MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

UMNO TERPENJARA DALAM KEISTIMEWAAN MELAYUNYA

Hackerzparadize Editor Notes:
Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hak keistimewaan orang Melayu nak dihapuskan? Isu ini sudah lama, dah lapuk pun untuk diperbesarkan melainkan atas tujuan tertentu. Sudah acap kali presiden sepanjang hayat UMNO itu bermain dengan isu ini. Kali ini ditimbulkan lagi oleh para juaknya, untuk apa kalau bukan nak menarik perhatian orang-orang Melayu yang sudah tidak lagi mempercayai perjuangan 'Melayu" UMNO itu.

Hak-hak keistimewaan orang Melayu amnya bumiputera di Tanah Melayu ini telah termaktub dalam perlembagaan dan tiada siapa boleh mengubahnya kecuali pemerintah sekarang iaitu BN atau UMNO sendiri. Tidak perlulah mereka membesarkan isu ini sedangkan kuasa ada di tangan mereka. Barisan pembangkang tiada kuasa sedikit pun untuk menggugat perlembagaan yang termaktub sekian lama itu.

Sebagai sebuah parti Melayu kononnya, itulah sahaja modal yang mereka boleh gunakan bagi meraih sokongan Melayu. Itulah juga asas perjuangan mereka sebagai parti nasionalis. Akan tetapi hak-hak keistimewaan yang mereka perjuangkan hanya untuk Melayu UMNO sahaja. Melayu PAS, KeADILan, DAP dan PRM tidak termasuk dalam perkiraan tersebut malah dinafikan hak Melayu mereka.

Lihatlah sahaja kemudahan-kemudahan yang disediakan kerajaan walaupun bukan UMNO sahaja yang menyara kerajaan, semuanya dibolot oleh mereka. Hatta balai raya yang sepatutnya menjadi balai awam menjadi balai UMNO kalau takpun sebagai kandang kambing. Parti pembangkang janganlah bermimpi nak gunakan kemudahan itu.

Tabung usahawan kecil yang diwujudkan baru-baru ini pun khas untuk penyokong UMNO, maklumlah hanya mereka sahaja yang berdarah Melayu. Itu belum kira lagi peruntukan-peruntukan prasarana lain yang sepatutnya diagihkan ke serata kawasan tanpa mengambilkira sempadan politik yang semuanya dibolot UMNO dan BN. Lihatlah kemudahan yang ada di kawasan yang penduduknya menjadi penyokong PAS dengan kawasan UMNO, sudah tentu anda sekelian dapat saksikan perbezaannya.

Atas alasan hak istimewa orang Melayulah jugak budaya kronisme hidup subur dalam UMNO. Kononnya untuk membangunkan usahawan Melayu, tetapi hanya beberapa kerat yang rapat dengan pemimpin sahaja mendapat keistimewaan hak tersebut. Melayu lain hanya mampu melihat hak-hak mereka digunakan oleh para kroni ini. Cukuplah 'bersyukur' mendapat bantuan subsidi baja, racun dan benih. Cukuplah berbangga melihat 'kejayaan' para kroni ini mengaut kekayaan atas dasar hak istimewa orang Melayu itu.

Melihatkan senario ini, isu hak keistimewaan orang Melayu bukanlah satu isu yang relevan bagi pembangkang. Isu ini hanya sesuai untuk dibawa oleh UMNO sahaja. Yalah, kalau PAS juga membawa isu ini, UMNO nak perjuangkan apa lagi? Apa lagi yang ada pada UMNO untuk menarik minat orang Melayu totok untuk menyokong mereka?

UMNO lah yang patut ke depan sekali untuk mempertahankan hak Melayu mereka. Tidak perlulah memperbesarkan isu ini ke seluruh negara, berceramahlah dengan penyokong totok mereka sahaja yang selama ini menikmati hak-hak istimewa tersebut. Barisan pembangkang terutama yang berdarah Melayu selama ini pun tak pernah merasa hak-hak istimewa tersebut, jadi tidaklah akan terasa apa-apa kehilangan sedikit pun. Sebagai anak tiri kepada kerajaan, apatah lagi dengan abang tiri mereka UMNO, pembangkang tidak perlu ambil hirau tentang kehilangan hak keistimewaan itu yang ternyata tidak pernah mereka miliki.

Sebenarnya bukanlah hak istimewa sesuatu bangsa itu sahaja yang perlu dipentingkan, hak-hak asasi manusia adalah lebih penting diperjuangkan terlebih dahulu. Kedua-dua hak ini telah termaktub dalam perlembagaan, tetapi kenapa UMNO hanya penting hak Melayunya sahaja. Kenapakah tidak diperjuangkan sekali hak-hak asasi manusia yang selama ini terhalang oleh pemerintah?

Mereka tentu sedar, terdapat perbezaan besar antara hak istimewa orang Melayu dengan hak-hak asasi manusia. Hak istimewa orang Melayu hanya mencakupi bidang-bidang tertentu sahaja terutamanya ekonomi. Hak-hak asasi manusia adalah lebih luas lagi. Dengan memilih memperjuangkan hak-hak Melayu sahaja mereka dapat menutup mulut Melayu dan mengikat mereka dari mempersoalkan tindakan pemerintah yang mencabuli hak-hak kemanusiaan lain yang sepatutnya rakyat miliki. Mereka menganggap dengan mengangkat ekonomi masyarakat Melayu sahaja sudah mencukupi untuk rakyat di kalangan Melayu untuk terus menyokong mereka. Itulah sebabnya mereka terus mengekalkan akta-akta yang diluar batas kemanusiaan seperti ISA.

Oleh itu tidak hairanlah jika UMNO amat tersinggung dengan kenyataan SUHAKAM berkenaan perhimpunan aman tempoh hari. Itulah juga sebabnya mereka tidak terasa apa-apa terhadap kes Anwar Ibrahim malah menyelar protes antarabangsa terhadap mereka sebagai mencabuli kedaulatan negara kononnya. Itulah juga sebabnya UMNO tidak membenarkan pertandingan jawatan dalam parti mereka.

Terlalu banyak contoh untuk menunjukkan bahawa hak asasi manusia bukanlah wadah perjuangan mereka. Hampir tidak pernah kedengaran dari kalangan pemimpin mereka yang menyokong gerakan yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia. Mereka menjadikan Melayu dalam UMNO sebagai hamba yang hanya boleh mengangguk sahaja. Melayu dalam UMNO kini hanya sesuai bagi golongan tua yang biasa menjadi hamba penjajah dan Melayu muda yang menjadi hamba material. Biar pun hidup mereka senang dan mewah tetapi minda dan jiwa mereka terpenjara oleh hak-hak istimewa mereka sendiri. Itulah sebabnya UMNO tidak lagi menjadi pilihan Melayu yang merdeka.

Sekian, teruskan perjuangan!!!
ALLAHHUAKBAR!!

150800

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia
OX Free Counter
OX Free Counter