MENGULANG KAJI SEJARAH LAMA
Kuala Lumpur,
26hb. Februari, 1986.
YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed,
Presiden UMNO Malaysia,
d/a Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato’ Onn,
50520 Kuala Lumpur.
Seperti Saudara YAB sedia termaklum, saya telah menyatakan hasrat saya
meletak jawatan di dalam percakapan kita pada 27hb. Januari, 1986, iaitu
sebelum saya bertolak ke Davoz, Switzerland.
Sekarang, setelah menggunakan waktu cuti saya dengan fikiran yang tenang,
waras serta penuh keinsafan, saya dengan ini mengambil keputusan muktamad
meletakkan jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan semua jawatan
berkaitan dengannya iaitu termasuk Menteri Dalam Negeri, berkuatkuasa
daripada 16hb. Mac, 1986. Surat rasmi saya sampaikan berasingan.
Saya menulis surat ini kepada Saudara selaku Presiden UMNO berkaitan dengan
jawatan saya selaku Timbalan Presiden.
Berlanjutan daripada perletakan jawatan saya selaku Timbalan Perdana
Menteri, saya dengan ini juga meletak jawatan saya selaku Timbalan Presiden
UMNO dan semua jawatan berkaitan dengannya, iaitu berkuatkuasa daripada
16hb. Mac, 1986.
Sungguhpun saya tidak menghuraikan sebab-sebab saya meletak jawatan-jawatan
berkenaan dalam surat rasmi saya kepada Saudara selaku Perdana Menteri,
saya fikir perlu saya jelaskannya dalam surat saya ini kepada Saudara
selaku Presiden UMNO.
Saudara tentu ingat bahawa pada malam sebelum Perhimpunan Agong UMNO tahun
lalu, Saudara telah membangkitkan soal bagaimana ada di kalangan ahli-ahli
Majlis Tertinggi yang kesetiaannya kepada Saudara dipersoalkan. Bukan itu
sahaja, berbagai-bagai cakap negatif dan tohmah telah, dikatakan oleh
Saudara, dilemparkan ke atas Saudara sendiri. Ini semua, dikatakan oleh
Saudara, menimbulkan keadaan tidak sihat dan berpotensi perpecahan di
kalangan Parti kita UMNO sendiri.
Kata-kata Saudara begitu serius dan tegas, lebih-lebih lagi apabila Saudara
meminta ahli-ahli Majlis membuat kenyataan taat setia, hinggakan suasana
begitu tegang dan resah di kalangan para anggota Majlis. Boleh dikatakan
semua ahli tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan oleh Saudara. Saya
sendiri begitu juga dan cuba meramalkan siapakah yang dimaksudkan oleh
Saudara, dengan tidak terlintas langsung di hati saya penglibatan saya
sendiri, berasas kepada perhubungan kita berdua yang saya percaya waktu itu
begitu baik dan rapi. Maka berasas kepada keadaan sedemikianlah, apabila
saya diberi peluang bercakap di Perhimpunan Agong yang berkenaan, saya
memutuskan bahawa perlu saya bantu Saudara dengan kenyataan sokongan penuh
saya sendiri, Majlis Tertinggi dan para perwakilan ke atas kepimpinan
Saudara selaku Presiden dan Perdana Menteri. Kenyataan ini saya buat dengan
spontan, ikhlas dan penuh kepercayaan diri saya sendiri atas sokongan saya
kepada Saudara.
Pada 15hb. Januari, 1986, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, sungguhpun
sudah begitu larut malam, Saudara telah sekali lagi menimbulkan keadaan dan
suasana resah dan tanda tanya di kalangan ahli-ahli Majlis apabila Saudara
membangkitkan soal berbagai-bagai tohmah ke atas diri Saudara selaku
Perdana Menteri. Saudara telah lebih serius, tegas dan khusus lagi kali ini
dibandingkan dengan kali dahulu. Dalam kenyataan-kenyataan Saudara serta
setelah ditanya oleh beberapa orang ahli, Saudara menjelaskan bahawa, di antaranya:
- Tohmah-tohmah ini menyatakan kononnya Saudara adalah seorang PM yang
‘diktator’, ‘korup’, dan ‘terkaya sekali di dunia’.
