KTLBELB: Bab 23
Yang
Tenggelam dan Yang Timbul
Penghukuman terbaru ke atas Dato Seri Anwar
Ibrahim akan menjebaknya untuk terus di penjara sehingga usianya melewati enam
puluh tahun. Demikianlah impak kerakusan kuasa yang dipunyai oleh seorang diktator tua
yang sanggup melihat kesengsaraan yang berpanjangan ke atas satu keluarga yang
tidak berdosa. Sedangkan pada satu ketika dulu, si mangsa utama dalam episod ini
merupakan seorang anak emas yang diiktiraf untuk mengambil tempatnya sebagai seorang
Perdana Menteri Malaysia.
Penghinaan yang ditimpakan ke atas DSAI itu adalah satu
proses mengaibkan orang Melayu secara keseluruhannya. Yang merasa lebih
tertekan dalam hal ini adalah golongan marhaen Melayu yang telah memberikan sokongan
yang tidak berbelah bagi terhadap pergerakan reformasi yang tercetus sebaik sahaja
DSAI dipecat daripada jawatan rasminya. Inilah golongan yang menakjubkan para analis
politik di tanah air ini dan juga mereka yang berada di luar negara. Keyakinan mereka
itu merupakan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh Mahathir, malahan juga para juaknya.
Kemunculan arus reformasi yang menular terus ke seluruh negara dan juga di kalangan
masyarakat Malaysia di luar negara bukan sahaja mengejutkan puak Mahathir. Ia membawa
satu kesedaran baru kepada semua kuasa besar apakah jadinya dengan arus reformasi itu.
Mungkin berulangkah pergerakan ala Taliban di Malaysia ataupun, apa pula bentuk
gelombang reformasi itu jadinya?
Budaya
Tenggelam-Timbul
Proses menekan
sesiapa juga yang berhasrat menghalang si diktator tua untuk terus berkuasa
menyebabkan munculnya gelombang reformasi di negara ini secara meluas. Mahathir
yang rakuskan kuasa memang mendapat sokongan padu daripada satu kumpulan aristokrat
berbilang kaum di negara ini yang sudah khayal dengan segala kekayaan dan pesona benda
dalam hidup mereka. Begitu juga dengan beberapa kumpulan khas yang digaji dengan
menggunakan duit rakyat untuk menyemarakkan imej si diktator tua itu di mata dunia.
Kumpulan yang serba boleh ini memang sudah berjaya sejak dua puluh tahun yang lalu
mengabui dunia betapa si diktator tua adalah Wira Dunia Ketiga dan merupakan seorang
ketua negara yang amat disayangi oleh rakyatnya (hehehe). Usaha menonjolkan nama
Mahathir sebagai 'Wira' itu dilakukan pelbagai cara sejak begitu lama sehinggakan rakyat
negara ini sudah semakin lali dengan permainan songlapannya.
a) Untuk menjadi
Wira Dunia Ketiga, Mahathir bersuara lantang mengganyang pemimpin kuasa besar yang
berusia lebih muda darinya. Kerana itu Bill Clinton kerap menjadi seorang 'shadowy
sparring partner' setiap kali Mahathir memperlekehkan kuasa besar. Malahan pada satu
ketika dulu Mahathir cuba menonjolkan 'Proton Saga' untuk dijual di pasaran Amerika. Dia
sanggup memperlekehkan Lee Iococca kerana sikap beliau menerima berjuta pampasan
daripada sebuah syarikat pengeluar kereta di negaranya. Sebenarnya Mahathir tidak ada
hak mempertikaikan bayaran begitu tinggi oleh industri motor Amerika kepada Lee Iococa.
