Perletakan jawatan Datuk Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor sememangnya telah dijangka
oleh ramai.
Sudah terdapat desas-desus sejak awal Julai lagi dari dalam UMNO sendiri bahawa Abu Hassan akan meletakkan
jawatan sebelum bulan September ini.
Tetapi yang menjadi tanda-tanya adalah siapakah yang mendalangi konspirasi untuk menjatuhkan Abu Hassan ?
Dua minggu sebelum Abu Hassan meletakkan jawatan telah tersebar risalah di sekitar Gombak, Ampang Jaya
dan Shah Alam yang dikeluarkan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Jawatankuasa
Bertindak Selamatkan UMNO Selangor 2000".
Risalah itu berbunyi :
"Pulihkan Maruah UMNO Selangor"
"Kembalikan Kegemilangan Kepimpinan Tan Sri Dato'
Muhammad Mohd. Taib"
"Kami menolak pemimpin yang tidak bermoral"
Terdapat gambar Muhammad Taib dan lambang UMNO pada risalah tersebut. Manakala gambar Abu Hassan pula
adalah dipangkah.
Dengan tidak menuding jari kepada sesiapa sememangnya Muhammad Taib merupakan orang yang paling beruntung
akibat dari krisis yang dihadapi oleh UMNO Selangor ini.
Satu lagi perkara yang menjadi tanda-tanya adalah kemunculan dengan tiba-tiba Dato' Mufti Shuib, ADUN
Ampang dan Ketua Bahangian Ampang Jaya, yang pada mesyuarat perhubungan UMNO Selangor minggu lepas
duduk di sebelah Muhammad Taib.
Mengapakah ahli politik yang selama ini berada di pinggiran politik Selangor dan menunggu masa untuk
dilupuskan nyawa politiknya tiba-tiba tampil ke hadapan ?
Adakah penampilan dengan tiba-tiba Mufti ini ada kaitan dengan pengedaran risalah jawatankuasa
bertindak itu di Ampang Jaya ?
Bagaimana pula dengan peranan pemimpin-pemimpin UMNO lain di Ampang Jaya ?
Sudah tentu terdapat ramai pemimpin-pemimpin UMNO di Ampang Jaya yang bercita-cita tinggi seperti ADUN
Pandan, Dato' Mad Aris Mad Yusuf, yang baru mendapat gelaran Dato'.
Ataupun Dato' Fuad Hassan yang pernah dikatakan akan menjadi Menteri Besar tetapi sekarang ini sudah
hilang entah ke mana.
Rakyat Selangor mahukan jawapan kepada persoalan-persoalan ini.
Walau bagaimanapun apa yang nyata mereka sebenarnya sudah bosan dengan UMNO yang penuh dengan pelbagai
konspirasi di dalam perebutan pemimpin-pemimpin untuk mendapatkan kedudukan. Semakin lama UMNO berkuasa di
negeri Selangor semakin hancurlah negeri itu.
Bakhtiar Effendi
13 Ogos 2000