MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

TAMAN MELEWAR DICABUL: PAS RILEKS LAGI ..

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera semua.

Ketika PAS di ambang kemenangan di Terengganu tahun lalu, saya telah ke sana untuk mendengar sendiri
ucapan ulung Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Hadi Awang di Masjid Rusila, seminggu selepas tarikh
kemenangan gemilang tersebut. Sebenarnya itu juga merupakan satu escapisme bagi saya -- escapisme
daripada rasa kekecewaan yang amat sangat dengan kekalahan BA di pantai barat.

Mungkin, saya mengharapkan, dengan berada di sebuah negeri yang BA telah menang besar dan sedang menyambut kemenangannya dengan begitu hebat, rasa kekecewaan ini akan berkurangan. Alhamdulillah, berjaya juga dikurangkan sedikit, buat seketika.

Di sebuah pertemuan dengan seorang sahabat lama, guru sebuah kolej swasta di sana, kami berbincang mengenai
isu yang baru selesai, iaitu pilihanraya umum 1999. Saya telah mengeluarkan satu teori: mungkinkah kemenangan PAS di Terengganu itu satu konspirasi oleh Mahathir sendiri, satu kemenangan yang sengaja dirancang, yang tidak dijangka sendiri oleh ramai anggota PAS Terengganu khususnya, dengan satu tujuan jangka panjang untuk meletakkan PAS dalam satu situasi di mana ia terpaksa mengalah terhadap segala penindasan oleh regim Mahathir selepas pilihanraya itu?

"Penindasan Mahathir?", tanya rakan itu.

Ya..Mahathir mungkin sedang membayangkan bahaya yang semakin hampir sekiranya PAS dibiarkan maju dengan momentum kekuatan sendiri. Oleh itu kita berikan PAS sebuah negeri dan biarkan PAS terus bermain di padang kita dan menurut peraturan kita (BN). Tentunya PAS terpaksa lebih akur dengan undang-undang sekiranya ia mahu mempertahankan negeri yang baru dimenanginya. Di masa yang sama, kita (BN) akan memastikan kekuatan PAS dicabut satu demi satu dalam tempoh masa sehingga 2004, tentunya melalui cara yang tidak menurut undang-undang, tersurat atau tersirat.

Entah bagaimana, rakan saya tadi mengangguk dan mengatakan bahawa beliau ada juga terlintas perkara
yang sama sebelum itu. Tapi mungkin tidak dapat atau tidak tahu bagaimana untuk menyatakannya. Ia cuma
lintasan semata..

Mungkin saya tersilap, tetapi memang saya ada berbincang dengan beberapa rakan dan golongan veteran
di Terengganu. Kemenangan BA di Terengganu bagaikan tidak dicabar oleh BN. Seolah-olah dibiarkan Wan
Mokhtar sendirian menentukan arah-tujuan BN di sana tanpa usaha backing yang serius daripada pimpinan
pusat. Ada juga hearsay bahawa Wan Mokhtar sendiri terpaksa berkempen house-to-house di Kemaman kerana kurang tenaga.

Ya, mungkin saya silap. Mungkin ini semua cuma igauan saya semata-mata, untuk menyedapkan hati yang kecewa. Mungkin PAS memang benar-benar memenangi Terengganu dengan titik peluhnya sendiri dan BN telah benar-benar lemah di sana untuk mengekalkan kekuasannya. Dan Mahathir sendiri memang benar-benar terkejut dengan kemenangan PAS di negeri kaya minyak itu. Lagipun, takkanlah Mahathir nak bagi sebuah negeri kaya minyak kepada PAS, kan?

Konspirasi atau tidak, pokoknya PAS telah menguasai dua buah negeri di Malaysia ini.

Kini tiba masa untuk mentadbir negeri yang baru dimenangi PAS. PAS perlu masa yang panjang untuk
membuktikan kemampuannya, sekurang-kurangnya lima tahun lagi, barulah hasil pemerintahannya akan nampak
-- sebuah negeri yang makmur, berakhlak dan telus. Begitu banyak perkara yang perlu difikirkan, di-brainstorming-kan, fitnah yang perlu ditepis dan sebagainya.