- Tohmah-tohmah ini merupakan tekanan yang begitu berat ke atas Saudara hingga ianya menjejaskan kemampuan Saudara dalam menjalankan tugas-tugas
rasmi Saudara yang lebih besar dan penting lagi memerlukan perhatian.
(Begitu serius hingga pada esok harinya Saudara memberitahu saya bahawa
pada malam itu juga ‘I was determined to resign’).
- Tohmah-tohmah ini kuat berbau politik dan bertujuan menjatuhkan
Saudara; dan
- Tohmah-tohmah ini datang dari kalangan orang-orang kanan dalam Parti
dan Kerajaan yang tidak sabar hendak mengambil alih tempat Saudara.
Selama ini saya penuh kepercayaan bahawa hubungan kita berdua begitu relax,
rapat dan mesra seolah-olah adik-beradik. Sesungguhnya pada awal-awal waktu
kita berdua bertanggungjawab selaku PM dan TPM hinggalah akhir-akhir ini,
saya berasa begitu mesra tiap-tiap kali selepas Saudara menunjuk-ajar atau
menegur saya dalam berbagai-bagai hal baik rasmi mahupun peribadi.
Apabila saya mendengar semua kenyataan-kenyataan Saudara di malam 15hb.
Januari itu dengan begitu teliti, saya lebih lagi tertanya-tanya malam itu
juga atas siapakah yang dimaksudkan. Pada keesokan harinya bertanyalah saya
pada Saudara samada saya sendiri terlibat.
Kesimpulan jawab Saudara ialah ‘Ya’.
Saya pada mulanya berasa sangat-sangat tersinggung, kecewa dan terperanjat
serta tidak percaya mendengarnya. Dalam percakapan kita pada pagi itu yang
agak hangat, saya telah menafikan sekeras-kerasnya tohmah-tohmah Saudara ke
atas diri saya itu.
Malangnya, tiap-tiap kali saya membuat penafian dalam percakapan kita itu,
Saudara berkali-kali juga menyatakan bahawa ‘begitu banyak Pegawai-pegawai
Kanan Kerajaan dan Wartawan-wartawan’ telah melaporkannya. (‘Too many
Senior Government Officials and Journalists...’). Implikasinya ialah bahawa
saya terlibat dalam satu pergerakan bertujuan menjatuhkan Saudara seperti
dihuraikan oleh Saudara dalam mesyuarat MT itu.
Memandangkan kenyataan di atas, tentulah Saudara sendiri dan, saya percaya,
ahli-ahli MT bersependapat dengan saya bahawa saya tidak ada pilihan lain
melainkan mengundur diri supaya meringankan bebanan tekanan-tekanan yang
begitu serius ke atas diri Saudara. Ini juga akan membolehkan Saudara
mentadbirkan Parti dan Negara kita atas nama seluruh anggota Parti dan
Rakyat Jelata dengan lebih berkesan lagi dalam keadaan pemikiran Saudara
yang tenang dan tidak diganggu-gugat oleh sesiapa juga, khususnya orang
nombor dua Saudara sendiri.
Soal pokok di sini ialah soal kesetiaan dan kepercayaan. Pastilah bahawa
Saudara mempersoalkan kesetiaan saya dan kepercayaan Saudara atas diri saya
menimbulkan tanda tanya pula. Seperti mana Saudara mementingkan kesetiaan dan
kepercayaan ini, saya juga sependapat dengan Saudara. Perlu juga saya
sebutkan di sini - sungguhpun sekarang merupakan sejarah - bahawa saya
berasa sangat-sangat megah di atas apa yang saya sangka sebagai hubungan
rapi kita berdua sebelum timbul tohmah-mentohmah ini. Tiap-tiap kali
disebut atau dipersoalkan oleh sesiapa pun hubungan kita - lebih-lebih lagi
bila khabar-khabar angin begitu kencang menyatakan kita sudah renggang dan
berbalah - saya sentiasa menafikannya serta menyatakan ‘Alhamdulillah, PM
dan saya begitu rapi hubungan’ (‘Thank God PM and I are very close in our
relationship)
Percakapan kita pada pagi sebelum saya bertolak ke Davos, iaitu pada 27hb.
