALA LUMPUR 16 Ogos 2000 (Hrkh) - Barisan
Alternatif (BA) memboikot lakunan semula pemunggahan senjata dalam peristiwa rampasan
senjata di Grik yang dibuat di perkarangan Kementerian Pertahanan hari ini.
Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor dalam sidang
akhbarnya di Pejabat PAS Jalan Pahang sekejap tadi berkata, setelah berbincang dengan
beberapa orang peguam, didapati lakunan ini akan mengganggu proses mahkamah yang akan
membicarakan 29 orang yang ada kaitan dengan peristiwa tersebut.
Lagipun, apa yang hendak ditunjukkan hanyalah
bagaimana lebih dari 100 pucuk M-16 dan lain-lain senjata dengan peluru dapat dimuatkan
ke dalam tiga buah Pajero Tentera yang berisi 15 orang, kata Dato' Fadzil. Sebelum ini,
para pemimpin BA telah menerima surat jemputan untuk menyaksikan lakunan semula
tersebut.
Mereka juga telah memutuskan untuk pergi ke majlis
tersebut. Tetapi, setelah didapati hanya lakunan itu sahaja yang hendak ditunjukkan dan
tidak ada sebarang dialog selepas itu serta langkah tersebut boleh `subjudise' kepada
proses perbicaraan yang akan berjalan, mereka memutuskan untuk memboikotnya.
Sebelum ini, 29 orang anggota Al-Ma'unah telah
didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas tuduhan `cuba berperang dengan yang
Dipertuan Agung'.
Abdul Ghani Patail bertindak sebagai pendakwa,
Musa Hassan bertindak sebagai Pegawai Penyiasat manakala hakimnya adalah Augustine Paul.
Pihak tertuduh pula akan diwakili oleh beberapa
peguam termasuklah Karpal Singh dan Zamani Ibarahim.