Dia bersuara celupar itu kerana dia mahu menonjolkan dirinya sebagai seorang pembuat
kereta terulung daripada Dunia Ketiga untuk disebarkan kepada pengetahuan pemimpin dan
rakyat Dunia Ketiga. Ironisnya, usaha beliau yang berbelanja besar untuk melancarkan
penjualan kereta 'buatan Malaysia' di Amerika itu gagal segagalnya; walaupun dia sudah
menggunakan pengaruh Henry Kissinger dan juga kumpulan peniaga Yahudi untuk menjadi agen
Proton America Incorporated.
b) Setelah gagal di Amerika, Mahathir cuba
mengembangkan sayapnya di Afrika. Di sini dia berjaya untuk melonjakkan namanya menjadi
popular. Tetapi, berapa ratus jutakah yang telah dibazirkan di setiap negara miskin di
Afrika itu, sebagai bahan promosi kempen itu? Dia menjadi popular di Afrika kerana
banyak syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham yang membawa modal rakyat Malaysia
untuk dilaburkan di sana. Berapa banyak kini pelaburan itu yang lingkup dan memerlukan
bantuan Mahathir untuk menenangkan keadaan di sana? Kebanyakan perusahaan itu dilakukan
kerana Mahathir mahu mereka melabur di sana dan kerana beliau mahu melawat negara itu
melihatkan kemajuannya. Dia hanya berhenti melawat projek tersebut apabila terjadi
kebuntuan dan setelah projek itu ternyata akan lingkup. Tetapi, apakah rakyat di
negara ini diberitahu kenapa projek itu lingkup? Begitulah juga halnya dengan beberapa
projek korporat Malaysia di Negara China, di Lautan Pasifik dan juga di Latin Amerika.
Banyak yang lingkup sedangkan modal itu datangnya daripada pelaburan rakyat Malaysia di
Bursa Saham BSKL. Betapa pula halnya dengan beratus lagi Memorandum of
Understanding (MOU) yang ditandatangani semasa Mahathir melawat negara luar itu? Hampir
sembilan puluh peratus MOU itu tidak pun dilaksanakan sedangkan perbelanjaan Mahathir
dan semua menteri dan pegawai kerajaan telah mencecah jutaan ringgit untuk melakonkan
penyaksian majlis tandatangan MOU tersebut.
Contoh di atas adalah faktor penting
dalam sejarah pemerintahan Mahathir di mana satu lakonan drama yang amat panjang telah
dilakukan oleh Mahathir dan para juaknya. Kebanyakan lakonan itu terlaksana di luar
negara kerana ketika itu khazanah negara memang kaya raya. Mahathir dan para menterinya
serta pegawai tinggi kerajaan bersimpang siur di angkasa raya untuk melakonkan drama
panjang itu. Timbullah pelbagai jolokan ke atas Malaysia sebagai 'God Sent Nation'
dan si diktator tua pun diberikan jolokan sebagai Wira Dunia Ketiga. Semua jolokan itu
bukan datang daripada rakyat dan pemimpin dunia ketiga mahupun kuasa besar yang
berkaitan. Inilah jolokan yang dilakonkan oleh semua agen pembaikan imej upahan yang
menerima bayaran berjuta ringgit setiap bulan. Rakyat akur dengan segala jolokan
itu kerana terkhayal dengan drama yang dilakonkan dan segala iklan yang mengiringi
lakonan itu. Sebaik sahaja wang perbendaharaan negara kering kontang, lakonan di pentas
dunia pun ditenggelamkan untuk satu ketika.
Untuk mengekalkan keunggulan namanya
sebagai Wira Dunia Ketiga lakonan panjang perlu diperpanjangkan lagi. Walaupun khazanah
negara semakin kontang, si diktator tua masih lupa daratan bahawa lakonannya sudah tidak
diperlukan lagi. Dengan kuasa Allah SWT ekonomi negara merudum melibatkan
kemuflisan di kalangan rakyat yang menjela panjangnya. Kemuflisan yang paling ketara
telah menjangkau setiap syarikat anak-anak, adik beradik, para juak dan kroni. Mahathir menggelabah
kerana semua ini membawa padah yang amat ketara kalau diketahui oleh rakyat dan juga
seluruh dunia. Anak-anak yang menonjol tanpa sebarang ilmu pengetahuan yang setara
dengan rentak kegianan mereka berniaga perlu perhatian si bapa yang semakin gelabah.
Apatah lagi kalau kegelabahan itu pun turut menular kepada si ibu yang tidak kurang
rakus dan pelahapnya. Sebagai reaksi utama, segala bentuk bantuan menggunakan harta pusaka
rakyat digembeling untuk menyelamatkan perniagaan si anak-anak itu. Impaknya, ekonomi
negara merudum lagi dan rakyat marhaen terus hidup tersiksa.
