MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

ISU JIHAD PERLU JALAN TENGAH

Isu jihad yang sedang rancak diperdebatkan di MR sekarang mungkin secara kasar boleh dikatakan pertentangan di antara dua pendapat yang menjurus kepada bentuk  jihad yang harus dilakukan rakyat bagi menangani situasi negara yang semakin kemelut. Pendapat pertama yang diwakili oleh mereka seperti HC and Bomohdin menghendaki BA menunjukkan komitmen yang lebih jelas dengan menganjurkan tindakan lebih keras seperti demonstrasi dan sebagainya. Pihak yang satu lagi yang diwakili oleh antaranya Webmaster MR sendiri dan Hj Mohnas berpendapat kita perlu bersabar dan memilih jihad yang sesuai dengan keadaan negara masa kini untuk tidak menjejaskan peluang masa depan.

HC dan BomohDin serta mereka yang sependapat, rata-rata menyatakan kejayaan tidak akan dicapai jika BA masih bertindak lembut dan berasingan. Misalnya ada yang gusar kerana BA hanya mampu mengeluarkan kenyataan demi kenyataan mengutuk pencabulan hak rakyat.  Ada yang menyuarakan kekesalan kerana komponen BA lain tidak menyertai demonstrasi ADIL dalam kes DSAI. Dan ada yang mempersoalkan komitmen PAS kerana tidak bertindak bila ceramah ADIL di Taman Melewar gagal kerana dihalang polis.

MR dan Hj Mohnas pula berpendapat kita perlu bersabar menanti waktu yang sesuai untuk mengangkat pedang. Mereka berpendapat jihad tidak semestinya ditunjukkan dengan kekerasan kerana menyebarkan berita kemungkaran, misalnya, sudah dikira berjihad.

Kita boleh membuat andaian mudah bahawa HC and BomohDin mewakili golongan muda yang meruap-ruap semangat mereka, lantas kurang sabar dan menginginkan action dalam apa jua tindakan. Dan kita juga boleh membuat andaian bahawa Webmaster MR dan Hj Mohnas mungkin mewakili golongan yang lebih berumur yang dapat membendung sifat marah mereka serta dapat merenung jauh implikasi sebarang tindakan yang diambil tidak kira keras atau lembut.

Walaupun ada kebenarannya, garis pemisahan itu tidaklah mutlak. Saya sendiri sebagai seorang yang boleh dikatakan berumur dan telah berdiri di belakang PAS sejak tahun 70-an  lagi kadang-kadang naik semangat juga dan ada kalanya merasa kecewa dengan sikap lembut BA. Malah seorang dua rakan sebaya yang baru nak berjinak-jinak dengan BA dah mula merungut.  Kita lihat BA kerap mengeluarkan kenyataan (selalunya berasingan) mengutuk tindakan kerajaan, tetapi kita tidak tahu sejauh mana ia memberi kesan kepada perjuangan. Terus terang saya katakan saya tidak membaca kenyataan-kenyataan itu kerana tanpa membacapun saya dapat meneka isinya dan sudah tentu menyokong 100 peratus. Saya tidak pasti kepada siapa kenyataan media ini ditujukan dan sejauh mana keberkesanannya. Kalau kenyataan itu ditujukan kepada rakyat, saya rasa ramai juga seperti saya yang tidak membacanya. Jika ditujukan kepada PM dan suku sakatnya, ia nampaknya tidak dipandang walau sebelah mata oleh kerajaan dan media kroni. Sedangkan pelbagai kutukan antarabangsa mengenai hukuman ke atas DSAI baru-baru ini dinyahkan oleh mereka. Begitu juga laporan polis yang bertimbun yang dibuat oleh BA dan DSAI sendiri mengenai kes rasuah, kekejaman polis dan sebagainya telah dibakulsampahkan oleh kerajaan. Inikan pula kenyataan media. Nampak macam tidak ada faedah dan kesan langsung usaha BA selama ini.

Bagaimanapun saya tidaklah mencadangkan agar BA menghentikan usaha selama ini. Dalam keadaan kita diikat kaki tangan mungkin itu saja yang termampu kita lakukan. Bagaimanapun perlulah kita fikirkan cara yang nampak lebih berkesan. Kedua-kedua pendapat di atas (HC + BomohDin vs MR + Hj Mohnas) ada relevannya. Ada masa kita perlu lembut dan ada masa kena keras. Kita tidak mahu BA diharamkan (sebagaimana andaian Hj Mohnas) kerana pemimpinnya menyertai demonstrasi haram. Dalam masa yang sama kita tidak harus meminggirkan kehendak orang-orang muda. Sebenarnya mereka inilah yang lebih perlu diberi perhatian kerana peratus mereka lebih ramai dan paling mudah dipengaruhi. Kita sendiri tahu betapa payahnya nak menyuruh pakcik-pakcik dan makcik-makcik, terutama yang menyokong UMNO sejak dulu, untuk beralih kepada BA pula.  Tahun 2004 masih jauh lagi. Jika kita tidak menyelesaikan masalah ini, mungkin lebih ramai anak-anak muda yang kecewa dan terus meninggalkan perjuangan di tengah jalan. Sedangkan merekalah yang akan memerintah bila kita tak ada nanti.

Justeru perlu dicari jalan tengah untuk menyelesaikan konflik ini. Mungkin komponen BA boleh mengusahakan demonstrasi besar-besaran (dengan permit) di negeri yang dikira boleh dijalankan, misalnya di Kelantan dan Terengganu. Mungkin kebenaran permit lebih senang didapati di kedua-dua negeri itu dan agent provocateur juga lebih senang dipantau. Saya rasa jika kedua-dua Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi, Dr Wan Azizah, Syed Husin dan Lim Kit Siang sebut saja "Jom demo", maka beribu-ribu rakyat dari seluruh pelusok tanahair akan turun padang.

Jika tidak dapat dijalankan kenalah fikirkan usaha lain. Melayari FGR saja kita sudah dapat bermacam-macam idea, ada yang gila-gila sedikit tetapi banyak juga yang bernas. Tetapi pokok pangkalnya ia boleh memuaskan kehendak kedua belah pihak dan boleh dilihat sebagai pro-aktif. In penting kerana tindakan inilah yang tidak dapat dilihat rakyat sekarang. Malah beberapa media terkemuka luar negara semasa membuat laporan hukuman ke atas DSAI baru-baru ini berpendapat gerakan reformasi sudah luntur kerana rakyat  bersikap 'tidakapa' (apathy) ke atas keputusan itu. Ini didasarkan kepada jumlah mereka yang menyertai demonstrasi di hari DSAI dijatuhi hukuman sangat sedikit berbeda dengan ketika beliau mula-mula dipecat dulu. Rumusan ini mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi jika BA masih bersikap pemalu dan senyap-senyap dalam tindak-tanduknya, ramai yang tidak sedar atau nampak apa yang BA buat dan kita tidak boleh menyalahkan mereka sekiranya beranggapan  BA tidak serius.

Mak Andak

 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia