LAPORAN PEMANTAUAN SUHAKAM MENGECEWAKAN
Saya berasa sungguh kecewa dan hampa dengan
laporan pemantau SUHAKAM (6.30pm 9/8/200) di Malaysiakini yang tidak memberikan
gambaran sebenar kejadian 'Rusuhan Polis' terhadap perhimpunan aman
pejuang-pejuang reformasi di Benteng Rakyat 8/8/2000 tempoh hari. Sebaliknya
pemantau SUHAKAM cuba melaporkan secara ' play safe' dengan pihak berkuasa dengan
memberikan pujian pula kepada pihak polis.
Saya, antara ratusan yang duduk semasa
perhimpunan itu, berada di tempat kejadian sehingga saat-saat terakhir bila mana
puak-puak FRU menyerbu masuk. Ketika itu ramai yang telah bangun dan bergerak ke
jalan raya yang bertentangan termasuklah pemantau-pemantau sendiri! Tinggallah
kami beberapa kerat yang cuba juga untuk terus duduk mempertahankan hak untuk
berhimpun secara aman. Sekiranya pasangan saya tidak segera menarik saya bangun
dari situ, pasti saya juga ditendang oleh puak-puak FRU itu sepertimana yang
terjadi ke atas seorang pemuda yang tetap tidak berganjak dari situ. Ini berlaku
di hadapan mata kepala kami sendiri. Lembut dan mesrakah sikap polis yang sebegitu
atau tidak cukup ganaskah lagi perlakuan mereka itu?
Sebenarnya sedari mula
lagi kami semua telah diperangkap oleh polis-polis tersebut. Semasa awal
perhimpunan, seorang wakil polis datang memberitahu bahawa pihak polis memberikan
kebenaran untuk kami meneruskan perhimpunan aman di situ. Seperti tidak percaya,
kami telah memberikan tepukan hangat kepada pasukan polis yang berhampiran sebagai
tanda terima kasih yang tidak terhingga. Rupa-rupanya terlalu awal penghargaan
tersebut diberikan kepada mereka. Semuanya hanyalah sandiwara mereka agar lebih
ramai yang datang berhimpun dan lebih 'havoc'lah pula nanti dapat mereka kerjakan!
Saya
menyeru kepada pihak pemantau, hantarlah mereka yang benar-benar berani dan ikhlas
untuk menjadi saksi kepada kebenaran. Janganlah berharap pada 'name tag' PEMANTAU
atau NGO sahaja tergantung dileher tetapi menjadi yang pertama lari bila berlaku
sesuatu yang tidak diduga. Malah lebih teruk lagi, melaporkan perkara yang tidak
disaksikan sendiri sebagai sesuatu yang jelas amat bertentangan dengan kejadian
sebenar.
p/s Kuharamkan keturunanku menjadi polis, FRU dan lain-lain yang
sewaktu dengannya......
p/s Masih terngiang-ngiang lagu SUARA
RAKYAT....SUARA RAKYAT....SUARA
RAKYAT........
Kak Id 2000