Semua lakonan ini
masih diselimuti satu kepalsuan kerana rakyat tidak tahu taktik sebenar perjalanan
lakonan drama yang panjang itu. Tetapi, DSAI memang tahu akan perjalanannya dan usaha
beliau untuk menyanggah lakonan serakah itu telah menerima padahnya. Drama
menyelamatkan perusahaan anak-anak dan para kroni terpaksa ditangguhkan untuk sementara.
Ketika itu satu pasukan khas ditubuhkan untuk menimbulkan satu drama baru sebagai
selingannya. Di sinilah munculnya pelakon baru yang bernama Azizan Abu Bakar, Ummi
Hafilda, Musa Hassan, Khalid Jaffri, Redzuan, Patail Bersaudara, Mokhtar Ahmad,
Augustine Paul, Ariffin Jaka dan banyak nama lagi yang semuanya merupakan nama yang aib
dalam sejarah moden melayu.
Semua nama ini dipilih khas oleh satu 'lembaga'
pemilih yang merupakan balaci emas seorang diktator tua. Mereka ini termasuklah manusia
yang dikenal sebagai Pakar tanam Orkid di Tiang Lampu dan padi di atas bumbung, pakar
sungkit-menyungkit, pakar urut mengurut, si pendek tetapi berakal panjang (mungkin ada
lagi yang panjang yang tidak kita ketahui), pakar agama tetapi kurang bijak
mengembangkan syiarnya dan beberapa jenis pakar lagi. Pengembelingan dua kumpulan
ini telah menghasilkan satu drama yang panjang yang telah membelanjakan berjuta ringgit
apabila Kes Anwar dibawa ke mahkamah. Sebelum itu kes Munawar Anees, Dharma Kesumatmaja,
Nallakaruppan dan beberapa ramai orang lagi telah dilibatkan di mahkamah. Mereka didera
dan diaibkan oleh proses mahkamah sedangkan mereka bukannya berdosa apa-apa. Mereka
diugut untuk dihukum bunuh atas tuduhan palsu yang sengaja diada-adakan semata-mata
mahukan mereka menuduh Anwar Ibrahim sebagai insan yang hina kelakuannya. Allah
menyebelahi semua insan ini. Walaupun dari segi semangat dan ketahanan diri ada di
kalangan mereka yang disiksa sehina-hinanya, mereka mampu bertahan dan tidak mengaku
salah untuk terus menjebak DSAI. Sayangnya moral mereka itu telah diaibkan sehinggakan
parut luka yang ditinggalkan oleh penderaan bersistem itu akan menghantui hidup mereka
seterusnya.
Kini, DSAI sudah pun menerima hukuman yang terbaru. Apakah sudah
selesai masalah si diktator tua? Apakah beliau semakin kukuh dan tegap untuk terus
berkuasa? Apakah dinasti lakaran nafsu nafsinya akan terus kekal di bumi Malaysia yang
bertuah ini?
Menyedari bahawa drama panjang yang melibatkan bekas anak emasnya
itu sudah gagal, para jongos yang turut merencana drama panjang itu telah melancarkan
beberapa drama kecilan sebagai sampingan dan bahan untuk dijadikan lebih panjang. Tujuan
sebenarnya ialah untuk menggantikan drama DSAI itu dengan drama yang baru. Tercetuslah
cerita Sauk yang semakin menyauk ramai menteri dan anggota kabinet yang rakus.
Drama
Sauk Menyauk
Episod Sauk kini masuk
Fasa Kedua. Fasa Pertama dulu melibatkan segerombolan anggota yang dipanggil Al Ma'unah
yang kini dituduh sebagai menderhaka kerana melarikan sekumpulan senjata perang dan
berehat di atas sebuah bukit bernama Bukit Jenalik yang terletak sekitar 400 meter
daripada jalan raya Sauk-Lenggong. Setelah merompak senjata daripada dua kem tentera
pasukan itu telah melarikan senjata untuk diacu tembak secara mendadak di atas bukit
itu. Kereta Pajero yang digunakan untuk rompakan diletakkan pula di tepi jalan agar
senang dikesan. Sambil mereka menembak ke udara, pasukan polis dan tentera digembeling
oleh kerajaan untuk mengepong mereka.