Januari, 1986 lebih tegang dan merenggangkan serta menekan kepada saya.
Saudara telah membangkitkan begitu banyak lagi perkara-perkara yang Saudara
mengkritik saya. Khususnya, di antara lain, beberapa orang yang saya
rekomen begitu buruk performancenya. ‘Budak-budak’ saya (‘your boys’)
begitu banyak mencemarkan nama Saudara, dan lain-lain lagi. Saya sengaja
tidak menjawab oleh sebab ini akan cuma lebih
memburukkan suasana dan perasaan negatif Saudara atas diri saya. Cuma saya
mengambil kesempatan di sini mengingat kembali bahawa waktu kita berdua
terkeluar daripada Kerajaan/Parti selepas 13hb. Mei, 1969 dahulu, di antara
faktor-faktor penting menyebabkannya ialah ‘budak-budak Dia’!, walaupun
sekarang kita pasti bahawa PM waktu itu tidak tahu-menahu mengenainya.
Sepanjang masa saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya mengaku
memanglah ada beberapa dasar serta cara-cara perlaksanaan dasar atas nama
Kerajaan pimpinan Saudara yang saya sendiri persoalkan. Tetapi, banyak
daripadanya saya beritahu kepada Saudara sendiri dalam pertemuan-pertemuan
yang begitu kerap kita adakan. Pada dasarnya, saya menerima hakikat bahawa
Saudaralah PM dan lagi, prinsip tanggungjawab bersama atau ‘collective
responsibility’ saya terima.
Saudara juga telah saya maklumkan beberapa kali bagaimana saya ingin
bersara oleh kerana saya bosan dengan ‘politik wang’ (di mana saya
menyatakan saya tidak mampu bertanding lagi) dan penyalahgunaan kuasa bagi
kepentingan politik dan sebagainya. Permintaan saya bersara Saudara minta
saya tangguhkan dan saya menghormatinya.
Walau bagaimanapun, nampaknya Saudara lebih menjangka saya ‘bermain politik’
bertujuan menjatuhkan Saudara daripada benar-benar mahu bersara. Tohmah
Saudara ke atas diri saya merupakan tamparan yang begitu hebat kepada
maruah dan kredibiliti saya, lebih-lebih lagi selama ini saya sangka
Saudara sendiri menerima peranan saya sebagai orang sokongan kedua kepada
Saudara.
Adakah perletakan jawatan saya ini merupakan ‘sabotage’ kepada Saudara atau
Parti? Adakah ianya merupakan ‘excuse’ saya berhenti? Terpulanglah kepada
kematangan sesiapa yang memikir atau membincangnya.
Tetapi, walau apapun dikatakan nanti, saya fikir perlu saya huraikan
sebab-sebab saya memutuskan meletak jawatan sekarang juga. Antara yang
penting ialah:
- Prinsip saya berkhidmat dan menjalankan tugas berasas kepada
kepercayaan penuh (faith), commitment dan dengan sukacita saya sendiri.
Commitment sudah merosot kerana tidak dipercayai dan sukacita hati sudah
menjadi duka.
- Walaupun saya buat sesuatu dengan cara apapun, saya akan berbuatnya
dengan takut-takut ditohmah atas motif kepentingan politik saya sendiri.
- Kenyataan-kenyataan umum beberapa orang Menteri, (saya percaya
kebanyakan mereka cuba membantu Saudara) dan Saudara sendiri atas
‘pihak-pihak tertentu’ yang cuba ‘memecah belah’, ‘menjatuhkan Kerajaan’ dan
‘kita tahu siapa dia di dalam dan di luar Parti’ yang mencemarkan nama baik
Saudara sebagai PM dan kata-kata khusus bahawa ‘Doc cannot work together
with Musa anymore but cannot do anything because Musa is too powerful
now..’ semua ini menekan fikiran saya. Tambah lagi
aktiviti-aktiviti ‘comando-comando’ dengan rancangan-rancangan khusus
mereka merisau fikiran saya atas potensi dan bahaya kita berpecah-belah dan
saya dilibatkan.
- Selagi lama saya terus memegang jawatan, selagi hebat tohmah-mentohmah
berterusan. Kalau saya terus bekerja kuat, ini akan disalah tafsir, kalau
sebaliknya, lebihlah lagi. Sebenarnya, saya bercadang meletak jawatan
sebaik sahaja pulang daripada Davos. Tetapi saya telahpun meminta supaya
lawatan Saudara ke Johor pada 20hb, dan 21hb. Februari disambut secara
besar-besaran dan dijayakan.
- Dengan saya meletakkan jawatan sekarang, ini akan membolehkan Saudara
memilih orang yang Saudara percaya penuh bagi membantu Saudara berhadapan
dengan rakyat nanti. Ini akan mengekalkan juga perpaduan Parti dengan saya
sendiri tidak menentang Saudara atau mengecam Saudara.
Dalam keadaan sebegini, saya ada dua pilihan, iaitu:
- Berdiam diri dan ‘bersabar’ (Ini sudah dijawab di(4) di atas); atau
- Beralah
Saya memilih (ii) sebab ianya sebaik-baik bagi Parti kita.
Saya sedar dan insaf ahli-ahli Parti, lebih-lebih lagi yang memang
menentang saya, akan mengecam saya menyatakan saya sabotage, tak sayang
Parti dan sebagainya. Tetapi, pada hemat saya, kalaulah saya hendak
disalahkan, kesalahan saya hanyalah bahawa saya sedia mengorbankan diri
saya bagi membuktikan bahawa saya beralah dan tidak mahu difitnah mengancam
kedudukan Saudara.
Untuk membukti saya tidak ada tujuan ‘bermain politik’ atau terus
membebankan Saudara, saya akan berada di luar negeri sebaik sahaja saya
serahkan surat ini. Ini ialah bagi mengelakkan diri saya daripada ditanya
atau dipujuk rayu oleh ‘orang-orang’ atau ‘budak-budak’ saya. ‘Orang-orang’
atau ‘budak-budak’ saya ini semua pula tentulah akan kecewa kepada saya.
Tetapi, inilah nasib politik saya yang saya terpaksa hadapi sendiri.
Ketiadaan saya dalam negeri juga akan mengurangkan perlunya saya sendiri
terlibat dalam perbincangan umum atas soal perletakan jawatan saya ini dan
dengan itu mengelakkan kekeruhan suasana.
Saya serahkan baik buruk nama saya kepada kebijaksanaan Saudara sendiri dan
rakan-rakan lain. Cuma saya berdoa ke hadrat Ilahi janganlah hendaknya saya
difitnah atau dicari-cari salah pula nanti. Saya, dengan nama Allah Yang
Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, mengundur diri dengan rela hati.
Moga-moga Allah tenangkan hati Saudara, kukuhkan iman Saudara supaya dapat
Saudara terus memimpin Parti dan Negara kita yang kita cintai ini. Saya
akan sentiasa berdoa supaya niat baik Saudara hendak memimpin Negara kita
ke arah satu Negara yang maju, bermaruah dan megah akan tercapai.
Akhir sekali, mengikut adat Melayu dan ajaran Agama suci kita, saya
menuntut maaf di atas apa-apa jua yang tersalah silap saya lakukan kepada
Saudara sendiri, semua ahli-ahli Majlis Tertinggi dan seluruh anggota Parti
sepanjang masa saya berkhidmat.
Selamat Berkhidmat dan Selamat Majujaya.
BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.
HIDUP MELAYU DAN MERDEKA
t.t.
( DATO’ MUSA HITAM )
s.k : Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Nota Webmaster....mungkin ramai generasi muda yang masih belum
membaca warkah ini. Sejarah pasti berulang...apa yang diperkatakan dulu
masih relevan dengan masa kini..... Terima kasih kepada Keris Sumbing