RE: CADANGAN KEPADA PAS
Assalamualaikum wbr Saudara Pengarang
Saya amat tertarik dengan cadangan-cadangan yang
dikemukakan IMR kepada PAS untuk menggerakkan rakyat menyokong barisan
alternatif. Saya rasa PAS perlu mengambil berat cadangan-cadangan tersebut
terutamanya yang berhubung dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Walaupun PAS telahpun
sedikit sebanyak menjayakan program-program tertentu seperti rawatan
kesihatan percuma, derma darah, Tabung Kemiskinan dan sebagainya,
program-program tersebut tidak dijalankan dengan lebih kerap atau secara
sistematik. Ia nampak aktif hanya pada hari-hari tertentu sahaja
seperti Hari Terbuka, Muktamar Tahunan, musim raya atau ketika dekat pilihanraya.
Iktibar boleh diambil dari tentera Hizbollah
Lebanon yang berjaya menghalau keluar Israel dari selatan negara itu
baru-baru ini. Walaupun Israel bersetuju untuk berundur dari kawasan yang mereka
tawan di Selatan Lebanon kerana setelah berperang beberapa lama masih tidak berjaya
menumpaskan tentera Hizbollah, mereka mahu keluar dengan keadaan tersusun dan secara
berperingkat-peringkat dan dengan diselia oleh PBB. Bagaimanapun, niat mereka itu
telah dipercepatkan oleh Hizbollah yang dengan bantuan penduduk kampung
menghambat mereka keluar sebelum tarikh sebenar pengunduran, menyebabkan Israel
lari lintang pukang dalam masa 24 jam dengan meninggalkan tentera sekutu SLA dan
senjata berat yang mereka miliki.
Sokongan yang diberikan oleh penduduk tempatan
kepada Hizbollah ialah kerana kepelbagaian strategi yang mereka ambil untuk
menawan hati rakyat. Selain daripada mengangkat senjata dengan menyerang balas Israel
apabila penduduk Lebanon dibom, mereka tidak pula mengabaikan usaha-usaha
kemasyarakatan dengan mendirikan pusat
pendidikan, memberi bantuan kesihatan dan sebagainya. Dengan tidak menafikan
pertolongan Allah, usaha-usaha kemasyarakatan ini banyak membantu mereka
memenangi hati rakyat berbilang agama untuk sama-sama berjuang membebaskan Lebanon
dari cengkaman Israel.
Mak Andak
Nota webmaster:
Terima kasih
kepada anda yang prihatin ke atas cadangan yang baik. MR percaya pimpinan utama PAS
sedang meneliti pandangan itu untuk dipertimbangkan agarnya boleh diadaptasikan dalam
keadaan yang sebenarnya. Beberapa kali agenda perhimpunan yang dijalanakan oleh kerajaan
PAS (BA) Kelantan dan Terengganu memperlihatkan ketakjuban dari segi bilangan yang
hadir. Ini belum diizinkan kehadiran kaum bukan Melayu secara terbuka. Ini melambangkan
sikap masyarakat kita yang sudah beralih angin dan semakin 'muak' dengan pelbagai agenda
yang dibuat oleh diktator tua yang perasan itu. Jika sambutan kemerdekaan negara
disambut sama oleh kedua kerajaan BA kita, mengapakah mesti kita melengkapkan alasan
untuk tidak menghadirkan diri?