Inilah drama bersenjata yang terpendek di
dunia. Ironisnya ia masih tidak lagi didaftarkan dalam Buku Guiness Dunia, sedangkan
Halim Othman yang mencuba mencatatkan waktu baru bertugas sebagai DJ Radio (Radio
Era)** tanpa henti sudah pun menerima sijilnya daripada Malaysian book of Records.
Lebih 4,000 anggota tentera dan polis digembeling mengepung 27 penderhaka (bilangannya
kini bertambah apabila dihadapkan ke mahkamah). Mereka melarikan senjata perang dan
mengangkutnya ke atas bukit untuk dikepung oleh satu kumpulan bersenjata yang cukup
terlatih dan cukup makan. Ironisnya mereka bertahan di bukit itu tanpa bekalan makanan
yang ketara kerana bekalan makanan mereka rupanya dihantar daripada luar pula melalui
satu 'terowong' yang tidak dikesan oleh sesiapa sehingga ke hari ini.
Inilah satu
kumpulan yang berasaskan ilmu kebatinan tetapi di tempat persembunyian mereka itu,
bekalan air untuk bersolat adalah jauh di bahagian bawah bukit dan berada di luar
kawasan mereka menggali lubang untuk mempertahankan diri. Kalau perkara strategik untuk
mempertahankan kubu sendiri tidak dibuat secara logiknya, apakah kumpulan ini mampu
menumbangkan satu kerajaan yang lama sudah berkuasa dengan ketumbukan tentera yang
teruji sejak Perang Dunia Kedua?
Kesimpulannya, inilah drama baru yang
ditimbulkan untuk mengambil alih drama panjang di mahkamah yang semakin akan
ditenggelamkan itu. Rakyat bangkit dan menyanggah kerajaan dengan tohmahan Episod Sauk
adalah satu penipuan. Mahathir bangkit dengan lantang dan mengugut sesiapa yang
mengatakan Sauk adalah satu drama dan lakonan, akan dikenakan tuduhan di bawah Akta ISA.
Yang lucunya kenapakah Episod itu dilakonkan semula sekarang ini lebih daripada tiga
kali kalaulah episod itu bukannya satu lakonan kerajaan pada tahap awalannya? Lakonan
semula itu terpaksa dilakukan kerana kedegilan rakyat mempercayai berita asal. Rupanya
rakyat tidak dapat menerima kisah seorang panglima menepis muncung senapang yang
meledakkan peluru yang membunuh seorang pengikut Prebet Amin. Kedegilan rakyat itu
memang berasas kerana beberapa hari kemudiannya didapati berita polis yang
memberikan hadiah dan anugerah kepada pasukan komando yang berjaya "menundukkan
pasukan Amin sebelum beliau didatangi oleh seorang panglima tentera untuk berbincang
dengannya."
Jelas, lakonan semula itu bertujuan untuk melengahkan keadaan
saspen yang sudah pun menyelubungi seluruh ketumbukan angkatan tentera Malaysia yang
semakin resah kini. Mahathir amat faham akan masalah ini kerana dia menerima banyak
maklumat mengenai keresahan pasukan angkatan tentera. Kerana itu sejak satu bulan yang
lalu pelbagai rencana sudah dilakarkan untuk menarik minat anggota tentera menyokong
kerajaan. Ucapan pemimpin UMNO dan kerajaan pun semakin berlembut kini terhadap anggota
angkatan tentera. Mereka sedar betapa undi tentera tidak lagi menjadi undi yang
menyokong mereka. Mereka tahu kalau tentera sudah berpaling tadah besar kemungkinnnya
nanti ramai pemimpin yang ada akan kehilangan rumah dan berada di penjara, dalam satu
waktu yang terdekat. Dengan lain perkataan, Mahathir sudah semakin gelabah. Dia sudah
menuduh para konspirator yang cuba memperkuatkan kedudukannya dengan Episod Sauk dulu.
Mereka terpaksa melakonkan episod itu semula kerana itulah nasihat pakar imejnya. Secara
tiba-tiba Mahathir tersedar bahawa proses merobotkan orang Melayu selama dua puluh tahun
ini sudah hilang bisanya.
Drama
Mahkamah Yang Semakin Punah.
Apa
juga yang akan dilakonkan, rakyat tidak akan menerimanya waima lakonan itu sesuatu yang
'real' sekali pun. Rakyat sudah jelak dengan pemerintahan Mahathir. Yang teristimewa
sekali, rakyat sudah jijik dengan nama Diktator Mahathir, apatah lagi yang empunya nama.
Inilah bahananya kesilapan merobotkan pemikiran rakyat negara ini yang tersilap
rencananya. Diktator Mahathir sudah menggunakan segala teknik maklumat songsang moden
untuk merobotkan pemikiran orang Melayu. Dia tersilap langkah kerana tidak memahami apa
yang ada dalam sanubari orang Melayu yang cuba dirobotkannya itu. Alhamdullillah,
sekumpulan besar orang Melayu masih mempunyai ketaqwaan yang mampu menjadi perisai
mempertahankan martabat mereka.
Diktator Mahathir telah meliwat martabat mahkamah
negara untuk mengekalkan kuasanya. Sistem pengadilan menjadi punah-ranah sebaik sahaja
beliau menyingkirkan seorang hakim terkenal di negara Komenwel, yang bernama Tun Salleh
Abas. Mahathir telah mengganyang Tun Salleh Abas dan kemudiannya menghancurkan kerjaya
Hakim Tan Seri Wan Sulaiman dan Dato George Seah. Namun, Allah lebih berkuasa.
Mahathir sudah berada di ambang kepupusan kuasanya, sedangkan Tun Salleh Abas sudah
timbul kembali dengan kuasa yang tidak kurang hebatnya di Terengganu. Betapa pun
Mahathir cuba menenggelamkan kewibawaan Tun Salleh Abas, rakyat marhaen di Terengganu
lebih mengenal siapa yang lebih berwibawa di antara Mahathir dan Tun Salleh Abas
itu.
Drama Sampingan Yang Diperlukan
Kepunahan sistem kehakiman negara membuatkan
Mahathir semakin gelabah. Dia telah mengarahkan para juaknya melakukan sesuatu agar
rakyat marhaen akan terus menyokongnya. Rencana mereka sudah menjadi kucar-kacir. Kerana
itu apa juga yang akan timbul secara mendadak dan di luar perencanaan asal mereka akan
dipergunakan sebaik mungkin untuk melencongkan fikiran rakyat daripada menumpukan minat
terhadap pergerakan menentang Mahathir, Paklah dan juga pemerintahan mereka.
Secara
tiba-tiba Episod Abu Hassan Omar timbul tidak semena-mena. Walaupun kes ini muncul dulu
di Jawa Pos Indonesia, pendedahan yang dibuat oleh orang UMNO itu sebenarnya merupakan
hasil penyelidikan yang memakan masa lima tahun. Abu Hassan terpaksa akur kepada tekanan
keadaan dan menyerah kalah. Soalnya sekarang, apakah adik ipar Abu Hassan itu
sedarah-sedaging dengan isterinya? Ataupun apakah benar si adik ipar itu merupakan
seorang anak-angkat kepada ibu bapa isteri Abu Hassan? Kalaulah benar cerita ini,
Abu Hassan sepatutnya berterus terang untuk membetulkan perjalanan drama sampingan itu.
Yang mencekiknya dalam hal ini ialah kaedah si anak itu didaftarkan kerana membabitkan
orang luar yang sanggup melakonkan peranan 'Cina Buta Versi UMNO'. Lagipun terdapat
unsur penipuan dan perlanggaran perlembagaan negara dalam proses pemalsuan pendaftaran
itu. Inilah perkara berat yang tidak terlintas langsung oleh Abu Hassan ketika dia
mula merencana kerja tipu daya untuk menutup kesalahan peribadinya. Inilah juga drama
sampingan yang disogokkan kepada Mahathir untuk memudahkannya diturunkan oleh rakyat
daripada singgahsana kepalsuannya.
Sebenarnya satu pengajaran besar dapat
diperolehi dalam episod Abu Hassan Omar. Ia menyerupai cerita Abu Hassan Tukang Jahit,
tetapi dalam hal ini yang dijahit itu adalah kisah nafsu-nafsinya. Kini jahitan itu
sudah tetas. Tetapi, ia memberi kita satu pengajaran betapa amat mudahnya
dilakukan putar belit menipu daftar negara terutama sekali bagi melayakkan orang yang
tidak layak menjadi pengundi di pilihanraya. Apakah secara kebetulan semata-mata, kisah
penipuan dalam mendaftarkan nama kelahiran si anak dalam Episod AHO dengan cerita
bagaimana Kumpulan Abu Sayyaf bertindak kerana merasakan diri mereka tertipu setelah
digunakan oleh kerajaan BN dalam memainkan peranan undi hantu di Pemilu-10 dulu. Tak
mungkin Allah mencetuskan insiden 'yang kebetulan' terlalu banyak ketika ini.
Budaya
tenggelam-timbul akan merupakan satu budaya terbaru yang direncana oleh si diktator tua
untuk terus berkuasa. Budaya ini akan merupakan senjata terbaru untuk memperbetulkan
proses merobotkan pemikiran rakyat marhaen. Setiap hari ada sahaja pemimpin UMNO
dan BN yang menimbulkan isu baru dan ada sahaja pemimpin bawahan UMNO yang bersuara
lantang memukul canang menghangatkan isu yang ditimbulkan itu. Reaksi rakyat akan
dipantau setiap masa dengan pelbagai cara. Kalau rakyat terjebak dengan perangkap itu,
isu yang hangat itu akan terus diperhangatkan lagi. Kalau boleh parti pembangkang
seperti PAS dan Keadilan akan dibabitkan dalam isu itu secara negatifnya. Mahathir, UMNO
dan Barisan nasional tidak ada modal lain lagi. Mereka terpaksa menayangkan isu yang
timbul itu laksana satu drama yang sensasi juga.
Dalam hal ini, peranan para
reformis amat penting sekali. Para penganalisis situasi gawat ini harus menyedari akan
setiap perubahan isu hangat yang ditimbulkan dan pantas bertindak untuk menyedarkan
rakyat jelata. Biarlah Mahathir cetuskan berpuluh isu hangat setiap hari sebagai
umpan merobotkan pemikiran rakyat. Biarkanlah isu hangat itu menjadi satu drama
panjang, kerana ia tidak akan berjaya menarik minat rakyat untuk selamanya. Lagi banyak
drama yang sengaja diadakan, lagi baik untuk negara. Dari situ nanti akan terserlah
segala kejijikan pemerintahan si diktator tua. Dari situ nanti akan muncul satu reaksi
daripada rakyat yang akan mencetuskan satu drama pendek sahaja. Dalam drama rakyat itu
segala yang timbul akan ditenggelamkan dan segala yang sengaja ditenggelamkan akan
ditimbulkan.
Apabila proses merobotkan rakyat itu tidak mampu memperkuatkan
budaya tenggelam timbul yang sengaja dicetuskan itu, rakyat akan bangkit secara aman;
bersatu padu dan bersuara lantang. Rakyat akan memenuhi setiap ceruk jalanan untuk
berganding bahu meminta Mahathir dan segala konconya mengundurkan diri sebelum mereka
ditenggelamkan oleh sejarah dengan kejamnya. Sejarah akan menunjukkan kalau bermula satu
demonstrasi aman secara menyeluruh di seluruh negara, demonstrasi itu akan berlarutan sehingga
si diktator tua mengaku kalah. Janganlah Mahathir dan Aziz Shamsuddin cuba menyekat
kebangkitan rakyat cara ini, kerana bahananya akan memeranjatkan seluruh dunia nanti.
Marhaintua
16
Ogos,2000
***Catatan Khas: Penulis mengucapkan syabas kepada Halim Othman dan
juga Radio Era di atas kejayaan yang mereka capai. Sayangnya berlaku sedikit pencemaran
pada Jam 7.14 semalam. Pembantu Halim yang sepatutnya membaca jadual waktu bersolat
maghrib telah membacakan jadual waktu solat Asar. MasyaAllah...... Allah juga yang
maha mengetahui kenapa kesilapan 'teknikal' begini boleh berlaku. -MT-