Pendek kata, semakin banyak kemenangan yang PAS capai, semakin dalamlah ianya berada dalam sistem percaturan dan permainan demokrasi yang ditentukan peraturannya oleh BN/Mahathir. Dan semakin terikatlah PAS kepada satu sistem yang pada asalnya bertujuan untuk membendung kekuatan gerakan Islam di seluruh dunia, iaitulah sistem demokrasi pilihanraya 5 tahun 1 kali.

Ini diperkuatkan lagi oleh isu Sauk. Pemimpin PAS sehingga terpaksa "menghentak meja" mengatakan bahawa
PAS tidak akan berganjak daripada prinsipnya untuk terus bergerak atas sistem demokrasi pilihanraya. PAS
tidak akan bersetuju dengan ahlinya yang cuba mengambil jalan lain seperti perjuangan bersenjata seperti yang dituduhkan kerajaan ke atas gerakan Al-Ma'unah itu bahkan PAS akan bertindak memecat ahlinya yang bersekongkol dengan gerakan tersebut. Sampai begitu sekali komitmen PAS kepada sistem yang memang disedarinya bahawa ianya juga sedang mengikat tengkuknya sehingga sukar bernafas kini.

Mungkin cuma YB Mat Sabu sahaja yang pernah terkeluar sedikit daripada trend majoriti pemimpin PAS yang lain dengan mengatakan bahawa beginilah corak permainan PAS selagi pemimpin yang ada sekarang kekal. Kerana kita tidak tahu bagaimana akan jadinya corak permainan PAS satu hari nanti sekiranya "adik-adik" kita mengambil alih tampuk kekuasan parti, katanya.

Yang jelas kini, Mahathir sudah pun lama mengubah corak permainan di padang sehingga permainan bolasepak
sudah langsung menjadi permainan lain -- ragbi mungkin? Tetapi PAS (maaf, saya mengambil guna parti yang paling dominan dalam BA) masih bermain bolasepak yang hanya membenarkan penggunaan kaki sahaja
sementara BN boleh menggunakan kaki dan tangan sekaligus.

Akhbar dan ceramah PAS sudah semakin dijadikan tidak relevan, kalau pun tidak dikatakan tiada langsung.
Internet pula hanya dibaca oleh tidak sampai sejuta penduduk Malaysia. Itupun berapa sangat yang membaca
laman reformasi dan yang sewaktu dengannya. Bayangkan jikalau keadaan ini berlangsung sehingga empat atau
lima tahun lagi. Cuma alhamdulillah, kerana akhbar BN sendiri sudah hilang kredibilitinya sehingga rakyat
menolak penjelasan mengenai Sauk dan terbaru the so-called kes skandal Abu Hassan Omar (sebab belum ada
apa-apa pendakwaan rasmi lagi).

Ketika saya melangkah kaki untuk ke Markaz Tarbiyah Taman Melewar seminggu dua yang lepas, kehadiran truk FRU sudah mula kelihatan di sana. Saya katakan kepada orang rumah ketika itu, "mula-mula dia park truk itu jauh di sana, sekejap lagi makin dekat dan sekejap lagi semakin dekat dengan markaz."

Tengok-tengok memang betul! Malam tadi dia lepak betul-betul depan pintu masuk markaz tarbiyah! Siap
pegang rotan sorang satu lagi! Seorang pun tidak dibenarkan masuk!

Saya katakan pada orang rumah, "mungkin ini untuk seketika waktu sahaja, sehingga tension akibat  daripada penghakiman DSAI itu reda dalam sanubari orang KL". Agaknya selepas seminggu dua ini, keadaan  di markaz tarbiyah akan menjadi seperti sediakala -- tiada FRU, tiada larangan loud-speaker, boleh baring-baring atas tikar sambil makan kacang kuda dan minum air soya bean di luar markaz dan sebagainya. Kami pun pulanglah malam tadi dengan seribu harapan ianya akan menjadi seperti yang diharapkan itu.

Perasaan dan pegangan sedemikian mungkin perkara biasa bagi seorang peminat politik yang tidak mungkin boleh memberi kesan apa-apa kepada perjuangan sebuah parti yang begitu besar dan gah seperti PAS. Tetapi saya hairan dan keliru, bagaimanakah sebuah markaz yang   juga merupakan pusat tarbiyah sebuah parti terbesar di negara ini diceroboh atau dihalang memasukinya tanpa sedikitpun respon yang sewajarnya daripada tuan
empunya markaz?

Saya tidak tahu, mungkin PAS pusat telah pun berbincang dengan polis dan bersetuju program malam
tadi dibatalkan. Tetapi saya rasa, kehadiran polis/FRU di depan pintu masuk dengan rotan untuk menghalang
orang ramai masuk ke dalam markaz tarbiyah itu sendiri bagi saya, satu perkara yang sukar untuk diterima, dan
sepatutnya lagi, tidak dapat diterima oleh sebuah parti yang bermaruah seperti PAS.

Mungkin selepas ini PAS akan keluarkan satu statement mengutuk tindakan polis tersebut. Saya pun semakin
hairan, apa saja kezaliman yang berlaku dalam negara ini, satu statement akan dikeluarkan. Besok satu
statement lagi akan keluar, selepas itu satu statement lagi akan keluar. Budaya mengeluarkan statement ini,
saya perasan, semakin menjadi kegemaran parti-parti komponen BA sejak ada internet ini. Tetapi yang jelas,
statement tinggal statement.. lepas itu habuk pun tarak!

Mungkin sampai peringkat ini, sudah ada pembaca yang menuduh saya sebagai agen provokater untuk
mencadangkan PAS mengambil langkah yang lebih responsif dan ofensif terhadap tindakan polis malam
tadi di markaz tarbiyah Taman Melewar. Terpulanglah kepada pembaca sekelian untuk menilai dan memikirkan
apa yang patut dilakukan apabila perkara seperti ini berlaku, khususnya kepimpinan PAS sendiri.

Kalau boleh, saya tidak mahu dilihat begitu brutal sangat, tetapi bagi saya, dalam perkembangan terbaru
ini, PAS sudah sampai ke tahap perlu mempertahankan maruahnya. Jangan sampai penyokong dan peminat PAS
khususnya anak-anak muda di Kuala Lumpur ini melihat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bacul dan
pondan. Itu sahaja.

Kalau sesebuah sistem di mahkamah itu perlu adil dan perlu DILIHAT sebagai adil, saya rasa, sesebuah parti
politik yang besar juga perlu berani dan perlu DILIHAT sebagai berani.

Tapi jangan bimbang semua, selepas ini satu statement lagi akan dikeluarkan.


Salam,

HC
honciv@yahoo.com

Nota webmater:
Syabas kerana pandangan anda sungguh baik dan membuka minda sekelian pembaca. Tapi saudara perlu melihat lebih jauh strategi PAS yang memang sukar untuk difahami. Buka Al-Quran ayat sejarah pembebasan Kota Mekah. Setelah Nabi kita berhijrah ke Madinah baginda telah memperkukuhkan Islam di Madinah. Tempoh 10 tahun diambil dan baginda berhasrat menawan kembali kota Mekah. Apa yang terjadi, penawan itu dilakukan tanpa menumpahkan walau setitik darah. Firman Allah bermaksud:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan (saat) kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah secara berbondong-bondong, maka bertashbihlah (dan bertahmid) memuji Tuhanmu, dan mohon ampunlah sesungguhhnya Dia Maha Penerima Taubat" (An-Nashr ayat 1- 3)

Sejarah pasti berulang dan keyakinan bersama kita sebagai umat Islam kita akan merealiasasikan pengulangan sejarah itu di negara ini...

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia